Bismillahirrahmanirrahim.
Kami tidak menyambut raya di Selangor sejak PKP 2020. Itu sebab rasa teruja sangat hendak balik ke kampung. Pada masa yang sama ada beberapa perkara yang perlu difikirkan:
- Keuzuran Bonda, disebabkan faktor usia.
- Wak Niah terjatuh di bilik air sebelum bulan puasa. Kaki kirinya patah dan disimen untuk tempoh tiga bulan. Sekarang Wak Niah hanya boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda.
- Ketiadaan Wak Ros (Kak Ros yang meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 2023)
Setiap hari, abang ipar dan adik ipar akan hantar makanan ke rumah Bonda. Kedua-duanya sudah bersara, jadi memudahkan urusan untuk membantu Bonda dan Wak Niah. Rumah mereka pun berdekatan sahaja. Mencuci pakaian dan mengemas rumah semuanya diambil alih oleh Adik Chah dan Adik Wi.
Untuk hidangan sahur kami, semua makanan dihantar oleh adik ipar. Barulah Amie perasan, sebenarnya dapur Bonda agak 'bersih' berbanding sebelumnya. Maksudnya dapur tidak digunakan untuk memasak! Satu lagi, terasa sangat kelainannya raya kali ini kerana tiada gantungan ketupat yang baru direbus dan tiada ketupat palas di atas meja! Rupa-rupanya, Amie terlupa ketiadaan arwah Kak Ros yang selama ini setiap tahun, dialah tulang belakang utama di rumah ketika raya!
Al-Fatihah untuk arwah Kak Ros.
Kalau diikutkan hati, memang hendak meleleh sahaja air mata ketika itu. Tapi cuba tabahkan hati dengan menyibukkan diri mengisi kuih-muih di dalam bekas. Memandangkan esok hari raya, jadi sambil mengisi kuih kami bermesyuarat anak-beranak.
Kalau diikutkan hati, memang hendak meleleh sahaja air mata ketika itu. Tapi cuba tabahkan hati dengan menyibukkan diri mengisi kuih-muih di dalam bekas. Memandangkan esok hari raya, jadi sambil mengisi kuih kami bermesyuarat anak-beranak.
Amie minta anak-anak korbankan hari esok untuk berziarah raya ke rumah saudara mara dengan berada di rumah membantu mana yang patut ketika tetamu datang. Wak Niah sudah tidak dapat bergerak dengan sempurna. Bonda pula sudah sangat berkurangan kudratnya. Jadi, kamilah pengganti menjadi tuan rumah.
Harapnya esok semuanya akan berjalan lancar. Biarlah adik-beradik yang lain, yang selama ini membantu Bonda dan Wak Niah berada di rumah masing-masing membuat persiapan raya bersama anak-anak, menantu dan cucu mereka. Ada yang akan ke rumah keluarga suami di Pulau Pinang, dan ada yang akan berziarah mentua di Negeri Sembilan.
Sementara menunggu esok yang bakal menjelma, marilah kita lihat kuih-muih yang tersedia untuk para tetamu. Semua kuih dan biskut raya merupakan pemberian anak buah, adik-beradik dan Amie bawa sendiri dari Lahad Datu. Oleh kerana tidak terkira banyaknya kuih dan biskut raya, isi sahajalah mana-mana bekas yang ada.
Atas sekali, keropok amplang perasa tom yam, Amie bawa dari Lahad Datu. Diikuti dengam buah rotan dan kuih dahlia serta biskut entah apa naman, kiriman kawan Fuad dari Pulau Pinang. |
Semua kuih di atas sumbangan anak buah. Ada kerepek bawang, bahulu gulung, pisang salai dan kerepek pisang tanduk. |
Kesemua kerepek dan kuih di atas ini dibawa oleh Adik Wi dan anak buah. |
Tak pasti siapa yang bawa biskut coklat dan maruku. Amie hanya kenal tart nanas dan keropok amplang ikan sahaja sebab itu yang Amie bawa. |
Biskut gunting, biaskut kegemaran dari dulu tetap diisi dalam balang. |
Antara kuih-muih lain sumbangan anak buah. Amie pun tak sempat buka pelbagai jenis keropok amplang yang dibawa. Sebahagiannya masih di dalam kotak. Begitu juga dengan pelbagai jenis rempeyek dan kerepek yang dibawa oleh adik-beradik yang lain. Apabila kuih-muih mulai surut pada hari raya kedua, barulah buka kotak berisi kerepek ubi, keladi, pisang dan sukun.
Malam itu, Amie cuba lelapkan mata lebih awal memandangkan keesokan pagi perlu bangun untuk menyiapkan kerja-kerja dapur. Syukur Alhamdulillah. Tradisi munjung atau bertukar-tukar sajian berupa ketupat dan lauk-pauk sebelum hari raya sebenarnya membawa banyak kelebihan dalam kehidupan masyarakat di kampung kami. Jadi, pada hari raya kebanyakan para tetamu mengambil kesempatan untuk berziarah seberapa banyak yang boleh ke rumah saudara mara. Jika tuan rumah menyediakan juadah yang berat seperti ketupat, lemang dan segala lauk-pauknya maka tetamu tetap akan jamah apa yang dihidangkan.
Kita tengoklah dalam entri seterusnya bagaimana suasana hari raya di rumah Bonda.
Kita tengoklah dalam entri seterusnya bagaimana suasana hari raya di rumah Bonda.