Nasi lemak
Nasi lemak | |
---|---|
Jenis | Hidangan nasi |
Jenis sajian | Hidangan utama, lazimnya untuk sarapan |
Tempat asal | Malaysia[1][2][3][4][5] |
Kawasan/rantau | Semenanjung Malaysia, Brunei, Singapura dan pantai timur Sumatera, Indonesia |
Masakan berkaitan | Malaysia |
Dicipta oleh | Melayu Malaysia |
Suhu penghidangan | Suhu bilik atau suhu panas |
Bahan utama | Beras dimasak dalam santan dengan daun pandan dan dihidangkan dengan sambal, timun, dan pelbagai jenis hidangan sampingan |
Bahan yang biasa digunakan | Beras, Pandan wangi, daun serai, santan, telur ayam, Bilis, kacang tanah, bawang merah, bawang putih, Cili |
sunting · sunting di Wikidata |
Breakfast culture | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Domain | Breakfast culture |
Rujukan | 02113 |
Kawasan | Asia Pasifik |
Sejarah inskripsi | |
Inskripsi | 2024 (sesi ke-19) |
Senarai | Representative List |
Nasi lemak (Jawi: ناسي لمق ) merupakan makanan tradisi orang Melayu yang terdapat di semua bahagian Malaysia, Singapura dan Brunei, termasuk wilayah-wilayah di pantai timur Sumatera, Indonesia, khususnya Jambi, Kepulauan Riau, Riau, Sumatera Selatan dan Sumatera Utara. [6][7] Sajian ini merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala, daun pandan wangi dimasukkan semasa nasi dimasak bagi menambahkan aromanya.
Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur rebus, timun, ikan bilis goreng, kacang goreng dan sambal. Tetapi, kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk tetapi tidak terhad kepada daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati lembu.
Bahan-bahan untuk membuat nasi lemak juga mudah didapati. Sebagai contoh daun pandan, halia, serai dan halba boleh dibeli daripada kedai runcit atau pasar awam. Ikan bilis dan telur boleh dibeli di pasar raya.
Asal usul
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak berasal daripada Malaysia, asal usulnya masih tidak diketahui tetapi makanan ini sudah ada sewaktu Kesultanan Melaka. Ada kemungkinan makanan ini memang berasal daripada Melaka, Johor, Selangor ataupun Perak. Hidangan ini mempunyai enam elemen iaitu karbohidrat seperti nasi, protein iaitu telur rebus ataupun ayam goreng, sayur iaitu kangkung atau timun, kudapan iaitu kacang dan ikan bilis dan bahan basah seperti sambal. Keenam-enam komponen sangat penting tetapi yang lebih penting nasi perlu ada rasa santan dan rasa sambalnya. Sambal nasi lemak sudah berasimilasi berdekad lamanya ,ada pekat berkuah, ada cair berkuah, ada manis, ada masin, ada yang rasanya seimbang. Ia bergantung pada citarasa setempat ataupun individu. Malaysia pusat pelancongan yang pesat, sambal nasi lemak yang manis direka untuk orang yang tidak tahan pedas lebih lagi pelancong barat.
Melaka
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak di Melaka mempunyai 6 elemen iaitu nasi, kangkung, telur rebus, ikan bilis, kacang dan sambal. Nasi lemak Melaka tidak menggunakan timun sebaliknya kangkung. Sambal yang dimasak sedikit berkuah dan tidak manis.
Johor
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak di Johor mempunyai 6 elemen iaitu nasi, timun, telur rebus, ikan bilis, kacang dan sambal. Mengikut statistik penanaman timun terbanyak di Malaysia iaitu di Johor. Timun bukan berasal daripada Semenanjung Tanah Melayu sebaliknya berasal daripada India. Sambal yang digunakan sebenarnya Sambal tumis yang kebiasaannya orang Johor makan bersama ubi kayu rebus, mee siput, lempeng dan jemput-jemput. Rasa sambal tumis memiliki rasa yang seimbang iaitu masam, masin dan sedikit manis. Antara variasi sambal tumis di Johor ialah sambal udang geragau basah, sotong basah/kering, kerang dan kupang.
Kedah
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak di Kedah mempunyai 6 elemen iaitu nasi, telur rebus, timun, ikan bilis, dan kacang dan sambal. Nasi lemak di Kedah kebiasaanya berwarna kuning, sambalnya berkuah dan tidak manis.
Selangor
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak di Selangor mempunyai 6 elemen iaitu nasi, timun, telur rebus, ikan bilis, kacang dan sambal serta ayam goreng. Nasi lemak Selangor kelihatan sangat biasa tapi sambalnya lebih kurang pedas.
Pemakanan asal
[sunting | sunting sumber]Richard Olaf Winstedt telah menulis mengenai hidangan ini seperti yang ada di Tanah Melayu pada tahun 1909 dalam bukunya The Circumstances of Malay Life (Keadaan Kehidupan Melayu).[8]
Nasi lemak pada asalnya adalah hidangan yang mudah dan ringkas. Hidangannya lengkap berasaskan nasi yang berlemak santan kelapa ditambah rasa pedas sambal, kerangupan ikan bilis goreng, kepejalan telur rebus dan ditawarkan pedasnya dengan ulam seperti timun. Namun begitu, nasi lemak asalnya bukanlah merupakan makanan sarapan harian wajib masyarakat Melayu Malaysia pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bentuk bekalan makanan kepada para pesawah padi mahupun orang yang mengusahakan kebun getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. Oleh sebab nasi lemak mempunyai jumlah kalori yang tinggi, selain mempunyai komposisi lemak yang tinggi untuk membekalkan tenaga yang lebih baik dari karbohidrat, kebanyakan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Selatan Thailand, Brunei dan Singapura menjadikan nasi lemak sebagai bekalan harian untuk santapan mereka selepas membanting keringat.
Jenis penghidangan
[sunting | sunting sumber]Di Malaysia
[sunting | sunting sumber]Masyarakat India lebih gemar memakan nasi lemak bersama pelbagai jenis kari baik dari ayam, ikan atau daging kambing; masyarakat Cina pula lebih menggemari nasi ini bersama lauk rendang dan sosej berasaskan daging babi.
Di Singapura
[sunting | sunting sumber]Sambal dihidangkan di SIngapura cenderung mempunyai rasa lebih manis dan kurang pedas agar dapat lebih dirasakan lemak santan nasi. Nasi lemak Singapura juga ada diwarnakan hijau daripada daun pandan. Masyarakat Cina Singapura khususnya mempunyai pelbagai lauk khusus digandingkan termasuk sosej, kek ikan, kari sayur dan daging luncheon.[9]
Di Indonesia
[sunting | sunting sumber]Masyarakat kepulauan Riau menghidangkan nasi lemak serupa dengan lauk-pauk berasaskan makanan laut selain ikan bilis[10] termasuk ikan selar kuning, sotong/cumi-cumi dan udang sepertimana yang ada di seberang selat. Sambal ikan tamban merupakan lauk khusus didapati di bersama nasi lemak Riau,[11] begitu juga dengan bawang goreng. Di kota Pekanbaru pula, ikan-ikan jenis air tawar seperti ikan selais dan ikan patin menjadi lauk pilihan digandingkan, sama ada dimasak lada hijau Minang atau di-perkedel-kan.[12]
Nasi lemak dihidangkan di kota Medan boleh didapati di "rumah-rumah makan" khusus[13] digandingkan dengan lauk rendang atau balado serta kepingan telur dadar, kripik kentang balado, tempe orek dan emping belinjo. Ia juga sering dijual bersama Lontong Medan.[14] Nasi ini sering bertindih nama dengan nasi gurih yang hampir sama cara pembuatannya terdapat di Aceh.
Hidangan nasi lemak di luar kawasan-kawasan asal Indonesia seperti Riau dan Sumatera dipopularkan dalam negara tersebut melalui para pekerja dan mahasiswa yang pernah menetap mahupun bekerja di Malaysia.[15]
Kontroversi
[sunting | sunting sumber]Malaysia
[sunting | sunting sumber]Nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan hari-hari kerana tinggi kalori dan lemaknya oleh pakar pemakanan.
Semasa Persidangan Kesihatan Kedua Perak 2007, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, Datuk Dr Ramlee Rahmat, telah meletakkan nasi lemak sebagai satu makanan segera, kerana ia dikategorikan sebagai satu makanan yang berkalori tinggi, dan juga mudah dan siap dihidangkan.[16]
Pada 2011, timbul cadangan agar nasi lemak dihadkan jualannya pada dua kali seminggu. Cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Langkah ini diambil sebagai satu usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat pada kalangan rakyat, terutama kanak-kanak.[17]
Pada 22 Mac 2016, nasi lemak telah dipilih oleh majalah terkenal iaitu majalah TIME yang menulis mengenai nasi lemak dan diiktiraf sebagai 10 hidangan sarapan antarabangsa paling sihat di dunia. Menurut majalah itu, walaupun nasi lemak sering dilabel sebagai makanan berlemak ia mengandungi pelbagai pemakanan yang paling diperlukan tubuh.[perlu rujukan]
“Memang ia mengandungi kandungan lemak lebih daripada apa yang kita perlukan (kurangkan pengambilan nasi) tetapi makanan ini adalah sarapan yang seimbang kerana ia mengandungi pelbagai nutrisi termasuk manganese, protein dan karbohidrat."
“Kandungan cili dalam sambal (nasi lemak) boleh membantu meningkatkan metabolisme,” majalah TIME memetik sumber itu sebagai berkata.[perlu rujukan]
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Nasi lemak yang biasa terdapat di warung tepi jalan, berlauk sambal ikan bilis Malaysia.
-
Nasi lemak bersama ayam di Malaysia
-
Nasi lemak Malaysia yang terdapat di Sydney
-
Nasi lemak yang biasa disajikan di rumah
-
Nasi lemak dengan lauk
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Nasi lemak |
- Nasi goreng ayam
- Nasi uduk, hidangan serupa di Jakarta
- Nasi liwet, hidangan serupa di Jawa Tengah
- Nasi gurih, hidangan serupa di Aceh
- Nasi Lemak Antarabangsa
- Nasi Lemak 1Malaysia
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "#CNNFood challenge: What's your country's national dish?".
- ^ "Laksa and nasi lemak among our pride, says Yen Yen". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-16. Dicapai pada 2016-07-25.
- ^ "Nasi lemak - once a farmer's meal, now Malaysia's favourite".
- ^ "Malaysia's top 40 foods".
- ^ "Ipoh-Born Ping Coombes Wins MasterChef 2014 By Cooking Nasi Lemak And Wanton Soup".
- ^ Dwayne A. Rules (7 April 2011). "Nasi lemak, our 'national dish'". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-02. Dicapai pada 6 November 2013.
- ^ "Nasi lemak". VisitSingapore.com. Dicapai pada 5 May 2012.
- ^ The Circumstances of Malay Life, Sir Richard Olof Winstedt, Richard Winstedt, Ams PressInc, 1909 - Social Science - 90 pages
- ^ "Is nasi lemak from Malaysia or Singapore?". South China Morning Post (dalam bahasa Inggeris). 2019-07-15. Dicapai pada 2020-11-03.
- ^ name="Kepri"
- ^ Aminuddin (28 May 2015). "Kedai Kopi Jalan Bintan Hadir dengan Konsep Berbeda". Tribunnews (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 8 June 2015.
- ^ "Nasi Lemak Pekanbaru". Melayu Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 March 2015. Dicapai pada 8 June 2015.
- ^ name="Kompas Nasi Lemak Medan"
- ^ "Medan on a Plate". Eating Asia. 21 May 2007.
- ^ Muhammad Irzal Adiakurnia (11 Ogos 2017). "Mencicipi Harum dan Lembutnya Nasi Lemak Medan di Jakarta". Kompas.
- ^ Rasheffa Abdul Rashid (2007-02-28). "Roti canai, nasi lemak dikira makanan segera". myhealth.gov.my. Dicapai pada 2007-10-23.
- ^ ""15 jenis makanan dilarang jual di kantin sekolah", Berita Harian Online, Oleh Syed Azwan Syed Ali". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-08-21. Dicapai pada 2011-08-26.