TINTA AISYA HUMAIRA

www.tinta-aisya.blogspot.com

Ahlan Wasahlan Ke Blog Tinta Aisya.
"Wahai Tuhan Kami, Bukakanlah Ke Atas Kami Hikmah-Mu, Dan Limpahilah Ke Atas Kami Khazanah Rahmat-Mu. Wahai Tuhan Kami, Tambahkanlah Ilmu Kami Dan Luaskanlah Kefahaman Kami.Wahai Tuhan Kami, Lapangkanlah Dada-Dada Kami Dan Permudahkanlah Segala Urusan Kami". -Amin Ya Robb-
Selamat Melayari Blog Ini...

MUTIARA HADIS

www.tinta-aisya.blogspot.com

"Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak Sempurna Iman Seseorang Itu, Sehinggalah Dia Mengasihi Saudara Mereka (Sesama Islam), Sepertimana Dia Mengasihi Dirinya Sendiri" -Anas Bin Malik r.a.-
Ukhuwwah Fillah...

9 Ogos 2010

Panduan Kehamilan Ketika Puasa


29 Syaaban 1431

"Bertuahnya puan saat ini," kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang diperiksanya.

"Kenapa doktor?" balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

"Sekarang Ramadan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Ia kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal penciptanya," jelas doktor.

Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil atau menyusui bayi mereka, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.

Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadhan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan sekarang.

Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqada puasanya kelak.

Antara alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan itu. Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada kawan.

Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.

Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.

Mereka menangguhkan masa untuk berbuka "Tunggulah setengah jam lagi." Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Noor Aini Saari berkata :

"Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan fetus/janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya," katanya.

Tambah beliau: "Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat."

Menurutnya, kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fiziologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita.

Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada si ibu mahupun janin dan berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa. Sebaliknya, bagi kehamilan bermasalah sebaiknya tidak berpuasa.

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi gizi/zat makanan janinnya.

Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius di kalangan ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu selain harus memikirkan keperluan dirinya sendiri, juga janin yang sedang dikandungnya.

Apabila diajukan kebimbangan ibu-ibu yang bayi mereka lapar jika terus berpuasa, terutamanya bagi yang melalui pengalaman sulung mengandung, Dr. Noor Aini menjelaskan :

"Ibu hamil yang menjalani ibadah berpuasa tidak perlu bimbang kalau-kalau janinnya kelaparan. Ini kerana, jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi dari tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui plasenta/uri", ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa, proses nutrisi yang optimum sebenarnya bermula sejak seseorang ibu itu berada di zaman kanak-kanak lagi.

Seseorang yang mempunyai tabiat pemakanan yang sihat sejak dari awal, akan mempunyai status pemakanan yang amat bagus dan mempunyai bekalan yang cukup sehingga ke awal kandungan.

Dengan meneruskan tabiat ini, beliau bukan sahaja dapat mengelakkan kekurangan nutrien, malah beliau juga akan memastikan anak di dalam kandungannya sentiasa sihat.

Pada masa yang sama, kata Dr. Noor Aini, ibu-ibu yang mengalami kekurangan nutrien di dalam pemakanan, akan menyebabkan tumbesaran bayi di dalam kandungan bermasalah.

"Semua bekalan yang ada di dalam tubuh badan ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat. Jika beliau tidak mengubah tabiat pemakanannya, anak yang di dalam kandungan juga akan turut terjejas," katanya sambil menambah, kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka berdua.

"Pada masa yang sama, kita tidak perlu makan untuk dua orang. Terlalu banyak makan dan nutrien juga akan mengundang musibah," tambahnya.

Perkembangan Janin

Janin akan mengalami berbagai-bagai fasa pertumbuhan seperti hiperplasia (pertumbuhan sel), hypertrofi (pembesaran sel) dan juga pengkhususan sel sehingga minggu kelapan.

Janin ini juga bergantung sepenuhnya kepada nutrien ibu. Nutrien juga amat penting untuk memastikan pertumbuhan plasenta yang sihat.

Setiap organ mempunyai masa pertumbuhan kritikalnya yang tersendiri. Contohnya, otak mempunyai pertumbuhan kritikal semasa minggu ke-18 kandungan.

Kekurangan nutrien akan menyebabkan kekurangan sel otak, merencatkan pertumbuhan serta perkembangan otak.

Pertumbuhan dan pembesaran bayi akan berkembang dengan pesat pada minggu ke-12 hinggalah ke minggu ke-36 dengan pertumbuhan maksimum pada fasa trimester ketiga.

Puasa Mengikut Trimester

Sepanjang tempoh kehamilan normal 40 minggu dibahagikan kepada tiga trimester, setiap trimester mempunyai lebih kurang 13 minggu.

Semasa di awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa.

Semasa usia kandungan trimester kedua dan ketiga, keperluan protein, kolesterol, lemak, vitamin dan mineral meningkat dengan mendadak.

Makanan yang seimbang dan mencukupi akan juga membekalkan tenaga yang cukup bagi memenuhi keperluan janin dan plasenta.

Sepanjang tempoh ini, sebahagian besar tenaga disimpan di dalam bentuk glikogen dan lemak.

Jadi tidak hairanlah, mengapa ibu yang kurang pemakanan biasanya mempunyai bayi yang kurus manakala fetus daripada ibu yang obes dan berlebihan nutrien, lazimnya gemuk.

Ketika kandungan berusia enam hingga sembilan bulan, janin mula menghasilkan insulin untuk mengubah glukos ke bentuk glikogen dan lemak yang menyumbang kepada berat badannya.

Ketika berpuasa, ibu mengalami keadaan hipoglisemia selama beberapa jam terakhir berpuasa. Keadaan ini juga menyebabkan bayi tersebut mengalami keadaan yang sama dan akan menggunakan semula bekalan yang telah disimpan.

Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa yang paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit seperti di bawah disarankan agar tidak berpuasa :

Morning Sickness Yang Teruk
Ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi yang berzat tinggi

Penyakit Kronik
Seperti diabetes mellitus, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas. Juga penyakit-penyakit seperti :

* Anemia/kekurangan darah semasa mengandung
* Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering)
* Pesakit jantung
* Tumbesaran bayi yang terencat
* Mengalami perdarahan semasa mengandung.

Panduan Pemakanan Ibu Hamil Sepanjang Ramadhan

Seseorang itu tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa bulan Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang.

Pengambilan makanan dari pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting. Agar ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan yang mempunyai nilai kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar.

Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya.

Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya ibu-ibu hamil kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa, seseorang itu tidak mengalami dehidrasi.

Air amat diperlukan oleh bayi dalam membentuk air mentuban. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Minumlah segelas susu setiap kali bersahur.

Pilihan Yang Baik Untuk Berbuka Dan Bersahur

Semasa berbuka puasa, anda digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Antaranya buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih yang kurang manis dan kurang lemak (apam beras, popia basah), yogurt rendah lemak yang ditambah dengan buah-buahan segar, telur rebus/ayam yang dipanggang, kacang panggang yang dimakan bersama roti bijirin.

Selepas beberapa jam kemudian, anda boleh menikmati hidangan yang lain seperti roti bijirin yang berintikan telur dan tomato, ayam rebus atau panggang dengan salad, keju dengan salad, atau tuna dengan timun dan tomato.

Atau, pasta dengan kuah yang berasaskan tomato, bebola daging dan salad, mihun sup dengan ayam dan sayur-sayuran, nasi putih dengan ikan kukus dan sayur-sayuran.

Atau, laksa Penang dan sayur-sayuran, mihun goreng kurang minyak yang lengkap dengan ayam atau daging dan sayur-sayuran.

Begitu juga dengan waktu bersahur, anda digalakkan mengambil makanan yang seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Makanan yang dimakan semasa sahur akan dapat bertahan selama lapan jam ataupun lebih awal.

Tip Agar Sentiasa Segar Semasa Mengandung Di Bulan Ramadhan

Pertama : Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral.

Kedua : Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di ruangan terbuka atau berhawa dingin.

Ketiga : Saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat buruk bagi perut anda.

Keempat : Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus berbuka puasa dengan air dingin.

Kelima : Berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti telur dan ikan masin.

Keenam : Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Ketujuh : Supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat.

Kelapan : Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesembilan : Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C. Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan vitamin tersebut.

Ibu Menyusu

Bagi ibu yang sedang menyusui bayi sepenuhnya, seeloknya jangan berpuasa dahulu kerana bayi perlu menyusu susu ibu setiap tiga jam.

Sekiranya ibu tidak makan dan minum, bagaimanakah ibu dapat menentukan susunya yang paling berkualiti? Sekiranya bayi sudah mula makan makanan lain selepas berumur empat bulan, ibu ini bolehlah berpuasa.

Apabila berbuka, pastikanlah makanan anda cukup berzat dan seimbang dan minum air secukupnya. Semasa sahur, amalkan minum segelas susu.

Salam Ramadhan 1431


29 Syaaban 1431

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Salam Ramadhan buat semua yang mengenali diri ini dan semua yang sudi dan tak jemu-jemu bertandang ke blog yang hampir bersarang ini...expecially adik bintu cumil. Ramadhan bukan hanya bulan untuk melakukan ibadat berpuasa, tetapi juga bulan untuk kita memperbanyakkan amalan qiyam, tadarus dan sebagainya. Moga Allah memberi kesempatan kepada kita untuk mengerjakan seberapa banyak amalan di bulan yang mulia ini...

3 Jun 2010

Mengapa Mancis Tidak Dibeli?


20 Jamadil Akhir 1431

Kutukan demi kutukan terus mengundang gelak ketawa yang berdekah-dekah dari pihak Israel. Sudah lama masyarakat Arab Timur Tengah dan masyarakat Islam sedunia amnya berdoa kepada Allah S.W.T. memohon pertolongan. Dan tentunya doa orang-orang yang teraniaya dan dizalimi akan dikabulkan Allah S.W.T. Allah Taala mungkin tidak akan menurunkan burung ababil lagi selepas Nabi Muhammad S.A.W. untuk turun membantu.

Sebenarnya, Allah Taala telahpun mengabulkan doa itu dengan mengurniakan kekayaan sumber minyak yang melimpah ruah kepada negara-negara Arab agar mereka dapat membantu saudara-saudara mereka. Tapi apa yang mereka telah lakukan dengan kuniaan Allah tersebut? Bahkan dengan kurniaan itulah mereka telah bermegah-megah dan bercakaran sesama sendiri, malah lena dalam dakapan musuh.


Dengan kurniaan Allah S.W.T. itu, adalah mustahil bagi mereka tidak mampu untuk membeli sekurang-kurangnya sebiji bom nuklear buruk setaraf bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki 65 tahun lalu.


Satu lagi pertolongan Allah yang kita tidak nampak ialah pengumpulan umat yahudi pada satu tempat. Pada tiga abad lalu, adalah sukar untuk mencari umat yahudi kerana mereka tinggal bertaburan di atas muka bumi dan merempat dikebanyakan negara. Tetapi pada abad ini umat Yahudi di seluruh dunia telah dikumpulkan pada suatu tempat yg khas, iaitulah di negara HARAM yang diberi nama Israel. Apa tujuannya?


Pernahkah anda menyapu sampah dihalaman rumah? Biasanya sampah yang berselerakan akan dikumpulkan pada satu tempat, selepas itu barulah longgokan sampah itu dibakar.


Nah sekarang sampah sudah dilonggokkan pada satu tempat, dan duit sudah ada untuk membeli mancis. Tapi negara-negara Islam khususnya negara-negara Arab masih lagi lena dengan habuan duniawi.


Itu permasalahannya! Israel masih kekal kerana kecerdikan mereka, dan kita masih bercakaran sesama sendiri kerana kebodohan kita. Payahkah untuk kita bersatu? Cuba anda bayangkan sekiranya Allah S.W.T. mengurniakan kekayaan minyak kepada Israel.


Aisya : Renung-renungkan...

7 April 2010

Hikmah Pergerakan Dalam Solat

22 Rabi'ul Akhir 1431

Setiap pergerakan solat yang diajar oleh baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pelbagai hikmah dan bermanfaat bagi kesihatan kita. Syaratnya, semua pergerakan tersebut hendaklah dilakukan dengan sempurna.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

"Jika engkau berdiri untuk melaksanakan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah Al-Fatihah dan surah di dalam al-Quran yang engkau rasakan paling mudah. Lalu, rukuklah dengan tenang (thoma'ninah), lalu bangunlah sehingga engkau berdiri tegak. Setelah itu, sujudlah dengan tenang, kemudian bangunlah sehingga engkau duduk dengan tenang. Lakukanlah seperti itu pada setiap rakaat solatmu."

Para ulama’ telah mengkaji kebenaran sabda Rasulullah S.A.W. ini. Rasulullah S.A.W. menyebut, “Jika engkau berdiri untuk melaksanakan solat, maka bertakbirlah”. Di dalam kitab hadis Sohih Bukhori ada menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. mengangkat kedua tangan baginda ke atas sehinggan ke separas dengan bahu. Takbir ini dilakukan ketika hendak rukuk dan ketika bangun dari rukuk.

Apakah rahsianya?
Pada saat kita mengangkat tangan separas bahu, secara automatiknya dada kita akan terbuka. Ini akan membolehkan aliran darah dari pembuluh darah yang terdapat di lengan, mengalir sebahagian otak menyebabkan berlakunya keseimbangan tubuh.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi, "Rukuklah dengan tenang (thoma'ninah)." Ketika rukuk, Rasulullah S.A.W. meletakkan kedua telapak tangan di atas lutut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori.

Apakah rahsianya?
Rukuk yang dilakukan dengan tenang dapat merawat kelenturan tulang belakang yang berisi sum sum (sebagai pusat saraf manusia). Rukuk juga dapat memelihara kelenturan tuas sistem keringat yang terdapat di belakang pinggang, paha dan betis belakang. Begitu juga tulang leher, tengkuk dan saluran saraf ingatan akan terpelihara kelenturannya apabila rukuk. Kelenturan saraf ingatan dapat dijaga dengan mengangkat kepala secara maksimum dengan mata menghadap tepat ke tempat sujud.

Baginda S.A.W. bersabda lagi, "Lalu bangunlah sehingga engkau berdiri tegak".

Apakah rahsianya?
Semasa berdiri dengan mengangkat tangan, darah dari kepala akan turun ke bawah, sehingga tekanan darah di bahagian pangkal otak yang mengatur keseimbangan berkurang. Hal ini dapat menjaga saraf keseimbangan tubuh dan berguna bagi mencegah penyakit pengsan secara tiba-tiba.

Seterusnya, baginda S.A.W. bersabda lagi, "Setelah itu, sujudlah dengan tenang".

Apakah rahsianya?
Apabila pergerakan ini dilakukan dengan betul, sujud dapat memaksimumkan aliran darah dan oksigen ke otak atau kepala, termasuk juga pada mata, telinga, leher serta hati. Cara seperti ini amat efektif untuk membongkar sumbatan pembuluh darah di jantung, sehingga risiko terkenanya penyakit jantung dapat diminimumkan.

Sabda baginda S.A.W. lagi, "Kemudian bangunlah sehingga engkau duduk dengan tenang”.

Apa rahsianya?
Cara duduk di antara dua sujud dapat menyeimbangkan sistem arus dalam tubuh kita. Selain dapat menjaga kelenturan saraf di bahagian paha, cekung lutut, cekung betis, sehingga jari-jari kaki.

Masih terbanyak lagi hikmah dalam setiap pergerakan di dalam solat. Semua ini memperlihatkan bahawa solat adalah anugerah terindah daripada Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Aisya : Subhanallah!!

6 April 2010

Kitaran Hidup Manusia

Kitaran hidup manusia

22 Rabi'ul Akhir 1431

Fitrah kejadian manusia, satu kitaran yang cukup menarik dan seharusnya direnungi supaya kita dapat bermuhasabah agar setiap nikmat yang Allah S.W.T. pinjamkan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Sesungguhnya setiap yang Allah S.W.T. jadikan itu, tidak lari tidak ia adalah untuk dimanfaatkan dengan sebaik-sebaiknya oleh umat manusia di alam ini.

Satu kitaran atau pusingan hidup yang telah Allah S.W.T. tentukan, bahkan setiap hamba-Nya akan lalui dan hadapi walaupun mereka tidak suka dan mereka tidak bersedia, namun ketentuan Allah S.W.T. tiada siapa yang dapat menghalang. Itulah kitaran hidup yang mana bermulanya ia dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi, membesar menjadi kanak-kanak, meningkat remaja, berubah menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua.

Dalam kitaran usia itu Allah S.W.T. selitkan satu hikmah dan pengajaran supaya kita berfikir dan memanfaatkan sebaik-baiknya usia dan masa yang Allah S.W.T. berikan kepada kita supaya kita tidak menyesal di hari mahsyar kelak. Sesungguhnya bersama-sama kitaran usia itu Allah S.W.T. sertakan ia bersama-sama dengan satu lagi kitaran yang tidak kita sedari iaitu kekuatan diri atau tenaga.

Bermula dengan kekuatan diri yang lemah, kemudian Allah S.W.T. berikan sepenuh kekuatan dan tenaga dan kemudiannya Allah S.W.T. jadikan diri ini lemah kembali. Itulah kitaran kekuatan diri yang mana dari saat kita dilahirkan sebagai seorang bayi sehingga kita ke alam kanak-kanak, kita berada di dalam keadaan lemah. Bilamana kita meningkat ke alam remaja dan dewasa, di situlah Allah S.W.T. berikan sepenuh tenaga dan kekuatan pada diri kita. Dan bilamana usia kita mula menjejak ke alam tua, Allah S.W.T. jadikan diri ini lemah semula seperti di alam kanak-kanak.

Satu kitaran yang menarik yang telah diaturkan oleh Allah S.W.T. supaya kita memanfaatkan sebaik-baiknya untuk kerja-kerja agama. Bermulanya kitaran tersebut, seorang bayi dan kanak-kanak tidak mempunyai kudrat dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu. Segala yang ingin dilakukan ketika berada di usia itu, akan dibantu dan dilaksanakan oleh orang lain.

Namun begitu, bilamana meningkatnya usia, bersama-sama itu Allah S.W.T. tingkatkan lagi kekuatan dan keupayaan agar kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan keupayaan sendiri. Ketika inilah seharusnya setiap insan memanfaatkan ia dengan sebaik-baiknya dengan banyakkan beribadah kepada Allah S.W.T. dan dengan melaksanakan kerja-kerja amar makruf dan nahyu mungkar.

Bilamana masa beredar maka usia makin meningkat. Bilamana usia sudah mula ke alam tua, maka di situ Allah S.W.T. kurangkan kudrat dan kekuatan kita sedikit demi sedikit. Dan di situlah kita mula kembali lemah seperti dipermulaan kita dilahirkan. Di saat itulah kita menghitung detik dan masa untuk roh dipisahkan dari jasad oleh malaikat Izrail.

Satu persoalan yang perlu dijawab kita sebagai Azhariyyun, benarkah kata-kata orang-orang dahulu “muda-muda enjoy dulu, dah tua baru bertaubat” Sedangkan kitaran yang Allah S.W.T. ciptakan ini, kekuatan dan kudrat diri Allah S.W.T. berikan ketika usia remaja dan dewasa. Bagaimanakah kita hendak laksanakan amar ma’ruf dan nahyu mungkar sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan dan kudrat?

Kepada yang mempunyai tanggapan sedemikian, harus diingat bahawa bilamana di Mahsyar nanti, Allah S.W.T. akan menyoal berkenaan dengan usia muda kita. Ke manakah usia tersebut dihabiskan. Adakah dihabiskan ke jalan maksiat atau dengan membantu agama-Nya. Allah S.W.T. tidak mempersoalkan berkenaan usia tua kerana segala kekuatan dan kudrat untuk beribadah dan membuat kerja-kerja Islam telah Allah S.W.T. berikan ketika di usia muda.

Di sini siapakah yang rugi? Orang muda yang memanfaatkan usianya dengan beribadah dan bergerak kerja untuk Islam atau orang yang usia mudanya “enjoy” dan di usia tua baru hendak insaf dan bertaubat. Maka manfaatkanlah usia muda yang kita ada ini sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di hari Mahsyar kelak.

Aisya : Usia remaja adalah usia emas. Gunakanlah usia emas itu dengan melakukan ibadat kepada Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh kerana di satu masa apabila usia sudah meniti waktu senja, Allah akan tarik nikmat kudrat dan kekuatan yang telah dipinjamkan kepada kita di suai muda. Wallahua'lam.



Related Posts with Thumbnails

Tinta Aisya is wearing Abu Uttoh by Aisya Studio | To Blogger by Aisya Humaira at Faisal'z Studio | Entries (RSS) and Comments (RSS).