Tuesday, December 13, 2011

Jadikan Anak Anda Juara!


Musim peperiksaan sudah tiba? Anda dan anak anda masih belum bersedia? Perlukan motivasi dan tip-tip bernas? Takut gagal? Gemuruh? Atasi permasalahan anda dengan 5 langkah mudah ini!

1. Impikan Kejayaan

Kejayaan anak anda bermula dari impian anda selaku ibu bapa. Berharaplah agar anak anda menjadi juara di medan peperiksaannya nanti. Tidak salah untuk sesekali berangan tinggi ke langit. Bayangkan anak anda berlari mendakap anda dengan keputusan yang cemerlang, hasil dari angan-angan anda yang mampu bertukar rupa menjadi doa yang paling ikhlas. Nak tahu satu rahsia? Setiap kejayaan bermula dengan impian. Sebaik sahaja anda sudah mula mimpikan kejayaan anak, anda sedang membuka ruang dan peluang untuk merealisasikan mimpi indah anda. Cubalah, anda pasti tidak akan menang tangan untuk mengatur langkah mencapai impian selepas ini!


2. Tetapkan mentor

Usah biarkan minda anak menjadikan artis dangdut atau rockers terkenal sebagai mentor mereka untuk berjaya di dalam peperiksaan. Rangsang minda anak-anak dengan kejayaan Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Bill Gates, Ivan Pavlov, Alexander Graham Bell, dan mana-mana tokoh ilmuan terkenal yang sudah pun membina nama di puncak jaya. Sekali-sekala, salurkanlah sedikit daripada gaji bulanan anda untuk membeli buku-buku biografi resipi rahsia mereka yang berjaya. Luangkan masa untuk membaca bersama anak-anak. Kini, anda sudah boleh mengajak anak-anak untuk merangka masa depan dengan bijak.

3. Atur langkah Juara!

Si fat sejati seorang juara ialah tidak gentar untuk bertempur di medan perang. Begitu juga dengan anak anda. Tenangkan hati mereka dengan kata-kata seperti “Kamu pasti berjaya!” atau “Ayah yakin kamu boleh lakukan yang terbaik”. Bina keyakinan anak-anak dengan kebersamaan anda dalam setiap tugasan belajar mereka. Bantu anak-anak untuk membuat jadual belajar harian dan juga berkumpulan (study group). Sebagai ibu bapa, hargai setiap usaha anak anda dengan mengganjari mereka seperti “Hari ini kamu berjaya habiskan dua jam untuk ulangkaji subjek matematik, jadi ibu akan masak makanan kegemaran kamu!”. Ingat, ganjaran haruslah setimpal. Jangan hanya kerana 2 jam belajar, anda mahu hadiahkan iPad!


4. Siap siaga di medan pertempuran.

Bayangkan saat ini hanya tinggal berapa jam sahaja berbaki untuk anak anda menduduki peperiksaan. Pada waktu seperti ini, selaku ibu bapa pastinya perkara paling penting ialah tahap kesihatan anak yang perlu dijaga dengan rapi. Pastikan makanan yang dimakan bebas dari perangkap MSG! Banyakkan makanan berserat tinggi, dan amalkan meminum madu dan kurma pada setiap pagi. Hidangkan pada anak anda sekurang-kurangnya secawan susu sehari dan bekalkan anak anda air mineral yang secukupnya agar pengaliran darah dapat berlaku dengan baik bagi mengelakkan rasa gementar. Jangan biarkan anak anda ke sekolah dengan perut kosng ya? Adalah lebih baik jika anda sendiri yang menyediakan makanan untuk anak-anak, bukan makanan yang dibeli di tepi jalan, takut-takut diserang keracunan makanan. Akhir sekali, jangan biarkan anak anda makan terlalu banyak kerana ini hanya akan menyebakannya berasa mengantuk saat menjawab soalan peperiksaan

5. Ukirlah senyuman tanda lega!

Segala-galanya telah berakhir. Jadi apa tunggu lagi? Senyumlah. Kerana pada senyuman itu menandakan anda sudah lega dan boleh berdiri di atas keyakinan yang awal-awal anda bina sebelum peperiksaan bermula. Sebagai ibu bapa, anda sendiri mengetahui tahap kebolehan anak anda. Walau apapun keputusan yang diterima, jika anak anda berjaya, maka inilah hasil dari usaha dan titik peluh bersama. Namun jika anak anda kecundang, anda tiada alasan lagi untuk menyalahkan sesiapa, kerana usaha sudahpun dilakukan dengan sebaiknya. Anak anda tetap seorang juara pada dirinya sendiri! Katakan kepada mereka, “Ibu bangga dengan kamu, walaupun tidak cemerlang, tetapi ibu yakin kamu mampu pergi lebih jauh.” Ketika itu, pastinya anak anda akan mula mengimpikan kejayaan baru yang lebih bermakna!

Sunday, December 11, 2011

Fainna Ma'al Usri Yusra, Inna Ma'al 'Usri Yusra! (^_^)

Fainna Ma'al Usri Yusra, Inna Ma'al 'Usri Yusra! (^_^)

by Ummu Mukhlis on Tuesday, August 9, 2011 at 3:04pm

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan pada Allah swt, Tuhan sekalian alam, yang menciptakan saya dari setitis mani yang hina, terpancar dari tulang sulbi dan dada sekaligus memberikan saya taklifan wajib sebagai Hamba dan Khalifah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w di atas cahayanya yang menjadikan saya pada hari ini bernafas sebagai seorang Islam. Kepada Allah swt, saya pohon rahmat dan kasih sayangNya agar hati ini terus dibasahi nur iman didasari aqidah yang sahih, serta saya pohon padaNya agar jasad yang lemah ini tidak kaku utk terus beribadat seperti mana yang diajari oleh baginda Rasul s.a.w, mudah-mudahan, InsyaAllah.

Seorang sahabat meminta saya untuk berkongsi tentang resipi kejayaan, terutamanya pada adik-adik untuk dijadikan pembakar semangat. Terus terang, saat saya membaca sms kirimannya (dia: Sdri Imtinan binti Baharudin, UIAM Kuantan), sedikit pun tak pernah terlintas untuk saya kongsikan apa-apa, kerana bagi saya kejayaan yang dikecapi hanyalah permulaan kepada satu lagi episod kehidupan. Terlalu kecil kejayaan hari ini utk dibandingkan dengan kejayaan yang dikecapi sahabat2 lain. Terutamanya pada teman-teman seperjuangan yang kini sudahpun berada di puncak jaya. Kalian semakin hampir ke garisan penamat, utk menggenggam segulung ijazah sedang saya baru sahaja hendak memulakan perjalanan. Namun,siapalah saya untuk mendustai kegembiraan yang Allah berikan pada kejayaan ini, bahkan pada kejayaan inilah berputik bunga cinta untuk mengejar cita-cita! Walaupun saya terlambat, tapi Allah masih memberikan peluang untuk saya mencipta perjalanan yang saya inginkan. Maka tidak ada nikmat dari Dia yang mampu saya dustakan. Sahabat yang budiman, semoga perkongsian ini memberi makna buat kita semua..

Perjalanan kembara kehidupan saya di Kolej Islam Antarabangsa bermula 2 hari selepas saya terpaksa keluar dari Pusat Asasi UIAM, Petaling Jaya. Permohonan saya untuk menukar bidang dari Asasi Sains Kesihatan Bersekutu (ALLHS) kepada Asasi Sains Kemanusiaan (HS) ditolak. Saya sudah tidak mempunyai hati malah tidak mampu utk melanjutkan pelajaran dalam bidang ALLHS. Faktor masa menjadi sebab utama dan saya juga berat hati utk melangkah ke kampus Kuantan kerana saya pasti akan rindukan adik-adik saya! Dekan memaklumkan pada saya jika saya mahu bertukar bidang, saya perlu untuk mengulang semula semua subjek Sains Kemanusiaan yang mengambil masa hampir satu setengah tahun. Masa maksimum di pusat asasi ialah 3 tahun, jadi sudah terlambat utk saya bertukar bidang. Sedikit pun saya tidak salahkan takdir walaupun pada waktu itu, arwah ibu baru sahaja meninggalkan saya tidak sampai sebulan. Ruang waktu selama seminggu di CFSIIUM Nilai, saya manfaatkan utk mengetahui serba sedikit tentang subjek-subjek dalam HS dan saat selepas saya dimaklumkan bahawa permohonan saya ditolak, saya tekad utk teruskan pelajaran di mana sahaja dan pasti SUATU HARI NANTI SAYA AKAN KEMBALI KE UIAM, jika itu yang terbaik.

Alhamdulillah, sedang saya mencari-cari ruang dan peluang utk meneruskan pelajaran, saya terbaca iklan mengenai Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang juga merupakan anak syarikat milik IIUM Properties, justeru saya fikir inilah barangkali peluang yang Allah berikan untuk saya. Selepas puas berusaha, saya hampiri Tuhan Yang Maha Merancang, dan beristikharah padaNya agar ditunjukkan pilihan terbaik. Alhamdulillah, langkah ke IIC dimudahkan, dan pastinya di lauh mahfuz sudah tercatat bahawa lokasi penggambaran kehidupan saya yang seterusnya ialah di IIC.

Apa yang tinggal pada waktu itu semuanya terpulang pada diri saya sendiri untuk mengolah skrip jalan cerita kehidupan yang ditetapkan Allah swt, serta mengisi ruang-ruang kosong para pelakon yang akan menghiasi babak-babak cerita di sana. Saya sedar akan keperluan watak utama yakni para sahabat yang akan menguatkan saya, dan juga watak diri sendiri yang bertindak selaku heroin. Alhamdulillah, babak pertama: MENDAPATKAN SAHABAT yang baik selesai. Bersama-sama sahabat saya Nur Aida binti Mohd Suhaimi, kami mencorak skrip penceritaan kehidupan yang hampir serupa. Berbekalkan kecekalan dan keyakinan yang tinggi pada Allah, kami memilih bidang yang akan mendekatkan diri kami kepadaNya. Kami tekad, mahu mengenal sang Pencipta sebelum terus berlari mengejar cinta dan cita. Kami tekad bahawa selepas ini, segala cinta dan cita perlu untuk disulami pergantungan yang tinggi pada Dia Yang Maha Memberi. Alhamdulillah, Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari (DIC) menjadi pilihan Allah untuk kami.

Bergelar pelajar IIC, saat melangkah masuk ke pintu utama, hati saya berbisik kuat "Aku mesti jadi TERBAIK disini!". Semenjak itu, itulah cita-cita tertinggi duniawi saya. Walaupun tidak ada lagi bi'ah solehah seperti di UIAM, tidak ada kelompok persatuan agama, saya bertanya pada diri, "mengapa tidak aku sumbangkan untuk pelajar di sini, sedang dulu aku seorang NAIB AMIRAH?". Niat saya Allah mudahkan utk saya realisasikan. Pengalaman menguruskan program palestin bersama-sama sahabat2 Taklim Ustaz Emran di UIAM dahulu, saya manfaatkan bersama adik2 di sini. Saya 'dilamar' oleh seorang ukhti, yang juga naqibah saya dalam Halaqah Cinta di IIC, (kak yong, uhibbuki fillah!h) untuk membantu pihak kolej menguruskan program Palestine in Our Heart III. Itulah program pertama saya walaupun tidak sampai 3 minggu bergelar pelajar IIC! Saya menerima tanggungjawab itu dengan hati yang terbuka dan alhamdulillah, Allah mudahkan urusan untuk mengumpulkan para jundullah yang akan membantu saya bersama-sama menjayakan program ini. Dari situlah, para pelajar jurusan DIC mula bersatu dan ukhuwah kami mula bersemi harum mewangi sehingga ke saat ini! Terima kasih Tuhan..(^_^)

Sewaktu saya berada di salam semester ketiga, sekali lagi saya 'dilamar' untuk menghidupkan semula persatuan berorientasikan dakwah di IIC. Persatuan ini sudah tertubuh secara rasminya, namun tidak ada penggerak utama. Jadi seperti yang dirancang Allah, para 'pelakon' babak Palestine In Our Heart sekali lagi diminta mengisi kekosongan jawatan dalam Persatuan Khalifah Muda/Caliph Youth Society (CYS). Allah menghadirkan watak utama dalam babak ini ialah Sdr Muhammad Ridhuan yang memegang jawatan President, dan saya sebagai Vice President. Alhamdulillah, berbekalkan tunjuk ajar dari Xifu kami, Sdr Abdul Razak Abdul Muthalib, serta rakan-rakan seperjuangan yang lain, persatuan ini berjaya kamu kemudi bersama-sama walaupun sering sahaja diuji. Apalah erti perjuangan andai diri tidak teruji? Kami terima dengan redha, dan kami sahut cabaran untuk terus mengemudi bersama-sama sehingga ke destinasi seterusnya.

Saat ditanya bagaimana saya membahagi masa 24 jam yang ada untuk menguruskan hal pelajaran, persatuan dan keluarga (kerana saya tinggal di rumah bersama keluarga), hanya satu sahaja jawapan yang mampu saya berikan, LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH! Di kolej, saya terlalu sibuk dengan urusan pelajaran dan persatuan, sedang di rumah pula saya terlalu sibuk menguruskan keluarga. Bayangkan saya perlu menghantar dan menjemput adik ke sekolah dan pusat tuisyen, menyediakan makan pagi, tengahari dan malam, menguruskan pakaian keluarga, (terima kasih buat adik, Siti Naquiah yang sama-sama membantu), menjadi seorang kakak dan sahabat buat adik-adik di rumah, dan dalam masa yang sama saya perlu mengekalkan CGPA saya 3.9++ ke atas, serta saya juga perlu memastikan Persatuan yang dikemudi terus kekal aktif dengan aktiviti dan program yang bermutu. Di kolej saya perlu 'memberi', dan di rumah saya juga perlu 'memberi'. Dari mana pula untuk saya 'menerima'? Hanya pada Allah saya memohon pertolongan..

Segala permasalahan di rumah saya perlu selesaikan di rumah tanpa sedikit pun terbawa-bawa ke kolej dan begitu juga segala permasalahan di kolej saya perlu selesaikan tanpa membawa pulang sedikit pun ke rumah agar demi menjaga kualiti waktu di rumah serta di kolej. Maka, rahsia kejayaan dalam pelajaran hanya dua, iaitu TUMPUAN 100% dalam kelas dan TAWAKKAL pada ALLAH. Saya tidak sempat menyentuh buku walau sesaat ketika berada di rumah. Justeru, saya memaksimumkan penggunaan masa di kolej selama 10 jam (9am-6pm) setiap hari utk belajar, mengulang kaji dan beraktiviti. Seolah-olah di rumah, saya bukanlah seorang pelajar, tetapi seorang suri rumah, dan seolah-olah di kolej, saya tidak mempunyai rumah, lalu mengoptimumkan penggunaan masa di kolej dgn sebaiknya. Namun, alhamdulillah keluarga begitu memahami kerana saat peperiksaan menjelang, saya dibenarkan keluarga utk bersama-sama sahabat2 lain mengadakan "group discussion" sehinggalah selesai musim peperiksaan. Saya bersyukur ke hadrat Illahi, kerana dikurniakan keluarga dan sahabat yang begitu memahami. Di sini, saya belajar menjadi seorang yang perfectionist dalam menyiapkan assignment dan di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf andai sikap saya pernah terguris hati teman-teman. Hal ini kerana, saya menetapkan azam dalam diri, markah assignment tidak boleh kurang dari 90%.

Para pensyarah merupakan medium pengantara penyampaian ilmu kepada kita. Jadi di dalam kelas, saya akan pastikan saya memenuhi ruang paling hadapan walaupun ketika itu hanya saya seorang diri di barisan pertama. Apabila berada di depan, kita akan mudah dikenal pasti oleh pensyarah dan ini memudahkan urusan komunikasi kita bersama-samanya. Jika tidak berkesempatan untuk duduk di depan, saya melazimi sikap suka bertanya walaupun pernah digelar 'kuali' kerana terlalu sukar untuk memahami pelajaran yg dipelajari. Saya juga akan pastikan saya mempunyai no telefon pensyarah agar mudah dihubungi untuk sesi konsultasi. Oleh kerana saya seorang yang sibuk, saya sedikit kerap hadir lewat ke kelas. Justeru, dengan menerangkan keadaan sebenar kepada pensyarah, mereka akan lebih memahami kita dan akan turut sama membantu kita untuk kekal cemerlang.

Namun, sebagai seorang hamba, saya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang pastinya membuatkan ada yang menyukai dan ada yang membenci. Di kesempatan ini, ingin saya katakan, saya adalah manusia hina, dan sentiasa berada dalam keadaan lupa. Saya punyai iman yang terkadang naik dan turun dan terima kasih saya ucapkan kepada mereka-mereka yang menjadi watak antagonis dalam babak kehidupan saya di IIC, yang saya kira banyak membantu saya memperbaiki kelemahan diri. Tanpa kritikan anda, saya tidak mampu berdiri seperti sekarang, dan saya yakin kritikan yang anda berikan adalah kerana anda sayangkan saya dan tidak mahu melihat saya tersasar jalan. Terima kasih! (^_^)

Akhir sekali, buat keluarga yang dikasihi, terima kasih kerana terus membahu gagah saat saya tersungkur rebah! Juga buat teman-teman Gen 4 PKPIM, dan ALLHS yang terus kekal di sisi sebagai sahabat setia yang mendokong perjuangan saya, terima kasih, dan semoga Allah membalas jasa kalian dengan kebaikan! Tidak dilupakan buat sahabat2 pelakon babak kehidupan saya di IIC, barisan pimpinan Caliph Youth Society 10/11, juga kenalan-kenalan dari jurusan lain, SRC team, jazakallahu khairan jaza'. Buat para pensyarah yang saya kasihi dan hormati, terima kasih kerana menjadi lilin yang membakar diri saya untuk terus gagah berdiri mencipta kejayaan. Buat sahabat baik dunia akhirat, Nur Aida binti Mohd Suhaimi, dan bakal suami terima kasih, terima kasih, terima kasih. kepada semua, semoga kita dapat berhimpun bersama-sama dalam kebaikan di syurga kelak. Doakan saya berjaya untuk menjalani penggambaran kehidupan di lokasi seterusnya iaitu di UIAM Gombak september nanti. Mudah-mudahan olahan skrip kehidupan dan para pelakon yang akan menjayakan cerita hidup saya lebih baik dari apa yang ada.

kalau dahulu, saya pernah menangis kerana tinggalkan UIAM, kini saya menangis kerana waktu indah di IIC sudah berakhir. Di sinilah saya benar2 mengenali erti kehidupan, persahabatan, cinta dan cita! Dan kini, saya akan kembali mendaftar di bumi UIAM, pada 4 september 2011 sebagai pelajar SARJANA MUDA SAINS KEMANUSIAAN (PSIKOLOGI), dan disisiNya, inilah yang terbaik untuk saya, insyaAllah. Buat Nur Aida binti Mohd Suhaimi, saya pasti tak lama lagi, awak akan bersama-sama saya semula, InsyaAllah jika itu yang terbaik dalam ilmu Dia Yang Maha Mengetahui! (^_^)

Sekian, wassalam.

~ummu mukhlis, 2.02 pm, 9/8/2011~

Saturday, October 15, 2011

Tika Qalbi Bersuara..


Saat ini, sakitnya aku rasakan tidak tertahan-tahan lagi. Debu mazmumah kian menebal menyelaputi penglihatanku.. Aku sudah seakan-akan buta untuk melihat dan mentafsir tiap-tiap perilaku. Langkah jasad yang aku tumpangi seakan-akan mahu tumbang kerana diriku yang kian lemah tak bermaya. Kemanakah menghilangnya sebuah RASA yang dulunya aku simpan rapi dalam lubuk diriku yang paling dalam?



Rasa. Aku dahulunya penuh dengan rasa MALU. Maka saat hilangnya MALU, aku mula lakukan apa sahaja yang aku mahu.


Aku dahulunya penuh dengan rasa RENDAH DIRI. Maka saat 'ujub, riak dan takabbur mula bertakhta, aku sudah mula leka dengan arus dunia.


Aku dahulunya penuh dengan rasa CINTA. Cintaku pada Sang Pencipta dan RasulNya melebihi segala-galanya. Maka saat hilangnya CINTA, aku mencari cinta manusia yang akhirnya membuatkan aku merana.


Aku dahulunya SUCI, dan aku kini HITAM KELAM.


Ya Rabb, aku pinta dengan setulus diriku agar Kau dekatkan pertolonganMu untuk aku bina kembali RASA itu sebelum saat tibanya aku kembali di ribaanMu...


Aminn~~

Wednesday, May 11, 2011

Kembalilah Pada Fitrahmu, Duhai Insan!

~Bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah~

Di celahan kamar hati insan, pasti tersembunyi lembaran fitrah yang mahukan segalanya berona putih bersih. Malah, pada secalit kotoran hitam dek sirna masa lampau kehidupan, pasti ditolak keras oleh sucinya fitrah insani. Begitu indahnya ciptaan Khaliq buat makhluk yang bergelar insan. Bekalan fitrah dititipkan pada tiap-tiap keping hati agar paluan hidup sentiasa rindu pada suluhan cahaya hidayah yang mententeramkan, sekaligus mengembalikan semula ruh dan jasad yang hidupnya bermatlamat, agar mampu menampung amanah yang berat yakni tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Indahnya saat diri kembali pada fitrah. Segala keluh kesah seakan diangkat dan ketenangan mula meliputi seluruh isi hati, lebih-lebih lagi saat diri tersungkur tika asyik mencatur langkah hidup.


Mendepani cabaran kehidupan sebagai makhluk bergelar insan bukanlah mudah. Namun, sunnatullah mengajar kita bahawa pengakhiran yang indah perlu dimulakan dengan kepayahan demi kepayahan. Seperti firmanNya yang bermaksud;

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"
Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."
(Surah Al-Baqarah : Ayat 214).

Kalam Tuhan ini mengajar kita hambaNya agar meyakini bahawa segala kejenuhan yang barangkali pernah merenggut keyakinan, andai ditekuni dengan sabar pasti akan membuah bahagia.Hal ini pastinya bukan omongan kosong, tetapi dibuktikan dengan janji Allah dalam Surah Ali Imran ayat 146 yang bermaksud


"Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka
sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang
sabar."


Juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman:


"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak,adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Imam Bukhari)


Sememangnya Allah itu Maha Adil. Tidak langsung membebani hambaNya melainkan dengan kesanggupannya. Masing-masing diuji bersesuaian dengan tingkat keimanan yang dimiliki seperti firmanNya yang bermaksud


"Allah tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang
diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang
dikerjakannya."
(
Surah Al-Baqarah : Ayat 286)


Saat dugaan bertamu, insan beriman tahu pada siapa tempat mengadu. Keyakinan mereka melebihi keresahan di dada, sedang syaitan pula tidak jemu-jemu bertenggek di sepanjang jalan permusafiran. Tidak diganggu mereka yang kafir, munafiq, fasiq tetapi usaha diperkuat untuk menggugat aqidah mereka-mereka yang soleh, yang taat pada Tuhan, dan mereka yang benar-benar ikhlas mengharapkan pengampunan Allah swt. Justeru mengapa perlu tunduk pada bisikan-bisikan jahat sang iblis durjana sedang petunjuk Allah yang hanya perlu didamba?


Seringkali masalah yang timbul memerlukan kita berdepan dengan beberapa pilihan dan betapa ramai insan yang salah membuat perhitungan akibat terpedaya dek was-was syaitan. Sedikit sekali daripada kita yang mampu berdiri dan bangkit semula saat terjatuh semata-mata untuk memohon sedikit kekuatan dari Ar-Rahman buat bekalan untuk memulakan semula perjalanan yang terhenti seketika. Ramai pula yang terus menerus menyalahkan taqdir, menangisi setiap dugaan seolah-olah itulah pengakhiran kehidupan.


Betapa ramainya di antara kita yang hanya mengenal Tuhan saat susah, lantas tatkala kurniaNya berupa kenikmatan melimpah ruah, janji taat beribadat seakan-akan punah semuanya. Sombong mula menduduki takhta hati. Mata yang dahulunya diterangi jernih air yang mengharapkan bantuan Allah, seakan-akan kabur dengan palsu duniawi yang kian menjerat langkah. Bukankah peredaran kehidupan ini seakan roda yang berputar? Lupakah insan bahawa nikmat itu semua kian pudar, dan bakal diisi dugaan yang semakin mencabar?


Bukannya Tuhan tidak tahu jerih peritnya dugaan yang datang bersilih ganti, sedang Dia jugalah yang menyusun taqdir agar langkah kita sesekali bertemu payah. Namun, formula bahagia dititipkan agar insan berupaya mengenang kesusahan andai dijamu kesenangan, mudah-mudahan tidak lupa diri.


Haruslah kita terus mengingatkan diri bahawa janji iblis hanya satu, iaitu menyesatkan insan agar menjadi peneman di jahannam. Justeru, demi memastikan langkah kehidupan yang lebih terarah dan jauh dari godaan sang iblis durjana, antara perkara pokok yang perlu diperbaiki ialah aqidah agar tidak tersasar dari pegangan Al-Quran dan Sunnah.


Bermula dari aqidah yang sahih, maka akan berbuahlah segala amalan yang sahih seterusnya menguatkan keyakinan dan kebergantungan kita pada Allah 'Azza Wajalla. Dugaan yang menerpa akan ditelan sebagai juadah. Kesakitan dan derita hanya akan dipandang sebagai rencah kehidupan. Pacuan hidup akan lebih terarah kerana pengharapan akan hanya menjadi satu, iaitu pertemuan dengan Allah di negeri abadi. Tiada lagi keluh kesah dan rintihan yang melemahkan, tetapi hanya kedengaran derap langkah gagah yang senantiasa berbunga-bunga rasa redha, dan jiwa yang sentiasa memanjatkan doa agar langkahnya diiringi rahmat Allah swt.


Insan sempurna memacu hidup bermisi. Tiada lain melainkan mencari redha Tuhan semata. Pada tiap derap langkah, pasti punya halatuju. Pada tiap hela nafas, pasti punya semangat yang jitu. Nafas yang bersemangat seakan berpadu dengan gagahnya derap langkah menuju matlamat, lalu diterjemahkan pada tiap-tiap tindak-tanduk insan. Pacuan kehidupan semakin diperkemas, lalu diisi dengan muatan iman dan amal sebagai perisai andai jalan yang perlu ditempuhi bakal dipenuhi ranjau dan onak berduri. Akalnya juga bijak mengolah cerita kehidupan. Latar tempat dan masa diteliti rapi. Tiada lagi hitam putih kehidupan yang malap dan suram. Lakon layar hidup sudah mula berubah warna. Seindah pelangi kerana sudahpun ditata rias dengan keyakinan yang tinggi pada qada' dan qadar Illahi. Mindanya sedar bahawa dunia ini hanyalah sebuah pentas lakonan. Jiwanya rindu untuk disucikan dan sentiasa mengharap untuk mensucikan agar sentiasa dalam keadaan fitrah. Debu-debu mazmumah yang terkadang melekat, segera dibuang agar tidak terus menghitamkan hati. Begitulah indahnya bayangan insan yang sentiasa berada dalam keadaan mensucikan. Firman Allah swt yang bermaksud;


"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan
kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta
mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran
maksiat).
(As-syams: 7-10).


Wahai insan, tidak kira siapa jua dirimu, ahli politik yang berjaya, ahli agama yang alim ulama', para pengamal rasuah dan pemakan riba, mereka-mereka yang sedang berhati suram, para manusia yang sedang ditipu nafsu dunia, para ibu yang menderita, si fakir yang meminta-minta, si ayah yang dibasahi keringat, anak-anak yang lulus cemerlang, juga anak-anak yang sedikit kecundang, muda-mudi yang berhati waja, si kaya yang dermawan bahkan jika dirimu pelacur yang ketandusan, mahupun penyamun yang kebingungan, ingatlah akan secebis ruang jernih bernama fitrah dalam lubuk hatimu yang paling dalam. Terangkanlah ia kembali dengan sebuah pencarian segaris cahaya hidayah dari Tuhanmu yang menciptakan. Mohonlah pengampunanNya, dan melangkahlah menuju redhaNya.


Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi
mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu,
nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi."


~Ummu Mukhlis; (11/5/2011) 1.45pm~