Malaysiakini
Tulisan seorang Adun dari Terengganu berkenaan keberadaan orang Melayu boleh dianggap sebagai cuba memperkecilkan kuasa serta kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Peguam dan pakar Perlembagaan Persekutuan, Zulqarnain Lukman, berkata kenyataan dibuat Adun Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi (gambar atas) memberi gambaran bahawa kedudukan raja-raja Melayu boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.
Merujuk tulisan Adun terabit di media sosial, Zulqarnain berkata, hantaran tersebut cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan kepada Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Adun ini sudah melampaui batasan undang-undang dalam bersuara. Tindakan undang-undang patut dikenakan ke atas Adun ini," katanya dalam satu pandangan di Facebook hari ini.
Semalam dalam tulisan itu Tengku Muhammad Fakhruddin menyentuh mengenai Perlembagaan Singapura yang memberi jaminan kedudukan orang Melayu melalui perkara 152 yang didakwanya kini digugat walaupun tanpa sebarang pindaan.
Dia antara lain mendakwa masjid di Singapura dikawal kerajaan, madrasah ditekan mengikut silibus sekular, bahasa Melayu menjadi 'hiasan' dan jarang berlaku kenaikan pangkat dalam kalangan anggota polis, askar serta kakitangan kerajaan berbangsa Melayu.
"Semua ini berlaku tanpa perlu pinda satu huruf pun dalam perlembagaan. Kalau DAP dan geng dapat dua per tiga di parlimen (Malaysia), apa boleh jadi?
"Kerusi Melayu dikecilkan, ubah peta pilihan raya, buat Melayu jadi minoriti dalam banyak kawasan, nak menang pilihan raya, sayonaralah," dakwanya yang menekankan bahawa perlembagaan itu hanya kertas.
Zulqarnain Lukman
Bekas pegawai perubatan Hospital Kemaman itu turut mendakwa jika DAP berkuasa, jawatan penting dalam kerajaan akan diambil alih, belanjawan untuk Islam dipotong, dan sekolah agama ditekan.
"Nak tahu lebih pedih? Semua ini berlaku di Singapura walaupun jaminan untuk Melayu ada atas kertas. Kita di Malaysia nak ulang sejarah itu?
"Jangan sampai satu hari nanti anak kita tanya, ayah kenapa kita tak ada kuasa lagi? Mak, kenapa sekolah agama kena tutup?" dakwa Adun PAS itu lagi.
Zulqarnain berkata, seseorang Adun sepatutnya mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai perlembagaan berbanding rakyat biasa kerana dia sendiri menjadi anggota sebuah badan penggubal undang-undang.
Tertakluk perkenan Agong, raja-raja
Seseorang Adun, tambah Zulqarnain, tidak patut meremehkan perlembagaan.
"Tulisan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu meskipun nampaknya seperti hanya kumpulan tulisan tetapi makna yang wujud dalam perlembagaan itu direalisasikan di dalam pentadbiran.
"Tidakkah Adun ini sedar bahawa kedudukan dia di dalam DUN itu pun kerana termeterainya kedudukan di dalam perlembagaan.
"Kemudian, Adun ini juga meremehkan kedudukan Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Singapura.
"Mudah sahaja bagi Adun ini untuk baca Perlembagaan Singapura kerana kerajaan Singapura sudah wujudkan Singapore Statutes Online. Masalah akan berlaku jika dia membuat perbandingan antara rasa buah epal dan buah oren," katanya yang juga pengamal undang-undang.
Mengulas lanjut Zulqarnain menjelaskan, walaupun Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia tetapi Perkara 152 Perlembagaan Singapura itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Malaysia.
Katanya, Perkara 152 Perlembagaan Singapura meletakkan Melayu di bawah tajuk orang asal dan minoriti.
"Begitu juga kuasa menjaga masjid di Singapura itu di bawah (kuasa) Majlis Ugama Islam, sama seperti di negeri-negeri di Malaysia.
"Dalam Perlembagaan Malaysia semua jawatan penting dalam kerajaan seperti perdana menteri, menteri, ketua polis, panglima tentera, ketua hakim, peguam negara dan banyak lagi jawatan penting kerajaan kesemuanya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
"Dalam Perlembagaan Singapura tiada peruntukan berkaitan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
"Adun ini sedar atau tidak bahawa sebarang pelanggaran perlembagaan itu adalah suatu perkara yang serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada secara sivil atau jenayah," tegasnya.
Tambahnya, jika Adun tersebut mahu bermusuh dengan DAP sekalipun, penyebaran naratif songsang seperti yang dibuatnya melalui hantaran berkenaan tidak perlu dilakukan.
Pandangan Adun terbabit hadir ketika beberapa pemimpin PAS didakwa cuba mempengaruhi pilihan raya umum di Singapura sehingga mendorong kerajaan republik itu mengeluarkan "arahan pembetulan" kepada Meta - sebagai syarikat pengendali Facebook - untuk menyekat akses kepada hantaran berkenaan.
Tiga individu terbabit ialah Bendahari Agung PAS Iskandar Abdul Samad, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dan pengguna Facebook dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff — seorang bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Tengku Muhammad Fakhruddin untuk mendapatkan reaksinya terhadap kenyataan Zulqarnain.