Array Solutions

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 11

Jurnal Arkeologi Malaysia

September 2018, Vol. 31, No. 2, hlm. 63-73


ISSN 0128-0732 e-ISSN 2590-4302
Diterbitkan oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia

TINJAUAN UMUM BERKENAAN PENEMUAN ARCA


AGAMA DI KEDAH TUA
(GENERAL OVERVIEW ON FINDINGS OF RELIGIOUS
SCULPTURES IN KEDAH TUA)

Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli


Abstrak

Kedah Tua merupakan sebulah pelabuhan dagang yang wujud di Lembah Bujang
dari kurun ke-2 hingga ke-14 Masihi. Perkembangan Kedah Tua telah dibuktikan
dengan pelbagai bentuk penemuan arkeologi seperti Candi Hindu-Buddha,
Prasasti, Seramik dagang, tembikar tanah dan manik. Salah satu aspek kajian
penting di Lembah Bujang adalah penelitian terhadap arca-arca Hindu-Buddha
yang ditemui. Arca-arca yang ditemui di Lembah Bujang terdiri daripada imej
dewa-dewi seperti Ganesha, Durga, Buddha, serta para Bodhisatva seperti Hariti
dan Bhrikuti. Penemuan ini memperlihatkan kepelbagaian daripada segi mazhab
agama Hindu dan Buddha yang wujud di Kedah Tua, yang secara langsung
membuktikan peranan Kedah Tua, bukan sahaja sebagai sebuah pusat
perdagangan antarabangsa, bahkan juga sebagai pusat perkembangan kebudayaan
yang penting. Makalah ini memberi tinjauan umum tentang penemuan arca di
Lembah Bujang.

Kata kunci: arca, Kedah Tua, Hindu-Buddha, Boddisatva, Hariti, Durga

Abstract

Kedah Tua is a trading port kingdom that exists from the 2nd to the 14th century AD
situated on the west coast of the Malay Peninsula. The development of Kedah Tua port
kingdom has been proven by various forms of archaeological finds such as Hindu-Buddhist
temples, inscriptions, trade ceramics, earthenware, beads and various types of artifacts
associated with trade and Hindu-Buddhist religion. One of the key aspects of an important
study in Old Kedah is the study of the Hindu-Buddha statues. The sculptures found in the
Bujang Valley consist of images of deities such as Ganesha, Durga, Buddha, and
Bodhisattvas like Hariti and Bhrikuti. This discovery demonstrates the diversity in terms of
the Hindu and Buddhist religion in the kingdom of Kedah Tua, which directly proves the
role of Old Kedah, not only as an international trade center, but also as an important center
for cultural development. This paper provides an overview of the sculptors in Bujang
Valley.

Keywords: sculpture, Kedah Tua, Hindu-Buddha, Boddisatva, Hariti, Durga

Pengenalan

Kedah Tua merupakan sebuah kota pelabuhan yang wujud di Lembah Bujang, yang merangkumi
kawasan dari Sungai Sala di Utara, Gunung Jerai, Lembah Sungai Merbok-Muda, hingga ke Cheruk
64 Jurnal Arkeologi Malaysia 31(2): 63-73

Tokkun di Selatan. Kedah Tua terdiri daripada beberapa buah penempatan yang memiliki ciri
kebudayaan dan fungsi yang berbeza-beza, seperti Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas,
Simpor Tambang, Kampung Sireh, Jeniang dan Sungai Batu. Dari kurun ke-2 hinga ke-14 Masihi,
Kedah Tua berperanan sebagai salah sebuah pusat perdagangan yang penting, sepertimana yang
telah digambarkan dalam rekod-rekod India, Arab dan China (Wheatley 1964). Hal ini disahkan
dengan penemuan arkeologi di Lembah Bujang, yang terdiri daripada candi Hindu-Buddha, prasasti,
pelbagai jenis seramik dari China, Timur Tengah dan Thiland, tembikar tanah dan manik tempatan
dan juga luar.

Penemuan arca merupakan salah satu jumpaan penting di Lembah Bujang yang menyumbang
dalam memberi gambaran mengenai latar belakang agama sebahagian daripada masyarakat yang
wujud di Kedah Tua. Di samping itu, penelitian terhadap aspek ikonografi, serta langgam kesenian
yang wujud terhadap arca-arca tersebut dapat menjawab persoalan mengenai pentarikhan tapak
arkeologi dan hubungan antara tapak arkeologi dengan dunia luar. Hal ini kerana Kedah Tua
diketahui berperanan sebagai sebuah pusat entrepôt sentiasa dilawati oleh para pedagang asing.
Kebanyakan arca yang ditemui adalah di sekitar kawasan Kampung Sungai Mas ataupun Pengkalan
Bujang, iaitu dua buah pelabuhan yang paling besar di Kedah Tua dari kurun ketujuh hingga ke-13
Masihi. Walaupun perhatian terhadap penemuan arca di Lembah Bujang telah diberikan dalam
kajian Low (1848), Evans (1926), Wales (1940 & 1947) Hergoualch (1992), dan Mohd Supian Sabtu
(2002). Penelitian terhadap aspek ikonografi arca di Lembah Bujang sehingga kini cuma telah diberi
perhatian khusus oleh Nik Hassan Shuhaimi (Nik Hassan dan Othman 1992). Makalah ini akan
memberi tinjauan umum kepada arca-arca yang ditemui di Lembah Bujang serta konteks
arkeologinya.

Arca Durga mengalahkan Mahiśasura

Arca Durga mengalahkan Mahisasura (foto 1) telah ditemui dan diterbitkan oleh Evans (1926) dan
seterusnya dikaji oleh Nik Hassan Shuhaimi (1984: 398). Arca ini menggambarkan peristiwa dewi
Durgā mengalahkan Mahiśasura, iaitu raksaksa yang menyerupai kerbau. Arca tersebut diukir
daripada batu granit dan memiliki ketinggian 67 cm. Ukiran arca yang kasar serta dengan
keadaannya yang amat haus, adalah amat sukar untuk menentukan ciri-ciri ikonografinya secara
mendalam. Walau bagaimanapun, kedua-dua tangannya dapat dilihat, dengan salah satunya
memegang sabit dan memijak kepala seekor kerbau. Berdasarkan kepada Evans, imej tersebut
memaparkan Dewi Durgā yang merupakan isteri kepada Dewa Śiva membunuh Mahiśasura. Ciri
ikonografinya adalah selari dengan arca Durgā Mahiṣāmardinī yang disembah di Timur Laut India.
Arca tersebut boleh dipertarikhkan dari kurun ke-11 hingga ke-13 Masihi (Nik Hassan Shuhaimi
1984: 399).

Foto 1. Arca Durgā MahiŚasura Mardihini


Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli 65

Arca Ganeśa

Ganeśa merupakan salah satu dewa dalam mazhab Śaivisme, yang merupakan anak kepada Dewi
Parvati dan Dewa Śiva. Ia dianggap sebagai dewa yang menghapuskan segala penghalang, dan
antara dewa yang paling banyak disembah dalam agama Hindu. Arca Ganeśa telah ditemui di Tapak
4 (Kampung Sungai Batu) (foto 2) dan Tapak 19 (Pengkalan Bujang) (foto 3). Arca dari Pengkalan
Bujang tersebut dibuat dari tanah liat, dengan ketinggian 50 cm (Nik Hassan Shuhaimi 1984: 401).
Arca tersebut berada dalam keadaan yang tidak lengkap pecah, dengan kepalanya, bahagian hujung
satu tangan, dan tiga tangan yang lain telah hilang. Arca ini diperhatikan memakai rantai mutiara,
dan gelang. Ganesa ini duduk pada posisi mahārājalīlāsana. Berdasarkan kepada penemuan seramik
yang wujud, kemungkinan besar arca ini boleh dipertarikhkan pada kurun ke-10 hinga ke-11 Masihi.
Bagi Arca dari Kampung Sungai Batu pula (Wales 1940), ia terdiri daripada Batu Sungai semulajadi
yang diukir secara kasar dengan imej kepala, tangan dan kaki Ganeśa. Arca ini dapat ditarikhan dari
kurun ke-6 hingga ke-7 Masihi.

Foto 2. Ganeśa dari Pengkalan Bujang (Tapak 19)


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang
66 Jurnal Arkeologi Malaysia 31(2): 63-73

Foto 3. Ganeśa dari Kampung Sungai Batu (Tapak 4)


Sumber: (Wales 1940).

Arca kepala Buddha Kampung Sungai Mas

Arca (foto 4) ini telah ditemui secara tidak sengaja ketika kerja penggalian perigi dilakukan di
Kampung Sungai Mas. Kepala Buddha ini memiliki saiz manusia sebenar diperbuat dari batu jenis
syis. Arca memiliki kesenian Anuradhapura, Sri Lanka yang boleh dipertarikhkan dari kurun ke-7
hingga ke-8 Masihi (Jacq-Hergoualc’h 1992: 225). Pentarikhan tersebut merupakan tarikh seni arca
tersebut mula muncul di Sri Lanka. Arca ini berkemungkinan sampai di Kedah Tua pada tarikh yang
sama berdasarkan kepada asosiasi dengan penemuan seramik-seramik dari Timur Tengah yang
boleh ditarikhkan dari kurun ke-7 hingga ke-9 Masihi. Walau bagaimanapun, penelitian dari segi
ikonografi adalah amat terhad memandangkan arca tersebut berada dalam keadaan yang amat rosak,
terutamanya pada bahagian muka arca tersebut. Arca ini kini dipamerkan di Muzium Arkeologi
Lembah Bujang, Merbok.

Foto 4. Pecahan Kepala Buddha


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli 67

Arca Buddha berdiri Kampung Pendiat

Arca Buddha Berdiri (foto 5) ditemui oleh Quaritch-Wales dan Dorothy Wales pada awal 1940-an
di Kampung Pendiat berdekatan dengan tapak 16A (Wale 1947). Arca tersebut berasosiasi dengan
runtuhan candi serta penemuan seramik. Arca tersebut kini berada di bawah simpanan Raffles
Museum di Singapura. Arca Buddha Berdiri diperbuat daripada gangsa dan memiliki ketinggian 21.6
cm. Tangan kanan arca tersebut berada pada posisi varadamudrā. Varadamudrā merupakan salah
satu posisi tangan yang melambangkan pemberian restu oleh Buddha kepada pengikutnya. Arca
tersebut berada pada posisi uttarāsaṅga, dengan tangan kiri memegang hujung uttarāsaṅga tersebut.
Uttarāsaṅga merupakan sejenis jubah yang dipakai oleh para sami untuk menutupi lapisan jubah
pertama yang dikenali sebagai antaravasaka. Uttarāsaṅga merupakan lapisan jubah kedua yang
digunakan untuk menutup bahu si pemakai. Arca tersebut memiliki kesenian Gupta dari aliran
Sarnath, dan dapat dipertarikhkan dari kurun ke-6 hingga ke-7 Masihi (Nik Hassan Shuhaimi 1984:
255). Artifak tersebut cuma berasosiasi dengan penemuan tembikar tanah dan bekas runtuhan candi
laterit.

Foto 5. Arca Buddha Berdiri


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Arca Terracota Pengkalan Bujang I dan II

Arca Terracota Pengkalan Bujang I (foto 5) ditemui hasil daripada ekskavasi di Pengkalan Bujang,
iaitu di tapak 21-22 dan kini berada di bawah simpanan Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Arca
tersebut ditemui berasosiasi dengan runtuhan candi tapak 21-22 yang dipercayai merupakan stupa
agama Buddha, dan memiliki unsur-unsur kesenian Cola. Arca tersebut memiliki saṅghāti pada bahu
kiri. Saṅghāti adalah lapisan ketiga jubah dan lapisan paling luar yang menutupi Uttarāsaṅga. 369
Bhumisparśamudrā merupakan gaya tangan yang menyentuh bumi. Ia berada pada memiliki posisi
duduk India dan Sri Langka, dengan tangan kanan pada posisi bhumisparśamudrā, dan tangan kiri
di atas ribanya. Arca tersebut duduk bersila di atas padmāsana, iaitu takhta berbentuk bunga teratai,
yang memiliki tingkat-tingkat berganda, serta memiliki uṣṇiṣa yang rendah. Berdasarkan kepada ciri-
ciri ikonografi yang wujud seperti kaki kanan dilipat ke atas kaki kiri dengan tapak kaki kiri
menghala ke langit, arca tersebut dapat dipertarikhkan dari kurun ke-10 hingga ke-11 Masihi (Nik
Hassan Shuhaimi & Othman 1992). Pentarikhan tersebut adalah konsisten dengan penemuan
seramik Sung di Pengkalan Bujang yang boleh ditarikhkan dari kurun ke-10 hingga ke-13 Masihi.
68 Jurnal Arkeologi Malaysia 31(2): 63-73

Foto 5. Arca Terracota Pengkalan Bujang I


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Arca Terracota Pengkalan Bujang II (foto 6) ditemui di Pengkalan Bujang hasil


daripada ekskavasi tapak 21-22. Arca tersebut ditemui berdekatan dengan Arca Terracota
Pengkalan Bujang I. Ia berada pada posisi duduk cara India selatan dengan kaki kanan dilipat
keatas kaki kiri, dan duduk diatas takhta. Uṣṇiṣa arca adalah rendah, dan tangan kiri berada
pada posisi bhumisparśamudrā dan tangan kanan berada di atas paha (Nik Hassan Shuhaimi
& Othman 1992). Muka arca tersebut bersifat bulat dan hampir sama dengan Arca
Pengkalan Bujang I. Arca tersebut dipertarikhkan pada sekitar kurun ke-10 hingga ke-11
Masihi berdasarkan dengan asosiasi penemuan seramik Sung di tapak yang sama.

Foto 6. Arca Terracota Pengkalan Bujang II


Sumber: (Jacq-Hergoualc’h 1992)
Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli 69

Arca Boddhisattva Pengkalan Bujang I dan II

Arca Boddisattva (foto 7) Pengkalan Bujang ditemui di tapak 21 Pengkalan Bujang. Arca tersebut
diperbuat daripada tanah liat yang dikeringkan dengan cahaya matahari dan memiliki ketinggian 4
cm. Ia berada pada posisi duduk lalitāsana di atas padmāsana. Tangannya berada pada posisi
dharmacakramudrā. Wujud beberapa kuntum bunga teratai yang belum kembang. Arca tersebut
memiliki kesenian India Selatan dan boleh dipertarikhkan dari kurun ke-10 hingga ke-11 Masihi
(Nik Hassan Shuhaimi 1984: 328-329). Sehingga kini, identiti Bodhisatva tersebut masih belum
dapat ditentukan kerana ciri ikonografi masih belum dapat ditafsir dengan jelas.

Foto 7. Archa Boddhisatva Pengkalan Bujang 1


Sumber : (Nik Hassan Shuhaimi dan Othman 1992)

Arca gangsa (foto 8) tersebut dikenali sebagai bhṛkuti (Dewi berkerut dahi) dan
diklasifikasikan sebagai salah seorang Boddhisattva. Ia merupakan salah satu Dewi yang disembah
di Tibet, dan dianggap sebagai kelahiran semula dari Dewi Tara dalam agama Buddha Mahayana.
Walau bagaimanapun, disebabkan oleh saiznya yang kecil, adalah agak sukar untuk menganalisis
arca tersebut, terutamanya untuk mengamati alatan yang dipegang. Nik Hassan Shuhaimi
berpendapat bahawa ia memiliki gaya seni India Selatan (Nik Hassan Shuhaimi & Othman 1992:
58). Walau bagaimanapun, tafsiran ini masih boleh diperdebatkan, kerana diketahui bahawa
penyembahan Dewi ini cuma popular di sekitar kawasan Tibet. Keberadaan dewi tersebut di Kedah
Tua adalah tidak mengejutkan kerana Atiśa Dīpaṃkara Śrījñāna yang menyebarkan agama Buddha
Vajrayana dan Mahayana pada kurun ke-11 Masihi dari Tibet ke Srivijaya pernah sampai ke Kedah
Tua. Hal ini adalah konsisten dengan pentarikhan arca tersebut, iaitu juga pada kurun ke-10/11
Masihi (Nik Hassan Shuhaimi 1984: 398)
70 Jurnal Arkeologi Malaysia 31(2): 63-73

Foto 8. Arca Boddhisatva Pengkalan Bujang II

Arca Buddha berdiri Pengkalan Bujang

Arca Buddha berdiri (foto 9) tersebut ditemui di Pengkalan Bujang, di tapak 21-22. Arca tersebut
berbentuk relief. Arca tersebut tidak dapat dianalisis secara teliti memandangkan arca tersebut
berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan pecah, di samping memiliki seni pembuatan yang
agak kasar (Nik Hassan Shuhaimi & Othman 1992: 59). Walau bagaimanapun, kemungkinan besar
arca ini dapat dipertarikhkan dari kurun ke-10 hingga ke-11 Masihi berdasarkan kepada asosiasi
penemuan seramik zaman Dinasti Sung di tapak 21-22.
Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli 71

Foto 9. Arca Buddha Berdiri Pengkalan Bujang


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Arca Hariti

Arca Hariti (foto 10) ditemui di Kampung Sungai Mas secara tidak sengaja apabila kerja-kerja
penggalian tali air dijalankan (Nik Hassan Shuhaimi 1984: 354). Dalam tradisi agama Buddha, Hariti
merupakan satu semangat jahat, yang berubah menjadi Dewi disebabkan oleh ajaran Buddha. Dewi
ini memiliki peranan sebagai pelindung kepada kanak-kanak, dan banyak disembah di Tibet dan
India Utara. Arca Hariti ini ditemui pada awal 1980-an dan kini berada di bawah simpanan Muzium
Arkeologi Lembah Bujang. Ia diperbuat dari tanah liat dan memiliki ketinggian 21.5 cm.
Berdasarkan ciri ikonografi yang wujud, kemungkinan ia merupakan arca dewi Hariti, salah seorang
Boddhisattva. Ia dapat dipertarikhkan dari kurun ke-7 hingga ke-9 Masihi. Peninggalan arca Hariti
paling banyak ditemui di sekitar Barat Laut Pakistan dan Afghanistan, serta Tibet. Penemuan Hariti
di Lembah Bujang membuktikan kedudukan kawasan ini sebagai pusat perdagangan, yang menjadi
tempat pertemuan para pegangan dan pelayar yang memiliki kepercayaan yang berbeza-beza.
Keberadaan Arca Hariti di Lembah Bujang kemungkinan memiliki konteks yang sama dengan
penemuan arca Bhṛkuti, yang berkaitrapat dengan penyebaran Mazhab Vajrayana oleh Atiśa
Dīpaṃkara Śrījñāna.

Foto10. Dewi Hariti


Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang
72 Jurnal Arkeologi Malaysia 31(2): 63-73

Perbincangan dan Kesimpulan

Kebanyakan arca yang ditemui seperti arca Buddha 16A, Boddhisattva Pengkalan Bujang, Bhrkuti
Pengkalan Bujang, Ganesa dan Hariti mempunyai saiz yang agak kecil dan mudah diangkut.
Sebahagian kecil arca seperti arca Buddha 16A, Kepala Buddha Sungai Mas, Bhrkuti dan
Boddhisattva Pengkalan Bujang memiliki ciri ikonografi yang kompleks serta memiliki bentuk
ukiran yang teliti dan arca-arca lain diperhatikan mempunyai pembuatan yang agak kasar.
Kebanyakan arca yang ditemui boleh ditarikhkan dari kurun ke-6 hingga ke-13 Masihi berdasarkan
kepada pertimbangan ikonografi dan artifak yang berasosiasi dengan arca yang ditemui. Bahan-
bahan utama yang digunakan untuk membuat arca termasuklah gangsa, terracota, granit dan batu
sabak. Walau bagaimanapun, diperhatikan bahawa arca-arca yang diperbuat dari granit dan tanah liat
yang merupakan sumber tempatan memiliki ciri pertukangan yang agak kasar. Di samping itu, tidak
seperti seni ikonografi Indo-Jawa, Indo-Khmer atau Indo-Cham, diperhatikan bahawa tiada
keseraga

Secara keseluruhan, data ikonografi Lembah Bujang boleh digarap dari beberapa aspek
seperti lokasi penemuan, saiz arca, ciri ikonografi, pentarikhan, dan bahan mentah. Aspek-aspek
data tersebut memberi gambaran umum mengenai persekitaran sosiobudaya di pelabuhan Kedah
Tua. Nisbah jumlah penemuan arca adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah penemuan
monumen dan seramik di Lembah Bujang. Dari segi lokasi penemuan arca, hampir kesemua arca
ditemui berasosiasi dengan penemuan monumen kecuali arca Hariti dan Kepala Buddha dari
Kampung Sungai Mas. Lokasi penemuan arca-arca tersebut kesemuanya tertumpu di kawasan
pesisir pantai dan lembah sungai iaitu bersamaan dengan lokasi penemuan candi-candi. Arca-arca
yang ditemui terdiri daripada arca Hindu dan Buddha. Kepelbagaian dari segi jenis arca yang
ditemui menunjukkan bahawa wujud beberapa mazhab berbeza bagi agama Hindu-Buddha di
Kedah Tua. Arca Bhrkuti dan Hariti dari Lembah Bujang yang dapat ditarikhkan pada sekitar kurun
ke-9 hingga ke-11 Masihi membuktikan keberadaan kepercayaan agama Buddha Vajrayana dari
India Utara dan Tibet, yang dibawa oleh Atiśa Dīpaṃkara Śrījñāna pada sekitar jangkamasa waktu
yang sama.

Rujukan

Adi Taha. (1983). “Recent Archaeological Discoveries in Peninsular Malaysia 19721982”, Journal of
the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, LVI, 1, hlm. 47-63.
Adi Taha. (1987). “Recent Archaeological Research in Peninsular Malaysia 19821975”, dalam
Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, LX, 1, hlm 27-44.
Adi Taha. (1991). “Recent Archaeological Discoveries in Peninsular Malaysia”, Journal of the
Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, LXIV, 1, hlm. 75-96.
Evans, I. H. N. (1926). “Results of an Expedition to Kedah”, Journal of the Federated Malay States
Museums , XII, 3, hlm. 73-82.
Jacq Hergoualc‟h, M. (1992). La Civilisation De Ports-Entrepôts Du Sud Kedah, Malaysia, Paris:
L‟Harmattan.
Jacq-Hergoualc‟h, M. (2002). The Malay Peninsula: Crossroad of The Maritime Silkroad (100BC-
1300AD), Leiden: Koninklijke Brill N. V.
Low, J. (1848). “Extract of a Letter from Col. J. Low” dalam Journal of Asiatic Society of Bengal,
XVII, 1, hlm. 232-34.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. (1984). “Art, Archaeology and The Early Kingdoms in
the Malay Peninsula and Sumatra:: c. 400-1400 AD”, Tesis Kedoktoran, London: University
of London.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim. (1992). Warisan Lembah
Bujang, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Quaritch-Wales, Dorothy. C. dan Quaritch Wales, H G. (1947). “Further Works on Indian Sites in
Malaya”, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, XX, 1, hlm. 1-11.
Quaritch-Wales, H. G. (1940). “Archaeological Research on Ancient Indian Colonization in
Malaya”, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Studies, XVIII, 1.
Mohd Supian Sabtu. 2002. Tamadun Awal Lembah Bujang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka
Nasha Rodziadi Khaw, Mokhtar Saidin, Zuliskandar Ramli 73

Nasha Rodziadi Khaw (PhD)


Pensyarah Kanan
Pusat Penyelidikan Arkeologi Global,
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang
Email: rnasha@usm.my

Zuliskandar Ramli (Ph.D)


Timbalan Pengarah/Prof. Madya
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor
Email: ziskandar2109@gmai.com

Mokhtar Saidin (PhD)


Pengarah/Profesor
Pusat Penyelidikan Arkeologi Global
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang
Email: mmokh@usm.my

You might also like