Pergi ke kandungan

Pucung Seriap Biasa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Burung Pucung)

Burung pucung seriap
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
A. cinerea
Nama binomial
Ardea cinerea
Linnaeus, 1758
Hijau muda: musim panas
Hijau tua: sepanjang tahun
Biru: musim sejuk
Tengkorak
Telur Ardea cinerea

Pucung Seriap Biasa atau Burung pucung seriap[1] (bahasa Inggeris: Grey heron) boleh dijumpai di seluruh dunia. Burung pucung seriap berukuran lebih kurang 40 inci, berbadan kurus, mempunyai leher dan kaki yang panjang. Burung pucung seriap hidup secara berkumpulan di kawasan berair termasuk air masin, jernih atau keruh seperti paya, lombong tinggal, tasik dan di kuala. Makanan Burung pucung seriap ialah ikan, hidupan air yang kecil dan tikus.

Burung pucung seriap ialah salah satu haiwan yang boleh didapati di Malaysia. Nama sainsnya Ardea cinerea.[2] Ia merupakan salah satu spesies yang digambarkan oleh William Farquhar dalam koleksi gambar haiwan di Tanah Melayu. [3]

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Burung pucung seriap tergolong dalam keluarga Ardeinae di samping majoriti spesies wujud yang dikenali sebagai "pucung biasa".[4] Burung pucung seriap mula-mula diperikan oleh ahli alamiah Sweden, Carl Linnaeus pada tahun 1758 dalam Systema Naturae edisi ke-10, digolongkan di samping bangau kendi dan bangau besar dalam genus Ardea dan diciptakan nama binomial Ardea cinerea,[5] sempena perkataan Latin ardea yang bermaksud "burung pucung" dan cinereus yang bermaksud "berwarna abu".[6]

Terdapat empat subspesies teriktiraf:[7]

Ciri-ciri

[sunting | sunting sumber]

Burung pucung seriap ialah haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam: haiwan, filum: kordata, sub-filum: bertulang belakang (vertebrata), kelas: burung. Burung pucung seriap ialah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruh burung pucung seriap tidak bergigi.

Burung pucung seriap merupakan burung besar yang berdiri setinggi 100 cm (40 in); panjangnya 84–102 cm (33–40 in) dengan lebar sayap 155–195 cm (61–77 in).[8] Berat badannya dalam lingkungan 1.02–2.08 kg (2 lb 4 oz–4 lb 9 14 oz).[9] Bulunya rata-rata berwarna kelabu pucat di lapisan atas dan putih kekelabuan di bawah, dengan sedikit hitam di bahagian lambung. Yang dewasa mempunyai kepala dan leher putih dengan supersilium [en] (jalur kening) hitam lebar yang berhujung di jambul berjuntai yang halus, serta jalur-jalur hitam kebiruan di bahagian hadapan leher. Di bahagian skapula (belikat) dan tapak leher pula bulunya agak panjang. Burung muda biasanya lebih kusam warnanya berbanding yang dewasa, iaitu tiada jalur hitam pada kepala dan dengan kepala kelabu dan jambul kelabu tua yang kecil. Paruhnya berwarna kuning kemerahan, panjang, lurus dan kuat, malah lebih cerah warnanya pada dewasa yang membiak. Iris matanya kuning dan kakinya berwarna perang dan sangat panjang.[10]

Taburan dan habitat

[sunting | sunting sumber]

Burung pucung seriap mempunyai taburan luas di sebahagian besar alam Paleartik. Taburan subspesies nominatnya, A. c. cinerea mencecah 70°U in Norway dan 66°U di Sweden, tetapi had utaranya sekitar 60°U di kawasan lain Eropah dan Asia, dan timurnya sejauh Pergunungan Ural. Taburannnya ke selatan mencapai Sepanyol utara, Perancis, Itali tengah, Balkan, Kaukasus, Iraq, Iran, India, Maldives dan Myanmar. Ia juga terdapat di Afrika di selatan Gurun Sahara, Kepulauan Kenari, Maghribi, Algeria, Tunisia, dan Kepulauan Mediterranean. Ia digantikan oleh A. c. jouyi di Siberia timur, Mongolia, China timur, Hainan, Jepun, dan Taiwan. Di Madagascar dan Kepulauan Aldabra [en] terdapat subpspesies A. c. firasa, manakala A. c. monicae terhad di Mauritania dan pulau-pulau luar pesisirnya.[10]

Burung pucung seriap adalah penetap di sebahagian besar kawasan taburannya, tetapi yang dari Eropah utara berhijrah ke selatan, ada yang kekal di Eropah tengah dan selatan dan ada juga yang terbang ke Afrika di selatan Gurun Sahara.[10]

Burung pucung seriap juga diketahui merayau ke kepulauan Caribbean, Bermuda, Iceland, Greenland, Kepulauan Aleut, dan Newfoundland, di samping beberapa kesaksian disahkan di bahagian lain Amerika Utara termasuk Nova Scotia dan Nantucket.[11]

Burung pucung seriap terdapat di mana-mana sahaja dalam kawasan taburannya di mana terdapat habitat berair yang dapat membekalkan makanannya. Jasad airnya mesti cukup cetek atau mempunyai pinggir melandai supaya burung dapat meranduk. Sungguhpun paling kerap ditemui di kawasan tanah pamah, namun ia juga terdapat di kori gunung, tasik, takungan, sungai, rawa, kolam, parit, air bah, lagun pinggir laut, muara, dan pantai laut. Ada kalanya ia mencari makanan jauh dari air, malah tercatat di kawasan gurung memburu kumbang dan cicak. Koloni membiak biasanya terletak berhampiran dengan tempat makan, tetapi juga boleh terletak berjauhan sejauh lapan kilometer (lima batu), bahkan ada juga burung-burung yang mencari makanan sejauh 20 km (12 bt) dari tempat bersarang.[10]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Burung pucung seriap adalah pemangsa puncak di ekosistem akuatiknya.[12] Dengan paruhnya yang panjang, ia menangkap ikan, amfibia, krustasea, dan serangga di air cetek. Ia juga pernah diperhatikan menangkap dan membunuh anak burung seperti itik dan ada kalanya melawan burung sebesar sintar air atau sintar berkerongkong putih [en].[13][14] Yang turut dijadikan mangsa adalah mamalia kecil seperti tikus dan arnab.[15][16]

Pembiakan

[sunting | sunting sumber]
Burung pucung seriap terbang menggondol bahan pembinaan sarang di Stockholm, Sweden

Spesies ini membiak secara berkumpulan (koloni), lazimnya di pohon-pohon tinggi yang dekat dengan tasik, pinggir laut, atau mana-mana tanah lembap. Ada kalanya ia memilih tempat lain seperti pokok renek, padang semak berduri, padang rumput mensiang, atau tepi cenuram. Sarang pucung seriap digunakan semula tahun demi tahun sehingga tumbang ditiup angin; ia bermula sebagai lapisan kecil batang kayu tetapi lama-kelamaan ditimbuni bahan lain sehingga menjadi besar dan tebal. Sarang juga boleh dihiasi dengan ranting kecil, lembaran akar atau rumput layu. Selalunya yang jantan mengumpul bahan dan yang betina membina sarang. Aktiviti membiak berlaku antara Februari dan Jun. Apabila seekor burung tiba di sarang, berlakunya 'upacara' bertegur sapa di mana setiap pasangan menaik-turunkan sayap dan bulunya.[17]

Dewasa menyuap anak-anak

Sesangkak telur pucung seriap biasanya terdiri daripada tiga hingga lima biji, namun juga pernah dicatatkan sangkak sesedikit dua dan sebanyak tujuh biji. Telurnya berpermukaan pusam dan berwarna biru kehijauan dengan ukuran purata 60 mm × 43 mm (2 38 in × 1 1116 in). Telur biasanya dikeluarkan setiap dua hari sebiji dan pengeraman biasanya bermula selepas telur pertama atau kedua dikeluarkan. Kedua-dua burung terlibat dalam pengeraman yang memakan masa sekitar 25 hari. Kedua-dua ibu bapa membawakan makanan untuk anak. Pada mulanya, anak-anak mencengkam tepi paruh dewasa dan menyedut makanan yang diluahkan dari situ. Kemudian, dewasa memuntahkan makanan di sarang untuk direbut oleh anak-anak. Anak-anak mula terbang pada umur 7-8 minggu. Biasanya burung ini beranak sekali setahun, tetapi juga pernah direkodkan yang beranak dua kali setahun.[10]

Burung pucung seriap tertua dalam rekod hidup selama 23 tahun, tetapi purata jangka hayat burung liar hanya sekitar 5 tahun. Hanya kira-kira satu pertiga pucung muda hidup hingga tahun kedua kerana banyak yang menjadi mangsa haiwan lain.[17]

Dalam budaya manusia

[sunting | sunting sumber]
Setem pos Jerman Timur, 1959

Bennu, sesusuk dewi Mesir Purba yang terkait dengan matahari, penciptaan dan kelahiran semula, digambarkan sebagai burung pucong dalam seni lukis zaman Kerajaan Baharu.[18]

Di Rom kuno, burung pucung merupakan burung tilik yang membunyikan petanda dengan teriakannya, sama seperti burung gagak, botak dan hantu.[19]

Nama keluarga Inggeris Earnshaw, Hernshaw, Herne, dan Heron semuanya datang dari burung pucung (heron); akhiran -shaw membawa maksud hutan kayu, merujuk kepada tempat burung pucung bersarang.[20]

Perlindungan

[sunting | sunting sumber]

Burung pucung seriap merupakan burung yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar Malaysia.

  1. ^ A Naturalist's Guide to the Birds of Malaysia and Singapore. G. W. H. Davison, Chin Aik Yeap. Beaufoy Books, 2010 - Nature - 176 pages
  2. ^ D.R. 16/2010 RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010
  3. ^ Natural History Drawings: The Complete William Farquhar Collection : Malay ...
  4. ^ "Heron Taxonomy and Evolution". Heron Conservation. IUCN Heron Specialist Group. 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 January 2016. Dicapai pada 19 October 2015.
  5. ^ Linnaeus, Carl (1758). Systema Naturae per regna tria naturae, secundum classes, ordines, genera, species, cum characteribus, differentiis, synonymis, locis (dalam bahasa Latin). 1 (ed. 10th). Holmiae (Stockholm): Laurentii Salvii. m/s. 143.
  6. ^ Jobling, James A. (2010). The Helm Dictionary of Scientific Bird Names. London: Christopher Helm. m/s. 54, 107. ISBN 978-1-4081-2501-4.
  7. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama IOC
  8. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama arkive
  9. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama CRC
  10. ^ a b c d e Witherby, H. F., penyunting (1943). Handbook of British Birds, Volume 3: Hawks to Ducks. H. F. and G. Witherby Ltd. m/s. 125–133.
  11. ^ Seaberg, Maureen; Main, Douglas (21 September 2020). "Gray heron seen for first time in contiguous U.S., as species expands range". National Geographic. Dicapai pada 24 September 2020.
  12. ^ Bjedov, Dora, et al. "The first analysis of heavy metals in the Grey Heron Ardea cinerea feathers from the Croatian colonies." Larus-Godišnjak Zavoda za ornitologiju Hrvatske akademije znanosti i umjetnosti 55.1 (2020): 7-25.
  13. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Pistorius2008
  14. ^ "Ardea cinerea (Grey heron)". Animal Diversity Web.
  15. ^ Giles, N. "Summer diet of the grey heron." Scot. Birds 11 (1981): 153-159.
  16. ^ SAWARA, Yuji, Muneki SAKUYAMA, and Gen DEMACHI. "Diets and foraging site utilization of the Grey Heron, Ardea cinerea, in the breeding season." Japanese Journal of Ornithology 43.2 (1994): 61-71.
  17. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama AvianWeb
  18. ^ Wilkinson, Richard H. (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. Thames & Hudson. m/s. 212. ISBN 978-0-500-05120-7.
  19. ^ Jonson, Ben; Orgel, Stephen (1969). The Complete Masques. Yale University Press. m/s. 553. ISBN 978-0-300-10538-4.
  20. ^ Bardsley, Ch. W. E. (1901). A dictionary of English and Welsh surnames. Henry Frowde. m/s. 377. ISBN 978-5-87114-401-5.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Senarai burung Burung merpati
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z