International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
PERSPEKTIF ISLAM DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK
MASYARAKAT
Nazneen binti Ismail
nazneen@kuis.edu.my
Jabatan Usuluddin Akademi Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Nurzatil Ismah bt Azizan
nurzatil@kuis.edu.my
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah Akademi Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
ABSTRAK
Kesempurnaan akhlak adalah tujuan utama perutusan baginda Rasulullah SAW. Akhlak yang
sempurna gambaran kepada ketulusan akidah yang dimiliki individu. Maka, penekanan untuk
berakhlak mulia melibatkan tiga dimensi iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT dan
hubungan sesama manusia. Penulisan ini bakal mengupas berkenaan perspektif Islam dalam
pembentukan akhlak masyarakat berdasarkan surah al-Hujurat. Surah madaniyyah ini terdiri
daripada 18 ayat dan membicarakan soal tatacara sebuah masyarakat itu berakhlak. Dapatan
kajian mendapati surah ini menyentuh beberapa aspek tunjang dalam hidup bermasyarakat
mencakupi akhlak orang beriman dengan Rasulullah SAW, kepentingan meneliti kesahihan
berita, mendamaikan antara saudara seagama, larangan bersikap angkuh, prasangka dan
mengumpat, ketinggian taqwa sebagai nilai dan pengukuhan iman. Kesemua aspek ini perlu
diambil berat oleh masyarakat kini yang menjadikan teknologi dan komunikasi sebagai rutin
harian mereka.
Kata kunci: masyarakat berakhlak, al-Hujurat, akhlak Islam
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
PENDAHULUAN
Akhlak adalah dasar ajaran Islam yang termasuk di bawah Ihsan seperti dalam hadis riwayat
Umar RA atau dikenali sebagai hadis Jibril. Jibril telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang
ihsan, maka baginda menjelaskan ihsan sebagai “kamu beribadah kepada Allah seolah-olah
kamu melihat-Nya, maka jika kamu tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Dia (Allah) melihat
kamu”.(Riwayat Muslim) Dari segi bahasa, akhlak bermaksud budi pekerti, perangai dan tingkah
laku. Manakala dari segi istilah, Ibnu Maskawaih berpandangan akhlak ialah gerak jiwa yang
mendorong perlakuan tanpa perlu kepada pemikiran. Imam al-Ghazali pula menyatakan akhlak
ialah satu sifat yang tetap pada jiwa sehingga daripadanya mempamerkan perbuatan dengan
mudah tanpa perlu kepada pemikiran lagi. (Marzuki, 2009)
Akhlak atau ihsan ini wujud dalam diri manusia dengan adanya Islam dan Iman. Ia
adalah satu tingkatan tertinggi atau disifatkan sebagai membawa maksud Islam sepenuhnya. Ini
kerana seseorang itu sampai kepada satu keadaan merasa dirinya sentiasa diperhatikan Allah
SWT sama ada dalam melakukan ibadah khusus mahupun menjalani kehidupan seharian. Untuk
itu, Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW selaku insan kamil sebagai contoh teladan
kepada umat manusia tentang tatacara yang benar dalam melaksanakan tujuan penciptaannya
iaitu sebagai khalifah dan sebagai hamba. (al-Quran, al-Ahzab (21):21)
Dalam pembentukan akhlak, persoalan penentuan baik atau buruk sesuatu perkara
menjadi faktor yang berkait rapat dengannya. Maka, dalam Islam akhlak insan ditentukan
berdasarkan garis panduan baik dan buruk dalam al-Quran dan Sunnah. Di samping itu,
penentuan ini juga disandarkan kepada akal nurani serta pandangan umum masyarakat. Fitrah
tauhid yang ada dalam diri manusia sama sekali tidak akan menolak perkara yang membawa
kepada kebaikan dan tidak bercanggah dengan tauhid. Oleh kerana fitrah manusia tidak begitu
berkuasa dalam membuat keputusan, maka ia perlu kepada pendidikan dan pengalaman.
Meskipun begitu, manusia kerap kali tersasar dalam bertindak menjadikan hanya penentuan baik
dan buruk bersumberkan al-Quran dan Sunnah tidak harus diragui. (Marzuki, 2009)
Melalui sorotan al-Quran, dapat dilihat bahawa hanya terdapat dua kelompok manusia
atas dunia dengan sikap yang berbeza. Satu golongan ialah mukmin yang disifatkan dengan
akhlak mulia manakala satu golongan lagi ialah kafir yang bersifat dengan akhlak tercela.
Kesemua ini dijelaskan dalam al-Quran dengan pendekatan yang pelbagai.
Menurut Muhammad Uthman Najati (1993), terdapat beberapa pendekatan al-Quran
dalam mendidik manusia antaranya ialah contoh teladan, memberi peringatan, mengetengahkan
kisah-kisah, menyatakan perumpamaan, dan lain-lain. Maka, perutusan Rasulullah SAW dan
perintah untuk mencontohi baginda termasuk sebagai pendekatan al-Quran dalam bentuk contoh
teladan. Manakala pendekatan dalam bentuk memberi peringatan adalah seperti yang terkandung
dalam surah al-Hujurat. Surah ini menyatakan secara jelas tatacara mukmin dalam
bermasyarakat.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
PEMBENTUKAN AKHLAK DALAM SURAH AL-HUJURAT
Surah ini turut dinamakan sebagai surah al-Akhlaq wa al-Adab kerana ia menyeru kepada
kemuliaan akhlak. Di dalamnya terkandung seruan untuk orang beriman dengan kalam Allah
SWT: “Wahai orang beriman!” diungkapkan sebanyak lima kali. Setiap seruan itu pula mengajar
supaya berakhlak dengan akhlak terpuji. Meskipun surah ini hanya mengandungi 18 ayat, tetapi
semua rangkuman adab dinyatakan. Mencakupi adab dengan Allah SWT, adab dengan
Rasulullah SAW, adab dengan diri sendiri, adab sesama mukmin dan adab dengan manusia
secara am.
Terdapat sejumlah garis panduan berhubung pembentukan akhlak dalam surah al-Hujurat:
i. Akhlak orang beriman dengan Rasulullah SAW.
Seorang mukmin hendaklah sentiasa berhati-hati dalam mengemukakan sesuatu perkara baharu
dalam agama kerana dikhuatiri melakukan perkara bid’ah. Sedangkan perkara bid’ah adalah
termasuk dalam perkara yang diada-adakan dan cenderung kepada kesesatan. Begitu juga
mukmin ditegah secara keras dalam menjalankan syariat selain daripada yang diturunkan Allah
SWT. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Segala keputusan yang dibuat oleh baginda SAW perlu ditaati tanpa persoal kerana sebagai rasul,
baginda mengetahui perkara yang baik untuk umatnya. Sedangkan umat kadang-kala
menginginkan perkara yang bakal mengundang mudarat kepada diri dalam keadaan mereka tidak
menyedari. Maka, orang yang menuruti perintah baginda dan mencintai iman adalah mereka
yang diberi petunjuk. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Tambahan pula, ayat ini menunjukkan bahawa tiada syariat lain yang perlu dipatuhi selain
daripada Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka, sebarang pertikaian terhadap perkara yang telah
diputuskan juga perkara dilarang. Lebih-lebih lagi apabila akal dijadikan panduan sedangkan alQuran dan sunnah telah pun menyatakan tentangnya. Ini juga menjadi dasar keharusan semua
perkara sama ada dari segi teknologi, pembangunan, kesenian dan lain-lain selagi tidak
bercanggah dengan syariat Allah SWT. (‘Atiyyah, t.t)
Mukmin juga perlu menjaga adab di hadapan baginda SAW dengan merendahkan suara dan
tidak bersikap lantang. Kemuliaan baginda SAW berbanding manusia lain adalah kerana
pemilihan Allah SWT kepadanya sebagai utusan membawa risalah Allah SWT serta kewajipan
untuk beriman, mencintai dan taat kepada baginda. Ini kerana jika tidak memelihara adab dengan
baginda dikhuatiri ia akan membatalkan amalan seseorang tanpa disedari. Tidak hanya
merendahkan suara, seorang mukmin juga tidak boleh memanggil Rasulullah SAW dari balik
dinding dengan mengangkat suara dan mengharap baginda akan keluar berjumpa. Sebaliknya,
mereka perlu menahan diri dan bersabar sehingga baginda keluar daripada rumah untuk bertemu.
(al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
‘Atiyyah (t.t) turut menyatakan ayat ini menunjukkan larangan memanggil atau mendatangi
rumah saudara yang lain tidak melalui pintu. Di samping itu, tertakluk kepadanya perintah
supaya meminta izin daripada tuan rumah jika berhajat. Ia adalah kerana berkemungkinan tuan
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
rumah mempunyai keperluan atau urusan yang perlu diselesaikan sehingga tidak bersedia
menerima tetamu.
ii. Kepentingan meneliti kesahihan berita.
Sebagai anggota masyarakat, adalah penting untuk meneliti kesahihan berita yang diterima.
Terutama apabila ia disampaikan oleh orang yang fasik lagi diragui keperibadiannya. Ini bagi
mengelakkan dari berlakunya jenayah atas mereka yang tidak bersalah sekali gus menzaliminya.
(al-Tafsir al-Muyassar, t.t) Tambahan pula, berita tersebut melibatkan isu yang besar dan
kesalahan dalam mengambil tindakan akan mencetuskan mudarat yang amat besar. Menurut
‘Atiyyah (t.t) fasik bermaksud orang yang keluar daripada batasan syarak. Ia juga bermaksud
orang yang ingkar dan melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Manakala berita atau al-Naba’
itu menunjukkan satu perkhabaran yang penting dan besar. Seterusnya, penyampaian berita itu
pula dilakukan secara berlebih-lebihan dan sengaja.
Ini bermakna terdapat tiga kriteria yang perlu diperhatikan. Pertama, diri penyampai berita itu
fasik. Kedua, berita yang disampaikan melibatkan isu penting dan besar. Ketiga, ciri berita
tersebut berlebih-lebihan dan sengaja diada-adakan. Maka, khabar seumpama ini perlu dipastikan
kesahihannya terlebih dahulu.
Kerana jika berlaku kesilapan dalam menjatuhkan hukuman atau mengambil tindakan, ia akan
melibatkan hak-hak manusia lain tergugat. Maka, wajib dibayar diat kepada mereka. Sehubungan
itu, selain daripada kepentingan memastikan kesahihan berita yang mungkin bakal membawa
kepada pembunuhan dan fitnah maka mukmin perlu berperanan sebagai pendamai antara dua
saudara yang bertelagah. (‘Atiyyah, t.t)
iii. Mendamaikan antara saudara seagama.
Menjadi kewajipan bagi seorang mukmin untuk mendamaikan dua pihak yang bertelagah
sedangkan kedua-duanya adalah mukmin. Ini kerana semua mukmin adalah bersaudara. Justeru,
sebagai langkah berdamai kesemua pihak perlu merujuk kepada hukum hakam Allah SWT.
Seandainya terdapat pihak yang menentang hukum Allah SWT, maka mereka wajar diperangi.
Aturan ini ditentukan Allah SWT pada hakikatnya adalah didasari rasa cinta sesama saudara
seakidah tanpa melampaui cinta mereka kepada Allah SWT. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Tambahan pula, jika pertelingkahan ini berpunca daripada perkhabaran palsu yang dibawa oleh
fasik. Ia mesti dihentikan dengan apa jua cara meskipun terpaksa memerangi golongan yang
enggan berdamai sehingga mereka tunduk kepada hukum Allah SWT. (‘Atiyyah, t.t)
Seterusnya, dalam berhadapan dengan golongan yang melampau juga terdapat perbezaan.
‘Atiyyah (t.t) berpandangan sekiranya yang melampau itu dari kalangan rakyat maka pemerintah
perlu mengambil tindakan tegas agar tidak timbul kekacauan dalam masyarakat. Manakala jika
pihak yang enggan tunduk itu adalah dari kalangan pemerintah, maka rakyat perlu menasihatinya
sekadar kemampuan dan berperingkat.
iv. Larangan bersikap angkuh, prasangka dan mengumpat.
Selain usaha memelihara kedamaian, masyarakat mukmin juga perlu menghindari perkara yang
mencetuskan perpecahan dan pertelingkahan sesama mereka. Perkara yang dimaksudkan ialah
memperolok-olokkan atau mempersenda, menabur tohmahan, mengaibkan dan memberi gelaran
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
buruk kepada sesama muslim. Kesemua ini adalah termasuk dalam perlakuan fasik yang dicela
dan tidak menggambarkan sifat seorang mukmin sebenar. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Mempersenda orang lain adalah tanda-tanda keangkuhan seseorang. Dimulai dengan hasad
dengki, diikuti dengan rasa angkuh dan bangga diri hingga akhirnya hanya menatijahkan laknat
daripada Allah SWT dan perpecahan umat. Maka, menahan diri dari memandang rendah kepada
orang lain merupakan kunci perpaduan umat yang dibina atas hubungan akidah. (‘Atiyyah, t.t)
Tegahan Allah SWT terhadap mukmin daripada menyimpan prasangka sesama saudara dan
mengintai-intai keaiban saudara untuk didedahkan serta larangan mengumpat dinyatakan secara
jelas. Perumpamaan memakan daging saudara adalah bertujuan menunjukkan kejelekan dosa
mengumpat lalu menjadikan ia sesuatu yang mesti dihindari. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Ketiga-tiga perkara yang dilarang Allah SWT ini mempunyai perkaitan antara satu dengan lain.
Atiyyah (t.t) menyatakan bermula dengan prasangka dalam diri, maka seseorang itu sentiasa
memandang negatif terhadap saudaranya. Kemudian, prasangka yang didasari dengki ini
mendorongnya untuk mengintai-intai keaiban saudara itu. Jika didapati terdapat aib, maka ia
akan dihebahkan kepada orang sekeliling melalui umpatan berbaur fitnah dan benci.
v. Ketinggian taqwa sebagai nilai dan pengukuhan iman.
Segala tegahan yang dinyatakan sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan
sebenar manusia di sisi Allah SWT. Oleh itu, tidak boleh bagi seseorang untuk berbangga
dengan keturunan atau kaumnya dan memandang rendah kepada orang lain. Perbezaan ini
dicipta oleh Allah SWT dengan sengaja supaya manusia saling berkenalan dan mengagumi
kehebatan Tuhan Maha Pencipta. Tambahan pula, mukmin perlu sedar bahawa nilaian sebenar di
sisi Allah SWT adalah ketaqwaan semata-mata.
Seseorang itu juga tidak boleh mendakwa dirinya terbaik dalam soal iman. Sedangkan dia tidak
mengetahui tahap iman dalam diri. Penilaian dan pengukuran hanya menjadi milik Allah SWT.
Hanya Dia yang mengetahui apa yang ada dalam diri. (al-Tafsir al-Muyassar, t.t)
Perspektif Islam dalam membentuk akhlak masyarakat melalui Surah al-Hujurat.
Masyarakat Islam hari ini berdepan dengan cabaran akhlak yang hebat. Dengan pengaruh budaya
Barat juga pengaruh budaya Melayu yang sebahagiaanya tidak menepati syariah Islam. Berikut
dikupas perspektif Islam dalam membentuk akhlak masyarakat khusus melalui istifadah daripada
Surah al-Hujurat:
1.
Galakkan menuntut ilmu agar dapat membezakan perkara yang batil dan hak.
Memberi ilmu kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan perkara-perkara yang bid’ah. Ia
memandangkan, sifat seorang mukmin harus sentiasa berhati-hati dalam mengemukakan sesuatu
perkara baharu dalam agama kerana dikhuatiri melakukan perkara bid’ah. Sedangkan perkara
bid’ah adalah termasuk dalam perkara yang diada-adakan dan cenderung kepada kesesatan. Ia
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
jelas dalam sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa “Barangsiapa yang melakukan
sesuatu perbuatan yang tidak ada dalam urusanku, (sunnahku) maka ia ditolak. (Bukhari dan
Muslim). Antara bid’ah yang kelihatan ketara dalam kalangan masyarakat Islam kini ialah
budaya dan adat yang diamalkan dalam masyarakat Melayu yang bertentangan dengan syariat
Islam. Sebagai contoh adat melakukan tahlil apabila terdapat kematian, membaca Yasin pada
malam nisfu Sya’aban, amalan bercukur jambul, membuat binaan pada kubur dan lain-lain
amalan. Hakikatnya amalan-amalan tersebut dibolehkan namun perlu kepada ilmu. Ia agar dapat
membezakan antara amalan yang sahih dan amalan yang batil. Kepentingan ilmu menunjukkan
adanya kepentingan melaksanakan kajian terhadap sesuatu perkara. Al-Quran telah menyediakan
asas penyelidikan berbentuk kiasan sejak empat belas abad yang lalu. Ianya induk kepada segala
ilmu dan menyediakan jawapan kepada pelbagai persoalan. (Mohd Radzi Othman, 2003).
Pengamalan bid’ah menghalang kepada kemajuan sesebuah negara. Bid’ah tidak hanya
berlaku dalam amalan ibadat sahaja, malah terdapat bid’ah yang berkaitan dengan akidah. AlBid’ah alI’tiqadiyyah ini merupakan gambaran sebenar kesesatan yang dinyatakan oleh
Rasulullah SAW dalam hadith yang bermaksud “semua bid’ah adalah sesat”. Sebahagian ulama’
tersohor seperti Al-Ghazali dan al-Qardawi telah merumuskan bahawa aspek bid’ah seperti ini
dapat diklasifikasikan dalam amalan yang bercanggah dari sudut akidah seperti khurafat, syirik
dan seumpamanya. (Fadzli Adam et.al, 2014)
2.
Menerima hukum Islam tanpa pertikaian yang merugikan.
Umat Islam seharusnya tidak mempertikai sesuatu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.
Tambahan pula apabila akal dijadikan panduan sedangkan al-Quran dan sunnah telah pun
menyatakan tentangnya. Ia sesuatu yang perlu diberi penekanan dalam dalam membentuk
masyarakat sejajar dengan panduan al-Quran. Al-Quran dengan jelas menyebut bahawa manusia
adalah makhluk yang suka membantah. Terdapat ilmu Ulum al-Quran yakni Jadal al-Quran yang
menjelaskan berkenaan perdebatan. Jadal dalam al-Quran sebahagiannya adalah Jadal Mahmud
yakni perdebatan yang berlaku dengan niat menyampaikan kebenaran dan menegah kebatilan
manakala Jadal Mazmum adalah perdebatan yang dilakukan dengan riak, niat yang tidak baik,
debat tanpa ilmu dan membawa kepada kebatilan. (Abdul Mukti Baharudin, 2014).
Terdapat pengulangan ayat wahai orang-orang yang beriman beberapa kali pada awal ayat
Surah al-Hujurat, ia jelas sebagai peringatan terhadap perkara yang dapat merosak keimanan.
Seakan-akan Allah s.w.t berfirman memang kamu orang-orang beriman, namun apa yang telah
kamu kerjakan merosak keimanan kamu. (Nashir Sulaiman al-Umar,2001). Terdapat banyak
perkara yang boleh merosakkan iman, antaranya
perjuangan Sister In Islam yang
mempertahankan persamaan gender. Islam menetapkan bahawa lelaki mempunyai kelebihan
tersendiri yang ada kalanya kelihatan melebihi wanita dan difikir tidak adil. Ia hakikatnya
mempunyai sebab yang tersendiri yang diketahui oleh Allah s.w.t. Terdapat perkara-perkara
yang boleh dilihat hikmah yang tersirat sebagai contoh lelaki dibenarkan untuk berpoligami. Ia
satu dasar tarbiyyah dalam perkahwinan yang membawa hikmah pertolongan, kasih sayang dan
keadilan.
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
3.
Menjaga adab komunikasi sesama manusia.
Komunikasi dalam Islam merujuk kepada kalimah al-Ittisal yang bermaksud sampaikan.
Komunikasi dalam al-Quran dilihat membawa mesej bahawa komunikasi adalah sesuatu yang
akan memberi kesan kepada jiwa. Dan ia perlu dilaksanakan dengan sopan yakni tidak menyakiti
orang lain serta kata-kata yang menyenangkan hati. (Nor Zahirah Mohamad, 2014). Dalam
Surah al-Hujurat disebutkan adab-adab komunikasi dengan Rasulullah s.a.w. Walaupun
Rasulullah s.a.w telah wafat, namun manusia sehingga kini masih menyebarkan hadith-hadith
Baginda s.a.w, mengkaji akhlak dan perjuangan nabi dan apa sahaja berkaitan dengan kenabian
Baginda s.a.w. Antara adab yang dilihat sinonim dengan masyarakat kini ialah adab
menyebarkan hadith-hadith Baginda s.a.w. Perkara penting yang perlu diberi penekanan ialah
kajian berkenaan taraf hadith yang ingin disampaikan sama ada melalui kuliah-kuliah di masjid,
aplikasi Whatapp, Twiter, Facebook dan lain-lain. Hanya hadith-hadith yang sahih sahaja boleh
disebarkan dan di sampaikan kepada masyarakat umum. Masyarakat perlu diberi peringatan azab
dan dosa menyebarkan hadith-hadith palsu seperti sabda Rasulullah s.a.w “Barangsiapa berdusta
atasku maka tempatnya di dalam api neraka” .
Dalam Surah al-Hujurat turut dijelaskan berkenaan larangan memanggil orang lain dengan
gelaran yang tidak disukai olehnya. Jika sesorang tersebut tidak suka dengan gelaran itu maka
haram memanggilnya dengan demikian. Jika ia menyukai maka dibenarkan di dalam Islam.
(Nashir b. Sulaiman al-Umar, 2001). Masyarakat perlu mengambil manfaat daripada ayat ini
dengan tidak menggelarkan orang lain dengan gelaran yang tidak disukai. Terdapat tiga jenis
gelaran di dalam Islam yakni gelaran yang dibenci oleh manusia dan ia diharamkan, gelaran
yang disukai ia diharuskan dan gelaran yang kebiasaanya digunakan untuk sesuatu keadaan
seperti bongkok, pincang dan lain-lain. (Nashir b. Sulaiman al-Umar, 2001). Gelaran kebiasaan
ini adalah kebiasaannya berkenaan fizikal seseorang.
4.
Adab bertamu dalam Islam.
Masyarakat Islam amat penting memahami adab dan akhlak sebagai tetamu. Surah al-Hujurat
menjelaskan aspek penting yang boleh diambil manfaat dalam kehidupan seharian iaitu adab
bertamu. Jelas disebut oleh Ibnu ‘Atiyyah bahawa terdapat perintah meminta izin jika ingin
bertamu. Ia bagi meraikan tuan rumah jika mempunyai urusan yang perlu diselesaikan segera
ketika itu, tuan rumah atau ahli keluarga lain mempunyai keadaan kesihatan yang tidak
mengizinkan atau hal-hal lain yang membuatkan tidak bersedia menerima tetamu. Adab juga
adalah tidak melihat-lihat barangan atau tempat-tempat peribadi tuan rumah agar tidak membuka
keaiban atau menjadikan tuan rumah tidak selesa. Waktu yang sesuai perlu dipilih jika ingin
bertamu agar tidak mengganggu urusan peribadi.
5.
Menyelidiki berita sebelum menyebarkan dan mempercayai.
Kecanggihan teknologi maklumat menjadikan masyarakat Islam sukar membezakan antara
berita-berita yang sahih dan batil. Ia berikutan tidak ada kesedaran akan bahaya menyebarkan
berita-berita yang tidak dipastikan kebenarannya. Penyebaran berita yang tidak benar akan
memberi kesan yang buruk terutama kepada orang yang terlibat dengan berita tersebut, ahli
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
keluarga dan orang-orang terdekat dengannya. Penyebaran berita yang tidak sahih boleh
membawa kepada fitnah dan dosa fitnah adalah lebih berat daripada membunuh. Ini kerana
fitnah tidak membunuh fizikal manusia namun ia membunuh jiwa yang mungkin akan mendapat
kesusahan seumur hidupnya. Fitnah boleh menyebabkan terputus hubungan suami isteri,
pergaduhan saudara mara, perpecahan masyarakat dan boleh menjatuhkan sebuah negara.
Kesedaran berkenaan bahaya fitnah perlu ditekankan kepada masyarakat sama ada kesan di
dunia mahupun akhirat kelak.
6.
Mendamaikan pihak-pihak yang bergaduh.
Surah al-Hujurat padanya terdapat suruhan mendamaikan dua pihak yang bertelagah. Islam
mementingkan perdamaian antara masyarakat Islam. Perlu ada pihak-pihak yang membantu
menyatukan pihak yang tidak sependapat berkenaan sesuatu perkara. Mencari titik persamanaan
dan berbincang berkenaan hal tersebut serta mencapai persetujuan dan hidup dalam keadaan
yang harmoni. Hatta dalam Islam dibolehkan untuk melakukan helah atau tipu daya untuk
mendamaikan pihak yang bergaduh.
7.
Larangan mempersendakan orang lain, membuka keaiban dan mengumpat.
Islam melarang mempersendakan orang lain dan menyebarkan keaiban. Sebagai contoh,
masyarakat kini melalui laman sosial dilihat banyak memaparkan gambar-gambar artis yang
telah berhijrah yakni mendekati Islam. Ini kerana manusia yang telah berhijrah dan bertaubat
adalah bersih dari dosa-dosa yang telah dilakukan terdahulu. Masyarakat Islam tidak boleh
mengungkit kisah silam yang telah berlaku. Allah s.w.t jelas dalam Surah al-Hujurat
menjelaskan berkenaan larangan mengungkit kisah silam orang yang telah berhijrah. Ia
merupakan adab yang baik yang diajar melalui al-Quran.
Islam melarang ghibah yakni mengumpat, ia merupakan dosa besar yang wajib dimohon
kemaafan kepada orang yang diumpat. Mengumpat boleh diertikan sebagai berkata sesuatu yang
benar berkenaan seseorang dengan membuka keaibannya. Jika orang yang diumpat mendengar
maka ia tidak senang dan tidak suka perkara tersebut tersebar. Namun umpatan yang diizinkan
mengikut pandangan ulama ialah menceritakan keburukan orang fasik yang terang-terangan
dalam kefasikannya. (Nashir b. Sulaiman al-Umar, 2001). Masyarakat kini perlu lebih berhatihati dalam menyebarkan berita dan mengelakkan daripada mengumpat orang lain. Ini kerana
dosa mengumpat tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t melainkan telah diampunkan oleh
orang yang diumpat tersebut.
8.
Meraikan kekurangan orang lain, tidak memandang rendah pada orang lain dan
menghalang diri daripada sifat-sifat mazmumah.
Memahami fitrah kejadian manusia, yang membezakan manusia adalah taqwa di sisi Allah s.w.t.
Masyarakat Islam perlu diberi kefahaman berkenaan pangkat dan taraf hidup. Di Malaysia,
masyarakat mempunyai latar belakang yang berbeza. Sebahagiannya mempunyai pangkat dan
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12 th – 13th October 2015
Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
jawatan yang tinggi dan sebahagian lagi hidup dalam keadaan yang sederhana. Malah terdapat
ramai masyarakat yang miskin dan gelandangan.
KESIMPULAN
Surah al-Hujurat memberi banyak gambaran dan iktibar yang boleh dikaitkan dengan kehidupan
seharian. Terdapat banyak manfaat daripada memahami ayat-ayat al-Quran. Antaranya ialah
kewajipan menyelidiki sesuatu berita yang diterima, hubungan antara umat Islam, akhlak,
perdamaian dan ketaqwaan. Ia memberi garis panduan dalam melayari kehidupan manusia dan
menjadikan masyarakat Islam mempunyai akhlak berteraskan al-Quran.
RUJUKAN
‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki. T.t. al-Tafsir al-Muyassar. http://www.islamweb.net
Abdul Mukti Baharudin. 2014. Ulum al-Quran al-Muyassarah. Selangor: KUIS.
‘Atiyyah bin Muhammad Salim. T.t. Tafsir Surah al-Hujurat. http://www.islamweb.net
Fadzli Adam, Firdaus Khairi Abdul Kadir dan Abd Hakim Mohad. 2014. Al-Bid’ah alI’tiqadiyyah: Faktor Kemunculannya Dalam Masyarakat Melayu dan Ruang Dakwah yang
Masih Terbuka. Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014: Da'wah & Ethnicity:
Multidisciplinary Perspective Disunting oleh: Anuar Puteh & Ahmad Irdha Mokhtar. Pusat
Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi, UKM, Bangi, Selangor.
Marzuki. 2009. Prinsip-prinsip akhlak mulia. Debut Wahana Press: Yogjakarta.
Mohd Radzi Othman. 2003. “al-Quran menjana Ilmu Akidah dan Taqwa Kepada Ummah,”dalam
Warisan al-Quran Peradaban Manusia, ed. Mohd Radzi Othman et. al (Pulau Pinang:Penerbit
Universiti Sains Malaysia.
Muhammad Uthman Najati. 1993. Al-Qur’an wa ‘Ilm al-Nafs. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Nashir Sulaiman al-Umar. 2002. Tafsir Surah al-Hujurat Manhaj Pembentukan Masyarakat
Berakhlak Islam. Terj. Agus Taufiq. Jakarta: Pustaka al-Kauthar.
Nor Zahirah Binti Mohamad. 2014. Konsep Komunikasi di dalam al-Quran: Tumpuan dalam
juzu’ 30. Selangor: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)