Karangan pt3

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 9

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting.

Hal
ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan.
Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar
dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh
semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau
dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara
kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang
dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang wajar
diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam
program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan,
ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan
musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang
diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu
melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk
memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat
tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan
mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat
meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival
pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan.
Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di
negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga
wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti
ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di
Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat
pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal
maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang
berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.
Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan
antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya
merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita
menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di
Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang terbukti
kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia.
Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini,
lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang
dianjurkan, malahan untuk melawat ke tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil
menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan
di negara kita.

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan
mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan.
Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih
besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik
minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan
untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat
Malaysia ini lagi. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, bak kata pepatah berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan
diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor
pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor
pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk
membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah
kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan
budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong
tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan
Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.



Sejak kebelakangan ini kempen kitar semula begitu giat dilaksanakan oleh kerajaan. Banyak usaha
untuk menyedarkan rakyat tentang kepentingan kempen ini giat dijalankan. Kitar semula ialah suatu
kaedah memproses semula bahan-bahan tertentu untuk digunakan sebagai bahan hasilan yang lain.
Hal ini membayangkan kepada kita bahawa satu anjakan paradigma perlu dilakukan demi
menjayakan hasrat murni kerajaan. Rakyat Malaysia perlu sepakat kerana muafakat itu berkat dan
pelbagai maslahat yang diperoleh daripada kempen kitar semula.
Amalan kitar semula memberi keuntungan kepada rakyat sekiranya dilakukan
secara kolektif. Bahan-bahan buangan akan dikumpulkan di pusat pengumpulan sebelum dihantar
ke kilang-kilang untuk diproses semula. Kilang-kilang akan mengeluarkan semula bahan-bahan yang
dihasilkan seperti kertas tisu, tin-tin dan sebagainya. Melalui penghasilan bahan ini, kos pengeluaran
dapat dijimatkan. Bahan-bahan itu pula akan dijual dengan harga yang lebih rendah. Manfaatnya
dapat dinikmati oleh pengguna kerana pengguna tidaklah dibebani dengan harga yang tinggi untuk
membeli barangan yang dihasilkan daripada bahan yang dikitar semula. Dalam hal ini, kita boleh
menabung hasil daripada pendapatan kita. Walaupun jumlahnya mungkin tidak banyak, tetapi dalam
jangka masa panjang boleh menjadi banyak kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Kitar semula juga merupakan suatu cara untuk mendidik rakyat agar bijak membuang
sampah. Melalui program ini juga rakyat akan lebih prihatin dan bertanggungjawab. Hal ini
menyebabkan negara kita lebih bersih, indah dan dapat menarik pelancong-pelancong untuk
berkunjung ke negara ini. Selain itu, bahan-bahan yang dibuang di merata-rata tempat akan
mencemarkan alam sekitar. Melalui longgokan sampah dan bekas takungan seperti tin, tayar buruk
dan sebagainya akan mengundang penyakit taun, malaria dan demam denggi. Amalan kitar semula
dapat menghindarkan penyakit-penyakit tersebut kerana tempat pembuangan sampah yang terurus
berjaya mengelakkan penularan wabak ini. Hal ini juga bertepatan dengan lidah pendeta mencegah
lebih baik daripada mengubati, sekali gus menjamin kehidupan yang selesa dan sejahtera kerana
persekitaran yang bersih.
Perkara yang menarik tentang kempen kitar semula ialah usaha ini dapat memberikan
pendapatan tambahan kepada para pengguna. Mereka yang pandai merebut peluang boleh
menjadikan usaha ini sebagai kerja tambahan untuk menambah pendapatan. Bahan-bahan buangan
yang boleh dikitar semula akan dibeli oleh pusat pengumpulan bahan buangan. Ringkasnya, kita
memperoleh bahan-bahan ini secara percuma tetapi hanya memerlukan sedikit usaha dan kerajinan
seperti kata pepatah, usaha itu tangga kejayaan. Program serampang dua mata ini jelas
mendatangkan impak positif kepada rakyat kerana bukan sahaja berupaya menambahkan
pendapatan isi rumah, tetapi juga kepada kewujudan industri hiliran yang berkaitan dengan bahan
buangan. Implikasinya, pendapatan rakyat dan negara akan meningkat.
Kesimpulannya, kempen kitar semula ialah suatu usaha yang sangat berfaedah kepada
negara dan rakyat. Banyak pihak yang mendapat manfaat daripada usaha ini. Kempen ini
seharusnya diteruskan agar lebih ramai rakyat tampil untuk menyahut seruan ini dan mengamalkan
program kitar semula. Kita sepatutnya menjadikan program ini amalan dalam kehidupan kita kerana
Islam sendiri mengingatkan kita bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Hal ini selaras
dengan impian Perdana Menteri yang mahu melahirkan rakyat yang mempunyai minda kelas
pertama.



Cahaya matahari menyilau mata,
Rasa pedih tidak tertahan;
Lafaz bismillah pembuka kata,
Gelanggang pertandingan segera dimulakan.
Assalamulaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang
Berusaha Tuan Pengetua, barisan hakimyang arif lagi bijaksana, barisan penyokong, guru-
guru dan rakan pelajar sekalian. Terlebih dahulu, kami barisan pembangkang
tetap berpendirian bahawa tajuk perbahasan ini tidak tepat, sepatutnya berbunyi
Penggunaan Telefon Bimbit Banyak Keburukannya.
Hadirin yang dihormati,Sebelum bibir mengatur kata, elok sekiranya saya menyimpulkan
makna mutiara kata dalam perbahasan ini.

..Selamat sejahtera saya ucapkan buat Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengerusi
Jawatankuasa Keselamatan dan Keamanan Kampung (JKKK) Kampung Selayang Pandang, Encik
Hamid bin Jalil, seterusnya penduduk kampung sekalian.

Hadirin yang dihormati,

.....Saya berasa cukup bertuah kerana dapat bertemu dengan penduduk kampung yang sudi
meluangkan masa untuk mendengar ceramah saya yang bertajuk Punca dan Langkah Mengatasi
Penyakit Demam Denggi. Saya cukup yakin, penduduk kampung ini cukup arif dengan perkataan
demam denggi dan nyamuk aedes. Spesis nyamuk aedes cukup mudah untuk dikenali, iaitu
mempunyai kaki dan badan yang berjalur hitam putih selain aktif pada waktu pagi dan petang.
Nyamuk ini boleh menyebarkan wabak demam denggi hanya melalui gigitan. Kes demam denggi
pernah menjadi serius pada tahun 2010 dengan mencatatkan kematian sebanyak hingga 45 kes
sehingga Oktober tahun tersebut.

.....Persoalannya, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita mahupun orang terdekat dijangkiti wabak
ini? Pertama, mereka yang dijangkiti akan diserang demam panas secara mengejut. Selain itu,
terdapat juga binti-bintik merah dan sakit sendi di seluruh anggota badan pesakit. Mereka yang
dihinggapi penyakit ini juga akan sering loya dan muntah-muntah. Oleh itu, tidak hairanlah jika
mereka hilang selera makan dan kuantiti air dalam tubuh. Jika keadaan ini berlarutan, maka tidak
mustahil mereka akan kurus kering. Realitinya, pesakit hanya akan menganggap demam itu adalah
biasa. Tanggapan ini menyebabkan mereka membiarkannya tanpa menyedari bahawa penyakit itu
boleh membawa maut jika lambat diselamatkan.

Sidang dewan yang dikasihi,

.....Apakah pula punca-punca yang menyebabkan wabak denggi mudah merebak? Realitinya,
persekitaran yang kotor dengan tin-tin, botol-botol, tayar kereta dan tempurung kelapa menjadi
sarang buat pemangsa ini. Untuk makluman, telur nyamuk aedes boleh bertahan selama seminggu
sekiranya air dalam bekas-bekas tersebut telah kering. Bayangkan, adakah dalam seminggu itu hujan
tidak turun? Selain itu, kawasan yang ditakungi air seperti pasu bunga, kolah, dan saluran di
bumbung juga menjadi kawasan pembiakan pilihan nyamuk aedes.

.....Jadi, apakah yang perlu kita lakukan untuk mencegah wabak denggi ini? Langkah mudah,
luangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk
membersihkan kawasan persekitaran rumah. Antara tempat yang perlu diberikan perhatian ialah
longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar
kereta dan tempurung kelapa elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih
berguna, pastikan diletakkan dalam keadaan terbalik. Apa salahnya jika keluarga meluangkan masa
untuk membersihkan persekitaran rumah?

Hadirin yang dimuliakan,


.....Selain itu, kita perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang datang menyembur racun atau
fogging di kawasan perumahan. Adakah anda tahu bilakah semburan akan dilakukan? Sebaik
sahaja menerima aduan berhubung kes denggi di tempat anda, semburan akan dilakukan secara
berkala. Hal ini bagi memastikan telur nyamuk aedes akan musnah dengan semburan racun tersebut.
Oleh itu, pastikan anda menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan asap semburan itu masuk ke
dalam rumah. Siapa tahu anda nyamuk aedes sedang membiak di sekitar tempat tinggal anda tanpa
pengetahuan sendiri? Jadi, tindakan ini akan boleh menyelamatkan anda seisi keluarga.

.....Bagi individu yang mengalam simptom-simptom yang disebutkan, usah takut untuk datang
merujuk ke hospital atau klinik berhampiran. Doktor akan mengambil sampel darah dan mengujinya
sama ada anda benar-benar dihinggapi wabak tersebut atau tidak. Suntikan vaksin pelali dapat
menguatkan daya tahan tubuh dan antibodi bagi melawan serangan wabak denggi. Jika pesakit
berada dalam kondisi tidak stabil, maka dia akan ditahan dan dirawat di hospital selama beberapa
minggu. Keadaan ini membolehkan pesakit melawan vektor penyakit denggi melalui suntikan yang
diberikan oleh doktor.

Saudara dan saudari sekalian,

.....Bagi pengguna yang mempunyai kolah dan tempat yang ditakungi dengan air, penggunaan ubat
jentik-jentik juga berkesan. Ubat yang mudah larut ini boleh didapati daripada klinik dan hospital yang
berhampiran. Di samping meletakkannya ke dalam kolah, ubat ini juga sesuai diletakkan di saluran
hujan. Bagi penduduk yang alah dengan gigitan nyamuk, penggunaan kelambu juga amatlah
digalakkan. Kelambu juga dapat mengelakkan gigitan nyamuk seterusnya mengelakkan ahli keluarga
menjadi korban virus denggi ini. Benarlah kata peribahasa, sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita
berjaga-jaga kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

.....Sesungguhnya, angka kes yang dilaporkan pasti akan meningkat dari sehari ke sehari andainya
tiada langkah proaktif yang dilakukan di rumah. Tiada guna Kempen Hapuskan Aedes jika
masyarakat memandang enteng akan pelaksanaannya. Ingatlah, 10 minit penentu sama ada selamat
atau tidak anda sekeluarga. Saya akhiri ceramah saya dengan serangkap pantun:
.....Subur merimbun cili api,
........Dipetik sedahan oleh kera;
.....Kalau persekitaran dijaga rapi,
........Denggi dihindar, diri sejahtera.


Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat
yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan
dalam sektor perindustrian telah di kecapi hari ini sedikit tercalar impak
daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang
bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar. Adakah kita ingin
membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar
kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani
masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting
dalam kehidupan kita. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita
seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-
langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-
Nya.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah
pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan
kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan
pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak
dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang
dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa
merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat
daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya
penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon
(CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya.
Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang
berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya. Hal ini turut
memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan
dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital.
Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan
pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi
oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam
sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang
berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat
signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada
hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang
mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir
sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan
kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam
sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa
kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran
air. Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa
toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam
air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi
oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam
sekitar. Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat akan mengalami
masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja,
majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai
kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang di uar-uarkan oleh
kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat
kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang
bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan
kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk
digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan
yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah
disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi
baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh
juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan sambil menyelam minum air.
Melalui cara ini, sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan
bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas
manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan
kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat
memelihara kebersihan alam sekitar. Tegasnya, program kitar semula
ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui
kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat
menjaga alam sekitar sejak kecil kerana melentur buluh biarlah
daripada rebungnya. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru
untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak
langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan
alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai
matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam
sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti
kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya
masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap
mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar.
Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusi, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi
masalah pencemaran alam sekitar. Oleh itu, sikap bagai aur dengan
tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan
tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan
hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga
merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat
penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan
seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020.
Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu
Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggembleng tenaga menjaga
kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan
negara Negara Bersih, Rakyat Sihat.


Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu
dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa. Namun, selepas kita
memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkatbak cendawan tumbuh selepas
hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang lebih kecil dan senang
dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia mempunyai sekurang-
kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar
kecanggihan malah ada juga yang telah pun mempunyai telefon pintar. Persoalannya, adakah
telefon bimbit memberi implikasi baik ataupun impak negatif terhadap masyarakat?

Penggunaan telefon bimbit sudah semestinya banyak membantu dalam komunikasi harian. Kita
tidak perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah seseorang untuk berkongsi ataupun
menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja, keselamatan seseorang individu juga akan lebih
terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau sesiapa sahaja dalam
masa kecemasan. Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi seseorang pelajar yang berada
dalam kecemasan. Perkongsian matlumat tentang pelajaran atau kerja rumah juga dapat dilakukan
dengan lebih mudah dengan adanya telefon bimbit.

Selain itu, penggunaan telefon bimbit juga dapat merapatkan silaturahim sama ada dengan rakan
atau sanak saudara terutamanya yang berada jauh di perantauan. Kita dapat menelefon orang
tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal. Lebih-lebih lagi, dengan
teknologi 3G, kita dapat membuat membuat panggilan video kepada orang tersayang. Teknologi
sebegini amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam kalangan sanak-
saudara.







Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam
masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara
amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan
terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13
Mei 1969 daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan
saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan
mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama
untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai
dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh
dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan
dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja
yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan
perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang
dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai
kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai
dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang
terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat
menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping
itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di
Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu
menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat
kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan
kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau
gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu
diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh
sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita
berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai
kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan
bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama
dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat
antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat
mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat
kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam
usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai
upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya
dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di
samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap
dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami
bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak
ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri
sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri
dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan
perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat
majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya
perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula
dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian,
perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

Anda mungkin juga menyukai