Pengubahsuaian watchOS yang tidak dibenarkan
watchOS direka bentuk untuk menjadi boleh dipercayai dan selamat daripada saat anda menghidupkan peranti. Ciri keselamatan terbina dalam membantu melindungi anda daripada perisian hasad dan virus serta melindungi akses pengguna kepada maklumat peribadi dan data korporat. Pengubahsuaian watchOS yang tidak dibenarkan (juga dikenali sebagai “pecah sekat”) memintas ciri keselamatan dan boleh menyebabkan pelbagai isu seperti kerentanan keselamatan, ketidakstabilan dan hayat bateri lebih pendek kepada Apple Watch yang digodam.
Kerentanan keselamatan. Memecah sekat peranti anda akan menghapuskan lapisan keselamatan yang direka bentuk untuk melindungi maklumat peribadi anda dan Apple Watch anda. Dengan keselamatan ini dikeluarkan daripada Apple Watch anda, penggodam mungkin mencuri maklumat peribadi anda, merosakkan peranti anda, menyerang rangkaian anda atau menghantar perisian hasad, perisian intip atau virus.
Ketidakstabilan. Pengubahsuaian yang tidak dibenarkan boleh mengakibatkan ranap peranti yang kerap dan tidak dijangka, ranap dan kegendalaan app terbina dalam serta app pihak ketiga dan kehilangan data.
Hayat bateri lebih pendek. Perisian yang digodam boleh menyebabkan bateri habis lebih cepat yang memendekkan operasi Apple Watch pada pengecasan bateri tunggal.
Suara dan data yang tidak stabil. Pengubahsuaian yang tidak dibenarkan boleh menyebabkan panggilan terputus, sambungan data yang perlahan dan tidak stabil, serta data lokasi yang lewat atau tidak tepat.
Gangguan perkhidmatan. Perkhidmatan seperti iCloud, iMessage, FaceTime, Apple Pay, Mel Suara Visual, Cuaca dan Saham mungkin terganggu atau tidak berfungsi lagi pada peranti. Tambahan lagi, app pihak ketiga yang menggunakan Perkhidmatan Pemberitahuan Push Apple mungkin mengalami masalah menerima pemberitahuan atau mungkin menerima pemberitahuan yang ditujukan untuk peranti berbeza. Perkhidmatan berdasarkan push lain seperti iCloud dan Exchange mungkin mengalami masalah menyelaraskan data dengan pelayan masing-masing.
Tidak boleh menggunakan kemas kini perisian masa depan. Sesetengah pengubahsuaian yang tidak dibenarkan mungkin menyebabkan kerosakan kepada watchOS yang tidak boleh dibaiki. Ini boleh menyebabkan Apple Watch digodam tidak boleh digunakan secara kekal apabila kemas kini watchOS yang dibekalkan Apple pada masa depan dipasang.
Apple sangat tidak menggalakkan anda memasang sebarang perisian yang mengubah suai watchOS. Anda hendaklah mengambil maklum bahawa pengubahsuaian watchOS yang tidak dibenarkan adalah pelanggaran Perjanjian Lesen Perisian watchOS, oleh sebab itu Apple mungkin menolak servis untuk Apple Watch yang telah dipasang sebarang perisian yang tidak dibenarkan.