Punca Punca Pencemaran Alam Sekitar
Punca Punca Pencemaran Alam Sekitar
Punca Punca Pencemaran Alam Sekitar
Isi 1
Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah sikap tidak
bertanggungjawab individu mahupun sesebuah organisasi dalam pencemaran.
Sebagai contoh, aktiviti ekonomi seperti pembukaan kawasan perumahan dan
perindustrian yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah kawasan tersebut
perlu dipelihara. Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa ada tindakan
pemuliharaan seperti penanaman semula pokok telah menyebabkan flora dan fauna
kehilangan habitat mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana seperti tanah
runtuh dan banjir kilat kerana ketiadaan pokok-pokok yang selama ini menjadi
tunjang utama kekuatan tanah di kawasan tersebut. Justeru, kekayaan yang kian
mengaburi mata-mata orang yang tidak prihatin akan alam semula jadi ini harus
dibukakan mata dan ditunjukkan kesan dan akibat sekiranya pencemaran ini berlaku
dan meniggalkan kesan terhadap diri mereka sendiri.
Isi 2
Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga antara punca
berlakunya pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari ini. Peranan pihak berkuasa
dilihat semakin kurang dan pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan ramai
individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar dan mengendahkan
kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu dipersoalkan lantaran
kes-kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam. Hal ini
berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang
menawarkan wang haram tersebut hanya kerana ingin melepaskan diri daripada
tindakan undang-undang. Pihak kerajaan sewajarnya lebih menumpukan perhatian
dalam bab kebajikan pegawai-pegawai yang bertugas menegakkan kedaulatan
undang-undang negara.
Isi 3
Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang menyebabkan pencemaran ini
adalah kelonggaran dasar atau polisi kerajaan dalam kepentingan alam sekitar.
Kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal
pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran
meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih
berlaku secara berleluasa. Bak kata peribahasa Melayu, seperti melepaskan batuk
ditangga yang bermaksud perlakuan kerja yang dilakukan secara sambil lewa.
Jikalau kita lihat, kepupusan haiwan semakin menjadi-jadi, pembangunan secara
lestari tidak dilaksana sehinggakan berlaku pencemaran yang memakan diri.
Misalnya, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana kawasan
perindustrian dibina hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah dan
pencemaran udara yang teruk telah melanda dan mengakibatkan sekolah ditutup
dan kanak-kanak dihantar ke hospital. Harapan yang tinggi untuk pihak kerajaan hari
ini mengutamakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di samping
memacu ekonomi negara ke arah kegemilangan.
Isi 4
Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah penggunaan sumber tenaga yang
mencemarkan alam seperti diesel dan bahan bakar yang lain. Faktor perindustrian
dan pengangkutan yang bergantung pada bahan bakar petrol dan diesel
menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi. Gas-gas karbon dioksida yang
dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal
secara berlebihan telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang
membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini. Kita boleh melihat contoh di
negara Norway yang menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun yang
berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui. Mereka memberi pengecualian cukai
dan kemudahan parkir untuk pengguna kenderaan tersebut sekaligus
mengurangkan pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan memanfaatkan
sumber tenaga yang berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan teknologi
dan sistem yang mesra alam perlulah digalakkan agar kita dapat bersama-sama
mencegah pencemaran ini daripada terus berleluasa.
Penutup
Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam punca pencemaran ini
terjadi. Masyarakat dengan kerjasama media massa harus meningkatkan tahap
kesedaran sivik orang-orang sekeliling kita tentang pentingnya pemeliharaan alam
sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah yang proaktif persis mutiara kata, ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi
dengan berkesan. Setiap individu hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan
memanifestasikan fikiran dan membuat inteprestasi masing-masing dalam
kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi
akan datang. Semoga mereka dapat merasai keindahan alam semula jadi secara
langsung dan tidak hanya melihat video atau bentuk digital keunikan flora dan fauna
yang kita miliki hari ini.