Akhfash.Com

SELAMATKAN AL-AQSA

ALHAMDULILLAH: Syukur kami ke hadrat Allah SWT atas kurnia yang tidak terhingga ini. Pada tanggal 4 April 2013 memasuki tarikh 24 Jamadil Awwal 1434H selepas azan Maghrib hari Khamis malam Jumaat, kami sekali lagi dikurniakan 'buah cinta' keempat antara Luqmanul Hakim dan Norazizah. 

Asma' Sofiyyah diazan dan diiqamahkan sejurus selepas dilahirkan - Masih basah dan berdarah.
Walau ini adalah anak kami yang keempat, tapi inilah kali pertama saya dibenarkan menemani isteri sehingga melahirkan anak. Sungguh perit dan seksanya seorang ibu melahirkan anaknya, terkenang saya pada bonda CIkgu Kamariah Ab Bakar. Saya terus menerus memberi semangat kepada isteri untuk mengerang sepenuh tenaga agar bayi ini dapat lahir dengan normal. Alhamdulillah, walau isteri sudah banyak kehilangan tenaga Allah masih beri kudrat kepadanya untuk melahirkan anak keempat kami ini. Sejurus selepas puteri kami selamat, saya terus mengucup dahi isteri sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga kerana telah mengandung dan melahirkan zuriat kami.
Asma' Sofiyyah di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
Mendapat anak keempat pada usia saya yang belum pun mencecah 30, dan isteri yang 2 tahun lebih muda dari saya adalah satu kurniaan dan anugerah Allah yang sangat agung. Memang kami tidaklah semewah kawan-kawan yang seusia kami, tidak punya banyak waktu untuk bersosial dan bercuti ke sana sini. Tapi kami tetap bersyukur kerana anak-anaklah sebenarnya rezeki yang paling berharga seperti firman Allah di dalam surah Al-Kahfi yang bermaksud: "Harta benda dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan dunia...".

 Hari ini, tanggal 10 April merupakan hari ketujuh kelahiran puteri kami. Disunatkan untuk memberi nama kepada anak pada hari ini dan mengakikahkannya dengan seekor kambing. Maka, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berilah nama kepada anakmu dengan nama yang baik", saya dan isteri bersepakat, inna sammainaaha kama sammahallahu fil azal (kami menamakannya sebagaimana dia telah dinamakan oleh Allah sejak azali) dengan nama ASMA' SOFIYYAH. 

Pelbagai kitab Sirah dan Mu'jam yang kami rujuk untuk menamakan puteri kami dengan nama mulia ini. ASMA' adalah seorang sahabiah Rasulullah SAW. Satu-satunya perempuan yang memainkan peranan besar dalam peristiwa Hijrah Rasul sehingga beliau digelar Dzatun Nitoqain. ASMA' merupakan puteri kepada Saidina Abu Bakr RA. Juga isteri kepada Zubir bin Al-Awwam, salah seorang antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Ibu kepada Abdullah bin Zubir. Menurut ahli sirah, Abdullah, anak kepada Saidina Zubir dan Saidatina Asma' merupakan anak yang pertama lahir selepas Hijrah Rasulullah ke Madinah.

SOFIYYAH pula diambil daripada kalimah SOFIY. Menurut Ibnu Manzur dalam mu'jamnya, Lisanul Arab. Al-Sofiy bermaksud kosong daripada setiap sesuatu. Dan kalimah ini apabila dinisbahkan kepada manusia maka ia membawa maksud suci daripada dosa dan noda, seorang yang tulus dan mulus. SOFIYYAH juga adalah nama bagi ibu saudara Rasulullah SAW, bernama SOFIYYAH binti Abdul Muttalib. Berkahwin dengan Al-Awwam selepas Islamnya dan dikurniakan anak bersama Zubir. Maka ASMA' dan SOFIYYAH mempunyai ikatan persaudaraan iaitu ASMA' adalah menantu kepada SOFIYYAH kerana beliau merupakan ibu kepada Saidina Zubir bin Al-Awwam. 

Sidang pembaca boleh membaca lebih lanjut mengenai kisah Saidatina Asma' di sini dan kisah Saidatina Sofiyyah di sini.

Akhfash, Afaf dan Aufa sangat menyayangi dan menghargai kehadiran Asma' Sofiyyah sebagai ahli usrah baharu kami.
Semoga ASMA' SOFIYYAH mengikuti jejak kedua-dua Srikandi Islam ini. Seorang wanita yang benar-benar mendahulukan Allah dan Rasul-Nya daripada segala sesuatu. Doakan anak-anak kami membesar dalam peliharaan dan redha Allah SWT.



Wednesday, January 30, 2013

Rehlah Ke Negeri Sarawak

Bermusafir banyak mengajar erti kehidupan kepada yang mengamati setiap detik perjalanan permusafirannya. Ia juga merupakan ibadah sehingga bab musafir dibicarakan panjang lebar dalam kitab-kitab Fekah. Tetapi, sejauh manakah kita mengambil setiap apa yang dilihat sepanjang permusafiran untuk menjadikannya pedoman dan iktibar dalam kehidupan kita setelah pulang dari perjalanan yang panjang?

Pandangan luar tingkap di udara
Baru-baru ini saya bersama rombongan bahagian Agihan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) diberi peluang untuk berbengkel di Kuching, Sarawak selama tiga hari. Perjalanan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak hanya mengambil masa 1 jam 30 minit. Kalau menaiki kenderaan dari Johor Bahru setempoh masa ini, kita hanya boleh tiba di daerah Batu Pahat. Lebih kurang 150 km. Masa yang sama diambil dengan kenderaan yang berbeza boleh membawa kita kepada tempat yang sangat berbeza jaraknya. Inilah yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW. Tiada yang mustahil bagi Allah untuk membawa hamba-Nya ke tempat yang lebih jauh dalam masa yang terlalu singkat. Kerana Dialah pencipta segala kenderaan. Mana mungkin ada kenderaan di dunia ini yang lebih hebat dan lebih pantas daripada kenderaan ciptaan Yang Maha Pencipta. 

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak

En. Bolhassan sedang memberi taklimat
Pada hari kedua tiba di Kuching, Sarawak kami diberikan taklimat bertajuk "Pembasmian Kemiskinan di Sarawak: Pengalaman Tabung Baitulmal Sarawak (TBS)" oleh En.Bolhassan Iskandar Taibi, Timbalan Pengurus Besar TBS. Sekali memandang wajah dan gaya rambut beliau, pasti ramai memberi nilai negatif di dalam hati. Terfikir di benak fikiran, beginikah gaya rambut seorang yang menjawat jawatan no. 2 di dalam TBS? Salah satu institusi agama Islam terbesar di negeri Sarawak. Ternyata apa yang sering disarankan oleh Nabi SAW kepada kita supaya jangan sesekali berburuk sangka kepada manusia sangat benar. Sangkaan buruk kami meleset, En. Bolhassan adalah seorang yang amat baik dan memainkan peranan besar dalam perkembangan pentadbiran dan fungsi Tabung Baitulmal Sarawak. 

Kita dilarang daripada menilai manusia hanya dengan memandang faktor luaran. Seperti pakaian, gaya penampilan dan sebagainya. Sebaiknya, cubalah bergaul dahulu dan kenali hati budi mereka sebelum membuat apa-apa penilaian terhadap seseorang. Berburuk sangka ini adalah amalan syaitan yang sering diingatkan oleh Imam Al-Ghazali dengan katanya yang bermaksud:

"Jangan kalian berburuk sangka kepada saudaramu! Boleh jadi mereka lebih baik daripada dirimu".

Di Masjid Jamek Negeri Sarawak
Kerap kali di dalam hati saya menyangka yang bukan-bukan kepada orang tatkala pertama kali bertemu. Tapi ternyata ketika bergaul dengan mereka, sangkaan buruk ini tidak benar sama sekali. Mereka peramah, mesra dan sangat menghormati tetamu. Bahkan layanan mereka terhadap saya jauh lebih baik daripada layanan saya sendiri kepada orang lain. Kata orang lama, "Kulit buah sama cantik, isi di dalam siapa yang tahu?".

En. Bolhassan memberitahu bahawa masyarakat Islam di Sarawak mirip keadaannya seperti di Singapura. Islam di sini adalah minoriti. TBS berjaya membuktikan bahawa minoriti bukanlah suatu kekurangan atau kelemahan, sebaliknya ia merupakan kekuatan kepada umat Islam di sini.  Sensitiviti kaum beragama lain perlu dijaga di negeri ini. Pastinya menyukarkan kerja-kerja dakwah islamiah pada masyarakat Sarawak. TBS berjaya merangka satu enakmen yang mewajibkan "Sadaqah Jariah" melalui potongan gaji kepada setiap muslim.

Di Pasar Serikin
Di negeri yang Islamnya adalah minoriti masih mampu menjalankan dan menyebarluaskan dakwah mereka. Sepatutnya negeri majoriti Islam lebih daripada itu. Malangnya perkara sebaliknya yang berlaku. Terlalu takut kepada bangsa dan agama lain menyebabkan kita menjadi lemah. Sensitiviti agama dan kaum sering menjadi alasan dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Negara yang pemimpinnya Islam, agamanya Islam, majoritinya umat Islam tidak mampu menambah jumlah penganut agama Islam. Lebih malang jika jumlah yang keluar Islam lebih daripada yang memeluk agama benar ini. Tanggungjawab berat ini pastinya terbeban di bahu pemimpin. Sabda nabi SAW yang bermaksud:

"Manusia atas agama pemerintahnya"

Kg Budaya
Hari terakhir di sini, kami dibawa ke Kampung Budaya. Melihat sendiri kebudayaan penduduk asli Sarawak. Cuba menelusuri kehidupan pelbagai etnik di sini. Inilah keunikan Sarawak. Mempunyai penduduk dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Pastinya menjadi suatu cabaran untuk menyatukan mereka semua di bawah satu lembayung pemerintahan.  Tampak mudah, tetapi sukar. Sirah Rasulullah merupakan rujukan terbaik dalam melakukan penyatuan manusia. Hanya dengan Islam manusia akan bersatu. Tanpa mengira kaum, bangsa, asal usul dan agama. Islam dapat menyatukan. 

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kejayaan ini. Penduduk Madinah dari pelbagai suku kaum dan agama berjaya disatukan di bawah satu naungan pentadbiran Islam. Bahkan kaum Muhajirin dari Mekah juga bernaung di bawahnya. Hebatnya, semenjak kali pertama bertemu mereka sudah berjaya dipersaudarakan. Begitu juga dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 hijriah. Bagaimanakah mungkin Rasulullah dan para sahabat boleh melupakan segala sengketa yang berlaku selama lebih 20 tahun? Dendam kesumat tiada di dalam jiwa mereka - radiyallahu anhum. Hanya kerana Islam kesatuan ini berlaku. Hanya dengan Islam pembunuh saudara mara mereka dimaafkan. Hanya atas nama Islam mereka menjadi saudara. ISLAM sahaja penyelesai segala sengketa, ISLAM sahaja penyatu sekalian manusia.



 Bertolak pulang pada 28 Januari 2013 pada jam 7.35 malam dari Kuching, Sarawak setelah bermusafir selama tiga hari. Dengan izin Allah rombongan kami selamat tiba jam 9 malam. Semoga permusafiran kali ini memberi anjakan dalam kerja kami membantu umat Islam di negeri Darul Takzim ini. Menaut ukhuwah sesama kami untuk bekerja dalam satu pasukan membanteras kemiskinan masyarakat Islam di sini.

Friday, June 24, 2011

Telah Terbit! --> "Mahligai Bahagia"

Kulit Hadapan

Prakata Buku:

Menulis bukan sekadar memberi maklumat atau menghiburkan, tetapi lebih penting untuk meyakinkan dan mempengaruhi. Buku ini walaupun kecil saiz dan ketebalannya, namun itu tidak bermakna mesej dan misinya juga kecil. Sangat besar misi yang saya bawa dalam penulisan buku kecil ini. Apabila membicarakan tentang berumah tangga tentu akan mengimpikan sebuah mahligai yang indah dan membahagiakan sehingga perkahwinan disebut sebagai Mahligai Bahagia. Banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan keluarga yang dibina mampu mencapai kebahagiaan yang diidamkan. Ini kerana, perkahwinan melibatkan pasangan yang berlainan jantina, akal, perasaan, dan emosi yang biasanya merumitkan perhubungan antara manusia khususnya suami dan isteri serta ahli keluarga.

Pembinaan Mahligai Bahagia ini adalah sesuatu yang sangat besar untuk ditatapi dan dipelajari. Rumah tangga merupakan nukleus segala-galanya. Bila menyentuh soal rumah tangga, kita akan bercakap tentang ibu bapa – pihak yang bertanggungjawab menjadikan seorang anak itu sama ada Muslim, Nasrani, Yahudi atau Majusi. Rumah tangga adalah tonggak generasi.

Sepanjang enam tahun kembara di dalamnya, banyak perkara baharu dipelajari. Walau berbekal ilmu agama yang mendalam, tetapi kerap kali diri berasa lemah mengharunginya. Benar sungguh kata-kata orang lama, ilmu itu bukan hanya teori bahkan juga amali. Kalau hanya berbekal ilmu, kegagalan kerap berlaku.

Maka rajin-rajinkanlah menajamkan pandangan mata hati untuk mencari orang yang boleh memberi panduan mencipta cinta sepanjang perkahwinan. Cinta ini bukan dicipta daripada kemewahan material. Kerap kali kita melihat kesederhanaan pasangan tetapi kehidupan mereka sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Sungguh kesederhanaan mereka tidak menghalang untuk mencipta bahagia. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Kulit Belakang

Sekadar meminjam kata-kata mutiara daripada Mother Teresa, ketika beliau ditanya, “Bagaimanakah hendak melahirkan dunia yang aman?” Beliau secara ringkas menjawab, “Pulanglah ke rumah masing-masing dan cintai keluarga anda.” Malangnya kerap terjadi seorang Presiden yang berbicara tentang keamanan, pulang dengan masam muka bertemu anak-anak di rumah. Perdana Menteri yang kononnya juara kedamaian, menjadi suami tuli dan bisu atas luahan isteri sendiri. Betapa ramai pemimpin yang begitu hebat mengetuai organisasi dan masyarakat, kecundang dalam memimpin keluarganya.

Majalah Fortune pernah menjalankan kajian ke atas rumah tangga para CEO yang bertaraf dunia. Hasilnya mengejutkan! Hanya 10% sahaja daripada mereka yang tidak mengalami keruntuhan rumah tangga. Apalah ertinya jika kita berjaya meraih keuntungan berbilion-bilion dollar sekiranya gagal memimpin rumah tangga sendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, jika kita tidak dapat menikmati kebahagiaan dalam rumah tangga, ertinya kita tidak akan menikmati kebahagiaan dalam kehidupan!

Saya amat terpanggil untuk memberi sesuatu kepada pembaca dalam mencipta mahligai bahagia di sepanjang perkahwinan. Biarpun mungkin hasilnya tidak sebesar yang diharapkan, namun saya yakin bahawa tiada kegagalan dalam usaha murni ini. Yang ada hanyalah ‘kejayaan yang ditangguhkan’. Dengan harapan, usaha yang tidak sempurna ini kerana keterbatasan saya selaku manusia biasa, akan ada pihak yang menyempurnakannya. Buku ini bukan hanya untuk kalian selaku pembaca, tetapi juga saya selaku penulis yang masih bertatih dalam mencipta cinta. Dengan nama Tuhan yang menciptakan… Bacalah!

Al-Iskandarani,
Pusat Islam Iskandar Johor,
Rabiul Akhir 1432H / Mac 2011

Dapatkan segera buku ini dengan hanya RM 10 senaskah. Hubungi saya di 019 755 6118 untuk memilikinya!

Friday, January 14, 2011

Bermulanya tahun 2011...

Tibanya tahun 2011 dengan membawa perubahan pada kehidupan kami sekeluarga. Anak sulung saya, Ahmad Akhfash sudah mula bersekolah. Pastinya ia merupakan sesuatu yang baharu bagi kami. Perlu mengurus dan mengatur waktu dengan lebih tersusun.

Setelah berbulan-bulan saya memikirkan ke mana Akhfash ingin disekolahkan, akhirnya dua hari sebelum sekolah bermula saya nekad membuat keputusan. PASTI merupakan pilihan pertama dan utama yang saya fikirkan sejak awal. Tetapi atas beberapa faktor, saya memaksakan diri untuk mencuba kelainan pada anak pertama saya ini. Alhamdulillah, Akhfash selamat mendaftar di Tadika Islam Al-Amin, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Akhfash pada hari pertama persekolahan

Dengan kos pendaftaran sebanyak RM760, pastinya menjadi sedikit keberatan pada diri saya yang isteri hanya suri rumah. Tambahan bayaran tetap bulanan kereta dan rumah. Baru bekerja selama setahun membuatkan simpanan terlalu sedikit untuk perbelanjaan luar jangka. Tetapi bak kata Ustaz Hasrizal Jamil, "pendidikan anak-anak jangan ditolak ansurkan". Saya sangat bersyukur kerana kerap kali rezeki saya datang tanpa diduga.


Akhfash masih enggan bersama kawan-kawan

Sukar sungguh menyusun waktu tidur Akhfash yang sudah biasa tidur lewat malam. Tambahan tinggal bersama keluarga saya yang agak besar bilangannya. Dipaksa tidur tetapi suasana diluar kamar masih terang dan riuh. Kebiasaan saya keluar rumah seawal jam tujuh pagi, pulang sebentar jam enam petang dan terus menuju ke surau atau masjid untuk pengisian. Biasa saya tiba di rumah jam 10 malam, kadang jejak 11-12 malam. Waktu berbaki sebelum tidur adalah waktu saya bersama isteri dan anak-anak. Ketika itulah mereka ingin mengadu, bergurau dan bermain bersama "walid"nya. Hanya waktu sedikit ini saya perlu gandakan untuk mereka tidak merasakan 'kehilangan' walid dalam setiap hari mereka.

Mulai 3 Januari 2011, waktu tiba saya di pejabat adalah 7.40 pagi atau lebih. Sebelum ini, saya biasa tiba sebelum jam 7.30 pagi. Menyiap dan menghantar Akhfash ke tadika mencuri sedikit waktu saya ke pejabat. Biarlah saya yang mengurus dan menghantarnya ke tadika. Besar sungguh harapan saya dan isteri pada anak sulung kami ini. Walaupun Akhfash antara yang terteruk menangis pada hari pertama persekolahannya, tambahan hanya saya 'bapa tunggal' yang menghantar anak ke Tadika Islam Al-Amin pada hari pertama. Alhamdulillah, Akhfash mudah disiapkan pada hari kedua sehingga sekarang, walau waktu tidurnya masih jejak jam 1 pagi.

Saya melihat Akhfash seorang yang cepat belajar. Memaham, menghafal dan mengingat sesuatu ke dalam mindanya dengan baik. Cuma perlu lebih perhatian terhadap pengaruh negatif di persekitaran dan luaran.

Ahmad Akhfash bin Luqmanul Hakim, jadilah kamu yang terbaik!

Thursday, December 23, 2010

Mukadimah Buku "HIJRAH RASUL"

Semasa berada di Mekah, Rasulullah SAW dan para sahabatnya menerima tentangan daripada penduduk tempatan yang enggan menerima Islam. Mereka enggan menerima dakwah Rasulullah, sebaliknya terus hidup dengan penuh keseronokan mengikut kehendak hawa nafsu tanpa terikat dengan sebarang peraturan. Dalam pembinaan sesuatu tamadun; peraturan yang menjaga kerukunan hidup sebagai terasnya. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang berperaturan.

Sebelum kedatangan Islam, manusia bertuhankan hawa nafsu. Apabila Rasulullah SAW cuba mengubah cara hidup mereka, baginda ditentang hebat, hingga ke tahap mengancam nyawa. Bila keadaan keselamatan Rasulullah sudah terancam, Allah memerintahkan baginda berpindah ke Madinah.

Pada hari ini semasa membincangkan peristiwa hijrah, kita begitu mudah menyebut Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah pergi Madinah. Kita menyatakan bahawa tindakan Rasulullah itu adalah suatu yang tepat untuk menyelamatkan dakwah Islam. Sewajarnya dalam menyatakan sokongan ini bayangkanlah bersama betapa peritnya penderitaan yang dialami oleh Rasulullah dan para sahabatnya semasa mempertahankan agama Islam. Penyeksaan tak usah dikira yang dialami oleh umat Islam pada waktu itu. Betapa sengsaranya umat Islam diseksa dan dibunuh. Penderitaan inilah yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah dan umat Islam dari Mekah ke Madinah.

Cuba kita gambarkan laluan yang baginda lalui bersama Saidina Abu Bakar dalam perjalanan mereka menuju ke Madinah. Kedua-duanya berjalan dalam keadaan takut dan cemas kerana orang musyrikin sedang mengesan untuk membunuh Rasulullah SAW. Seorang Rasul, manusia agung terpaksa bersembunyi bersama teman setianya di dalam gua.

Pada hari ini mereka yang melalui lebuhraya baik dari Madinah ke Mekah atau dari Mekah ke Madinah, jika melihat di kiri kanan jalan, yang kelihatan hanyalah bukit-bukau, gunung-ganang dan padang pasir yang luas terbentang. Tidak terdapat pokok untuk berteduh atau anak sungai untuk berhenti rehat. Cuba gambarkan bagaimana Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berjalan melalui tempat ini.

Kita yang menaiki bas mengambil masa enam tujuh jam untuk sampai. Itu pun menempuh lebuhraya yang rata dan lurus dengan keadaan bas yang berhawa dingin. Sekiranya menaiki unta seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, berapa hari agaknya kita akan sampai. Kasihan Rasulullah SAW yang keluar dari rumah bersama Saidina Abu Bakar dalam keadaan sehelai sepinggang. Bergadai nyawa, meredah padang pasir, berjuang untuk kebaikan umat manusia. Rasulullah tidak dibayar gaji atau elaun untuk membuat kerja yang amat sukar. Perkara inilah yang perlu kita hayati bila mengadakan sambutan Maal Hijrah.

Kita tidak perlu menaiki unta meredah padang pasir untuk merasai apa yang Rasulullah pernah rasai dalam peristiwa Hijrah. Islam tidak meminta umatnya melakonkan semula babak yang menyayat hati ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah mentaati apa yang Rasulullah perintahkan. Rasulullah SAW tidak meminta bantuan daripada Allah SWT menerbangkannya dari Mekah ke Madinah. Jika dalam peristiwa Israk dan Mikraj lebih jauh daripada itu boleh berlaku, inikan perjalanan dari Mekah ke Madinah, tidak mustahil Allah boleh melakukannya. Tetapi baginda tidak meminta itu semua, sebaliknya memilih berjalan sendiri.

Perkara yang seperti inilah yang sewajarnya kita kaji semasa menyambut Maal Hijrah. Renungkan sebentar, gambarkan penderitaan Rasulullah. Selepas itu pandang pula pada diri kita sekarang. Lakukanlah beberapa kali, kita akan dapat rasakan sesuatu kelainan pada diri kita dalam menghayati maksud "Maal Hijrah". Kisah hidup Rasulullah SAW penuh dengan contoh tauladan yang baik untuk dijadikan panduan hidup.

Buku ini bertujuan untuk menghadirkan semula di dalam minda dan sanubari kita tentang sirah perpindahan Rasulullah SAW bersama para sahabat radiyallahu ‘anhum dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah nabi SAW diceritakan secara terperinci di dalam buku ini agar mampu menjadi iktibar dan pedoman di dalam kita menyusuri kehidupan seharian sebagai umat terbaik di bumi Allah ini.

Dapatkan segera buku ini secara PERCUMA di Unit Penerbitan Dan Perhubungan Awam, Majlis Agama Islam Johor. TERHAD!