Contoh Karangan
Contoh Karangan
Contoh Karangan
Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju
ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang
sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak
dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya
dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada
berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.
Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering
menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila
tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat
menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini
tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja,
maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.
Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu
yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau
Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu
destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti
Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu
menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita
dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga
bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan
persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau
dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang
lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk
menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat
dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan
gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita
dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak
langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara
kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu
berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini
diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika
semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status
negara maju menjelang tahun 2030 seperti yang dicita-citakan.
Faktor-Faktor Peningkatan Masalah Disiplin dalam Kalangan Pelajar
Dewasa ini, kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan
remaja. Hal ini pastinya amat membimbangkan banyak pihak kerana remaja merupakan tiang
negara pada masa hadapan. Keruntuhan moral ini boleh menjejaskan matlamat negara dalam
melahirkan modal insan yang berkualiti dalam memacu negara ke era negara maju. Jika
diperhalusi, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.
Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu bapa yang tidak mendidik
anak-anak dengan didikan yang betul. Jika ibu atau bapa tidak boleh mendidik anak-anak
mereka dengan baik, pada siapakah lagi tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa
belakangan ini juga bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelaslah
bahawa, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.
Di samping itu, faktor yang mendorong kepada permasalahan ini ialah berpunca
daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan
hidup ini memang tidak boleh dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-
anak. Namun demikian, sering kali anak-anak yang masih mentah ini mengambil peluang yang
ada untuk berseronok dengan rakan-rakan sehinggakan timbul masalah yang lain. Dalam hal ini
ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak.
Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam
peningkatan masalah disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan remaja kini banyak
menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat
ingin tahu, mereka pasti akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang
mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, remaja atau
pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika tidak mahu terlibat dalam masalah ini.
Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi
permasalahan disiplin ini. Lihat sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca televisyen yang
banyak menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara seperti filem
Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat
tempat dalam kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin
tahunya itu pasti akan mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah
sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak
memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing.
Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi
pada tahun 2030 bakal terlaksana.