KEPENGETUAAN : DARI PENGURUS MENJADI PEMIMPIN
CHOW TIO KIONG
Kolej Komuniti Mas Gading
Abstrak
Kepimpinan dan pengurusan kedua-duanya begitu berkait rapat, tetapi ruang lingkung antara keduanya adalah berlainan. Pengurusan organisasi meliputi perancangan, perorganisasian, perancangan kakitangan serta soal kawalan terhadap organisasi bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang ditetapkan. Kepimpinan organisasi pula lebih memokuskan kepada manusia dalam aspek penyempurnaan tugas, aspirasi, motivasi, penugasan dan komitmen kearah pencapaian matlamat organisasi. Kepimpinan yang berkesan memberi kepuasan kepada pengikut dan seterusnya mereka akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Pengetua perlu melibatkan penyertaan guru-guru secara meluas dalam kerja-kerja penyeliaan, boleh membuat keputusan dan melaksanakannya. Dengan kata lain, pengetua memainkan peranan yang penting dalam mencorak dan menghasilkan suasana sekolah yang lebih positif dan konstruktif dan seterusnya mendorong mencapai visi sekolah seperti yang dikehendaki.
PENGENALAN
Kepimpinan dan pengurusan memberi erti yang berlainan dalam konteks dunia perorganisasian. Walaupun kedua-duanya begitu berkait rapat, tetapi ruang lingkung antara keduanya adalah berlainan. Pengurusan organisasi meliputi perancangan, perorganisasian, perancangan kakitangan serta soal kawalan terhadap organisasi itu sendiri. Kepimpinan organisasi pula lebih memokuskan kepada manusia dalam aspek penyempurnaan tugas, aspirasi, motivasi, penugasan dan komitmen kearah pencapaian matlamat organisasi.
PENGURUSAN
Pengurusan disifatkan sebagai “seni melakukan perkara-perkara tertentu melalui orang-orang lain”. Takrif yang diberikan oleh Mary Parker Foollett ini membuat kesimpulan bahawa para pengurus bertindak memenuhi matlamat-matlamat organisasi dengan cara menguruskan orang-orang lain supaya melakukan apa-apa tugas yang difikirkan perlu tanpa mereka sendiri melakukannya. Menurut James A.F. Stoner & Charles Wankel (1989) pengurusan adalah proses merancang, mengorganisasi, meminpin dan mengawal daya usaha anggota-anggota organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang ditetapkan.
BIROKRASI
Weber menyatakan bahawa birokrasi adalah organisasi mempunyai stuktur hierarki yang berasaskan autoriti yang formal dan sah. Para anggota organisasi bertindak berpandukan kepada rasa tanggungjawab terhadap organisasi dan berdasarkan satu set kaedah dan peraturan yang rasional.
KEPIMPINAN
Yulk (1981) Kepimpinan ialah pengaruh interpersonal yang digunakan dalam sesuatu situasi dan dijalankan melalui proses komunikasi kearah mencapai satu matlamat tertentu.
Likert (1967) mengatakan kepimpinan adalah satu proses yang relatif dimana pemimpin mestilah mengambil kira harapan, nilai hidup dan kemahiran interpersonal individu yang berinteraksi dengan mereka. Pemimpin mestilah menampilkan tingkahlaku dan proses organisasi yang boleh dianggap oleh pengikut sebagai menyokong usaha mereka dan juga pembangunan diri mereka sendiri.
Daripada definisi-definisi kepimpinan, didapati kepimpinan adalah satu fenomina yang berlaku dalam kumpulan yang melibatkan dua atau lebih individu. Kepimpinan wujud dalam semua aktiviti organisasi yang tersusun dan sistematik. Kepimpinan mempunyai pertalian yang rapat dengan kuasa. Fungsi kepimpinan mengandungi tugas-tugas menetapkan matlamat dan menyusun, mengarah serta menyelaras usaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kepimpinan adalah satu proses mempengaruhi dan keupayaan memujuk, kerana tanpa pengaruh tidak akan wujud konsep kepimpinan. Gaya kepimpinan mestilah sesuai dengan keadaan, iaitu gaya tertentu untuk situasi tertentu. Kepimpinan yang berkesan memberi kepuasan kepada pengikut dan seterusnya mereka akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang.
PENGETUA BERTINDAK SEBAGAI PENGURUS BIROKRASI
Sekolah ialah sejenis organisasi yang mempunyai corak kuasa yang formal, peraturan dan prosedur yang rasmi, serta matlamat yang tetap. Sistem pentadbiran sekolah secara tradisinya ditadbir dengan pengurusan sistem birokrasi. Struktur, pengkhususan tugas, peraturan dan prosedur telah dinyatakan dengan jelas demi menjamin pencapaian matlamat pendidikan yang ditetapkan. Pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah hanya boleh menjadi nyata apabila dapat diorganisasikan dengan suatu sistem yang sempurna.
Mengikut kajian dan pemerhatian, pengetua yang mengamalkan pengurus birokrasi sebagai stail pengurusan sekolah gagal membawa kemajuan pendidikan sekolah kepada tahap yang lebih tinggi. Wahal dulu pengetua menerima banyak kredit guna gaya ini untuk menjalankan sekolah, tetapi kini dapat kritikan daripada guru-guru yang kreatif dan pelajar-pelajar.
Antara kelemahan-kelemahannya ialah organisasi-organisasi birokrasi yang formal menghadapi kesukaran mengubah tatacara-tatacaranya yang mantap. Ia tidak terikut dengan langkah perubahan persekitaran yang begitu cepat.
Struktur birokrasi boleh menyebabkan berlakunya kebimbangan di kalangan pengetua yang mempunyai guru-guru yang mungkin mempunyai kelayakan akademik atau pengetahuan teknik yang lebih tinggi, dan setengah-setengahnya mungkin cuba melindungi autoriti dan kedudukan mereka dengan berlagak sombong dan bertindak berasaskan peraturan semata-mata. Menurut Thompson, ini adalah “patologik” kerana ia boleh menghalang organisasi dari mencapai matlamat-matlamatnya.
Apabila tatacara-tatacara organisasi menjadi lebih formal dan peranan individu lebih terkhusus, cara-cara perlaksanaan sering dikelirukan dengan tujuan. Sebagai misalan, guru kauseling mungkin hanya menitikberatkan kesempurnaan matlamat mereka sendiri dengan pelajar dan tidak ambil peduli tentang masalah-masalah yang berlaku pada pentadbiran. Mereka terlupa bahawa matlamat mereka adalah suatu cara bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi yang lebih luas.
Pengurusan birokrasi mengabaikan aspek-aspek kemanusiaan para anggota organisasi, dengan menganggap mereka hanya didorong oleh kepentingan ekonomi. Kritik ini jadi lagi hebat apabila tahap pendidikan, kemewahan dan pengharapan kepuasan terharap kerja semakin meningkat.
Dalam organisasi birokrasi para pengetua mempunyai hampir sepenuh tanggungjawab bagi merancang, mengawal dan menilai kerja guru-guru mereka. Menguasaan sedemikian terhadap tempat kerja oleh pengetua boleh menyebabkan guru-guru menjadi pasif dan bergantung, serta mengurangkan perasaan bertanggungjawab dan kawal-diri mereka.
Keadaan sedemikian adalah tidak bersesuaian dengan keperluan-keperluan manusia untuk berdikari, menyuarakan pendapat sendiri dan untuk menghasilkan pencapaian. Para anggota bawahan akan berasa tidak puas hati dan kecewa dalam kerja mereka disebabkan keperluan-keperluan ini tersekat. Ini akan mengongkong bakat dan kreativiti guru dan seterusnya menghasilkan golongan guru-guru yang minda kaku dalam organisasi dan merumitkan lagi usaha mencapai matlamat organisasi.
PENGETUA MENJADI PEMIMPIN
Iklim persekolahan yang baik dan kondusif banyak bergantung kepada gaya kepimpinan pengetua (Mok Soon Sang, 2002). Apabila pengetua menjadi pemimpin dalam pentadbiran sekolah, selain daripada mengurus beliau juga membimbing, melatih, mengajar, memimpin, mendorong dan membawa pengikut-pengikut berasa selesa untuk berkhidmat di bawah bumbung yang sama. Mereka perlu dilayan dengan baik kerana mereka mempunyai 7P (perasaan, perhatian, penghargaan, pencapaian, penerimaan, pertanggungan dan perkiraan) yang dahagakan pengiktirafan berterusan.
Pengetua perlu melibatkan penyertaan guru-guru secara meluas dalam kerja-kerja penyeliaan, boleh membuat keputusan dan melaksanakannya. Sebagai pemimpin organisasi hendaklah meningkatkan rasa harga-diri, menggunakan pendekatan membuat keputusan secara kumpulan, & menetapkan matlamat pretasi yang tinggi.
Pengetua perlu mewujudkan corak pengurusan yang lebih mengutamakan keberkesanan dan kemahiran hubungan kemanusiaan berbandingkan dengan kemahiran teknikal dan kemahiran konsepsual. Membenarkan lebih ramai guru-guru mengambil bahagian dalam soalan membuat keputusan. Semakin tinggi hubungan kemanusiaan, semakin berkualiti sesebuah organisasi atau sekolah. Dengan kata lain, pengetua memainkan peranan yang penting dalam mencorak dan menghasilkan suasana sekolah yang lebih positif dan konstruktif dan seterusnya boleh berjaya mencapai apa-apa objektif dan vision sekolah seperti yang dikehendaki.
TURUNKAN KUASA KEPADA PARA GURU
Pengetua perlu menurunkan sebahagian daripada kuasa mereka kepada guru-guru untuk membantu dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Sebelum penurunan kuasa dilakukan, pengetua perlu mendapatkan “Mr. right man on the right post”. Selepas itu mengagihkan tugas dan tanggungjawab pada kepada para guru dan diiringi dengan mempertimbangkan tahap penurunan kuasa yang bersesuaian kepada guru berkenaan. Dengan ini akan membuat mereka rasa diri mereka dihargai dan dipercayai oleh pihak atasan, ini akan mendorong para guru menghasilkan keinginan untuk membuat dan mempertingkatkan prestasi kerja mereka.
Guru-guru dipertanggungjawabkan demi memastikan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti dibawahnya berjalan dengan licin dan sempurna, dengan mengikuti dasar pendidikan secara berdikari. Guru-guru dibenarkan membuat keputusan sendiri walaupun ada sedikit perbezaan dengan pihak atasan. Ini akan mengurangkan sikap bergantung kepada pengetua semata-mata untuk membuat keputusan. Pengetua cuma memainkan peranan memantau, menerima maklumbalas dan menggalakkan penilaian kendiri guru masing-masing.
Kebanyakan pengetua menggunakan strategi ini untuk melatih dan membangunkan nilai-nilai kepimpinan pada para guru. Pembangunan ini secara tidak langsung telah mempetingkatkan pengurusan dan pentadbiran sekolah. Meramaikan pemimpin yang berkemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam perbincangan dan membuat keputusan untuk sekolah secara langsungnya mempertingkatkan lagi keupayaan sekolah untuk mencapai matlamatnya.
Disamping itu, tanamkan nilai dan sikap kepada para guru seperti berkerjasama, pengorbanan, komitmen, ketepatan masa, rasa sayang terhadap sekolah dan sedia berkhidmat dalam satu pasukan merupakan tunggak kejayaan.
GURU-GURU MENJADI PEMIMPIN
Untuk mencorak guru-guru supaya menjadi pemimpin yang berjaya ada beberapa aspek perlu dipertimbangan dan dilaksanakan dalam urusan harian. Kita percaya pemimpin boleh dibelajar dan dilatih, walaupun setiap individu mempunyai set minda dan kemampuan berbeza-beza.
Pada mulanya, mengagihkan tugas dan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada guru-guru. Menggalakkan guru menyelesaikan masalah bersama mereka dan mengurangkan pergantungan kepada pengetua. Dengan strategi ini, kebanyakan guru perolehi pengalaman untuk selesai masalah secara sendiri. Disamping itu kita sebagai pengetua perlu memberi sokongan, bimbingan dan motivasi kepada guru-guru bagi memantapkan lagi keyakinan dan kepimpinan yang mereka.
Terdapat sepuluh ciri atau sifat yang penting perlu dibina pada guru untuk menjadi pemimpin seperti yang disarankan oleh pengarang. Program khas atau kursus latihan minda diwajibkan kepada guru-guru untuk menerapkan nilai-nilai kepemimpinan, mengembangkan bakat, pengetahuan, pemikiran kreatif dan berkemahiran membuat keputusan.
Beberapa perkara patut diberikan tekanan dan perhatian. Kita patut mewujudkan peronaliti yang berkualiti di dalam sekolah kita terlebih dahulu, Kualiti itu terpancar dari segi komitmen, integriti, kegigihan, latihan, motivasi dan kecekalan individu. Pengetua sebagai pengurus bermakna menjalankan organisasi kepimpinan bermakna memberikan banyak inspirasi dan bervision dalam penguruan dan pentadbiran sekolah. Pengetua juga perlu menjadi model perjuangan kepada guru-guru. Membuktikan kejayaan itu boleh dicapai oleh pengikutnya. Mengekalkan keunikan personality dan kesinambungan kejayaan secara berkesan. Matlamat akhir adalah untuk memperkukuhkan nilai-nilai kepimpinan dalam budaya sekolah sendiri.
KESIMPULAN
Dalam sesebuah sekolah, cara kepimpinan pengetua merupakan tunggak kepada keberkesanan pentadbiran. Pemahaman tentang teori-teori kepimpinan dapat membantu pengetua dan guru-gurunya memahami tentang fungsi praktisnya yang begitu kompleks untuk mengarah hala tuju pimpinan yang diputuskan. Kemampuan memimpin itu bukan merupakan kemahiran semulajadi tetapi kemahiran yang boleh dipelajari mengikut situasi. Sebagai pengetua yang berjaya bukan setakat melatih guru-guru menjadi pemimpin tetapi juga mencorakkan kedinamikan sekolah selari dengan vision dan mission sekolah. Semangat kerajinan, berkerjasama, berpasukan dan bertelorasi penting dipupuk, dikekal dan digalakan perkembangannya dalam sekolah supaya seiring dengan keperluan era IT dan kecemerlangan abad ke-21.
BIBLIOGRAFI
Chek Mat (1996). Pengurusan Berkualiti Dalam Perkhidmatan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Daniel M. Boland (1997). Apa Yang Perlu Sebagai Seorang Pengurus. Kuala Lumpur: Golden Books Centre Sdn. Bhd.
Gary Dessler (1994). Human Resource Management (Sixth Edition). United States of America: Prentice-Hall International, Inc.
James A.F. Stoner dan Charles Wankel (1989). Pengurusan (Edisi Ketiga). Petaling Jaya: Amiza.
John S. Oakland (1989). Total Quality Management. Oxford: Heinemann Professional Publishing.
Mok Soon Sang (2002). Pendidikan Di Malaysia: Untuk Diploma Penguruan Semester 2 (Edisi ke-8). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Stephen P. Robbins (1991). Organizational Behavior: Concepts, Controversies and Applications. Sixth Edition. United States of America: Prentice-Hall International.
Zainal Abidin Mohamed (1994). Pengurusan Strategi. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd.
PAGE 6