Barah
Barah
Barah
Punca:
Barah terjadi hasil dari pertumbuhan dan percambahan sel tubuh, lymph dan darah yang
tidak terkawal. Ia sangat merbahaya bukan kerana ia boleh menjangkiti orang lain, tetapi ia
lambat laun akan membunuh mangsanya. Barah merupakan salah satu dari punca utama
kematian manusia.
Pertumbuhan sel yang normal
Di dalam tubuh manusia terdapat berbagai jenis tisu seperti kulit, paru-paru, hati, limpa dan
yang lain. Tisu-tisu tersebut terbina dari berjuta-juta sel yang teratur dan terkawal, dengan
setiap tisu mempunyai struktur sel yang tersendiri. Rupa bentuk setiap sel berbeza dari satu
organ ke satu organ yang lain.
Sel-sel ini akan mati dan diganti melalui proses pembahagian sel. Proses ini dikawal begitu
rapi dan merupakan proses biasa yang berlaku secara semulajadi. Bilangan sel yang diganti
adalah sama jumlahnya dengan sel yang telah mati. Jika berlaku luka, penghasilan sel akan
meningkat sehingga luka itu sembuh dan pembahagian sel menjadi kembali seperti biasa
selepas itu.
Sel-sel barah
Sel-sel barah membahagi dan bercambah mengikut kadar tersendiri tanpa boleh dikawal.
Proses itu berterusan sehingga rawatan diberi. Percambahan yang begitu cepat menjadi
ketumbuhan. Sel-sel ini juga tidak terkawal secara teratur sehingga tisu-tisu yang terbentuk
dari sel-sel ini tidak langsung menyerupai tisu-tisu yang normal. Bahan makanan diserapi
melalui sel-sel yang normal, tetapi sel-sel barah ini tidak berfungsi langsung.
Jenis-jenis barah
Barah dikelaskan mengikut dari mana datangnya sel-sel barah ini iaitu:
Karsinoma - dari permukaan tubuh seperti kulit, perut, pundi air kencing, rahim, prostat, usus
kecil dan besar, dubur, buah dada dan salur benih.
Sarkoma - dari struktur dalam tubuh seperti tulang, otot-otot dan lemak.
Lymphoma - dari kelenjar lymph.
Lukemia - dari sel darah putih.
Ketumbuhan
Tidak semua ketumbuhan itu barah, ada yang "benign". Jenis ini tidak merbahaya kecuali
bila mengganggu fungsi organ yang terlibat. Ketumbuhan "benign" tidak merebak, ia tumbuh
di dalam kelongsongnya dan dalam tisu-tisu yang normal. Ketumbuhan "malignant"
merbahaya kerana ia terdiri dari sel-sel barah yang menceroboh atau tumbuh dalam tisu-tisu
normal. Bukan itu sahaja, sel-sel dari ketumbuhan ini malahan bercerai dan merebak ke
seluruh anggota mangsanya hingga mengakibatkan kematian mangsanya.
Ketumbuhan "benign" kelihatan seakan-akan tisu normal, percambahannya terkawal dan
perubahannya lebih perlahan. Tetapi jika ketumbuhan ini berlaku pada organ yang penting
seperti paru-paru, kesihatan mangsanya akan terjejas. Ketumbuhan "benign" perlu
dikeluarkan melalui pembedahan.
Asal-usul barah
Sel barah bermula dari sel-sel normal dalam tubuh. Hanya satu sel sahaja diperlukan untuk
mencetus ketumbuhan barah. Proses perubahan dari sel normal menjadi sel barah berlaku
secara sangat perlahan dan berperingkat-peringkat serta memakan masa bertahun-tahun.
Pada setiap peringkat, sel-sel ini menjadi bertambah tidak normal bentuknya dan kian
kurang terkawal.
Proses ini tidak menimbulkan apa-apa tanda atau kesakitan sehinggalah barah terjadi.
Tetapi dalam sesetengah keadaan, seperti barah pangkal rahim, perubahan ini boleh
dikesan melalui ujian seperti pap smear.
Cara barah membiak
Sel barah berupaya merebak hingga menjadikannya sangat merbahaya. Sel ini merebak
dengan teratur bermula dari tisu-tisu di sekelilingnya. Kemudian sel-sel ini bercerai dan
terkandung dalam cairan tisu tubuh, seterusnya masuk ke dalam saluran lymphatik dan ke
dalam kelenjar-kelenjarnya. Dari sini sel barah menembus masuk ke dalam saluran darah.
Fungsi kelenjar lymp adalah menapis keluar sel-sel yang mati dan jangkitan. Sel barah
lazimnya terperangkap di dalam kelenjar yang paling hampir dengan tempat barah terjadi.
Sel-sel ini akan mati, tetapi lambat laun satu darinya akan mula bercambah dan
mengakibatkan ketumbuhan kedua. Dari sini sel-sel itu akan merebak ke dalam saluran
darah dan dibawa keseluruh tubuh mangsanya.
Mengapa barah terjadi?
Sebab terjadinya barah tidak diketahui, tetapi barah didapati biasa terjadi apabila seseorang
itu sudah meningkat tua. Bertambahnya bilangan pesakit barah adalah disebabkan dewasa
ini kita hidup lebih lama dari dulu. Satu teori lain pula mengatakan bahawa tubuh kita
memang mengeluarkan sel-sel yang tidak normal, tetapi biasanya ia boleh dimusnahkan
secara semulajadi. Namun begitu terdapat pada mangsa barah, sebilangan sel yang
berupaya untuk terus hidup hingga mengakibatkan barah.
Ada juga barah yang diwarisi seperti barah mata (retina). Barah buah dada juga dikatakan
ada kaitan dengan warisan untuk sesetengah mangsa.
Kebanyakan barah dipercayai berlaku akibat dari kemasukan sesuatu dari persekitaran
seperti yang terbukti dari radiasi, kimia tertentu atau bahan-bahan lain. Cahaya ultra-ungu
dari matahari juga boleh mengakibatkan barah. Bahan-bahan yang dimasukkan dalam
makanan, ubat-ubatan dan tembakau juga boleh mengakibatkan barah.
Siapa dihidapi barah?
Kanak-kanak juga boleh menghidapi barah, iaitu lazimnya barah lukemia. Lukemia kerap
mencari mangsa yang berumur antara 3 hingga 14 tahun. Kaum lelaki pula mengalami
barah paru-paru, prostat, usus besar, perut dan pankrias. Kaum wanita yang malang
dihinggapi barah buah dada, pangkal rahim, rahim, usus besar, paru-paru dan ovari.
Simptom:
Biasanya simptom barah boleh dibahagikan menurut tiga kumpulan:
Simptom tempatan: biasanya bonggol atau ketulan luarbiasa
(tumor), pendarahan hemorrhage, sakit dan/atau ulser. Tekanan kepada tisu sekeliling
mungkin menyebabkan simpom seperti demam kuning.
'Simptom metastasis (merebak): nod
lymph, batuk dan hemoptysis, hepatomegali (hati bengkak), sakit tulang, tulang
berkenaanretak dan simptom neurologi. Walaupun barah lanjut mungkin menyebabkan
sakit, ia bukannya tanda pertama.
Simptom sistemik: penurunan berat
badan, anoreksia dan kakheksia (kurus), peluh berlebihan (peluh
malam), anemia danphenomena paraneoplastik khusus, contoh. keadaan khusus yang
disebabkan oleh barah akif, seperi thrombosis atau perubahan hormon.
Setiap senarai di atas boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan (senarai yang dikenali
sebagai [[diagnosis pembezaan]). Barah mungkin punca biasa atau luarbiasa setiap senarai.
Mengesan barah
Jika barah dapat dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke bahagian lain tubuh,
rawatannya lebih mudah dan penyembuhan lebih mudah tercapai. Oleh itu pengdiagnosan
yang seawal-awalnya sangat penting. Ketakutan kita pada penyakit barah ada kalanya
melengahkan kita dari mendapat kepastian ini.
Barah boleh dikesan dengan berbagai cara seperti:
Sinar X dan imbasan
Biopsi atau mengambil secebis tisu dan diuji
Ujian cairan/lelehan dari tubuh seperti air liur dan lelehan pangkal rahim
Pemeriksaan darah untuk menguji fungsi hati dan tulang
Isotope; iaitu bahan radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh, kemudian dikesan melalui sinar
X
Termografi; iaitu mengesan suhu pada setiap bahagian yang terlibat. Sel barah lebih tinggi
suhunya dari sel normal
Setelah dikesan dan diketahui jenis serta peringkat barah yang dihidapi, rawatan yang tepat
dapat dimulakan. Tujuan rawatan ialah untuk memusnahkan semua sel barah.
Cara merawat atau mengubati barah
Doktor akan merawat mangsa barah dengan cara yang sesuai dengan jenis barah dan
peringkatnya. Antara rawatan yang diberi ialah:
Pembedahan untuk membuang keseluruhan ketumbuhan barah termasuk kawasan
sekelilingnya serta kelenjar-kelenjar lymph yang berdekatan. Pembinaan semula dilakukan
jika perlu seperti 'colostomy', iaitu membina salur najis di atas perut apabila usus dan dubur
telah dibuang
Menggunakan radioterapi untuk memusnahkan sel-sel barah. Radiasi memusnahkan bahan
genetik sel barah supaya ia tidak berupaya bercambah lagi. Tetapi radiasi juga turut
memusnahkan sel yang normal. Proses pemulihan sel normal akan berlaku selepas itu.
Selalunya dos radiasi yang selamat diberikan. Ia diberikan setiap hari selama 4 hingga 6
minggu. Kesan sampingan yang dialami ialah gatal kulit. Ini boleh dikurangkan dengan tidak
membasuhnya, kemudian sapukan kerim. Kelesuan dan cirit-birit akan berlaku jika rawatan
dibuat di bahagian perut. Rambut akan gugur jika rawatan dibuat di kawasan kepala, tetapi
rambut akan tumbuh semula dalam tempoh 6 bulan. Kesembuhan untuk ketumbuhan
setempat seperti di leher dan kepala kadang-kadang boleh dicapai dengan radiasi. Radiasi
dilakukan selepas pembedahan untuk meningkatkan kesembuhan seperti pada buah dada.
Radiasi juga boleh melegakan gejala-gejala barah terutamanya rasa sakit. Radiasi kadang-
kadang dimasukkan sebagai susuk ke dalam mulut, lidah, rahim untuk mengurangkan
pemusnahan sel-sel normal.
Kemoterapi iaitu dengan ubat-ubatan untuk memusnahkan kandungan genetik sel barah.
Rawatan cara ini diberi bila barah telah merebak. Pemusnahan kandungan genetik
mengakibatkan percambahan sel barah tidak sempurna, tetapi ia turut melibatkan
percambahan sel normal. Kesan sampingan rawatan ini adalah keguguran rambut, loya dan
pengurangan sel darah. Ini kerana sel di bahagian kulit, tulang sumsum dan perut
bercambah dengan pesatnya.
Terapi hormon diberi pada barah yang bergantung kepada hormon untuk bercambah.
Hormon penghalang pengeluaran hormon yang biasa diberi supaya sel barah ini berhenti
bercambah.
Rawatan kombinasi juga diberi untuk barah seperti yang dihidapi oleh kanak-kanak.
Pembedahan diikuti dengan radioterapi kemudian diikuti dengan ubat-ubatan. Dalam kes
barah lukemia dan anemia tertentu, radiasi seluruh tubuh dilakukan sebelum pemindahan
tulang sumsum dilaksanakan.
Kebanyakan jenis barah boleh diatasi jika dikesan pada peringkat awal. Oleh itu adalah
penting untuk membuat ujian dan mengesannya di peringkat awal supaya rawatan serta
merta dapat diberikan. Selepas sembuh, rawatan susulan adalah sangat penting
terutamanya pemeriksaan di bahagian yang terlibat. Sekiranya mangsa barah boleh hidup
dan sihat sehingga selepas 5 tahun, bolehlah berharap bahawa dia tidak akan lagi dihingapi
barah.
Cara mengelak barah
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak berlakunya barah seperti:
Elakkan dari terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus
Elakkan menghisap rokok
Elakkan menjalani sinar X kecuali jika benar-benar perlu
Kurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi
Lebihkan makanan yang mengandungi serabut yang tinggi
Kurangkan makan bahan-bahan manis
Tinggal di kawasan yang tidak tercemar udara
Pilih pekerjaan yang tidak mendedahkan diri kepada bahan-bahan yang boleh
menyebabkan barah
Tujuh tanda-tanda barah
1] Perubahan tabii sistem pembuangan najis dan perkencingan
2] Kudis yang tidak boleh sembuh
3] Perdarahan atau lendir yang luar biasa
4] Ketumbuhan pada buah dada atau di tempat lain
5] Makanan tidak hadam atau kepayahan menelan
6] Perubahan ketara pada kutil atau tahi lalat
7] Batuk yang sentiasa ada atau serak suara
Dipetik dari American Cancer Society