Pergi ke kandungan

Zaman Kegemilangan Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Zaman Keemasan Islam)
Pemerintahan Sejarah Islam, 622–750.
  Pemerintahan di bawah Nabi_Muhammad_s.a.w., 622-632
  Pemerintahan di bawah Khulafa al-Rasyidin, 632-661
  Pemerintahan di bawah Kerajaan_Bani_Ummaiyyah, 661-750
Dirham perak bertarikh 729 M.
Alhambra Granada, Sepanyol.
Gambar foto tentang manuskrip zaman pertengahan oleh Qutb al-Din al-Shirazi (1236–1311), seorang ahli falak Parsi. Imej ini menggambarkan model planet kisar.
Rencana ini merupakan rencana kecil Sejarah Islam dan Sains Islam.

Semasa Zaman Kegemilangan Islam (750 - 1250punda: zaman Kerajaan Abbasiyah; bahasa Arab:حضارة إسلامية), para ahli falsafah dan ahli sains, serta jurutera-jurutera dari dunia Islam banyak menyumbang kepada teknologi. Mereka melakukan ini dengan dua cara, iaitu dengan mengekalkan tradisi-tradisi yang awal, serta dengan menambahkan rekaan-rekaan dan pembaharuan-pembaharuan mereka sendiri. Pencapaian-pencapaian saintifik dan intelektual mekar pada zaman keemasan itu.


Kerajaan Islam mewarisi "pengetahuan dan kemahiran Timur Tengah kuno, Yunani, Parsi dan India. Mereka menambah pembaharuan penting dari luar, contohnya seperti penomboran kedudukan dari India," tulis Bernard Lewis dalam bukunya What Went Wrong? (Apakah Silapnya?).

Satu lagi pembaharuan ialah kertas - asalnya rahsia yang dijaga ketat orang Cina. Seni pembuatan kertas diperolehi daripada dua tawanan di Pertempuran Talas (751), hingga kilang kertas dapat dibina di Samarkand dan Baghdad. Orang Arab memperbaiki teknik orang Cina dengan menggunakan kain linen berbanding kulit pokok mulberi.

Kebanyakan pembelajaran dan kemajuan ini dapat dikaitkan dengan geografi. Sebelum kedatangan Islam lagi, bandar Makkah telah menjadi pusat perdagangan di Semenanjung Arab dan Nabi Muhammad juga merupakan saudagar. Tradisi mengerjakan haji ke Mekah menyebabkannya menjadi pusat pertukaran idea dan barangan. Pengaruh yang dimiliki saudagar Muslim ke atas jalan perdagangan Afrika-Arab dan Arab-Asia amat besar. Hasilnya, tamadun Islam tumbuh dan berkembang di atas ekonomi saudagarnya, berbeza dengan tamadun Kristian, China dan India yang masyarakatnya berasaskan kepemilikan tanah pertanian oleh bangsawan. Para saudagar membawa barangan dan kepercayaan mereka ke China (menyebabkan ramai Cina Muslim ~ 37 juta, sebahagian besarnya orang Uyghur Turki yang tanahnya dirampas China), India, Asia Tenggara, dan kerajaan di barat Afrika dan kembali dengan pembaharuan baru. Saudagar-saudagar ini menggunakan kekayaan mereka untuk melabur dalam industri tekstil dan perladangan.

Kesenian Islam

[sunting | sunting sumber]
Manuskrip Seljuk dari abad ke-13 yang menggambarkan Socrates (Soqrāt) berbincang dengan murid-muridnya.

Zaman Keemasan kesenian Islam berlangsung dari tahun 750 hingga abad ke-16, apabila seni tembikar, kaca, seni logam, tekstil, manuskrip berhias dan pertukangan kayu berkembang maju. Sepuh berkilat merupakan sumbangan Islam yang terunggul kepada seni tembikar. Manuskrip berhias menjadi suatu seni yang penting dan amat dihormati, dan lukisan potret kenit berkembang maju di Parsi. Seni khat, salah satu aspek tulisan Arab yang penting, berkembang dalam manuskrip dan perhiasan seni bina.

Hanya dalam bidang falsafah para cendekiawan dilarang mengemukakan idea-idea bukan ortodoks. Bagaimanapun, ahli sains Parsi, Ibnu Sina dan Ibnu Rushd memainkan peranan yang utama dalam penyimpanan karya-karya Aristotle yang idea-ideanya menguasai pemikiran bukan agama bagi dunia-dunia Kristian dan Muslim. Mereka juga menyerap idea-idea dari China dan India, dan menambahkannya pada pengetahuan mereka yang luas yang diperoleh daripada kajian-kajian sendiri. Tiga orang pemikir spekulatif, al-Kindi, al-Farabi, dan Ibnu Sina, menggabungkan Aristotelianisme dan Neoplatonisme dengan idea-idea lain yang diperkenalkan melalui Islam.

Di Sepanyol, kesusasteraan falsafah Arab diterjemahkan kepada bahasa Ibrani, Latin, dan Ladino. Penterjemahan falsafah ini telah menyumbang kepada kemajuan falsafah Eropah moden. Tokoh-tokoh utama dalam Zaman Keemasan termasuk:

Perbezaan antara sikap ahli-ahli sains Byzantine dengan sikap orang-orang Muslim zaman pertengahan yang setara adalah nyata. Byzantium tidak menambah atau hanya menambah sedikit pengetahuan baru kepada sains perubatan Yunani-Rom. Ini mungkin boleh dijelaskan melalui fakta bahawa perkembangan permulaan Islam ke luar Semenanjung Arab telah menawan tiga buah kota Byzantine yang paling produktif: Iskandariah, Carthage dan Antioch. Akibat kehilangan kerajaan pusat yang amat mahir, serta serangan-serangan Arab yang berterusan terhadap Anatolia, kebanyakan kota Byzantine tidak dapat menyokong seni dan sains. Banyak penduduk kembali beramai-ramai ke perladangan sara diri. Kebanyakan ahli sains Islam yang paling terkenal hidup pada Zaman Keemasan Islam. Antara pencapaian-pencapaian cendekiawan Muslim semasa zaman ini ialah rekaan trigonometri sfera, kemajuan dalam bidang optik (lihat Ibnu al-Haitham), serta kemajuan dalam bidang astronomi (termasuklah pembinaan balai cerap pertama serta penciptaan astrolab).

Perubatan

[sunting | sunting sumber]

Perubatan merupakan sebahagian utama kebudayaan Islam zaman pertengahan. Bergerak balas kepada keadaan masa dan tempat, pakar perubatan dan cendekiawan Islam mengembangkan sebuah kesusasteraan perubatan yang besar dan rumit yang memeriksa dan mensintesiskan teori dan amalan perubatan (dari arkib digital Perpustakaan Perubatan Negara Amerika Syarikat).

Perubatan Islam dikembangkan berdasarkan tradisi, terutamanya pengetahuan teori dan amalan yang dikembangkan di Parsi, Yunani, dan Rom. Bagi cendekiawan-cendekiawan Islam, Galen dan Hippocrates merupakan tokoh-tokoh cemerlang yang berwibawa, diikuti oleh cendekiawan-cendekiawan Yunani di Iskandariah. Para cendekiawan Islam menterjemahkan karya-karya Yunani kepada bahasa Arab dan kemudian menghasilkan pengetahuan perubatan yang baru berdasarkan teks-teks tersebut. Untuk membolehkan tradisi Yunani lebih senang difahami dan diajar, cendekiawan-cendekiawan Islam menyusun pengetahuan perubatan Yunani-Rom yang luas dan kekadang tidak tekal dengan lebih sistematik melalui penulisan ensiklopedia dan ringkasan (dari arkib digital Perpustakaan Perubatan Negara AS).

Melalui terjemahan-terjemahan Arab inilah dunia Barat mendapat tahu tentang perubatan Yunani, termasuk karya-karya Galen dan Hippocrates. Karya-karya menyeluruh seperti Daftar Karya Perubatan yang ditulis oleh Ibnu Sina dan yang diterjemahkan kepada bahasa Latin dan disebar dalam bentuk manuskrip dan bercetak ke seluruh Eropah mendapat pengaruh yang sama, jika bukan lebih besar, di Eropah Barat. Pada abad ke-15 dan ke-16 sahaja, Daftar Karya Perubatan telah diterbitkan melebihi 35 kali (dari arkib digital Perpustakaan Perubatan Negara AS).

Di dalam dunia Islam zaman pertengahan, hospital-hospital telah dibina di semua kota yang utama; umpamanya di Kaherah, Hospital Qalawun mempunyai kakitangan-kakitangan yang termasuk pakar perubatan, ahli farmasi, dan jururawat, yang boleh merawat 8,000 orang pesakit. Terdapat juga dispensari dan kemudahan penyelidikan yang menyebabkan kemajuan-kemajuan dalam pemahaman penyakit berjangkit, serta penyelidikan optik dan mekanisme mata. Malah doktor-doktor Islam telah membuang katarak dengan jarum-jarum geronggang lebih 1,000 tahun sebelum orang-orang Barat berani mencuba tugas ini.

Perdagangan dan kehidupan bandar

[sunting | sunting sumber]

Sejak awal-awal lagi, asas tamadun Islam adalah berdasarkan kehidupan bandar dan perdagangan, dan pertambahan penduduknya dan kemajuan pertaniannya dicerminkan melalui rangkaian perdagangan sedunianya. Bandar-bandar Islam yang berkembang secara tidak terkawal menghasilkan jalan-jalan yang sempit serta berliku-liku di bandar dan kawasan-kawasan perumahan dipisahkan oleh perbezaan latar belakang etnik dan hubungan keagamaan. Kualiti-kualiti ini ternyata cekap untuk menghantar barangan ulang-alik dari pusat komersil besar sambil mengekalkan kebersendirian yang dititikberatkan oleh kehidupan keluarga Islam. Subbandar-subbandar yang berada di sebelah luar dinding kota terdiri dari kawasan perumahan komuniti orang-orang kaya hingga ke kawasan separa sesak kelas pekerja. Kawasan pembuangan sampah bandar terletak jauh dari bandar, begitu juga dengan tapak perkuburan yang sering dijadikan kediaman untuk penjenayah dan pelacur. Satu tempat menunaikan solat dapat dijumpai berhampiran salah satu pintu-pintu utama untuk perayaan keagamaan dan pelaksanaan hukuman bunuh awam. Serupa dengannya, tempat latihan tentera juga dapat dijumpai berdekatan satu pintu utama.

Walaupun berbeza dari segi rupa muka bumi akibat iklim dan tradisi setempat sebelumnya, bandar-bandar Islam hampir selalu dikuasai kelas pertengahan saudagar. Kesetiaan sesetengah orang terhadap kawasan kejiranan mereka amat kuat, membayangkan etnik dan agama, manakala rasa kewarganegaraan kadang kala bukan sesuatu yang biasa. Keluarga luas menyediakan asas untuk program sosial, urusan perniagaan dan perundingan dengan pihak berkuasa. Sebahagian unit ekonomi dan sosial ini sering kali merupakan penyewa kepada bangsawan kaya.

Kuasa negeri biasanya tertumpu di Dar al Imara iaitu pejabat gabenor di dalam istana. Istana-istana ini mencuar tinggi melampaui kota yang dibina hasil daripada ribuan tahun penempatan manusia. Fungsi utama gabenor kota adalah untuk memberi perlindungan dan mengekalkan keteraturan undang-undang. Sistem ini adalah bertanggungjawab atas berlakunya percampuran pemerintahan autokrasi dengan pemerintahan autonomi di dalam kota. Setiap kawasan perumahan dan kebanyakan blok rumah pangsa besar telah melantik seorang wakil untuk berurusan dengan pihak berkuasa bandaraya. Kawasan-kawasan perumahan ini juga dijangka untuk membentuk pemuda-pemudi mereka menjadi militia untuk melindungi kawasan perumahan mereka sendiri, dan juga sebagai bantuan kepada tentera profesional untuk mempertahankan kota secara menyeluruh.

Ketua sesebuah keluarga diberi kuasa dalam pengurusan rumah tangganya tetapi kadi atau hakim boleh membincangkan dan menyelesaikan masalah dalam isu permasalahan sesama keluarga dan dengan keluarga lain. Dua wakil kanan kuasa perbandaran ialah kadi dan muhtasib. Mereka bertanggungjawab atas kebanyakan isu termasuklah kualiti bekalan air, penyelengaraan jalan raya, mengawal peletusan wabak penyakit, mengawasi pasar-pasar, dan pelaksanaan upacara pengebumian.

Lagi satu aspek kehidupan bandar Islam ialah wakaf, sesuatu amal kebajikan keagamaan yang terus berurusan dengan kadi dan imam. Melalui derma, kebanyakan tempat mandi awam dan kilang dibina dan hasilnya digunakan untuk membiayai pendidikan serta membekalkan pengairan untuk dusun luar bandar. Mengikuti pengembangan, sistem ini diperkenalkan kepada masyarakat Eropah Timur oleh Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Kecuali semua yayasan agama atau kepercayaan yang tidak membayar perlu cukai dalam dunia Islam, orang awam perlu membayar cukai kepada majlis perbandaran, askar kepada pemerintah tertinggi dan tuan tanah kepada bendahari negeri. Cukai juga dikenakan keatas lelaki bujang sehingga dia berkahwin. Ini berbeza dengan zakat, zakat merupakan derma kebaikan yang wajib terhadap seseorang Muslim kepada golongan-golongan tertentu, manakala orang bukan Islam perlu membayar jizyah, seperti cukai kepala.

Binatang ternakan yang dibawa ke bandar untuk penyembelihan dihadkan pada kawasan di luar bandar sahaja, begitu juga dengan industri lain yang dianggap kurang bersih. Manakala barang berharga diletakkan berdekatan dengan pusat bandar. Hal ini menyebabkan penjual buku dan tukang emas tertumpu di sekeliling masjid utama di pusat bandar.

Persatuan-persatuan (seperti kesatuan pekerja yang melindungi hak pedagang) tidak diiktiraf secara rasmi oleh kota Islam zaman pertengahan, tetapi urusan perdagangan dikawal-selia oleh penyelia yang diiktiraf oleh majlis perbandaran. Setiap urusan perdagangan dijalankan dengan identiti tersendiri, ahli-ahlinya akan mengunjungi masjid yang sama, dan berkhidmat bersama dalam ketenteraan. Hamba pula kadang-kala diupah dalam perladangan tebu gula dan perlombongan garam, walau bagaimanapun terdapat juga hamba yang diupah lebih kepada menjadi pembantu di rumah atau askar upahan.

Teknologi dan perindustrian tamadun Islam amat maju sekali. Teknik penyulingan telah membantu meningkatkan mutu industri minyak wangi, terdapat juga bahan kimia sepuh seramik yang dibuat dengan giat untuk bersaing dengan seramik-seramik yang diimport daripada China. Pendekatan saintifik dalam bidang kaji logam memudahkan kerja menyerap dan meningkatkan mutu teknologi besi daripada India dan China. Eksport utama terdiri daripada perusahan dan perkilangan barangan mewah, seperti ukiran kayu, logam dan kaca, tekstil, dan seramik.

Sistem kontrak telah digunakan oleh pedagang-pedagang amat berkesan. Pedagang akan membeli dan menjual untuk komisen, dengan wang yang dilaburkan kepada mereka oleh pelabur-pelabur yang kaya, atau perkongsian perlaburan bersama beberapa pedagang, yang terdiri daripada Muslim, Nasrani, dan Yahudi. Baru-baru ini, dokumen-dokumen yang ditemui dalam tinggalan sinagog di Mesir menyatakan dengan terperinci tentang pedagang-pedagang dan kehidupan manusia yang gemilang pada zaman pertengahan di Timur Tengah. Perkongsian perniagaan dipupuk untuk tujuan usaha perniagaan komersil, dan ikatan yang erat antara pedagang-pedagang telah membolehkan rangkaian urusan perniagaan yang luas di tempat-tempat yang jauh. Rangkaian ini dibangunkan semasa wang boleh didebitkan di Baghdad dan dikreditkan di Sepanyol, mewujudkan sistem cek yang ada pada hari ini. Setiap kali barangan melalui bandar, barangan akan dikenakan cukai, hal ini meningkatkan harga barang dengan tinggi sebelum tiba ke destinasi akhir. Walau bagaimanapun, dalam dunia Islam ketika itu, umat Islam mempunyai sumber yang mencukupi tanpa bergantung kepada pasaran luar pada zaman ini.

Pengangkutan adalah mudah tetapi sangat berkesan. Setiap bandar mempunyai tempat di luar gerbang masuk untuk haiwan dihimpunkan, iaitu tempat pusat membeli-belah atau pasaraya di bandar dengan kemudahan gudang-gudang yang selamat, terdapat juga kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk pedagang-pedagang di bandar, di samping tempat-tempat untuk berurus niaga di sepanjang jalan perdagangan seperti rumah penginapan zaman pertengahan.

Selain daripada sungai Nil, Tigris dan Furat, sungai lain yang dilayari amat kurang, maka pengangkutan adalah tertumpu kepada pengangkutan laut. Sains-sains pengemudian telah dimajukan menggunakan sekstan asas yang dikenali sebagai kamal untuk mengukur ketinggian bintang, dan kompas magnet. Dengan penggunaan semua kelengkapan ini dengan bantuan peta, pelayar dapat melayari lautan berbanding daripada pelayaran sebelum ini yang hanya tertumpu pada persisiran pantai. Pelayar Muslim juga telah memperkenalkan kapal layar bertiang tiga kepada penduduk Mediterranean. Malah kapal layar (caravel) Christopher Columbus sebenarnya direka bentuk mengikut rekaan kapal layar orang Islam Andalusia. Terusan buatan untuk menghubungkan sungai Nil dengan Teluk Suez telah dibina, dan sebaliknya terusan ini juga menghubungkan laut merah dengan Mediterranean walaupun ia dinaiki lumpur beberapa kali.

Mengikut tradisi, Nabi Muhammad s.a.w. telah bernasihat kepada umatnya supaya "menuntut ilmu biarlah sampai ke negeri China". Tidak lama selepas kewafatan Muhammad s.a.w., iaitu ketika Zaman Keemasan Islam, telah wujud pengembaraan dan penghijrahan ke tempat yang jauh. Sebagai contoh, Ala'eddin, telah diberi penghargaan dalam sejarah rasmi dinasti Yuan China, kerana telah membina manjanik berpengimbang (counterweight trebuchet) untuk Kublai Khan. (lihat m.s. 119)

Umat Islam telah mempelajari teknik pembuatan kertas daripada China hasil daripada hubungan yang sedia terjalin ini, tetapi umat Islam telah membuat keputusan untuk menggunakan linen sebagai bahan mentah untuk membuat kertas berbanding daripada penggunaan kulit kayu mulberi, atau bahan organik yang lain. Pemindahan teknologi cina dan inovasi dalam penggunaan linen dalam kertas dapat membuat bahan tulis yang lebih murah dari segi ekonomi daripada penggunaan kayu pokok lontar (papyrus) yang mudah rosak. Daripada Islam juga, dunia mempelajari pembuatan kertas daripada bahan mentah linen (sumber diambil daripada arkib Perpustakaan Perubatan Negara AS).

Seni bina dan kejuruteraan

[sunting | sunting sumber]
Menara kembar Kharaghan yang dibina pada tahun 1067 mengandungi kubur putera-putera Seljuk.

Pembinaan Masjid Agung Samarra di Iraq yang disiapkan pada tahun 847 menggabungkan seni bina hipostail yang terdiri daripada baris-baris tiang yang menyangga sebuah tapak datar yang mempunyai menara pilin yang besar di atasnya.

Orang Moor memulakan pembinaan Masjid Agung Cordoba pada tahun 785 dan menandakan permulaan seni bina Islam di Sepanyol dan Afrika Utara. Masjid ini terkenal dengan gerbang-gerbang dalaman yang ketara. Seni bina Moor mencapai puncaknya dengan pembinaan Alhambra yang merupakan istana/kubu Granada yang indah dan mengagumkan, dengan ruang-ruang dalaman yang terbuka dan berangin dan yang dihias dengan warna merah, biru, dan emas. Dinding-dindingnya dihias dengan motif-motif dedaun, inskripsi-inskripsi Arab, dan reka-reka bentuk awan larat, dengan dinding-dindingnya dilitupi oleh jubin-jubin berkaca. Masjid Qolsharif di Rusia disiapkan sekitar tahun 1000. Ia masih lagi merupakan masjid yang terbesar di timur Eropah kini.

Satu lagi subgaya yang tersendiri ialah seni bina Empayar Mughal di India pada abad ke-16. Menyepadukan unsur-unsur Islam dan Hindu, maharaja Akbar membina sebuah kota diraja di Fatehpur Sikri yang terletak 42 km (26 batu) di barat Agra pada akhir dekad 1500-an. Makam Taj Mahal pula dibina pada 1650-an.

Serangan Mongol

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1206, Genghis Khan mengasaskan sebuah dinasti yang kuat di kalangan orang-orang Mongol di Asia Tengah. Semasa abad ke-13, Empayar Mongol ini menakluk kebanyakan tanah Eurasia, termasuk kedua-dua negara China di timur dan kebanyakan kekhalifahan Islam lama (termasuk juga Rusia) di barat selepas serangan Baghdad oleh Hulagu Khan pada tahun 1258. Kemudian, pemimpin-pemimpin Mongol seperti Timur memusnahkan banyak kota, membunuh beratus-ratus ribu orang, dan melakukan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan terhadap sistem-sistem pengairan kuno di Mesopotamia. Tanah-tanah Muslim yang ditakluk oleh orang-orang Mongol kini menghadap timur laut ke laluan daratan ke China, dan tidak lagi menghadapi Mekah.

Akhirnya, kebanyakan orang Mongol yang menetap di Asia Barat dan Tengah memeluk Islam dan dalam banyak kes berasimilasi dengan berbagai-bagai orang Muslim Iran atau Turki. (Umpamanya, Ulugh Beg, salah seorang ahli astronomi awal yang terunggul, ialah cucu lelaki kepada Timur.) Kerajaan Turki Uthmaniyyah bangkit dari abu-abu tetapi secara teori, Zaman Keemasan sudah tamat.

Kemerosotan dan kejumudan

[sunting | sunting sumber]

Tamadun Islam yang pada mulanya kreatif dan dinamik dalam menangani pelbagai isu, terkapai-kapai dalam menghadapi cabaran dan arus deras perubahan pada abad ke-12 dan 13 sehingga akhir zaman pemerintahan Abbasiyyah. Walaupun terdapat usaha pemulihan semasa zaman pemerintahan Uthmaniyah, kemerosotan berterusan sehingga membawa kepada kejatuhan dan kejumudan pada abad ke-20.

Sebab utama kemerosotan adalah: salah urus politik semasa zaman awal kekhalifahan (abad ke-10 dan seterusnya), penutupan pintu ijtihad (abad ke-12), penekanan kepada taqlid (abad ke-13), pencerobohan asing (tentera salib - abad ke-11, mongol - abad ke-13, Reconquista - abad ke-15, dan kuasa eropah - abad ke-19), dan juga kerana faktor ekonomi dan politik[1].

Toleransi kepada idea-idea yang berbeza juga berkurangan dengan beberapa pusat pendidikan agama secara sistematik melarang perbincangan falsafah dalam Islam dan perdebatan ilmu kalam juga ditinggalkan selepas abad ke-13.

Institusi ilmu seperti madrasah, perpustakaan (termasuk Baitul Hikmah), balai cerap dan hospital juga dimusnahkan oleh kuasa asing seperti tentera salib dan mongol menyebabkan tradisi ilmu tidak lagi digalakkan di kawasan yang dimusnahkan[2] Bukan sahaja tiada alat baru penerbitan diterima, tetapi juga terdapat buta huruf yang tinggi di kawasan yang musnah terutamanya di Mesopotamia.

Sudut pandangan bertentangan

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah pengulas telah mengurangkan kepentingan Zaman Keemasan sehingga memanggilnya sebagai mitos yang bertujuan untuk mengalih perhatian daripada Islam moden. Buku Srdja Trifkovic, Pedang Nabi, amat kritis terhadap Zaman Keemasan Islam. Namun tidak dapat dipertikaikan bahawa rejim-rejim Islam, seperti Kerajaan Bani Abbasiyyah Baghdad di bawah Harun ar-Rashid atau al-Andalus, adalah amat kaya berbanding dengan jiran-jiran mereka, serta mengekalkan banyak falsafah Yunani dan menyampaikan idea-idea Timur seperti konsep sifar ('0') yang dipercayai berasal dari India. (Lihat juga: Angka Arab). Bagaimanapun, sesetengah pengkritik memperdebatkan bahawa kesemua ini berkembang maju walaupun terdapat agama Islam, dan bukan disebabkannya.

Mereka mendakwa bahawa kekhalifahan dan kerajaan-kerajaan Islam yang lain menekankan tafsiran tegar terhadap kepercayaan ortodoks al-Quran dan menggunakan falsafah dan sains Yunani semata-mata untuk menyokong kuasa mereka. Salah satu contoh ialah pengolahan Ibnu Rushd (Averroës) yang mencuba menyelaraskan penulisan-penulisan Aristotle dengan Islam (walaupun Ibnu Rushd masih dianggap sebagai seorang tokoh yang berwibawa dalam salah satu daripada empat aliran fikiran klasik hukum Islam) dan yang diusir buat suatu tempoh yang singkat.

  • Donald R. Hill, Islamic Science And Engineering, Percetakan Universiti Edinburgh (1993), ISBN 0-7486-0455-3

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Templat:Pengajian Islam

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]