Pergi ke kandungan

Jeneral Angkatan Udara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jeneral Angkatan Udara
General of the Air Force

Bendera
Jeneral Angkatan Udara


Lencana bahu
Jeneral Angkatan Udara (1949-1993)

Negara
Amerika Syarikat
Cabang perkhidmatan Tentera Udara A.S.
Singkatan GAF
Kumpulan pangkat Pegawai jeneral
Pangkat Lima bintang
Diperkenalkan 7 Mei 1949
Kod
NATO
OF-10
Pangkat tinggi seterusnya General of the Armies
Pangkat rendah seterusnya Jeneral
Persamaan pangkat
Insignia lima bintang Jeneral Angkatan Udara dalam susunan segilima

Jeneral Angkatan Udara atau Jeneral Besar Udara (General of the Air Force singkatan GAF [1]) ialah pangkat jeneral lima bintang dan merupakan pangkat tertinggi sekali dalam Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Pangkat Jeneral Angkatan Udara berada di atas Jeneral dan setaraf dengan Jeneral Angkatan Darat dalam Tentera Darat Amerika Syarikat dan Laksamana Armada dalam Tentera Laut Amerika Syarikat. Pangkat ini hanya disandang sekali dalam sejarah, oleh Jeneral Henry H. Arnold, yang berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Udara Tentera Darat Amerika Syarikat (USAAF) semasa Perang Dunia II.

1944–1947

Istilah "Jeneral Angkatan Udara" pertama kali digunakan secara tidak rasmi pada tahun 1944 selepas Jeneral Henry H. Arnold dinaikkan pangkat, bersama-sama dengan pegawai kanan Perang Dunia II Amerika yang lain, ke Jeneral Angkatan Darat. Arnold pada waktu itu adalah ketua Angkatan Udara Tentera Darat Amerika yang, untuk semua niat dan tujuan, menjadi cabang perkhidmatannya sendiri secara tidak rasmi. Untuk membezakan Arnold dengan jeneral lima bintang yang lain dalam Tentera Darat biasa AS (seperti Dwight Eisenhower dan Douglas MacArthur), Arnold biasanya dirujuk sebagai "Jeneral Angkatan Udara Arnold" tetapi surat-menyurat rasmi menyatakan pangkatnya sebagai "Jeneral Angkatan Darat (USAAF)".

19471949

Henry "Hap" Arnold memakai uniform General of the Army. Pangkatnya telah ditukar ke General of the Air Force pada tahun 1949.

Pada 18 September 1947, Tentera Udara Amerika Syarikat telah ditubuhkan sebagai cabang perkhidmatan yang berasingan. Untuk beberapa bulan pertama kewujudannya, pangkat Tentera Udara A.S. adalah serupa dengan Tentera Darat, dan anggota-anggota Tentera Udara terus memakai pakaian seragam Angkatan Udara Tentera Darat AS yang berwarna zaitun. Pada awal tahun 1948, Tentera Udara mengubah sedikit beberapa nama pangkat bagi memasukkan kod posisi Pegawai Waran Tentera Udara serta menjelaskan pangkat jeneral lima bintang di dalam Tentera Udara yang dikenali selepas itu sebagai "Jeneral Angkatan Udara".[2] Pada 7 Mei 1949, dibawah Undang-Undang Awam 58 Kongres Ke-81, pangkat rasmi Henry Arnold telah ditukar dari General of the Army ke General of the Air Force.

Pada tahun 1949 pakaian seragam warna biru Tentera Udara yang pertama telah diperkenalkan, walaupun peraturan membenarkan bekas anggota Angkatan Udara Tentera Darat terus memakai pakaian seragam warna coklat lengkap dengan lencana-lencana dan insignia Tentera Darat (penerimaan penuh pakaian seragam baru Tentera Udara tidak akan berlaku sehingga tahun 1952). Walaupun insignia "General of the Air Force" telah dibuat untuk jaket biru, Jeneral Arnold pada masa itu hidup dalam persaraan di California, dan berada dalam keadaan tidak sihat, dengan itu pangkat lima bintang Tentera Udara sebenarnya tidak pernah dipakai secara aktif oleh Arnold. Undang-Undang Awam 333 Kongres Ke-79 sebelum ini telah mengubah pangkat lima bintang ke gred tetap, dan menyatakan bahawa pegawai-pegawai yang ditempatkan dalam senarai persaraan ketika dalam gred ini akan menerima gaji dan elaun penuh (dibawah Undang-Undang Awam 282 yang mula-mula membentuk gred ini, persaraan dibayar pada kadar 75 peratus), bermaksud Arnold mendapat gaji penuh selaku General of the Air Force di sepanjang hayatnya.

19501980

Jalur lengan lima bintang dibuat secara singkat untuk pakaian seragam General of the Air Force McPeak

General of the Air Force Arnold meninggal dunia pada tahun 1950 dan tiada lagi pegawai yang dilantik ke pangkat General of the Air Force. Pihak Tentera Udara pada masa ini mengumumkan pangkat General of the Air Force adalah pangkat aktif dan ia sekali lagi boleh dikurniakan mengikut budi bicara Kongres Amerika Syarikat. Pada tahun 1962, semasa Perang Dingin, satu petisyen telah dibangkitkan oleh Jabatan Tentera Udara Amerika Syarikat untuk menaikkan pangkat Jeneral Curtis LeMay ke General of the Air Force kerana pencapaian LeMay mengembangkan Markas Udara Strategik. Pihak Tentera Udara secara rasmi membalas terhadap cadangan kenaikkan LeMay dalam surat Cawangan Pegawai Jeneral Panglima Tentera Udara yang bertarikh 28 Februari 1962:

Adalah jelas negara bersyukur, mengiktiraf sumbangan besar para pemimpin utama tentera dalam Perang Dunia II, menzahirkan gred tertinggi ini sebagai usaha untuk menyatukan prestij para pemimpin ini, kepimpinan yang jelas, dan ganjaran ini sesuai dengan khidmat bakti mereka kepada negara semasa perang. Ia adalah kepercayaan Jabatan Tentera Udara dalam pengiktirafan ini dan ia berpadanan. Selain itu, pelantikan ke gred ini semasa tempoh bukan peperangan akan membawa konotasi yang tidak dapat dihindari kerana merendahkan nilai para pegawai tersebut yang begitu dihormati dalam Perang Dunia II.

Dalam tempoh 30 tahun yang akan datang, pelbagai petisyen lain dibuat untuk Tentera Udara, termasuk menganugerahkan pangkat lima bintang kepada para jeneral kanan seperti Ketua Turus Tentera Udara Amerika Syarikat, Panglima Markas Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD), serta kepada mana-mana pegawai Tentera Udara sebagai Pengerusi Ketua-Ketua Turus Bersama. Tiada petisyen ini diterima dan pihak Tentera Udara tidak menaikkan pangkat pegawai lain ke General of the Air Force, walaupun terus menyatakan pangkat ini secara rasminya disenaraikan dalam hierarki kenaikkan pangkat Tentera Udara.

1981–kini

Fail:GenUSAFinsignia.jpg
Insignia zaman moden bagi pangkat General of the Air Force

Pada tahun 1981, pegawai lima bintang terakhir yang masih hidup (General of the Army Omar Bradley) meninggal dunia, dengan itu tiada lagi pegawai lima bintang yang tinggal.[3] Pangkat General of the Air Force telah disenaraikan dalam beberapa terbitan Tentera Udara sebagai "tidak aktif" atau "dikhaskan untuk masa perang", walaupun pangkat ini masih kekal dalam kesemua carta lencana pangkat.

Pada tahun 1993, Jeneral Merrill McPeak memperkenalkan satu reka bentuk pakaian seragam yang sangat tidak popular yang mengubah lencana pangkat pegawai Tentera Udara ke sistem berasaskan jalur-jalur seperti Tentera Laut Amerika Syarikat dan sering disebut sebagai pakaian seragam juruterbang syarikat penerbangan. Semasa tahun pertama pakaian seragam ini menjadi rasmi, satu insignia lima bintang telah direka dan muncul pada sebilangan terhad carta lencana pangkat. Insignia ini termasuklah rekaan jalur lengan serta papan bahu pakaian seragam bagi pangkat General of the Air Force. Insignia ini, berserta dengan reka bentuk uniform itu sendiri, telah dihentikan pada tahun 1994. Pada masa itu, insignia General of the Air Force dipaparkan pada carta lencana pangkat sebagai hanya lima bintang, tanpa lambang jata helang di atas susunan bintang seperti rekaan terdahulu. Satu rekaan papan bahu bagi baju kemeja dan baju sejuk Tentera Udara juga ditunjukkan.[4]

Pada zaman moden, insignia lima bintang General of the Air Force dipaparkan pada jaket pakaian seragam warna biru Tentera Udara. Dasar rasmi Tentera Udara kekal menyatakan bahawa General of the Air Force adalah pangkat aktif yang boleh dikurniakan semasa perang, terutamanya jika pegawai Tentera Udara AS diberi memerintah ke atas tentera bersekutu yang mana terdapat seorang atau lebih pegawai tentera asing berpangkat lima bintang yang berada di bawah kendalian operasi AS.

Pangkat setaraf dan pangkat senior

[sunting | sunting sumber]
Insignia "jeneral enam bintang" Tentera Udara seperti yang dicadangkan pada 1981

Pangkat Jeneral Angkatan Udara (USAF) adalah setaraf dengan Jeneral Angkatan Darat (USA) dan Laksamana Armada (USN). Dalam angkatan tentera asing, pangkat Jeneral Angkatan Udara telah disamakan dengan Marsyal Tentera Udara. Satu-satunya pangkat senior Angkatan Tentera Amerika Syarikat dari Jeneral Angkatan Udara ialah General of the Armies; Admiral of the Navy juga secara teknikalnya adalah senior, tetapi perbandingan rasmi antara General of the Air Force dan Admiral of the Navy tidak pernah dibuat oleh angkatan tentera AS. Pangkat General of the Armies hanya dipegang sebanyak dua kali dalam sejarah Amerika Syarikat, oleh pegawai-pegawai Tentera Darat AS (John J. Pershing dan George Washington) dan hanya seorang dalam tugas aktif (Pershing). Tiada pegawai Tentera Udara yang pernah dinaikkan pangkat ke enam bintang, walaupun Kongres mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Apabila Omar Bradley meninggal dunia pada tahun 1981, Kongres mengutus surat kepada Institut Heraldik Tentera Darat Amerika Syarikat meminta kelayakan Bradley untuk dinaikkan ke pangkat jeneral enam bintang,[5] serta memohon penjelasan mengenai prosedur yang membolehkan pegawai Tentera Laut AS atau Tentera Udara dinaikkan ke pangkat enam bintang. Jawapan kepada Kongres ialah: "Sekiranya seorang pegawai Tentera Udara atau Tentera Laut dinaikkan ke pangkat enam bintang, pegawai tersebut berhak mendapat insignia enam bintang berserta lambang jata khas".[6]

Pihak Institut Heraldrik merangka lakaran yang memaparkan pangkat enam bintang yang digunakan dalam tiga cabang utama angkatan tentera; imej warna kemudian dihasilkan termasuk satu reka bentuk bagi pangkat jeneral enam bintang Tentera Udara. Insignia ini tidak pernah diisytiharkan secara rasmi oleh pihak USAF, tetapi reka bentuk insignia dikekalkan oleh cawangan darjah kebesaran dan pingat Pangkalan Tentera Udara Randolph.

Tidak ada pangkat setaraf lima bintang dalam empat perkhidmatan beruniform Amerika Syarikat yang lain (Kor Marin, Pengawal Pantai, PHSCC, dan Kor NOAA).

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Professional Development Guide, Air Force Pamphlet 36-2241 dated 1 July 2009, Randolph AFB, TX
  2. ^ Department of the Air Force, "Air Force uniform regulations and insignia", 13 February 1948
  3. ^ E. Kelly Taylor (2009). America's Army and the Language of Grunts: Understanding the Army Lingo Legacy. AuthorHouse. m/s. 283. ISBN 978-1-4389-6249-8.
  4. ^ Department of the Air Force, "Air Force uniform regulations and insignia", 14 September 1995
  5. ^ Congressional Record 1981, Cong. 97 Sess. 1 – Parts 6-8, "Comparison and Promotion Procedures for General of the Armies and General of the Army of the United States".
  6. ^ Congressional Record 1981, Cong. 97 Sess. 1 – Part 8, "Promotion of other service branches to General of the Armies of the United States".

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]