Identiti Budaya: Dalam Konteks Kuih Tradisional Etnik Brunei Di Sabah

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 16

Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No.

1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

IDENTITI BUDAYA: DALAM KONTEKS KUIH TRADISIONAL


ETNIK BRUNEI DI SABAH

CULTURAL IDENTITY:IN THE CONTEXT OF SABAH BRUNEI ETHNIC


TRADITIONAL KUIH

Surayah Hj Bungsu
rinnsuraya_rsb@yahoo.com

Musnin Misdih (Ph.D), Dayang Damit @ Saidah Mohd Yassin


musninmisdih67@gmail.com

Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan


Universiti Malaysia Sabah.

ABSTRACT

Product efficiency of the Brunei ethnic traditional kuih is highligted through the priceless
knowledge inherited from their ancestors. The manufacturing of these traditional kuih is
closely related to its culture or rites such as the celebration of marriage, birth or respecting
deaths. These traditional kuih are very unique in the Brunei ethnic context because it was
produced through innovative thinking. This way of thinking hence produces kuih-muih
that comes in various functions and shapes that represents the heart and identity of a
culture. This research is conducted to explore the cultural identity of the Brunei Ethnic
kuih-muih production in Beaufort district. These kuih-muih include Kuih Jalurut, Kuih
Tilapam, Kuih Lamban Udang, Kuih Tapai, Katupat Lupas and Bikang. This research
involved two Brunei ethnic village; Kampung Weston and Kampung Lubuk; situated in
Beaufort district, Sabah. This research applied Visualisation Technique and discussed
several aesthetical elements like packaging designs, manufacturing ingredients and
packaging methods. Every element discussed will be able to explain the role of these
traditional Brunei ethnic kuih-muih in the context of identifying its culture identity and
ancient rites. This is a qualitative research that utilises field research data that was
obtained from interviews, observations and researcher’s direct involvement. The
informants were chosen based on their age, expertise and experiences in making
traditional kuih-muih and this also includes those who were in the know of the rites and
culture of the Brunei ethnic. This research concluded that the making of traditional kuih-
muih showcased identity, aesthetical values and culture as a treasure that is worthy to be
preserved.

Keyword: Identity, traditional kuih, Brunei ethnic, thinking

ABSTRAK

Kearifan produk kuih tradisional dalam komuniti etnik Brunei diserlahkan melalui warisan
turun-temurun yang amat tinggi nilainya. Pembuatan kuih-muih tradisi amat berkait rapat

1
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

dengan perlakuan budaya atau upacara adat seperti keramaian, kenduri-kendara,


perkahwinan, kelahiran atau kematian dalam etnik Brunei. Keunikan kuih tradisi dalam
konteks budaya Brunei adalah akibat pemikiran yang inovatif sehingga terjelmanya kuih-
muih tradisi dalam pelbagai fungsi dan bentuk yang menjelaskan jati diri dan identiti
budaya. Kajian ini dijalankan untuk menyingkap identiti budaya yang menjurus kepada
pembuatan kuih-muih tradisional bagi etnik Brunei di Daerah Beaufort. Kuih-muih tradisi
yang dimaksudkan terdiri daripada Kuih jalurut, kuih tilapam, kuih lamban udang, kuih
tapai, katupat lapas dan bikang. Kajian ini melibatkan dua buah perkampungan etnik
Brunei iaitu di Kampung Weston dan Kampung Lubuk yang terletak di daerah Beaufort,
Sabah. Kajian ini menggunakan teknik visualisasi dan membincangkan beberapa elemen
estetika seperti reka bentuk pembungkusan, bahan pembuatan dan kaedah pembungkusan.
Setiap elemen yang dibincangkan dapat menjelaskan peranan kuih-muih tradisi dalam
konteks identiti adat dan budaya etnik Brunei di Daerah Beaufort. Kajian ini bersifat
kualitatif dengan menggunakan data-data kajian daripada lapangan melalui kaedah temu
bual, pemerhatian dan penglibatan turut serta oleh pengkaji. Informan yang terlibat dipilih
berdasarkan tahap usia, kepakaran dan pengalaman mereka dalam pembuatan kuih-muih
tradisional serta mereka yang arif tentang adat dan upacara budaya etnik Brunei. Kajian ini
mendapati bahawa kerencaman pembuatan kuih tradisi memaparkan identiti, nilai estetika
dan budaya sebagai khazanah yang perlu dipelihara.

Kata Kunci: Identiti, budaya, kuih tradisional, etnik Brunei, pemikiran

Pengenalan

Terdapat begitu banyak pengertian budaya yang ditafsirkan oleh bijak pandai dalam
bidang sosiologi. Kepelbagaian pengertian ini disebabkan oleh sifat budaya itu sendiri
yang bersifat rencam kerana di dalam kebudayaan tersebut terkandung semua perkara
dalam kehidupan manusia seperti cara makan, cara bercakap dari sekecil-kecil perkara
hinggalah kepada hal yang lebih kompleks. Raymond William (1962) secara ringkas dan
tegas mendefinisikan budaya sebagai “suatu cara hidup tertentu” yang dibentuk oleh nilai,
tradisi, kepercayaan, objek material dan wilayah (territory). Menurut Edward Burnett
Tylor’s (1871), kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya
terkandung pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat dan
kemampuan-kemampuan lain yang dimiliki seseorang sebagai anggota masyarakat.

Budaya merupakan elemen yang membezakan setiap etnik, masyarakat atau sesuatu
bangsa kerana kewujudan ciri-ciri tertentu yang diamalkan secara turun-temurun. Ciri-ciri
tertentu pula dipengaruhi oleh persekitaran atau petempatan yang menonjolkan suatu
unsur yang signifikan sehingga memperlihatkan perbezaan antara satu etnik, puak,
masyarakat, bangsa dan seumpamanya. Sesungguhnya, budaya adalah sebuah deskripsi
daripada cara hidup manusia yang diekspresikan melalui sejumlah makna dan nilai
tertentu, maka jelaslah bahawa budaya adalah kegiatan berkomunikasi dengan mentafsir
setiap cara hidup aktiviti manusia pendukungnya. (Saidatul Nornis Hj Mahali, 2019)

Kertas kerja ini membincangkan identiti budaya yang tersurat dan tersirat di
sebalik pembuatan kuih-muih tradisional etnik Brunei di Sabah. Penulisan ini menyingkap
bagaimana kuih tradisional dapat menggambarkan adat dan citra budaya yang dimiliki
oleh etnik ini. Terdapat beberapa variasi daripada beberapa jenis kuih tradisional dalam

2
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

budaya Brunei menunjukkan nama, bahan, teknik penghasilan dan cara pembungkusan
yang tersendiri. Penghasilan kuih-muih ini juga turut signifikan dalam setiap majlis,
upacara atau adat yang dilakukan oleh masyarakat Brunei. Beberapa jenis kuih sebagai
objek budaya etnik Brunei dikenali dengan nama tempatan seperti kuih bikang, katupat
lapas, kalupis, wajit dan lapas-lapas. Kuih ini begitu tipikal dalam kehidupan kerana
menggambarkan cara pembuatan, cara makan dan situasi dihidangkan, sama ada majlis
perkahwinan, kenduri-kendara atau sebagai sajian makanan harian dalam kalangan etnik Brunei di
Sabah.

Tinjauan Kajian

Kerancaman kuih-muih tradisional etnik di Sabah, pada keseluruhannya


memperlihatkan kepelbagaian menu, sama ada dari segi penggunaan bahan mentah, bahan
pembungkusan, cara pembuatan dan tatacara menikmati makanan itu sendiri. Situasi ini
menggambarkan adat dan budaya yang mewarnai keunikan makanan di Sabah.
Penghasilan kuih-muih tradisi bukan sahaja berfungsi sebagai makanan, tetapi juga turut
dijadikan amalan budaya dalam melaksanakan adat tertentu dalam kehidupan.
Umpamanya, makanan tradisi etnik Bisaya terkenal dengan budaya makan umbut1
berasaskan sagu yang diamalkan sejak sekian lama, terutama yang diambil dari sumber
batang rumbia (Misteri Etnik Malaysia dalam Etnik Bisaya, 2012)

Menurut Suhaibah Abdul Mutalib (2012), dalam Juadah Makanan Tradisional


Melayu, menyatakan bahawa makanan bagi sesuatu kaum merupakan identiti dan
pengenalan bagi kaum tersebut. Sebagai contoh, etnik Bajau di Sabah terkenal dengan
makanan tradisional seperti kima, sagol atau senagol, sunting putu dan tinompeh. Kima
merupakan sejenis makanan dari sumber laut, iaitu berasaskan kerang. Kima dihidangkan
sebagai lauk dengan pelbagai cara. Kima mentah pula dipotong halus-halus dan
dicampurkan dengan air limau, rempah-ratus dan lada. Selain itu, kima dikeringkan dan
boleh dimasak bersama sayur-sayuran. Senagol pula adalah sejenis masakan tradisi yang
berasaskan isi ikan yang dicincang dan dicampurkan dengan kunyit.

Menu tradisi seperti dinawar, pinantung, butod, tinimbu abu, kinubol, tinapung
sasad, tinagau merupakan makanan tradisional dalam kalangan etnik Dusun Tatana.
Butod adalah sejenis ulat yang didapati daripada pokok rumbia yang sedang mereput.
Menu masakan yang popular untuk butod, ialah guring kerutup yang bermaksud butod
digoreng tanpa minyak. Sinalag butod pula adalah panggilan untuk menu butod yang
dipanggang. Butod Inasak do layo pula adalah masakan yang berasaskan menu campuran
halia. Manakala menu mata-mata pula adalah panggilan untuk butod yang dimakan
mentah-mentah (Joisin Romut. 2011).

Etnik Bugis pula terkenal dengan makanan burasak sebagai hidangan wajib ketika
hari raya. Burasak beras adalah berasaskan beras wangi yang dimasak dengan santan.
Hidangan ini selalunya dimakan bersama dengan ayam masak lengkuas. Dalam sesebuah
majlis perkahwinan masyarakat Bugis, sekurang-kurangnya 24 jenis kuih tradisional yang

1
Umbut bermaksud makanan berasaskan pucuk atau bahagian isi pada batang rumbia, sama ada untuk
tujuan dijadikan lauk pauk atau bahan dalam pembuatan kuih tradisional.

3
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

biasanya dipersiapkan oleh pihak keluarga pengantin lelaki. Makanan atau kuih tersebut
adalah seperti kawusallo, manjarella, lulung kasoro, nennuk-nennuk, biji nangka,
paloleng, leppang jampu, beppa tello, puteri sala, katiri sai, tolobu, bingka, babingka,
palita, lapisi, sanggarak, poso, palopo ipaesa, sarikaya, barongko, sanggarak sitombolok,
docok cangkuli, sari mokka, pasok. Kesemua kuih yang dinyatakan mempunyai fungsi dan
simbol tersendiri mengikut upacara perkahwinan. Kepelbagaian jenis hidangan ini
menjadi simbol adat yang menjadi ikatan dan kesatuan masyarakat Bugis terutamanya
dalam kehidupan berumah tangga.

Negeri Sabah terkenal dengan keunikan dan kaya dengan kepelbagaian makanan
dan kuih-muih. Keunikan ini tergambar dengan kepelbagaian etnik yang mengamalkan
adat budaya, sejarah, lagenda, perayaan dan kepercayaan tersendiri. Justeru itu, amalan
makanan dalam kehidupan masing-masing memberikan identiti budaya yang menarik dan
unik. Sebagai contoh, kewujudan corak hidup pelbagai etnik seperti Bajau, Rungus,
Lundayeh, Bisaya, Brunei, Bugis, Murut, Dusun, Kadazandusun dan Kedayan
menyerlahkan variasi makanan dan kuih-muih yang berbeza-beza.

Etnik Brunei sebagai subjek kajian, juga terkenal dengan makanan yang tersendiri.
Menyingkap sejarah lampau, orang Brunei dipercayai antara etnik yang terawal
menduduki wilayah Kepulauan Borneo Utara dan membentuk negara Brunei. Mereka
mula bertapak di Borneo Utara semasa di bawah jajahan Sultan Brunei ke-5, Sultan
Bolkiah (Pigafetta A:1521). Sultan Bolkiah dikatakan bertindak meluaskan pengaruhnya
hingga ke beberapa wilayah di Negeri Sabah dan Sarawak setelah menaiki takhta Kerajaan
Brunei pada awal kurun ke-16. Penempatan terawal masyarakat Brunei di Sabah tertumpu
di kawasan Teluk Kimanis sehinggalah pesisir Wilayah Membakut, Bongawan, Benoni,
Papar, Pengalat, Kawang serta kawasan Meruntum dan Putatan (Saat Awang Damit dan
Jamilah Jaafar, 2015).

Kewujudan orang Brunei di Sabah juga sering dikaitkan dengan sejarah


Kesultanan Melayu Brunei. Ini kerana sejarah Sabah adalah sebahagian daripada sejarah
Kesultanan Brunei tradisi sebelum bermulanya penjajahan British pada 1881. Sebelum
Sabah merdeka, orang-orang brunei di Sabah masih lagi berulang-alik ke Brunei dengan
pelbagai sebab umum seperti faktor ekonomi, sosial dan politik. (Asmiaty Amat, Saidatul
Nornis Hj. Mahali.Brunei.266.2012).

Jadual 1:Bilangan Penduduk Etnik Brunei di Sabah, Mengikut Daerah.

Daerah Bilangan Penduduk


Beaufort 16 625
Kuala Penyu 3 363
Sipitang 4 741
Tuaran 3 645
Papar 25 172
Kota Kinabalu 49 609
Sumber: Buku Tahunan Perangkaan Sabah (2010:10)

4
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Berdasarkan data di atas, jelas bahawa jumlah orang Brunei di seluruh pantai barat
Sabah adalah berjumlah 161, 360 orang daripada jumlah keseluruhan penduduk bawah
kategori Melayu iaitu 303, 497 orang. Jumlah yang sedemikian banyak maka, tidak
menghairankan kita sekiranya masyarakat ini turut memberi impak yang besar sebagai
salah satu etnik yang mewarnakan kepelbagaian kaum di Sabah khususnya. (Asmiaty
Amat, Saidatul Nornis Hj. Mahali.Brunei.266-267.2012). Peninggalan budaya di bawah
jajahan Kesultanan Brunei semenjak abad ke-16 di pesisir pantai barat Sabah turut
meninggalkan budaya dan sejarah bangsanya. Mereka telah menjadi pewaris bangsa dan
budaya keturunan Brunei sebagai penduduk yang berstatus di Sabah (Saat Awang Damit
dan Jamilah Jaafar, (2015:118)

Weston sebagai lokasi kajian, adalah sebuah pekan kecil yang terletak di pesisir
pantai barat Sabah. Weston juga sering disebut berada di bahagian Pedalaman Sabah,
dalam daerah Beaufort, iaitu kira-kira 100 kilometer ke selatan bandar raya Kota
Kinabalu. Weston merupakan perkampungan nelayan yang didiami 98 peratus etnik
Brunei. Penduduk lain yang tinggal di kawasan ini hanya terdiri daripada satu keluarga
berbangsa India dan tidak lebih dari tujuh buah keluarga Cina. Weston terletak
berhampiran dengan negara Brunei dan menjadi lokasi penempatan bagi kumpulan etnik
Melayu-Brunei menjalankan kegiatan urus niaga, menangkap ikan dan aktviti kehidupan
yang lain. Semua orang Melayu-Brunei beragama Islam (Mat Zin Mat Kib, 2002).
Golongan wanita Brunei amat terkenal dengan kemahiran membuat kuih-muih dan
makanan. Golongan tua lazimnya bekerja sebagai nelayan tradisional manakala golongan
muda lebih banyak melibatkan diri dalam kerjaya tetap dalam sektor kerajaan dan swasta.

Gambar 1: Peta Lokasi Kajian

Sumber:https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/e/e1/SabahDistricts-
Beaufort-pp.png/1920px-SabahDistricts-Beaufort-pp.png

Metodologi dan Analisis Data

Kajian lapangan merupakan salah satu strategi untuk meneroka kajian tentang identiti
budaya. Strategi ini berusaha menyelami secara mendalam keadaan sebenar tentang
kumpulan, budaya atau kejadian tertentu. Kajian lapangan membolehkan penyelidik
menghampiri permasalahan penyelidikan dengan bebas dan terbuka tanpa batas untuk
menentukan aspek yang dianggap penting (Sulaiman Masri. 2003:20). Dalam kajian ini,
penyelidik melibatkan diri secara langsung untuk menjalin hubungan rapat dan empati
dengan subjek kajian. Kaedah ini juga melibatkan strategi pemerhatian dan participatori,

5
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

iaitu penyertaan peserta dalam kajian. Kaedah ini dilakukan demi memahami idea,
pandangan, sikap, perasaan, aktiviti budaya atau aktiviti yang spesifik tentang objek kajian
dalam tempoh masa yang ditetapkan (Mok Soon Sang, 2010).

Kaedah analisis data dalam kajian ini disandarkan melalui pendekatan yang
dikemukakan oleh Edmund Burke Feldman (1967). Feldman menggariskan empat perkara
penting dalam memahami imej atau objek seni iaitu Deskripsi, Analisis Formal,
Interpretasi dan Penilaian seperti (Rajah 1). Data-data berkaitan dengan subjek kajian,
iaitu kuih-muih tradisional etnik Brunei dianalisis secara berturutan dengan menggunakan
pendekatan seperti rubrik dalam (Jadual 1).

Rajah 1:Teori Edmund Burke Feldman (1967)

EDMUND BURKE FELDMAN (1967)

DESKRIPSI
FORMALSITIK
Perihal Imej Luaran,
Elemen Seni, Reka Bentuk
Bahan, Teknik Pembuatan Pembungkusan.
dan Pembungkusan

OBJEK BUDAYA
Kuih Tradisional Etnik Brunei

INTERPRETASI
PENILAIAN
Simbol Seni, Fungsi,
Ikon, Nilai Budaya Estetika,
(Adat dan Upacara)

Dapatan Maklumat Objek Budaya

Tahap-tahap analisis data terhadap bahan kajian diringkaskan dalam bentuk rubrik. Tahap
ini meliputi peringkat deskripsi, peringkat analisis formal, interpretasi dan peringkat
penilaian dalam (Jadual 1), seperti berikut:

Jadual 2: Rubrik Analisis Edmund Burke Feldman (1967).

TAHAP HURAIAN

Deskripsi Perihal Imej Luaran, Bahan, Teknik Pembuatan dan


Pembungkusan

Analisis Formal Elemen Seni, Rekaan Bentuk Pembungkusan

Interpretasi Simbol Seni, Fungsi, Estetika

Penilaian Ikon, Nilai Budaya (adat dan upacara)

6
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Urutan analisis data seperti (Jadual 1), adalah indikator untuk menjelaskan peringkat
analisis mengikut tahap. Tahap deskripsi membincangkan perihal imej luaran, bahan,
teknik pembuatan dan pembungkusan. Tahap analisis formal pula membincangkan elemen
seni, rekaan bentuk kuih dan pembungkusan. Manakala tahap interpretasi membincangkan
simbol seni, fungsi dan estetika. Pada tahap penilaian pula kajian ini mengaitkan subjek
kajian dengan ikon atau maksud yang tersirat serta nilai budaya sama ada adat atau
upacara.

Dapatan Kajian dan Perbincangan

i. Kuih-Muih Tradisional

a. Kalupis

Sumber: Koleksi Pengkaji

Bahan asas dalam pembuatan kalupis adalah menggunakan campuran beras pulut
dan santan kelapa. Penghasilannya dimulakan dengan proses mandadih2. Pada peringkat
awal, kerja-kerja penyediaan daun pembungkus, beras dan santan kelapa dilaksanakan
oleh kaum lelaki kerana mengambil masa yang agak lama. Setelah selesai disediakan,
beras pulut mula dimasak. Proses memasak yang disebut diuar3 tanpa henti dilakukan
secara bergilir-gilir sehingga siap dimasak. Proses seterusnya diambil alih oleh kaum
wanita, iaitu proses membungkus kalupis secara bergotong-royong dengan menggunakan
pucuk atau daun nipah. Lazimnya, kalupis digunakan sebagai kuih yang melengkapi dan
menjadi penyeri sesebuah majlis. Kalupis juga berfungsi sebagai barang hantaran atau
barian4 dalam adat perkahwinan etnik Brunei. Kalupis turut menjadi hidangan utama
dalam majlis perkahwinan dan Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha sahaja.
Hidangan kuih kalupis dalam majlis ini, sinonim dengan simbol sambutan, kegembiraan,
kemeriahan dan keakraban dalam kalangan keluarga atau masyarakat Brunei.

b. Wajit

2
Mandadih merujuk maksud memasak secara gotong-royong.
3
Diuar merujuk kepada perlakuan menggaul ramuan kuih dengan menggunakan alat sudip.
4
Mangantat barian adalah upacara menghantar berian sebelum majlis perkahwinan.

7
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Sumber: Koleksi Pengkaji

Kuih wajit terkenal dengan kelazatannya kerana mempunyai rasa lemak dan manis.
Wajit diperbuat daripada adunan beras pulut, santan dan gula kuning. Kuih ini biasanya
boleh dinikmati tanpa hidangan lain. Kuih wajit etnik Brunei agak berbeza dengan wajit
etnik lain kerana penggunaan daun hidup berwarna hijau sebagai rekaan bentuk, lipatan
dan pembungkusannya. Identiti bentuk pembungkusan kuih wajit dapat dikenali melalui
ciri pada bahagian hujung kuih yang dibiarkan terbuka seperti gambar di atas. Hari ini,
penggunaan daun ngirik5 amat popular sebagai bahan pembungkusan wajit kerana mudah
diperoleh di persekitaran mereka. Penggunaan pelbagai jenis daun daripada persekitaran,
memberikan variasi dan imej kuih tradisional etnik Brunei.
Kuih wajit biasanya dihidangkan pada hari kebesaran seperti Hari Raya dan majlis
perkahwinan sahaja. Lazimnya wajit dalam majlis perkahwinan sebagai simbol
kegembiraan, keceriaan dan keakraban hubungan dalam masyarakat Brunei. Hal ini
dipaparkan melalui signifikasinya terhadap perlakuan budaya pembuatannya melalui
proses kerjasama dan gotong-royong.

c. Jalurut

Sumber: Koleksi Pengkaji

Kuih jalurut ditampilkan dengan kulit6 yang berbentuk seperti takuyung siruk7 atau siput sedut.
Siput sedut diilhamkan dalam bentuk kuih kerana pengaruh kehidupan mereka yang tinggal berhampiran
dengan perairan paya bakau. Proses pembuatan kuih jelurut menggunakan kulit (acuan) dengan mengisi
bancuhan tepung yang telah diadun satu persatu sebelum ia dikukus. Bentuk acuan jelurut berbentuk bulat
dan bersaiz besar pada bahagian atas. Justeru itu, penghasilan pembungkusan kuih jalurut memerlukan
kemahiran yang tinggi bagi mengelakkan kulit dari miris8 (bocor). Satu lipatan pada bahagian bawah kulit
jalurut dicipta untuk mengelakkan kebocoran pada kulit dengan menggunakan samat9. Pembungkusan
jalurut dihasilkan daripada pucuk atau daun nipah. Proses mengeluarkan helaian daun daripada pokok nipah
dikenali sebagai proses manatas10.

Warna alami pada daun nipah yang kuning kecoklatan dan kehijauan menghasilkan corak garisan
membulat dan berulang memberikan kesan jalinan pada kuih. Kesan warna dan jlainan yang menarik
tersebut dapat memberi kesan terhadap fizikal kuih yang diingini. Selain itu, keenakan rasanya yang manis
biasanya digemari dalam kalangan penggemar kuih seperti etnik Bisaya, Kedayan, Murut, Bugis, Cina dan

5
Ngirik adalah sejenis daun lebar yang digunakan untuk membungkus makanan.
6
Kulit bermaksud bekas acuan atau bahan pembungkusan.
7
Takuyung siruk merujuk kepada siput sedut.
8
Miris merujuk kepada maksud bocor atau tiris.
9
Samat merujuk kepada batang lidi yang halus, tajam dan runcing.
10
Manatas adalah perbuatan mengeluarkan bilah daun nipah dari pucuk nipah dengan
menggunakan
parang.

8
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

sebagainya. Menurut informan Hajjah Sri Bunian Bt. Ag Besar11, jalurut merupakan kuih tradisi yang
menjadi pilihan pelbagai etnik, yang amat laris ketika dijual di tamu atau pasar.

d. Tilapam

Sumber: Koleksi Pengkaji

Identiti kuih tilapam etnik Brunei di Weston dipaparkan dengan reka bentuk
pembungkusan hasil daripada transformasi bentuk sampan. Bentuk ini mempunyai
signifikan dengan kegiatan dan aktiviti hidup mereka, iaitu menggunakan perahu atau
sampan dalam aktiviti nelayan. Bahan asas pembuatan kuih ini adalah tepung gandum.

Pembungkusan kuih tilapam adalah menggunakan empat lipatan serong yang


bertindih pada bahagian hujung pucuk dan dikemaskan menggunakan samat bini12.
Tujuannya agar kulit (pembungkusan) menjadi kukuh bagi menampung bancuhan tepung
semasa proses mengukus. Daun yang berwarna kuning lembut akan bertukar menjadi
kuning kecoklatan setelah proses mengukus dilakukan. Manakala isi tilapam yang
dibungkus dengan daun tersebut akan terbias dengan warna secara semula jadi.

Isi kuih tilapam biasanya berwarna putih kekuningan, bersifat gebu dan
mempunyai rasa yang manis. Keenakan isinya terserlah akibat rasa dan aroma daripada
bahan pembungkusannya, iaitu pucuk. Menurut informan Pn. Ainih Bt Ag. Besar13, kuih
tilapam ketika ini menggunakan campuran asas seperti bahan penaik dan pewarna serta
pembungkusan moden daripada plastik. Pembungkusan moden dilakukan sebagai usaha
agar kuih tilapam dapat bersaing dengan menu-menu lain yang baharu dan moden.

e. Bikang

Sumber: Koleksi Pengkaji

11
Hajah Sri Bunian Bt Ag. Besar (69), pembuat dan peniaga kuih tradisional di tamu
mingguan Daerah
Beaufort.
12
Samat bini merujuk kepada samat halus dan pendek.
13
Ainih Bt Ag. Besar (67), adalah pembuat kuih tradisional, Kampung Weston Beaufort.

9
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Kuih bikang hanya ditemui pada musim Naik Haji sahaja sempena melaksanakan
adat bersedekah pada bulan Haji. Bikang diperbuat daripada tepung beras, gula, ragi dan
tapai nasi yang dikisar halus. Pembuatannya agak mudah dan ringkas. Biasanya, adunan
bahan asas dibiarkan kembang sehingga beberapa jam. Seterusnya, bikang dimasak atau
dihasilkan dengan cara manumpi14 lalu gula ditaburkan di atas kuih bikang yang hampir
masak.

Menurut informan Hajah Jainah Bt Laut15 penggunaan kuih-muih dalam adat naik
Haji adalah rutin turun-temurun sebagai adat mambisaikan16 majlis. Menurut
kepercayaan, jika keadaan tumpian pada bikang tersebut basarang17, menandakan individu
yang menunaikan haji berada dalam keadaan yang selamat, sihat dan gembira semasa di
Mekah. Sebaliknya jika kuih bikang yang dibuat nda basarang18 diperayai bahawa ahli
keluarga yang naik haji menghadapi kesukaran seperti sakit di tanah suci. Hal ini
menyebabkan ahli keluarga merasa sedih dan khuatir. Oleh itu, majlis kenduri dan doa
selamat dilakukan sebagai rutin harian. Fungsi kuih bikang dalam masyarakat Brunei
berperanan untuk dijadikan sedekah dalam pelaksanaan adat yang diwarisi secara turun-
temurun.
f. Katupat Lapas

Sumber: Koleksi Pengkji

Kuih Katupat lapas merupakan makanan bermusim yang hanya disediakan ketika
musim haji. Kuih ini mempunyai fungsi atau peranan sebagai metafora dalam konteks
hasrat keselamatan, kelancaran urusan dan kesejahteraan seseorang yang naik haji
(menunaikan rukun haji). Sebagai contoh, katupat lapas dikaitkan dengan terlepasnya
seseorang dari sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Menurut informan Hajah
Jainah Bt Laut19, perkataan lapas pada katupat lapas bermaksud terlepas. Metafora
penyerahan semua perkara sama ada baik atau buruk kepada Yang Maha Esa. Katupat
lapas biasanya disediakan oleh golongan wanita yang berumur dan yang arif berkaitan
adat dan pembuatan kuih tradisi kerana golongan ini dianggap ketua dalam keluarga.

14
Manumpi merujuk kepada teknik mencanai kuih.
15
Hajah Jainah Bt Laut (81), pengamal adat dan budaya etnik Brunei Kampung Weston,
Beaufort.
16
Mambisaikan merujuk kepada maksud menyempurnakan.
17
Basarang merujuk kepada kuih yang kembang dan gebu.
18
Nda basarang merujuk kepada keadaan kuih yang kembang dan gebu.
19
Hajah Jainah Bt Laut (81), Kampung Weston, Beaufort.

10
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Terdapat dua jenis katupat lapas, iaitu disebut katupat lapas laki dan katupat lapas
bini. Katupat lapas laki mempunyai bentuk yang memanjang, manakala katupat lapas
bini adalah lebih berbentuk bulat. Katupat lapas laki mewakili kaum lelaki manakala
katupat lapas bini pula mewakili kaum wanita. Ia adalah simbol fitrah kehidupan manusia
yang dijadikan oleh Tuhan secara berpasangan seperti malam dan siang, bulan dan
bintang, ayah dan ibu, laut dan pantai dan yang seumpamanya. Kulit katupat lapas
dianyam dengan teknik yang tertentu sehingga kulit katupat lapas laki dan kuih katupat
lapas Bini dapat dibezakan.

g. Lamban Udang dan Lamban Lokan

Sumber: Koleksi Pengkaji

Lamban udang dan lamban lokan adalah berasaskan beras pulut yang didadih
dengan santan kelapa. Nama lamban udang digunakan sempena panggilan kuih yang
berisi udang. Manakala lamban lokan pula adalah panggilan bagi kiuh yang berintikan
lokan yang dimasak pedas. Bagaimanapun, reka bentuk kulit (pembungkus) kuih lamban
udang dan lamban lokan adalah serupa. Bagi membezakan kuih ini, samat digunakan
sebagai identiti khas. Lamban udang lazimnya menggunakan satu bilangan samat,
manakala identiti lamban lokan menggunakan dua bilangan samat pada bahagian hadapan
pembungkus kuih. Samat biasanya, digunakan untuk mencantumkan dua helai daun nipah
agar menghasilkan siaz pembungkusan kuih yang lebih besar.

Dalam masyarakat Brunei, lamban udang dan lamban lokan dibuat setiap hari
sebagai menu sarapan pagi. Bagaimanapun, kuih ini sentiasa disediakan dalam setiap
majlis, sama ada peristiwa suka dan duka seperti kematian, perkahwinan dan keramaian.
Kemahiran pembungkusan kuih lamban udang dan lamban lokan yang teliti dan kemas
menggambarkan kreativiti yang tinggi dalam kalangan wanita Brunei. Sekali gus dapat
menjadikan kuih lamban sebagai paparan peranan wanita dalam budaya mereka.

h. Tapai Nasi

Sumber: Koleksi Pengkaji

Kuih tapai biasanya diperbuat daripada bahan beras atau nasi panas, gula dan laru
atau ragi. Tapai yang telah siap dibungkus dengan daun diperam di tempat yang kedap

11
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

udara dan kedap cahaya selama sehari semalam. Cerita mitos dalam bentuk pantang
larang banyak dikaitkan dengan cara pembuatan kuih tapai orang Brunei. Seseorang yang
ingin membuat kuih tapai, perlu membersihkan diri dan berwangi-wangian terlebih
dahulu. Seterusnya, memakai pakaian yang bersih dan kemas. Selain itu, si pembuat
tapai dilarang bercakap-cakap ketika membuat tapai kerana perbuatan itu dikhuatiri akan
menyebabkan tapai masam dan tidak masak. Wanita yang datang haid juga dilarang
membuat tapai agar kuih tapai tidak menjadi warna merah. Adat ini disebut siman20
dalam kalangan etnik Brunei yang membawa maksud kuih yang dihasilkan akan menurut
sifat dan perlakuan si pembuat tapai. Justeru itu, untuk menjamin kualiti tapai maka si
pembuat perlu berkeadaan bersih, kemas dan rapi agar tapai tersebut dalam keadaan
manis, sedap dan bersih seperti si pembuatnya.

Orang tua-tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak
membuat tapai. Menurut kepercayaan, apabila tapai sedang dibungkus, seseorang tidak
boleh memakan sirih atau mendekatkan dirinya dengan benda-benda yang berwarna
merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya
tidak sedap. Seseorang pembuat juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika
membungkus tapai kerana perbuatan itu akan menyebabkan tapai menjadi masam
(Suhaibah Abdul Mutalib 2012), dalam Makanan Tradisi Masyarakat Melayu.

Pelbagai bahan pembungkusan dan reka bentuk kuih tapai seperti menggunakan
daun pisang, daun nyirik, daun keladi dan daun simpur. Bagaimanapun bahan
pembungkusan yang dominan digunakan adalah daun nipah kerana mempunyai jalinan
dan warna yang menarik. Bentuk kuih tapai biasanya berbentuk segi tiga seperti
representasi bentuk lokan. Bahagian bawahnya berukuran lebih lebar daripada bahagian
atas dan dikemaskan dengan menggunakan samat bini. Kebanyakan pembuat tapai
menjelaskan bahawa tapai yang dibungkus dengan pelbagia jenis daun menghasilkan
aroma dan rasa yang berbeza. Begitu juga dengan tapai yang dibungkus dengan daun
pisang atau bekas plastik (Suhaibah Abdul Mutalib 2012), dalam Makanan Tradisi
Masyarakat Melayu.

ii. Bahan, Bentuk dan Gaya Pembungkusan

Pembungkusan kuih-muih tradisional yang pelbagai bentuk yang dihasilkan oleh


masyarakat Brunei di Kampung Weston didominasi oleh pucuk atau daun nipah yang
berwarna kekuningan. Nipah adalah sejenis palem (palma) yang tumbuh di lingkungan
hutan bakau atau daerah pasang-surut berhampiran tepi laut seperti daerah Beaufort. Nama
ilmiahnya adalah Nypa fruticans Wurmb. Manakala panggilan tempatan disebut pucuk
dalam kalangan etnik Brunei di Weston, Beaufort.

Sebelum kulit (pembungkusan) kuih ini dibentuk, terlebih dahulu pucuk nipah
melalui beberapa proses bagi mengeluarkan daun dari pucuknya. Daun nipah biasanya
dalam bentuk pucuk memanjang seperti lembing. Setiap batang nipah menghasilkan 25

20
Siman merujuk kepada maksud meniru atau mengikut gaya si pembuat tapai.

12
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

hingga100 helai daun. Manatas, maridis21, dan mamanggal22 pucuk merupakan beberapa
proses dalam menghasilkan bahan pembungkusan kuih-muih tradisional. Proses
mencantumkan bilah-bilah daun memerlukan teknik tertentu untuk memastikan bentuk
yang dikehendaki kerana kesempurnaan reka bentuk pembungkusan boleh memberikan
nilai tambah keunikan kuih-muih tradisional.

Daun nipah mudah diolah secara kreatif untuk menyerlahkan bentuk tertentu.
Misalnya, kuih jalurut diolah seperti kon secara memanjang menyerupai takuyung siruk.
Kuih tilapam pula mirip seperti bentuk perahu, manakala kuih tapai nasi dihasilkan dalam
bentuk segi tiga yang merujuk bentuk lokan. Kuih lamban udang dan lamban lokan pula
dibungkus secara bulat dan bentuk memanjang. Pada keseluruhannya, teknik bungkusan
kuih-muih tradisi dikemaskan dengan menggunakan samat daripada lidi daun nipah yang
halus. Terdapat dua jenis samat dalam pembungkusan kuih-muih tradisional yang disebut
samat laki23 dan samat bini. Samat laki merujuk kepada jantina lelaki dan samat bini
merujuk kepada sifat jantina wanita. Bagaimanapun, fungsinya adalah sama iaitu untuk
mengemaskan lipatan daun dan mengukuhkan reka bentuk kulit (pembungkusan).

Penggunaan alam dalam pembuatan kuih menjelaskan daya kreativiti


masyarakatnya dalam mengolah dan menyesuaikan bahan dari persekitaran mereka
sehingga menimbulkan fungsi-fungsi tertentu dan manfaat dalam kehidupan mereka.
Dalam hal ini, pengaruh kosmos pada umumnya menjana daya kreativiti seseorang di
samping dipengaruhi oleh pandangan hidup masyarakat dari mana dia berasal serta
keadaan persekitaran mereka (Sintiong Gelet 2002). Dayang Rosidah Awang Tinggal &
Mustafa Alba Ibrahim (2002) juga menjelaskan bahawa realiti kehidupan penghuni alam
semula jadi menjadikan mereka kreatif akibat bahan mentah yang mudah diperolehi dapat
membantu mencipta pelbagai produk dan kegunaan.

Kesimpulan

Etnik Brunei di Sabah khususnya di Kampung Weston, Beaufort mempunyai adat


yang yang dapat disaksikan dalam pelbagai upacara sebagai identiti mereka. Upacara yang
diturunkan secara turun-temurun masih diamalkan sehingga ke hari ini, Bagaimanapun,
beberapa upacara telah lenyap kerana disesuaikan dengan kepercayaan dan aqidah Islam
serta akibat perkahwinan campur dengan kaum lain serta disebabkan oleh perkembangan
teknologi.

Sesungguhnya etnik Brunei di Weston, Beaufort mempunyai pelbagai kuih-muih


dan masakan. Kuih-muih tradisi yang sering dihasilkan oleh mereka adalah seperti kuih
kalupis, wajit, jalurut, tilapam, tapai nasi, punjung dan lamban udang, katupat lapas,
pipis, pais manis, madu kasirat, calak yangin, sakul, ardam dan cucur udang. Beberapa
jenis kuih-muih tradisi hanya dihidangkan pada masa upacara majlis tertentu seperti
sambutan hari raya dan musim menunaikan haji. Sebahagian dari kuih-muih pula
dihasilkan setiap hari sebagai makanan untuk sarapan pagi. Selain itu, kuih juga menjadi

21
Maridis bermaksud membuang lidi daripada helaian daun nipah menggunakan pisau
kecil.
22
Mamanggal merujuk kepada perbuatan memotong daun.
23
Samat laki merujuk kepada lidi yang dipotong serong pada bahagian hujung dan pangkalnya serta bersifat
tajam, tebal dan panjang.

13
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

hidangan dalam kenduri-kendara yang menjelaskan jati diri dan budaya Brunei. Tidak
kurang pula kuih yang dijual dijual di tamu atau pasar minggu. Kebanyakan kuih
dihasilkan dengan kudrat dan kreativiti golongan wanita dalam budaya etnik Brunei di
Sabah. Kuih-muih tradisi pada masa kini, dihasilkan oleh golongan wanita yang berumur
yang arif dalam penghasilan kuih.

Secara keseluruhannya, kuih-muih tradisional menggunakan pucuk atau daun


semula jadi sebagai bahan pembungkusannya kecuali kuih bikang. Kuih-muih tradisi turut
dibungkus dalam pelbagai reka bentuk seperti kiub, segi empat atau segi tiga. Kaedah
pembungkusan yang kreatif mempunyai signifikan dengan bentuk alam sekeliling seperti
sampan, perahu atau hidupan laut. Sebagai contoh, kuih jalurut dibungkus menggunakan
pucuk seperti bentuk kon hasil daripada representasi takuyung siruk. Kuih tapai nasi pula
dibungkus bersifat segi tiga sebagai representasi daripada bentuk lokan. Kuih lamban
udang, lamban lokan dan tilapam pula mempunyai bentuk sepert sampan atau perahu.
Justeru itu, kuih-muih etnik Brunei menjelaskan perkaitan aktiviti dan citra budaya yang
menjelaskan identiti atau jati diri mereka.

Variasi kuih-muih tradisi etnik Brunei lazimnya berasaskan beras, tepung, gula
santan dan ragi. Kelapa, udang, lokan dan beras pulut adalah bahan paling hampir dalam
kehidupan seharian masyarakat Brunei di Kampung Weston dan Kampung Lubuk
Beaufort. Pewarnaan pada kuih pula tercetus akibat kearifan tentang teknik, resipi dan
tempoh memasak. Penggunaan daun semula jadi memerlukan kreativiti serta perancangan
masa memasak untuk menentukan sifat, warna dan rasa yang diingini. Sebagai contoh,
seperti sifat manis, masin, lembut, gebu, warna kekuningan, kehijauan atau warna coklat.

Pembuatan kuih-muih tradisi mudah dipelajari kerana menjadi rutin harian


masyarakat Brunei. Tambahan pula, memasak menjadi asas kearifan setiap anak
perempuan. Ilmu dan pengetahuan tentang pembuatan kuih-muih seharusnya diwarisi dari
satu generasi agar khazanah ini tidak pupus. Kesedaran tentang pentingnya kuih-muih
tradisi ini sebagai identiti budaya juga perlu dimanfaatkan oleh golongan yang lebih muda.

Amalan adat dan budaya yang dimiliki oleh etnik Brunei di Sabah telah mewarnai
lagi kepelbagaian etnik dan keunikan negeri Sabah. Kearifan produk kuih tradisional
dalam komuniti etnik Brunei diserlahkan melalui warisan turun-temurun. Pembuatan
kuih-muih berkait rapat dengan perlakuan budaya atau upacara adat seperti keramaian,
kenduri-kendara, perkahwinan, kelahiran atau kematian dalam etnik Brunei. Keunikan
kuih-muih dalam konteks budaya wujud akibat pelbagai fungsi dan tujuannya diadakan.
Sebagai contoh, kalupis dan wajit hanya didapati pada majlis perkahwinan dan hari raya.
Manakala kuih katupat lapas dan bikang ketika musim haji. Justeru itu, kuih-muih
tradisional ini dapat menggambarkan identiti tertentu dalam budaya etnik Brunei di Sabah.

Reka bentuk pembungkusan kuih yang diadaptasi dari alam sekeliling iaitu
penggunaan bahan semula jadi begitu hampir dengan kehidupan harian. Hal ini
memberikan gambaran terhadap daya kreativiti golongan terdahulu dalam mencipta dan
mereka bentuk resipi dan peralatan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

14
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

Rujukan

Asmiaty Amat. 2012. Bugis Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Denis J. Sading & Siti Aminah Roslan. 2016. Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah. Etnik
Kadayan. Kota Kinabalu: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Ismail Haji Ibrahim, Jane Wong Kon Ling. 2002. Warisan Seni Etnik Sabah. Kota
Kinabalu: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah.
Ismail Mat Zin Mat Kib. 2002. Kumpulan Etnik Di Sabah:Sejarah dan
Perkembangannya.
Kota Kinabalu. UMS.
Ismail Ibrahim, Mohamad Azareen Aminullah, Humin Jusilin, Mohammad Puad Bebit,
Zaimie Sahibil. 2013. Warisan Seni dan Budaya. Masyarakat Kepulauan Pesisir
Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Jacqueline Pugh-Kitingan. 2016. Kadazan Dusun. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia
Sabah.
Joisin Romut, Hamra@Amrah Haji Liwangsa, Denis J. Sading. 2011. Inventori Budaya
Etnik Negeri Sabah. Etnik Orang Sungai Buludupi. Kota Kinabalu: Lembaga
Kebudayaan Negeri Sabah.
Joisin Romut, Denis J. Sading, Flora Iban. 2013. Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah.
Etnik Momogun Rungus. Kota Kinabalu: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Joisin Romut, Denis J. Sading, Fiona Jamiyan. 2016. Inventori Budaya Etnik Negeri
Sabah. Etnik Lundayeh. Kota Kinabalu: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Kntayya Mariappan, Paul Porodong. 2012. Murut dan pelbagai etnik kecil lain di Sabah,
penyunting ITBM. Kota Kinabalu: UMS.
Low Kok On et., al. 2018. Persidangan Antarabangsa Sejarah, Warisan dan Folklor
Nusantara. Kota Kinabalu: UMS.
Masni Haji Ahmad. 2010. Kuih Tradisi Brunei Kalupis Kedayan. Brunei Darus Salam:
DBPB.
Maruwiah Ahmat. 2012. Siri Budaya Warisan Malaysia. Makanan Tradisional. Shah
Alam: Get Smart Publication Sdn. Bhd.
Mardhiah Mustafa. 2013. Siri Warisan Kebangsaan. Makanan dan Pakaian. Selangor
Darul
Ehsan: Mega Publications.
Md. Saffie Abd. Rahim, Sabihah Osman & Ramzah Dambul. 2012. Bajau Pantai Timur.
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Saat Awang Damit. 2015. Sejarah dan Kesenian Masyarakat Brunei Sabah. Kuala
Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia.
Saidatul Nornis Hj Mahali. 2013. Nilai dan Norma Masyarakat di Sabah. Kota Kinabalu:
Universiti Malaysia Sabah.
Suhaibah Abdul Mutalib. 2012. Makanan Tradisi Masyarakat Melayu. Selangor:
Zifad Enterprise.
Sulaiman Masri. Kaedah Penyelidikan dan Panduan Penulisan. Utusan Publications &
Distributors SDN. BHD. Kuala Lumpur.

15
Journal of Borneo Social Transformation Studies (JOBSTS), Vol. 5. No. 1, 2019
ISSN 2462-2095
Universiti Malaysia Sabah

:https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/e/e1/SabahDistricts-Beaufort-
pp.png/1920px-SabahDistricts-Beaufort-pp.png
Informan
Jainah Bt Laut (81), Kg. Log Pond Weston, Beaufort Sabah.
Ainih Bt Ag. Besar (67), Kg. Laut Weston, Beaufort Sabah.
Dalilah Bt Matussin (83), Kg. Lubuk, Beaufort Sabah.
Hjh Sribunian Bt Ag. Besar (69), Kg.Weston, Beaufort Sabah.
Siti Salmiah Bt Omar Ali (59), Kg.Weston, Beaufort Sabah.
Hj Bungsu Hj Yussuf (69), Kg. Laut Weston, Beaufort Sabah.
Hj Matzin Bt Hj Jaafar (84), Kg. Lubuk, Beaufort Sabah
.

16

You might also like