Teks Ucapan Saya

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 7

4.

0 PENYEDIAAN TEKS PENGUCAPAN AWAM





Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis.
Selamat pagi dan salam sejahtera
Yang Berbahagia Tn. Hj. Zolkaply bin Yunus, Pegawai pelajaran Daerah Tambunan,
Yang dihormati En. Nestor Juanis, Yang Dipertua PIBG SMK Tambunan
Pn.Kamariah bte Othman, GPK 1
En. Ghafar bin Yahya, GPK HEM
En. Radhi bin Masah, GPK Koku
Ketua-ketua Bidang, Guru-guru dan semua warga SMK Tambunan sekalian.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat
Allah kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya maka kita dapat berkumpul dalam
dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh
pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG SMK Tambunan. Pada pagi ini
saya bagi pihak sekolah mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan
kepada Yang Berbahagia Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan kerana sudi menerima
jemputan kami. Terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak yang bertungkus-
lumus bekerja bagi memastikan majlis Hari Guru ini berjalan lancar dan teratur pada
pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari
guru.. Justeru, tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada
semua guru di sekolah ini. Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun
sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah
diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan
penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan
guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi
terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan
potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang
diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama
guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa
terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.
Cikgu-cikgu sekalian,
Dalam memantapkan bidang pendidikan selaras dengan matlamat pendidikan
yang mahukan keseimbangan dari segi JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) dan
menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan, Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) telah dirangka meliputi enam teras dengan matlamat meyelesaikan
tugas yang belum selesai dengan kesamarataan peluang pendidikan dan memastikan
akses kepada pendidikan dan kecemerlangan institusi pendidikan dengan mewujudkan
kluster pendidikan. Enam teras yang menjadi pemangkin kepada pembangunan
pendidikan tersebut ialah pertama; Membina Negara Bangsa, kedua; Membangunkan
Modal Insan, ketiga; Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, keempat; Merapatkan
Jurang Pendidikan Bandar dan Luar Bandar, kelima; Memartabatkan Pofesion
Keguruan dan keenam; Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.
Berasaskan Teras pertama iaitu membina negara bangsa, maka tema Hari Guru
pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa. Pemilihan tema ini sesungguhnya
sangat sesuai dan bertepatan dengan peranan guru sebagai pendidik yang telah
banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin serta para ilmuan yang banyak berjasa
kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk melahirkan pendidik cemerlang,
nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti, sahsiah diri serta
mengawal emosi tidak harus diabaikan. Semua ini penting kerana guru adalah role-
model kepada keberkesanan pendidikan bukan sahaja kepada pelajar di sekolah,
malah masyarakat. Guru bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia.
Justeru, setiap guru mesti menyedari tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama
baik sebagai pendidik serta pemimpin masyarakat agar dapat menjalankan tugas
dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.


Cabaran pendidikan alaf baru kini semakin bertambah. Walaupun kita telah berjaya
membina suatu sistem pendidikan yang amat dibanggakan, perkembangan politik dan
ekonomi global menuntut satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.
Persaingan pasaran kerja sangat sengit. Persaingan ekonomi peringkat global pula
semakin kompetatif. Oleh itu, kualitilah yang bakal menentukan sama ada kita berjaya
dalam persaingan tersebut atau sebaliknya. Pendidikan yang berkualiti banyak
ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup
tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang, InsyaAllah.

Kita seharusnya rasa bersyukur kerana setelah 53 tahun negara kita mencapai
kemerdekaan, sistem pendidikan kita telah berkembang dengan begitu pesat.
Kemajuan pendidikan kita berada pada tahap yang sangat membanggakan berbanding
dengan negara-negara lain yang seangkatan dengan negara kita. Kita juga harus sedar
dan insaf bahawa cabaran mendidik adalah jauh lebih getir dan mencabar. Justeru
kesedaran itu harus diterjemahkan kepada bentuk tindakan di mana kesungguhan
untuk terus bersatu dan berkerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat membina
sebuah negara bangsa yang maju dan bermartabat.
Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,....

R. Smith pernah berkata, berilah peluang kepadaku untuk mengelola pelajaran nescaya
aku akan berjanji mengubah alam. Guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan
merubah pemikiran pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab,
ada rasa belas kasihan dan mampu memperlakukan mereka sebagai anak sendiri.
Seterusnya Imam Al Ghazali pernah berkata, hak seorang guru adalah lebih besar
daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab ianya lahir ke dunia sedangkan
guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi. Tanpa guru, apa yang
diperolehi oleh anak akan hancur. Dalam pembentukan sahsiah pelajar pula, guru
mempunyai peranan yang sangat penting. Prof. Mohd Kamal Hassan berkata, contoh
teladan pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Justeru,
mereka seharusnya dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak mulia, berilmu, kasihkan ilmu dan
luas pembacaan, mempunyai azam yang kuat dan tegas, berkebolehan menimbulkan
motivasi kepada pelajar, bersedia menerima dan menguasai kaedah baru dalam
pendidikan dan sebagainya.

Profesion perguruan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan pendidikan
bertaraf dunia bagi melahirkan insan yang berketrampilan serta dapat memenuhi
kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Dalam usaha untuk membangunkan modal
insan, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memberi tumpuan kepada sistem nilai,
aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Warga pendidik sekolah ini
seharusnya menjadikan sistem pendidikan ini sebagai suatu wadah untuk membina
intergrasi nasional, menjadi agen Pembangunan Negara serta memberikan khidmat
kepada masyarakat dengan ikhlas supaya martabat keguruan sentiasa dihargai dan
dihormati oleh masyarakat. Dengan demikian kita akan dapat mambantu dalam
memacu transformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan telah memberi peruntukan yang
sangat besar dalam membangunkan prasarana bidang pendidikan dan menyediakan
kemudahan-kemudahan ICT di sekolah-sekolah. Dalam dunia serba mencabar ini
terutamanya dengan kecanggihan teknologi dan kepesatan telekomunikasi, warga
pendidik tidak seharusnya hanya menyediakan masa depan untuk pelajar sahaja.
Sebaliknya mereka harus juga menyediakan diri agar tidak terpinggir dengan arus
perubahan pembangunan selaras dengan transformasi negara.

Impak daripada sistem pendidikan yang dirancang pada masa ini hanya akan dapat
diukur selepas tahun 2020. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik
berusaha untuk meletakbetulkan (reposition) dan merekaraya (reengineer) sistem
pendidikan supaya berkualiti dan berjaya melahirkan modal insan mengikut acuan kita
sendiri. Pendekatan pendidikan yang kita warnai kepada anak-anak didik kita
seharusnya lebih berupaya mencungkil bakat, kebolehan dan kreativiti agar mereka
menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam usaha menilai kembali peranan guru dan mengembalikan semula peranan
tersebut pada landasan yang betul, para pendidik harus bekerjasama dengan ahli
masyarakat setempat dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan anak-anak
didiknya. Walaubagaimana pun, masyarakat harus disedarkan agar mereka tidak hanya
meletakkan pengharapan kepada guru sahaja, sebaliknya ia menjadi tugas bersama.
Usaha sama harus dijalin agar masyarakat umum tidak mudah melenting dan mula
menuding jari kepada golongan guru apabila berlaku gejala sosial dalam kalangan
pelajar.

Saya juga ingin mengingatkan guru-guru sekolah ini agar menunjangi tugas utama iaitu
membangunkan modal insan. Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah
membina dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu
seharusnya kaya ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-
ciri kepimpinan yang berupaya membawa perubahan dalam pembangunan modal
insan dan pembangunan negara.
Sebagai pelaksana berkesan dan untuk menghasilkan modal insan gemilang, guru
seharusnya menjadikan mereka sentiasa dikehendaki masyarakat dan disukai oleh
pelajar. Untuk disukai oleh dan disayangi pelajar, guru seharusnya peramah dan mesra,
saling mempercayai, tidak menaruh syak wasangka, bertanggungjawab terhadap
pelajar, bersifat lemah lembut, bertolak asur, tegas dan adil, berkomunikasi dengan
baik, suka menolong dan mengasihi, menghargai dan bersimpati terhadap kelemahan
akademik pelajar.




Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik
sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak
bangsa?. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-
benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia,
berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas
yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya
kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama
daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup
berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berganding bahu dengan penuh keinsafan untuk
membantu generasi pelapis kita. Kita telah merasai keperitan kehidupan masa kini dan
sudah pasti kita tidak mahu kehidupan anak-anak kita lebih teruk dari kita. Kita impikan
agar kehidupan mereka lebih baik dari kita. Saya yakin anda semua, para guru yang
saya sayangi dan sanjung tinggi mampu membuat perubahan, mampu menyedarkan,
mampu memimpin di siang hari dan mampu menyinar dalam kegelapan bagi menjana
transformasi pendidikan dan pembangunan negara. Terima kasih Cikgu.
Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai