KERTAS KERJA :
KONSEP TAZKIYYAH AL- NAFS DAN KAITANNYA DENGAN
AMALAN PENGURUSAN MODEN
Pendahuluan
Pengurusan dilihat sebagai faktor terpenting dalam mentadbir atau mengatur sesuatu organisasi supaya tampak berdaya-saing dan efisyen. Semuanya bermula dengan individu yang mengaggotai sesebuah organisasi. Sama ada pengurusan barat atau pengurusan Islam konsep kecemerlangan itu menjadi kayu ukur terhadap kompentensi seseorang supaya matlamat organisasi tercapai. Bagi pengurusan barat, ia meletakkan matlamatnya untuk dunia sahaja manakala bagi pengurusan Islam, ia mencakupi matlamat di dunia dan akhirat (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1984). Maka sewajarnya nilai tambah pada pengurusan Islam terbukti dengan bermatlamat mencari redha Allah SWT untuk mendapat al Falah di dunia dan akhirat.
Prinsip dalam pengurusan Islam telah diletakkan oleh Auni Haji Abdullah di atas empat tunggak terpenting iaitu istikhlaf, tazkiyyah al- Nafs, taskhir dan karamah al- Insan. Hakikat kekuatan sistem pengurusan Islam yang mantap dan telus mampu terjelma dengan gabungan keempat-empat tunggak ini bagi mencorakkan ciri-ciri kegemilangan sistem yang diredhai. Makna dan pengertian yang tersirat dan tersurat hanya dapat dihayati berasaskan keimanan, ketauhidan dan ketakwaan kepada Allah SWT (Auni Haji Abdullah,2010). Oleh itu, bagi menerangkan tunggak tazkiyyah al-Nafs ianya bermula dengan mempertahankan fitrah kemuliaan seorang insan dengan menggunakan penapis moral bagi menjalani kehidupan yang dipimpin wahyu Ilahi. Dengan kata lain tazkiyyah al Nafs adalah kunci pengurusan diri sendiri sebelum mampu menguruskan perkara lain.
Menurut Assyahid Sayyid Quthb, seperti yang dinukilkan di dalam tafsirnya yang masyhur iaitu Fi Zhilalil Quran telah menggariskan perkataan ‘ilham’ di dalam ayat 7-8 dari Surah As-Syams.
“Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaan-Nya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan”
Pandangan terhadap jiwa manusia ini sangat singnifikan dalam pendidikan khalifah sebagai pemikul tanggungjawab ke arah kesempurnaan mengatasi makhluk lain. Malah manusia mestilah menyedari tempat kembalinya di akhirat yang akhirnya menjelmakan kesedaran terhadap seluruh tindakan yang tidak boleh dilalaikan dan diabaikan daripada kerangka qadar Allah. Manusia juga perlu menyedari hakikat neraca timbangan Allah seterusnya menjadikannya tidak kalah dengan hawa nafsu dan dapat mendekati Allah, menjalani petunjuk-Nya dan menerangi kehidupannya (Sayyid Quthb, 1992)
Gagasan kerohanian yang unggul oleh Imam Al Ghazali mampu menjadi kayu ukur terhadap tahap jiwa manusia yang bersifat turun naik berdasarkan keimanannya. Maka diertikan dengan maksud penyucian jiwa ini perlu dilahirkan dalam keadaan manusia memiliki fitrah yang suci. (Farid Ahmad,1986). Pandangan Al Ghazali mengenai tazkiyyah al-Nafs, manusia perlu melakukan latihan batin dengan pengawalan atas empat kekuatan iaitu ilmu, marah, nafsu syahwat dan keadilan. Punca masalah manusia adalah kerana jiwa manusia yang engkar dengan perintah Allah.
Tazkiyah al-Nafs menurut bahasa ialah pembersihan jiwa, penyucian diri. Kata Tazkiyyah berasal dari bahasa arab iaitu masdar dari zakka. Tazkiyyah al-nafs tidak akan diperoleh kecuali melalui tathir al-nafs sebelumnya. Lawan tazkiyah al-nafs adalah tadsiyah al-nafs. Tazkiyah al-nafs dapat mengangkat darjat manusia ke tingkat yang lebih tinggi manakala tadsiyah al-nafs menjatuhkan jiwa manusia ke lembah kehinaan. Fakhrurozi dalam tafsir Al-kabir mengertikan tazkiyyah dengan tathir dan tanmiyat yang berfungsi untuk menguatkan motivasi seseorang dalam beriman dan beramal soleh. Muhammad Abduh mengertikan tazkiyyah al-nafs dengan tarbiyyah al- nafs (pendidikan jiwa) yang kesempurnaan dapat dicapai dengan tazkiyyah aql (penyucian akal) dari aqidah yang sesat. Sedangkan tazkiyyah al-aql kesempurnaannya dapat dicapai dengan tauhid yang murni. Sardar mengertikan tazkiyyah al-nafs sebagai pembangunan watak dan transformasi dari personaliti manusia, dimana seluruh aspek kehidupan memainkan peranan penting dalam prosesnya. Tazkiyyah sebagai konsep pendidikan dan pengajaran tidak saja membatasi dirinya pada proses memberi ilmu, akan tetapi lebih mempraktikkan kehidupan yang mentaati Allah SWT (Masyhuri, 2012).
Firman Allah SWT, ayat 9-10 dari Surah As-Syams.
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan merugilah orang yang mengotorinya”
Penyucian ini adalah gabungan antara jasmani dan rohani. Jasmani dibersihkan daripada hadas dan najis. Manakala rohani pula berkaitan pembersihan daripada penyakit-penyakit jiwa yang mengancam kemurnian aqidah contohnya mensyirikkan Allah, mendustakan kebenaran Rasul atau penyakit=penyakit hati sesama manusia. Maka yang mengotori jiwa terjadi sebaliknya (Hamka, 1985). Pembentukan rohani diperlukan bagi membina jati diri seseorang. Pembinaan jati diri ini adalah benteng dalaman yang mempengaruhi tindak-tanduk sama ada tergoda dengan duniawi atau mengutamakan ukhrawi (Auni Haji Abdullah,2010)
Konsep Tazkiyyah al-nafs menurut al-Ghazali secara umum didasarkan atas bab-bab yang terdapat dalam kitab ihya’ul ulumuddin yang terdiri daripada Ibadah, adat dan akhlak. Bab ibadah iaitu yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Bab ini membicarakan tentang keutamaan ilmu, aqidah, thaharah, rahasia sholat, puasa, haji dan zikir. Bab adat adalah berkaitan hubungan manusia dengan persekitarannya. Bab ini membicarakan tentang tata cara pergaulan, pernikahan, adab mencari penghidupan dan ketentan halal dan haram. Bab akhlak terbahagi kepada dua iaitu al-muhlikat dan al- munjiyat. Al –Muhlikat membahas tentang hubungan manusia dengan dirinya sendiri, khususnya membahas tentang akhlak mazmumah yang harus dihindari oleh setiap orang. Bab ini juga membicarakan tentang penyakit jiwa seperti bahaya lidah, sifat dengki, marah, bakhil, dan bahaya akan kecintaan pada dunia. Bab al-Munjiyat membahas tentang hubungan manusia dengan dirinya, khususnya membahas tentang sifat-sifat mahmudah yang harus dimiliki oleh setiap manusia. Inilah sisi yang menjadi penawar bagi orang yang mengalami jiwa kacau. Dalam pengertian tazkiyyah al-nafs dalam kitab ihya’ul ulumuddin banyak membahas tentang tazkiyyah iaitu kitab tentang ilmu, aqidah, thaharah dalam beribadah, serta kitab tentang keajaiban jiwa dan latihan kejiwaan dalam bab al-muhlikat. Dari kitab tentang keajaiban jiwa, Al-Ghazali mengertikan tazkiyyah sebagai jiwa yang memiliki kesedaran tentang makrifat kepada Allah (Masyhuri,2012).Matlamat yang ingin dicapai ialah jiwa mutmainnah (tenang) seperti yang dijemput oleh Allah SWT dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Dalam firman Allah SWT dari surah al Fajr ayat 27 – 30.
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan kamu redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, Masuklah kamu ke dalam syurga-Ku”.
Menurut Al Syahid Sayed Quthb, jiwa yang tenang di sini adalah tenang menempuh jalan dan tenang terhadap qadar Allah SWT. Juga tenang di waktu senang dan susah, di waktu lapang dan sempit, di waktu terhalang dan mendapat pemberian. Tenang tanpa ragu, ytanpa menyimpang, tanpa bergoncang di jalan dan tanpa merasa takut pada hari yang menakutkan dan mengerikan kerana berada di tempat pengawasan Tuhannya.
Menyoroti sejarah Rasulullah yang menampilkan pengurusan yang sering bekerjasama atau berunding untuk meminta pendapat dalam majlis syura yang dianggotai oleh sahabat-sahabat yang bijak pandai, kuat iman, warak serta yang bersemangat memperkembangkan dakwah Islam. Mereka ialah Hamzah, Jaafar, Abu Bakar, Umar, Ali, Ibnu Mas’ud dan Bilal yang memiliki pengalaman tazkiyyah al nafs yang tinggi dalam diri. Mereka semua dianggap nuqaba’ kerana sanggup mengislamkan masyarakat pada masa tersebut (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1984). Demikianlah kualiti individu yang berada dalam zaman kegemilangan Islam. Namun kini, masyarakat dilihat lemah ekoran kurangnya kajian dan penyelidikan terhadap pengurusan Islam sehingga sistem pengurusan Barat tampak mendapat sambutan dengan mempunyai pengguna yang besar lantaran mereka sentiasa mencipta teknik-teknik baharu yang dianggap moden dan kontemporari.
Meskipun demikian keunggulan Islam itu tetap mendapat tempat kerana para saintis barat sendiri mengakui al Quran adalah satu kitab yang sangat tepat dalam banyak situasi. Bertepatan dengan pesanan Rasulullah di dalam sabdanya yang bermaksud;
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selama berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al Quran) dan sunnahku”
Oleh itu, masyarakat Islam hendaklah berpegang dengan dua suber asas dalam berbagai kehidupan sebagai panduan di dunia dan akhirat iaitu al Quran dan Ssunnah Rasulullah SAW. Firman Allah dalam surah al Syuara’ ayat 192-195.
Bermaksud:
“Dan Sesungguhnya Al Quran Ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta Alam, Dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), Ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, Dengan bahasa Arab yang jelas.”
Pendekatan Tauhid Dalam Pengurusan
Pendekatan tauhid yang merupakan hubungan terus dengan Allah SWT adalah merupakan salah satu pendekatan aliran pemikiran pengurusan organisasi dan manusia disamping pendekatan-pendekatan lain seperti pendekatan pengurusan sesama manusia, pendekatan berasaskan kepada sistem, pendekatan pengurusan klasik dan sebagainya. Pendekatan tauhid adalah merupakan satu pendekatan yang meletakan ketuhanan sebagai paksi segala-galanya. Pendekatan ini lebih menyeluruh kerana mengambilkira aspek sesama manusia dan hubungan antara manusia dengan Tuhan penciptanya. Oleh itu pendekatan dalam perubahan pentadbiran perlulah dilaksanankan berteraskan kepada konsep tauhid yang merupakan intipati ajaran Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran menerangkan makna dan intipati tauhid yang boleh diterjemahkan dalam sistem pentadbiran antaranya tentang tujuan penciptaan manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Al Zariyat ayat 56 yang bermaksud;
“Dan tidak Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah”
Manusia hendaklah mendapat keredhaan Allah SWT dan Rasul dalam apa jua pemikiran dan amalan yang akan dipraktikkan. Manusia sepatutnya mencari titik ini sekiranya dia adalah daripada orang yang beriman. Allah SWT berfirman dalam surah Al Taubah ayat 62.
Bermaksud:
“Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya Itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka adalah orang-orang yang mukmin.”
Manusia mestilah berperanan sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi tanpa membuat kerosakan ke atas makhluk lain. Allah berfirman dalam surah Al Anbiya’ ayat 107.
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi”
Implikasi tauhid yang benar dengan sentiasa mengingati Allah dalam setiap tindakannya. Dalam firman Allah SWT, surah Al Nur ayat 37 (Hairunnizam Wahid, Ab. Razak Dan, Mohd Ali Mohd Nor, tt)
Bermaksud:
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”
Dasar Utama dalam Pengurusan Islam
Islam tidak melarang umatnya untuk mengambil dan mengubah suai teknik dan amalan pengurusan dari barat asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Namun begitu, pengurusan organisasi Islam haruslah berteraskan empat dasar yang akan dibincangkan.
Mencari Keredhaan Allah dan al Falah sebagai matlamat
Matlamat seseorang muslim dalam semua hal ini ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT atau kejayaan dalam erti kata al-falah bermaksud kejayaan yang tidak terbatas kepada di dunia sahaja malah juga di akhirat. Dalam suraj Al-Taubah ayat 72-73 Allah berfirman.
Maksudnya:
“Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di surga 'Adn. dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar.Hai nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. tempat mereka ialah jahannam. dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya.”
Melaksanakan makruf dan mencegah kemungkaran
Pengurus dan usahawan harus memastikan prinsip melaksanakan yang makruf dan mencegah yang mungkar dilakukan dengan serentak. Islam tidak mengizinkan makruf dan mungkar dijalankan bersama, atau bercampur-baur kerana akhirnya ia akan merosakkan keharmonian yang wujud. Ini bermaksud pengurus dan pemimpin organisasi tidak boleh menggalakkan aktiviti yang baik dijalankan di dalam organisasi tetapi dalam masa yang sama seiring dengan perkara maksiat. Dalam surah Ali Imran ayat 104 Allah SWT berfirman.
Bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya.”
Dalam surah Al Maidah ayat 12 pula Allah SWT berfirman.
Bermaksud:
“Dan Sesungguhnya Allah Telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat diantara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku beserta kamu, Sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik. Sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. dan Sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, Sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus.”
Syariah Sebagai Sumber Ilmu dan Nilai
Setiap sesuatu yang dilakukan dari yang sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya tertakluk kepada hukum yang lima iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Melaksanakan yang wajib dan disulami dengan perkara sunat serta niat ikhlas kerana AllahSWT menjadikan ibadat diterima. Sebaliknya mengerjakan perkara yang haram akan membatalkan konsep kerja sebagai suatu ibadat contonya meninggalkan solat fardu. Syariah harus menjadi panduan dalam melaksanakan pengurusan kerana ia merupakan sumber ilmu dan juga nilai bagi seorang Islam. Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 44.
Bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Sesiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
Dalam surah Al Maidah ayat 16 AllahSWT berfirman.
Bermaksud:
“Dengan Kitab Itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang lurus.”
Manusia Sebagai Khalifah
Manusia bertanggungjawab menguruskan dunia dalam erti kata mengembangkan dan memakmurkan sumber-sumber alam. Konsep ini mengajak manusia supaya menyedari peranan yang harus dimainkan dalam menguruskan kerjanya. Jawatan adalah amanah dari Allah dan bukanlah sebagai tasyhrif atau kemuliaan yang perlu dibanggakan. Firman Allah SWT dalam surah Al Dzariyat ayat 56.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
(Mohd Hizam Hanafiah, Zafir Mohd Makhbul, 2003)
Bertitik-tolak dengan keempat-empat dasar pengurusan Islam yang telah dibahaskan di atas maka sewajarnya teras utama Tazkiyyah al-Nafs perlu diamalkan oleh setiap anggota organisasi khususnya pengurus, agar dapat berperanan selari dengan apa yang dihasratkan di dalam sesuatu organisasi Islam yang diredhai. Diharapkan semangat ini dapat memberikan suntikan membina bagi sebuah ketamadunan manusia yang bermaruah.
Tazkiyyah al-Nafs, kaitannya dengan Pengurusan Moden
Dunia hari ini memperlihatkan manusia seolah-olah bingung dengan kehidupan yang tidak seimbang. Semua yang berlaku adalah atas tindakan seseorang berdasarkan pengalaman, pendidikan dan yang paling penting adalah kepercayaan atau keimanan. Justeru jika dilihat tentang teori-teori yang dikembangkan barat untuk mengisi kekosongan jiwa, manusia rata-ratanya hanya berkisar kepada perkembangan intelektual, emosi dan spiritual yang mampu mencapai sekadar kekuatan akal tanpa dipandu wahyu. Sekadar menyebut nama-nama besar seperti Stephen Covey, Charles Handy dan Danah Zohar walaupun teori-teori mereka telah mempengaruhi persepsi masyarakat Islam moden dan menimbulkan kekhuatiran di kalangan ulama’ Islam namun akhirnya dilihat ada kelompangan dalam aspek hubungan langsung dengan pencipta. Sebagai contoh persoalan titik “God Spot” dalam Teori Kecerdasan Rohani (SQ) yang dipelopori Danah Zohar dikatakan terletak di satu sudut dalam otak manusia. Ditegaskan di dalam al Quran Allah SWT berfirman dalam surah al Taghabun ayat 11.
“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. dan sesiapa yang beriman kepada Allah nescaya dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
Dalam surah Ali- Imran juga telah menguatkan lagi dari ayat 8 Allah SWT berfirman.
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau. Sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)".
Ringkasnya dapat ditegasklan bahawa hati dipandu dengan wahyu bukannya akal.
Pengaruh ketiga-tiga tokoh dan Teori Intelligence yang diasaskan Gardner memutuskan fungsi minda melahirkan insan berfikiran kreatif dan inovatif. Kemudian timbullah aliran Islam liberal dengan mendaulatkan akal secara yang berlebihan sehingga timbul satu slogan seperti “tiada kuasa terhadap akal kecuali akal sendiri”. Lebih buruk lagi apabila ada yang mendakwa al Quran sendiri adalah karya Nabi Muhammad dan Tuhannya dan mereka mempersoalkan banyak isu antaranya isu maksum. Di dalam dunia Islam, sikap pendokong aliran ini banyak dipengaruhi oleh kedangkalan pemikiran akibat lemahnya keimanan setelah berdepan dengan pencapaian demi pencapaian yang bersifat material (Auni Haji Abdullah,
Kesimpulannya teori pengurusan barat hanya menekankan aspek akal, minda dan emosi tanpa memahami aspek rohani sebagai nadi utama dalam melahirkan potensi insan sebagai khalifah yang berbekalkan penapis moral dalam diri. Maka Islam hadir memberikan penyelesaian masalah untuk mengubati pelbagai penyakit hati yang bersarang dalam diri. Oleh itu tazkiyyah al-Nafs mampu memberikan penyembuhan hakiki terhadap penyakit-penyakit hati seperti yang disebut dalam firrnan Allah SWT di dalam surah al Isra’ ayat 72.
“Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).”
Dalam surah Yunus ayat 52 juga Allah SWT berfirman.
Kemudian dikatakan kepada orang-orang yang zalim (musyrik) itu: "Rasakanlah olehmu siksaan yang kekal. Adakah kamu diberikan balasan melainkan apa yang kamu kerjakan."
Tranformasi diri amat penting untuk menguruskan syaitan juga nafsu sebagai musuh utama manusia dan mengurus hati diperlukan untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat tercela. Maka dengan itu, martabat manusia akan meningkat berbanding makhluk lain yang telah disebut di dalam surah al Tiin sebagai Ahsani taqwim (sebaik-baik kejadian) dapat direalisasikan.
Sebagai rumusan daripada perbincangan ini, sesuatu tindak-tanduk yang baik atau buruk berpunca daripada diri sendiri. Jika manusia memilih jalan ketakwaan maka dia berada di landasan al Falah dan bakal kembali kepada penciptanya yang mutlak dengan membawa qalbun salim (hati yang sejahtera) berbekalkan amalan tazkiyyah al Nafs sebagai penapis moral yang utuh.
Abdullah, Auni Haji. 2010. Teras Utama Sistem Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise.
Hamka. 1982. Tafsir Al Azhar. Jakarta: Pustaka Panjimas, Jakarta.
Mohd Hizam Hanafiah, Zafir Mohd makhbul. 2003. Pengurusan Organisasi. Kuala Lumpur: Mc Graw-Hill (Malaysia) Sdn . Bhd.
Quthb, Sayyid. 1992. Tafsir Fi Zhilail Quran. Beirut: Darusy-Syuruq Beirut.
Sin, Ahmad Ibrahim Abu. 1991. Pengurusan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainab Ismail, Salasiah Hanin Hamjah. t.th. Teori dan pndekatan kaunseling islam.