AKADEMIK
Pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa.
Huraian:
Prof Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia di dalam buku beliau, Menghayati Budaya Ilmu menyatakan bahawa universiti bukanlah tempat untuk mendapatkan ilmu untuk kepentingan diri sendiri seperti persediaan ke alam kerja semata-mata tetapi lebih luas dan lebih jauh daripada matlamat tersebut, beliau menyeru semua warga Universiti Teknologi Malaysia, mahasiswa khususnya dan semua staf akademik dan staf bukan akademik untuk sama-sama menjadikan UTM sebagai sebuah pusat tamadun yang menjadikan ilmu sebagai teras kehidupan.
Oleh itu, kami di pihak PRO-MAHASISWA menyambut gagasan ini dan kami ingin membawa satu pendekatan kepada mahasiswa iaitu pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa. Kita semua mengetahui bahawa kemahiran-kemahiran yang dikuasai oleh mahasiswa merupakan satu nilai tambah di samping pengetahuan dalam bidang masing-masing. Jika mahasiswa mampu untuk mengurus organisasi pada hari ini contohnya, mahasiswa juga pasti mampu untuk mengurus keadaan yang lebih besar di luar alam kampus suatu hari nanti.
Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas ada menyebut bahawa ‘orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya. Persoalannya ialah, adakah kita sebagai mahasiswa dengan kelayakan akademik telah mengaplikasikan segala ilmu dan hikmah yang telah kita pelajari di UTM selaras dengan visi dan misi UTM sendiri mahupun selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mensasarkan pembangunan mahasiswa dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
Budaya ilmu merupakan amalan masyarakat yang bertamadun. Oleh itu, kami ingin memperbanyakkan program-program berbentuk akademik yang dapat meningkatkan kualiti mahasiswa secara dalaman dan luaran. Sebagai contoh, NC telah mengeluarkan idea yang sangat baik iaitu program Saturday Night Event sebagai saluran untuk mahasiswa berhibur di samping mencambah buah fikiran dengan forum, diskusi dan sebagainya. Berhibur tiada salahnya tetapi hiburan bagaimana yang mahasiswa sebagai ahli intelek perlukan?
Agenda PRO-M juga selari dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa UTM yang dibangunkan oleh TNC melalui 3 objektif iaitu pembangunan akademik, pembangunan individu dan sosial serta pembangunan kerjaya. Melalui pembangunan akademik, mahasiswa juga perlu cakna dan peka terhadap keadaan sekeliling dan kreatif dalam mengaplikasi ilmu yang pelbagai sesuai dengan bidang masing-masing. Allahyarham Mohamad Natsir (Tokoh negarawan, pemikir, pendakwah dari Indonesia) seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam situasi mahasiswa pada hari ini, jgn kita hanya membangun PNGK sahaja tetapi akhlak, sahsiah, integriti juga perlu membangun seiring. Kami menantikan mahasiswa yang dididik dengan budaya ilmu ini pada akhirnya mampu menjadi seorang yang pakar dalam bidang profesionnya serta mampu membaiki keadaan masyarakat sekeliling.
PRO-MAHASISWA sangat komited untuk memanfaatkan dan memperkasakan ‘books corner’ sebagai satu kemudahan kepada mahasiswa untuk menambah ilmu yang mempunyai pendekatan bahan bacaan yang lebih santai tetapi sarat dengan ilmu semasa sesuai dengan keadaan semasa. Kami akan berusaha untuk mempelbagaikan bahan-bahan bacaan dari bahan yang sedia ada kepada pelbagai jenis bahan bacaan ilmiah lain sesuai dengan keintelektulan mahasiswa. Dengan cara ini,kami yakin dan percaya bahawa mahasiswa lebih mudah untuk mencapai ilmu di mana-mana sahaja seterusnya akan melahirkan mahasiswa yang mampu mendepani massa dan menyelesaikan isu secara global dengan fakta dan penilaian yang tepat.
KEPIMPINAN
Satu platform kepimpinan yang lebih matang, dinamik dan responsif dalam mendepani massa dalam isu-isu pada peringkat kampus, nasional dan international.
Huraian:
Pemimpin merupakan teras dalam sesebuah koloni dalam membawa halatuju masyarakat yang dipimpin ke arah kecermelangan bagi segenap ruang lingkup kepimpinannya. Secara khususnya, kepimpinan mahasiswa diertikan sebagai kepimpinan yang diasaskan oleh rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan sebenar.Jika sekarang kita dikelilingi rakan-rakan mahasiswa/i yang sama tahap keintelektualannya,cuba bayangkan bila kita berada di pentas dunia realiti , kita akan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang dan inilah liku-liku kehidupan serta cabaran yang harus kita tempuh sebenarnya.Jika tidak disambut cabaran dalam kampus ini,BILA LAGI UNTUK MENGUJI KEMAMPUAN KITA UNTUK MEMIMPIN?.Bukankah setiap dari kita adalah pemimpin. Pada ketika ini kita tiada pemimpin, diri inilah adalah pemimpin diri bagi menuju era kepimpinan yang lebih besar.Walaupun tiada daya dan kekuatan, namun kita kena menjadi kuat menghadapi. SIAPA LAGI HENDAK MEMIMPIN KALAU BUKAN KITA YANG MULA MEMIMPIN.
Pada peringkat Pro Mahasiswa UTM,kami menyediakan satu platform kepimpinan yang lebih matang, dinamik dan responsif dalam mendepani massa dalam isu-isu pada peringkat kampus, nasional dan international. mahupun isu-isu kampus yang seharusnya diambil cakna oleh pihak pentadbiran universiti demi menjaga kelangsungan kebajikan mahasiswa/i secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, kita cuba mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan dekat di hati antara mahasiswa/i dan pihak pentadbiran sekaligus dapat menjana sinergi dalam memacu gagasan tranformasi kreatif dan inovasi yang disuarakan oleh ayahanda NC,Prof Dato’ Dr Ir Zaini Bin Ujang.
Selain mengagendakan pelaksanaan pelan tranformasi pembangunan mahasiswa dan sebagainya,kami amat komited dalam memperjuangkan sekaligus melindungi hak mahasiswa tanpa mengira bangsa dan agama di bawah satu payung kesejagatan mahasiswa terpimpin.Semua mahasiswa berhak menyatakan keperluan asasinya sebagai mahasiswa selagi mana tidak bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti,Perlembagaan Malaysia serta Deklarasi Universal tentang Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Apalah ertinya sebuah universiti tanpa MAHASISWA. Apalah pula ertinya mahasiswa tanpa NILAI DAN KEGIATAN KEMAHASISWAAN yang moderate.
Sebagai wadah kepimpinan yang telus serta berintegriti, kami juga amat komited untuk memperkasakan mahasiswa dengan elemen yang baik dalam sebuah ekosistem akademik yang lebih bersifat ’mesra siswa’. Ini bagi menjamin ketidaktandusan kepimpinan pada masa akan datang tanpa mengira apa jua lapangan sekalipun sama ada persatuan-persatuan,kelab-kelab mahupun Jawatankuasa Kolej Mahasiswa di kolej-kolej. Kami tidak mahu wujudnya sikap ’kita-kita je’ atau suatu kelompok eksklusif di kalangan mahasiswa/i yang langsung tidak dapat dicapai mahupun didekati oleh mahsiswa/i amnya di UTM ini.Ingat kita semua SERUPA tapi yang membezakan adalah ILMU,MENTALITI serta KEMATANGAN kita sebagai mahasiswa terpilih untuk berada di gedung ilmu ini.
Dalam melahirkan waris kepimpinan yang baik, kita perlu bersama menyingsing segala kekuatan yang ada dalam mencorakkan gaya kepimpinan yanag akan mentadbir negara ini pada masa akan datang. Dalam hal ini, golongan mahasiswa seharusnya mengekalkan status serta identiti yang diberikan oleh masyarakat sejak dari awal 30an lagi bahawa mereka telah dinobat sebagai jurubicara masyarakat, penerus kepimpinan mampan dan penyala obor ummah.
Justeru itu, di universitilah antara platform yang terbaik dalam mengasah bakat kepimpinan dan mempertajamkan kemahiran –kemahiran yang boleh dijadikan sebagai senjata ampuh dalam mempertahankan dan menjaga negara mahupun kampus tercinta ini dari sebarang ancaman mara bahaya serta anasir-anasir kebencian akan kesatuan di bawah nama MAHASISWA.
PERPADUAN
Perpaduan menurut acuan 1Malaysia bukanlah satu konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.
Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu.
Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.
Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.
Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.
Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.
Memperkasa toleransi agama di kampus universiti
Mahasiswa yang menuntut di pusat pengajian tinggi seluruh negara terdiri daripada mereka yang menganut agama yang berbeza.Namun begitu perbezaan agama tidak sewajarnya menjadi penghalang kearah usaha memperkasa perpaduan, mengeratkan ukhwah dan menyemai cinta dan kasih sayang di kalangan mahasiswa.
Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat majmuk,mahasiswa sepatutnya sedar dan insaf bahawa mereka perlu hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni dan tidak terpengaruh dengan dakyah perkauman dan pemahaman agama yang sempit.Ajaran agama perlu difahami dengan tepat dan terbuka memandangkan perbezaan agama tidaklah bermakna kita perlu saling bermusuhan dan benci-membenci antara satu sama lain bahkan mesej agama itu sendiri ialah cinta.
Perjuangan agama seperti agama Islam itu ialah perjuangan cinta.Wajah agama itu ialah wajah yang toleran,menyeru kearah kedamaian,keamanan dan saling hormat-menghormati.Ajaran agama Islam menolak sikap taksub melampau,peperangan,permusuhan,pertelingkahan bahkan menyeru kita menghormati kepelbagaian aliran pemikiran agama.
Melihat realiti di kampus universiti,tahap kesedaran dikalangan mahasiswa terhadap sikap toleransi terhadap agama masih rendah.Masih ada mahasiswa yang cenderung bergaul dan bersahabat hanya dengan mereka yang satu bangsa dan satu agama dengannya.
Di kafeteria,mereka duduk makan sesama sendiri sahaja.Di bilik-bilik kolej kediaman mereka hanya mahu tinggal sekelompok mereka sahaja.Program-program yang melibatkan bangsa dan agama lain mereka tidak akan hadir.
Ini tentunya menyebabkan integrasi social tidak berlaku.Mahasiswa yang mempunyai pemikiran sebegini pastinya tidak akan faham dan mengerti akan budaya,ajaran agama sahabat mereka yang lain dan akhirnya jadilah mereka umpama kera sumbang dan katak di bawah tempurung.
Persatuan-persatuan berasaskan agama seperti Persatuan Mahasiswa Islam ,Kristian,Hindu,Buddha, dan lain-lain di kampus universiti bolehlah mengadakan program bersama yang melibatkan kerjasama mahasiswa dari pelbagai agama seperti mengadakan program-program kebajikan yang melibatkan masyarakat seperti menziarahi rumah anak-anak yatim dan warga tua,ziarah pesakit di hospital,gotong-royong dan sebagainya.
Ini dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap semua golongan tanpa mengira agama dan kepercayaan apapun seterusnya menyedarkan mahasiswa dari anutan agama yang berbeza bahawa mereka semuanya tidak lain tidak bukan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.
Dialog antara agama juga perlu selalu diadakan agar mahasiswa dapat memahami selok-belok ajaran agama lain dengan harapan mereka dapat menghormati penganut agama lain.Menghormati penganut agama lain tidak sedikit pun mengurangkan iman kita terhadap agama yang kita anuti bahkan lebih membuatkan orang lain menghormati agama anutan kita.Semoga pemikiran mahasiswa lebih matang dengan mengamalkan toleransi agama seterusnya menyemarakkan perjuangan cinta antara manusia
KEBAJIKAN
Kebajikan adalah suatu usaha untuk memastikan mahasiswa sentiasa berada dalam kedudukan yang baik terutamanya dari segi mental, fizikal dan persekitaran. Dalam usaha menyokong gagasan NC untuk menjadi Research University, kebajikan mahasiswa haruslah ditekankan agar usaha ini dapat berjalan dengan lancar.
Oleh itu, kami pro-mahasiswa akan memperjuangkan hak kebajikan mahasiswa dari segi:
Kewangan. Yuran pelajar perlu dikaji semula di peringkat pentadbiran. Ini kerana pelajar dikenakan yuran kolej yang tidak selaras atas alasan kedudukan kolej yang terletak di lingkaran dalam atau di lingkaran luar. Kolej yang berada di lingkaran dalam dikenakan yuran asrama yang lebih mahal berbanding dengan kolej yang berada di lingkaran luar dengan perkiraan RM4.50 untuk bilik double di lingkaran dalam dan RM3.50 untuk bilik double di lingkaran luar. Selain itu, pelajar juga diminta untuk menjelaskan yuran pengangkutan / bas. Keadaan ini berbeza dengan yuran di UTMKL yang mana pelajar dikenakan RM3/sehari untuk bilik double dengan kemudahan bilik air dan keadaan bilik yang lebih selesa berbanding di UTM Skudai. Persoalannya, berbaloikah yuran yang dikenakan ke atas pelajar atas perkhidmatan yang diberikan? Ini kerana UTMKL yang didirikan di atas tanah sewa dikenakan yuran yang lebih rendah berbanding dengan pelajar di UTM Skudai yang berada di tempat sendiri dikenakan yuran yang lebih mahal.
Pembayaran yuran untuk perkhidmatan internet sebanyak RM20/sem. Kemudahan WIFI merupakan satu perkhidmatan yang penting kepada mahasiswa untuk memudahkan mahasiswa mendapatkan maklumat dan bahan-bahan tugasan. Namun, perkhidmatan WIFI di dalam UTM masih berada di tahap yang kurang memuaskan kerana tidak semua kawasan mendapat coverage WIFI yang secukupnya. Jika di kaji dari pembayaran yuran internet, seorang pelajar dikenakan RM20/sem. Dan jumlah pelajar di dalam UTM mencecah hampir 22,000 orang. Dari perkiraan pembayaran ini, pihak pentadbiran mendapat RM440,000 untuk satu semester. Dan dalam setahun pembayaran yuran untuk perkhidmatan WIFI yang diterima mencecah hampir 1 juta. Namun, perubahan perkhidmatan WIFI masih di tahap yang sama. Adakah berbaloi RM20 yang di bayar setiap semester jika di bandingkan dengan penggunaan broadband jenis topup seperti DIGI?
Selain itu, UTM juga menyediakan bantuan kewangan samada dalam bentuk pinjaman atau dermasiswa untuk kebajikan mahasiswa. Namun, tempoh untuk pemprosesan permohonan bantuan kewangan tersebut mengambil masa yang lama. Oleh itu, perlunya usaha untuk menggesa pihak pentadbiran (bendahari) mempercepatkan proses pemohonan pinjaman. Ini kerana tujuan bantuan kewangan disediakan adalah bagi meringankan bebanan pelajar dari segi kewangan. Jika pemprosesan pemohonan ini mengambil masa yang lama, dimanakah peranan kebajikan untuk mahasiswa? Ini kerana masalah kewangan boleh menjadi punca kepada masalah sosial terutamanya di kalangan siswi seperti bekerja part-time sebagai pelayan kelab malam, pelacuran dan sebagainya.
Kedua, keselamatan. Keadaan keselamatan di UTM masih berada di tahap terkawal. Namun terdapat beberapa kesalahan yang menyebabkan tindakan tatatertib AUKU dikenakan seperti kes bercumbu, skodeng @ meneropong ke asrama siswi dan sebagainya. Di antara sebab terjadinya keadaan ini ialah kedudukan asrama siswa dan siswi yang berdekatan. Jika dilihat kes di atas hanyalah beberapa kes yang berjaya di kesan dan di ambil tindakan sedangkan jumlah sebenar kes seperti ini tidak dapat di kesan sepenuhnya. Persoalannya, dimanakah tahap keselamatan mahasiswa terutamanya siswi di dalam UTM? Dan kenapa pencegahan tidak dilaksanakan? Oleh itu, pengkajian semula penempatan asrama siswa dan siswi terutamanya di kolej yang menempatkan kedua-dua gender perlu dilakukan. Di samping menambah bilangan mak guard dan pak guard untuk diletakkan di setiap kolej untuk memastikan keselamatan terkawal terutamanya di waktu malam.
INOVASI
Penerapan dan penghayati budaya Inovasi di dalam kehidupan mahasiswa bagi meningkatkan daya saing mahasiswa dalam usaha menyokong sekaligus membantu merealisasikan Dasar Pembangunan Mahasiswa berasaskan nilai tinggi kreativiti dan inovasi.
Huraian:
Menurut buku tulisan NC, Prof Dato Ir Dr Zaini Ujang yang bertajuk ‘Siri syarahan Perdana Naib Canselor: Universiti Kreativiti dan Inovasi di halaman 4 ~ Definasi budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif.
“Kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam aspek kehidupan”
Sedar atau pun tidak segelintir mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini gagal mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pengajian kerana mereka masih mengamalkan budaya 3K iaitu ‘Kolej, Kuliah dan Kantin’ dalam rutin harian mereka.
Akibat terikat dengan rutin itu, pergaulan mereka dengan mahasiswa lain serta dunia luar agak terhad sehingga menyebabkan wujud kekurangan dari segi pengetahuan berkomunikasi yang menjadi bekalan utama menempuh alam pekerjaan.
Mahasiswa yang mengamalkan budaya 3K ini, hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik. Rutin harian mereka hanyalah keluar dari kolej dan terus ke bilik kuliah sebelum ke kantin apabila sampai masa rehat. Kemudiannya, akan menyambung kuliah dan selepas itu balik semula ke kolej tanpa menyertai aktiviti lain.
Sebagai mahasiswa budaya 3K haruslah dikurangkan malah kalau boleh dihapuskan kerana ia hanya akan membuatkan pengetahuan mahasiswa itu terhad. Oleh itu, kami memperjuangkan transformasi Budaya 3K kepada Budaya Inovasi sejajar dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa yang digagaskan oleh ayahanda Naib Canselor UTM, Profesor Dato Ir. Dr. Zaini Ujang yang bertujuan untuk melahirkan graduan holistik yang bercirikan kepatuhan kepada Tuhan dan mempunyai keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial (JERIS) untuk memenuhi kehendak pasaran masyarakat tempatan dan global.
Mahasiswa proaktif haruslah sedar kepentingan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri yang menjadi aset utama kita mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.“Kita harus seimbangkan akademik dan aktiviti kokurikulum kerana kedua-duanya yang sebenarnyamenentukan kualiti seseorang graduan.
‘Budaya 3P sebagai nilai tambah kepada Budaya 3K’
MOHD AINUDDIN BIN KHAIRUDDIN
Mahasiswa Jurusan Senibina
Fakulti Alam Bina
Universiti Teknologi Malaysia