Waktu Koordinat Baripusat
Waktu Koordinat Baripusat (TCB, Perancis: Temps-coordonnée barycentrique ) merupakan piawaian waktu koordinat yang bertujuan digunakan sebagai pembolehubah waktu yang bebas untuk semua pengiraan berkenaan orbit-orbit planet, asteroid, komet, dan kapal angkasa antara planet dalam sistem suria. TCB bersamaan dengan masa wajar yang dialami oleh jam yang pegun di dalam rangka yang bergerak serentak dengan baripusat sistem Suria, iaitu jam yang melakukan gerakan yang sama dengan sistem Suria tetapi berada di luar telaga graviti sistem tersebut, dan oleh itu tidak terpengaruh oleh dilasi masa graviti yang disebabkan oleh Matahari dan seluruh sistem Suria.
TCB ditakrifkan pada 1991 oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa, dalam Usul III Perhimpunan Agung ke-XXI[1] sebagai ganti untuk Waktu Dinamik Baripusat (TDB) yang kurng jitu takrifnya. Tidak seperti skala-skala masa astronomi yang lampau, TCB ditakrifkan dalam konteks teori kerelatifan am. Hubungan-hubungan antara TCB dan lain-lain skala masa kerelatifan ditakrifkan dengan metrik kerelatifan am sepenuhnya.
Oleh sebab rangka rujukan TCB tidak berputar bersama permukaan Bumi malah tidak terdapat dalam keupayaan graviti Bumi, TCB berdetik sekitar 1.550505 × 10−8 kali (kira-kira 490 milisaat setahun) lebih cepat daripada jam-jam di permukaan Bumi. Oleh yang demikian, nilai-nilai pemalar fizikal yang harus digunakan dengan pengiraan yang menggunakan TCG berbeza daripada nilai-nilai pemalar fizikal tradisional. (Nilai-nilai tradisional boleh dikatakan salah, tetapi mengandungi pembetulan untuk beza skala masa.) Menyesuaikan begitu banyak perisian sedia ada untuk beralih dari TDB ke TCG adalah satu tugas yang cukup menggerunkan, dan setakat tahun 2002, masih banyak pengiraan yang menggunakan TDB dalam apa jua bentuk.
Koordinat masa pada skala TCB lazimnya ditentukan dengan kaedah menentukan hari tradisional yang dibawa dari piawaian-piawaian masa berasaskan putaran Bumi yang tidak seragam. Khususnya, kedua-dua tarikh Julius dan Gregory diterima guna. Demi kesinambungan dengan Waktu Efemeris yang terdahulu, TCB telah dilaraskan agar sepadan dengan ET pada sekitar Tarikh Julius 2443144.5 (1977-01-01T00Z). Dengan lebih tepat, adalah ditakrifkan bahawa ketika 1977-01-01T00:00:32.184 TCG tepat-tepat bersamaan dengan ketika 1977-01-01T00:00:00.000 TAI di geopusat. Ini juga ketika yang mana TAI menerapkan pembetulan untuk dilasi masa graviti.