Pendakwa Syarie V Khairuddin Bin HJ Abdul Ghafor, (2010)

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 13

Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor [2010] 2 SHLR 99

Shariah Law Reports (ShLR) · 15 pages

SHARIAH COURT OF APPEAL (BRUNEI)


AWANG YAHYA IBRAHIM CJ (SHARIE), BADARUDDIN OTHMAN AND SUHAILI MOHIDDIN
SHCAJJ
CRIMINAL CASE NO MTS/JEN/36 OF 2006
29 September 2009
Case Summary

Islamic Law — Syariah criminal law — Sexual intercourse out of wedlock (zina) — Alleged to have
committed on several occasions — Whether to have separate charges and tried separately —
Confession of co-accused — Denial by appellant — Whether could be used to convict accused

Islamic Law — Syariah criminal procedure — Sexual intercourse out of wedlock (zina) — Charge
— Framing or particulars of — Whether charge precise — Whether amendments to charge proper
— Whether according to law — Whether misleading — Whether accused prejudiced — Whether
occasioned in miscarriage of justice — Criminal Penal Code ss 160, 161 & 162 — Akta Majlis
Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) bab 69(4)

The appellant was initially charged with another accused by the name of Norsalin bt Hj Ja'afar at the
Shariah Subordinate Court, district of Brunei and Muara on 18 February 2006. The female accused
admitted to committing zina and was sentenced to a fine amounting to $2,000 or imprisonment for 60
days. When the accused did not plead guilty to the charge, the case was transferred to the Shariah High
Court with a new charge focusing on the appellant's crime by using the word 'you'. During the trial, the
trial judge had allowed amendments to the actual charge, so much so, that it had differed substantially
from the initial charge and had caused the delay. The charges levelled against the appellant can be
summarised as follows: (i) the first incident, on 11 and 12 February 2004 between 1pm to 2.15am at
Dubai Hotel; (ii) the second incident, between 1 September 2004 to 30 September 2004 during the day at
a rented house in Kg Anggerek Desa; (iii) the third incident, between 1 October 2004 and 31 October
2004 during the day at a rented house in Kg Anggerek Desa; (iv) the fourth incident, between 1 November
2004 to 30 November 2004 at a rented house in Kg Anggerek Desa. The question raised by the appellant
was concerning the action by the prosecution in amending the charge arbitrarily. The appellant contended
that the various amendments made by the prosecution was baseless and should not have been allowed by
the court. Further, the appellant contended that he could not be tried in one trial as the first charge was not
connected with the subsequent three charges.

Held, allowing the appeal and discharging the appellant:


(1) The trial judge did not require the prosecution to furnish any grounds or evidence for the
amendments to the charges. This is inconsistent with s 69(4) of the Undang-Undang Penggal 77
and s 162 of the Criminal Penal Code. The prosecution was required to make an [*100]
Page 2 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

application for the amendment and the judge should give his consent to the application (see paras
16–18).
(2) The first charge of the series of four charges should chronologically be the event that was given
priority and not otherwise which would raise doubt why it was stated otherwise. The prosecution
knew this earlier and he had the evidence and the information before he drew up the charges.
However, it seems that he did not take the proper steps to prosecute. It seems that he had his own
agenda. In the interest of justice, the above should never be allowed to happen and must be
dismissed by the court, moreover, when the charge was related to the first accused who had
pleaded guilty to another charge which had no connection to the earlier charge. If this was to be
allowed it would tarnish the image of the first accused as she would not be able to defend herself
in the charge that she was related to (see para 18).
(3) Illicit sexual intercourse (zina) involves two persons and cannot be committed individually. It
cannot be likened to theft or murder that can be carried out single handed. A joint charge should
have been maintained by using the word 'both of you' and not only 'you'. If the charge was
amended to 'you', it would become defective in that the accusation of illicit intercourse was
performed individually or with an unknown person or with a non-existent person (see para 22).
(4) There were elements of an invalid nature that was included in the amended charge that was
capable of misleading and causing obvious injustice to the appellant. Moreover, there was
inordinate delay in trying the case (from 2006 until 2009 — three years), hence, it would not be
appropriate to order a retrial or to continue with the hearing (see para 36).

Perayu pada mulanya telah dituduh bersama dengan seorang tertuduh lain bernama Norsalin bt Hj Ja'afar
dalam satu perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei dan Muara pada 18 Februari 2006.
Tertuduh perempuan telah mengaku salah melakukan persetubuhan yang haram dan dijatuhi hukuman
denda sebanyak $2,000 atau penjara selama 60 hari. Kemudian apabila perayu tidak mengaku salah
kesnya telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dengan tuduhan baru yang menumpukan
kesalahan kepada pihak perayu dengan menggunakan perkataan 'awak'. Semasa perbicaran kes, Hakim
bicara membiarkan sahaja tindakan pendakwa 'meminda' tuduhan-tuduhan yang sebenarnya sehingga
sudah jauh lari dari tuduhan asal sehingga kes ini menjadi lambat diselesaikan. Tuduhan-tuduhan yang
dikenakan terhadap perayu bolehlah direngkaskan seperti berikut: (i) kejadian pertama pada 11 dan 12
Februari 2004 antara jam 1 petang dan 2.15 pagi di Hotel Dubai; (ii) kejadian kedua di antara pada 1
September 2004 dan 30 September 2004 waktu siang di sebuah rumah sewa Kg Anggerek Desa; (iii)
kejadian ketiga di antara 1 Oktober 2004 dan 31 Oktober 2004, di waktu siang di sebuah rumah sewa Kg
Anggerek Desa; (iv) kejadian keempat di antara 1 November 2004 dan [*101]
30 November 2004 di sebuah rumah sewa Kg Anggerek Desa. Persoalan yang ditimbulkan oleh perayu
adalah berkaitan tindakan pendakwa dengan semau-maunya membuat pindaan tersebut. Perayu berhujah
bahawa tindakan pendakwa membuat pindaan demi pindaan sepatutnya tidak boleh diberi tempat, ia tidak
berasas dan sepatutnya tidak patut dibenarkan oleh mahkamah. Seterusnya perayu berhujah bahawa dia
tidak boleh dibicarakan dalam satu perbicaraan kerana tuduhan pertama tidak berkaitan dengan tiga
tuduhan yang berikutnya.

Diputuskan, membenarkan rayuan dan melepaskan perayu:


(1) Hakim telah tidak meminta pendakwa memberi apa-apa sebab atau bukti-bukti mengapa ia perlu
meminda tuduhan-tuduhan baru. Ianya adalah menyalahi aturan s 69(4) Undang-Undang Penggal
77 itu dan juga s 162 Kanun Keseksaan Jenayah. Pendakwa mesti memohon dan hakim mesti
menyatakan kebenaran terhadap permohonan itu (lihat perenggan 16–18).
Page 3 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

(2) Tuduhan pertama daripada empat siri tuduhan itu sepatutnya secara kronologi ialah kejadian yang
berlaku dahulu didahulukan dan bukan dikemudiankan yang mana ini menimbulkan keraguan
mengapa ia telah dikemudiankan. Pendakwa telah mengetahui lebih awal akan perkara ini dan
menunjukkan pendakwa telah mempunyai bukti dan maklumat sebelum membuat dakwaan, tetapi
nampaknya pendakwa tidak mengambil langkah pendakwaan. Nampaknya seolah-olah pendakwa
mempunyai agenda tersendiri. Dalam usaha menegakkan keadilan, hal ini tidak boleh dilakukan
dan seterusnya patut ditolak oleh mahkamah, apatah lagi tuduhan itu dikaitkan dengan yang
tertuduh pertama yang telah mengaku salah dalam tuduhan lain, yang tidak kena mengena dengan
tuduhan baru itu. Jika dibenarkan yang tertuduh pertama itu akan cacat namanya kerana tidak
dapat membela diri dalam tuduhan yang ia dikaitkan (lihat perenggan 18).
(3) Persetubuhan haram dan zina adalah perbuatan dua orang, ia tidak mungkin berlaku hanya oleh
seorang sahaja. Ia tidak boleh disamakan dengan perbuatan mencuri dan membunuh yang boleh
dilakukan oleh seorang sahaja. Tuduhan bersama itu hendaklah dikekalkan dengan menggunakan
'kamu' dan bukan 'awak'. Jika dipinda kepada 'awak' bererti tuduhan itu menjadi pincang seolah-
olah tuduhan melakukan persetubuhan haram itu hanya dilakukan oleh seorang diri sahaja atau
dengan seseorang yang tidak dikenali atau seseorang yang tidak wujud (lihat perenggan 22).
(4) Terdapat unsur-unsur yang tidak sah telah dimasukkan dalam tuduhan pindaan yang boleh
mengelirukan dan mendatangkan ketidakadilan yang nyata terhadap perayu, ditambah lagi dengan
sebab masa yang terlalu lama diambil untuk membicarakan kes ini (dari 2006 dari mula kejadian
hingga sekarang 2009 — selama tiga tahun) maka adalah tidak selamat untuk memutuskan
sebarang perbicaraan semula atau penerusan perbicaraan (lihat perenggan 36).]

[*102]
Notes

For cases on Islamic law generally, see 8 Mallal's Digest (4th Ed, 2010 Reissue) paras 490–742.

Cases referred to

PP v Azman bin Ismail & Ors [2007] 3 MLJ 628, HC (refd)

Legislation referred to

Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) bab 2, 69(2), (3), (4), 178(4),
196

Akta Tafsiran dan Klausa-Klausa Am (Penggal 4) ss 3(1), 36

Kanun Keseksaan Jenayah ss 160, 161, 162, 163(1), 164, 165(1), 171

Noraha bt Abdul Malek (Mohammad Shahray bin Zulkifly with her) (Cheok Sankaran Halim) for the
appellant.
Fatimah bt Ahmad @ HA Rahman (Junaidi bin Jumat with her) for the prosecution.

Yahya Ibrahim, Badaruddin Othman dan Suhaili Mohiddin HHMRSy:


PERJALANAN MAHKAMAH
Page 4 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

[1]Perayu (Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor) mulanya telah dituduh bersama dengan seorang tertuduh lain
bernama Norsalin binti Hj Ja'afar dalam satu perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei
dan Muara pada 18 Februari 2006. Tertuduh perempuan telah mengaku salah dan dijatuhi hukuman denda
sebanyak $2,000 atau penjara selama 60 hari.

[2]Perayu pada masa perbicaraan awal tidak hadir, demikian juga pada perbicaraan kedua pada 28 Mac
2006. Perbicaraan ketiga telah diadakan pada 22 Mei 2006 tetapi ditangguhkan atas permohonan tertuduh
lelaki (perayu) dan perbicaraan telah ditangguhkan hingga 14 Ogos 2006. Dalam perbicaraan ini perayu
telah hadir bersama peguam syarie Tetuan Cheok Sankaran Halim dan perayu telah tidak mengaku salah
atas tuduhan itu. Oleh kerana itu kes ini dipindahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah. Tuduhan awal
berbunyi:

Bahawa kamu berdua, diantara bulan September 2004 hingga November 2004, waktu siang dan malam, didalam sebuah rumah sewa,
Kampong Anggerek Desa, Berakas, Negara Brunei Darussalam telah melakukan persetubuhan yang haram, dengan itu kamu berdua
telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal
77).

[3]Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Ogos 2006, pendakwa telah meminda
tuduhan asal kepada: [*103]

Bahawa awak diantara bulan September 2004 hingga November 2004 waktu siang dan malam, didalam sebuah rumah sewa Kampung
Anggerek Desa, Berakas, Negara Brunei Darussalam telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama
Norsalin binti Hj Ja'afar No. K/P Brunei 00-258630 (K) dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab
178(4) Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77).

[4]Pada 26 September 2006 pendakwa sekali lagi membuat pindaan daripada satu tuduhan yang telah
dipinda kepada tiga tuduhan.

Tuduhan pertama

Bahawa awak, diantara 01 September 2004 dan 30 September 2004, waktu siang, di dalam sebuah rumah sewa, Kampong Anggerek
Desa, Berakas, Negara Brunei Darussalam, telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama Noraslin binti
Haji Ja'afar, No. K/P: 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta
Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

Tuduhan kedua

Bahawa awak, diantara 01 Oktober 2004 dan 31 Oktober 2004, waktu siang, didalam sebuah rumah sewa, Kampong Anggerek Desa,
Berakas, Negara Brunei Darussalam, telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama Noraslin binti Haji
Ja'afar, No. K/P: No. 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta
Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):


Page 5 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

Tuduhan ketiga

Bahawa awak, diantara 01 November 2004 dan 30 November 2004, waktu siang, didalam sebuah rumah sewa, Kampong Anggerek
Desa, Berakas, Negara Brunei Darussalam, telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama Noraslin binti
Haji Ja'afar, No. K/P: 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta
Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

[5]Kemudian pada 12 Oktober 2006, sekali lagi pendakwa membuat pindaan daripada tiga kepada empat
tuduhan, termasuk satu tuduhan baru. Tuduhan-tuduhan itu ialah:

[*104]
Tuduhan pertama

Bahawa awak, diantara 11 dan 12 Februari 2004 diantara jam 1.00 petang dan 2.15 pagi, bertempat di sebuah bilik No. 943, Crowne
Plaza – Hotel, Dubai, telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama Noraslin binti Haji Ja'afar, No. K/P:
00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta Majlis Ugama dan
Mahkamah-Mahkamah Kadi, Penggal 77, Semakan 1984.

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

Tuduhan kedua

Bahawa awak, diantara 11 September dan 19 September 2004, waktu siang dan malam, bertempat di sebuah rumah 'E' Apartment Lot.
28171 Anggerek Desa, Berakas, Brunei Darussalam telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama
Noraslin binti Haji Ja'afar, No. K/P: 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab
178(4), Akta Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi, (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

Tuduhan ketiga

Bahawa awak, diantara 01 Oktober dan 31 Oktober 2004, waktu siang dan malam, bertempat di sebuah rumah 'E' Apartment Lot 28171
Anggerek Desa, Berakas, Brunei Darussalam telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama Noraslin binti
Haji Ja'afar, No. K/P: 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab 178(4), Akta
Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi, (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

Tuduhan keempat
Page 6 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

Bahawa awak, diantara 1 November dan 22 November 2004 waktu siang dan malam, bertempat di sebuah rumah 'E' Apartment Lot
28171 Anggerek Desa, Berakas, Brunei Darussalam telah melakukan persetubuhan haram bersama seorang perempuan bernama
Noraslin binti Haji Ja'afar, No. K/P: 00-258630 (K), dengan itu awak telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Bab
178(4), Akta Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi, (Penggal 77).

PENALTI BAB 178(4):

Dipenjara selama enam bulan atau didenda sebanyak $5000

[6]Peguam syarie telah membantah pindaan-pindaan ini yang pada kesimpulannya menghujahkan tuduhan
pindaan yang asal (14 Ogos 2006) kabur dan mengelirukan. Dalam masa rayuan dibuat di mahkamah ini
pada pendengaran 6 Jun 2009 dalam hujahnya pendakwa (yang menjadi responden) mengakui bahawa
tuduhan dari satu kepada tiga dibuat adalah [*105]
bagi tujuan mengelakkan kesamaran (hujah responden 25 Julai 2009 hal 4 para 7). Peguam syarie telah
menimbulkan perkara ini dengan hujah bahawa kesamaran tuduhan itu adalah dari segi tarikh, masa dan
tempat kejadian sebagaimana hujah balas responden pada 12 Oktober 2006. Namun perkara ini tidak
diperhatikan oleh hakim. Jika diperhatikan, sepatutnya hakim meminta tuduhan asal itu dibetulkan atau
kalau sekiranya tuduhan yang meragukan itu mendatangkan kesamaran bagi pihak pembelaan hakim
boleh meminda tuduhan itu dengan betul mengikut tatacara undang-undang kerana kemungkinan
mendatangkan prejudis (s 160 Kanun Keseksaan Jenayah). Jika ini berlaku, menurut s 160 itu, mahkamah
boleh memerintahkan perbicaraan baru ataupun menangguhkannya kepada sesuatu masa yang tertentu.
Jika hal ini disedari oleh hakim sudah tentu pendakwa tidak akan dibenarkan meminda tuduhan berkali-
kali menurut kemahuannya sendiri tanpa kebenaran mahkamah.

[7]Persoalan yang ditimbulkan oleh peguam syarie dalam rayuannya ini dan kami berpendapat patut
diberi perhatian serius supaya pendakwa tidak dengan semau-maunya membuat pindaan demi pindaan
untuk semata-mata mungkin ingin menyebabkan yang tertuduh didapati salah, ialah masalah meminda
tuduhan. Untuk itu kami menggariskan persoalan ini kepada empat perkara.

ERTI PINDAAN

[8]Pindaan (Kamus Dewan 1984:89) bermakna membaiki, mengubah, dan ini bererti membetulkan yang
lama dengan yang baru sedangkan yang asalnya masih ada, dan hanya mengandungi sedikit perubahan,
umpamanya masa sesuatu kejadian dipinda dari pagi kepada waktu petang. Menurut s 3(1) Akta Tafsiran
dan Klausa-Klausa Am (Penggal 4) 'pindaan' termasuk pemansuhan, tambahan kepada, atau perubahan
dan perbuatan kesemua atau dua atau lebih perkara-perkara yang demikian secara serentak atau dengan
instrumen yang sama.

[9]Mengikut Oxford Dictionary of Law (2006: 28) amendment bererti:

Change made to legislation for the purpose of adding to, correcting, modifying the operation of the legislation. When a statement of
case has been served, a party may only amend it with the written consent of all the other parties or with the permission of the court.

Terjemahannya:

Perubahan penggubalan undang-undang yang dibuat untuk tujuan penambahan kepada, pembetulan, ubohsuai perjalanan penggubalan
undang-undang. Bilamana pernyataan kes telah disampaikan, satu pihak hanya boleh memindanya dengan adanya surat kebenaran
bertulis yang dibuat oleh kesemua pihak yang lain atau dengan kebenaran mahkamah.
Page 7 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

[10]Dalam hal ini menurut definasi yang disebutkan kami mendapati tuduhan pindaan yang dipertuduhkan
pada 12 Oktober 2006 dari tiga [*106]
kepada empat bukanlah tuduhan pindaan, ia sebenarnya adalah tuduhan baharu. Yang menjadi hujah
bantahan utama seperti yang dihujahkan oleh pihak perayu dalam empat tuduhan baru ini ialah tuduhan
pertama dalam tuduhan baru itu mengenai satu kejadian yang telah berlaku lebih awal di tempat lain dari
pada tarikh, masa dan tempat kejadian yang berlainan dari yang ada dalam tuduhan asal dan pindaan. Ini
dengan sendirinya telah mengelirukan perayu dan sudah tentu menambah beratnya tugas pembelaan dan
berat juga kepada diri tertuduh dan ini dengan sendirinya telah memanjangkan masa perbicaraan (dari
masa bicara bermula di Mahkamah Tinggi Syariah (14 Ogos 2006) hingga sekarang selama tiga tahun)
dan juga tanggungan tekanan perasaannya.

[11]Dalam hal ini, pendakwa patut diperingatkan frasa 'kelambatan menjejaskan keadilan' sepertimana
yang telah selalu dinyatakan dalam mahkamah ini sebelum ini. Untuk itu kita petik pendapat hakim bicara
di Mahkamah Tinggi Ipoh, Malaysia yang menolak apa yang dikatakan 'pindaan':

The process of the court and judicial time cannot be abused according to the whim and fancies and due to delayed instruction … If the
prosecution is aware from the beginning that a prolong trial such as in the instance case would have a serious risk as judicial time, effort
and expressly devoted to it would have lost, it is not appropriate and proper that prosecution should have reviewed the charge and
formed the charge … at the earliest stage of the proceeding.

Terjemahannya:

Proses mahkamah dan kehakiman tidak dapat disalah gunakan menurut kehendak hati dan minat dan kerana kelewatan dalam memberi
arahan. Sekiranya pendakwa telah menyedari dari awal yang perbicaraan yang diperpanjang seperti yang dalam kes yang disebut akan
mengalami risiko yang serius bagi waktu kehakimanan, usaha dan menumpukan dengan nyata ianya akan hilang, ianya tidak wajar dan
teratur bahawa pendakwa seharusnya sudah menyemak pertuduhan itu dan bentuk pertuduhan … dalam peringkat yang paling awal
dalam prosiding (lihat [2007] 3 MLJ 628).

[12]Dalam hal ini nampaknya hakim membiarkan sahaja tindakan pendakwa 'meminda' tuduhan-tuduhan
yang sebenarnya sudah jauh lari dari tuduhan asal sehingga kes ini menjadi lambat diselesaikan.
Kelambatan yang disebabkan oieh tindakan pendakwa ini dengan membuat pindaan demi pindaan
sepatutnya tidak boleh diberi tempat, ia tidak berasas dan sepatutnya tidak patut dibenarkan oleh
mahkamah.

[13]Kalau begitu pihak perayu tidak boleh dibicarakan dalam satu perbicaraan kerana tuduhan pertama
tidak berkaitan dengan tiga tuduhan yang berikutnya. Perbicaraan terhadap perayu tidak mengikut
peruntukan ss 160 atau 161 atau malah 162 Kanun Keseksaan Jenayah. Pendakwaan nampaknya hanya
menyebutkan satu kesalahan di bawah bab 69(2) dibaca bersama bab 178(4) Undang-Undang Penggal 77
sedangkan kesalahan yang dipertuduhkan yang dipinda adalah empat yang sudah setentunya merupakan
empat kesalahan dan empat hukumannya dengan semestinya empat perbicaraan yang berlainan pula.

[*107]

[14]Tuduhan-tuduhan yang dikenakan bolehlah direngkaskan kepada seperti berikut:


(a) Kejadian pertama 11 dan 12 Februari 2004 antara jam 1 petang dan 2.15 pagi di Hotel Dubai.
(b) Kejadian kedua di antara pada 1 September 2004 dan 30 September 2004 waktu siang di sebuah
rumah sewa Kampung Anggerek Desa.
Page 8 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

(c) Kejadian ketiga di antara 1 Oktober 2004 dan 31 Oktober 2004, di waktu siang di sebuah rumah
sewa Kampung Anggerek Desa.
(d) Kejadian keempat di antara 1 November 2004 dan 30 November 2004 di sebuah rumah sewa
Kampung Anggerek Desa.

MEMBUAT PINDAAN

[15]Undang-undang memang membenarkan pindaan dibuat. Bab 69(4) Akta Majlis Ugama Islam dan
Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) berbunyi:

Tuduhan boleh dipinda atau diubah pada bila-bila masa sebelum keputusan, tetapi yang tertuduh hendaklah diberi peluang sepenuhnya
untuk memeriksa balas atau memberi atau meminta bukti keterangan untuk memenuhi tuduhan baru.

[16]Kami sengaja membuat garis di bawah peruntukan bab 69(4) ini, kerana kecuali dalam masa
perbicaraan kali kedua (14 Ogos 2006), mahkamah tidak meminta pendakwa memberi apa-apa sebab atau
bukti-bukti mengapa ia perlu meminda tuduhan-tuduhan baru. Hal ini hanya berlaku dalam proses soal
jawab antara mahkamah dengan perayu sewaktu tuduhan dibacakan (penghakiman pada 12 Oktober 2006
di ms 2–3). Hakim hanya setakat bertanya kepada perayu sama ada ia faham dan mengaku salah atau
tidak. Setakat yang ada di dalam rekod perbicaraan itu hakim tidak mencatatkan sebarang permohonan
pendakwa untuk meminda tuduhan dan hakim tidak ada menyebut yang ia telah membenarkan
permohonan itu, padahal ini adalah syarat kepada pindaan seperti kehendak s 162 Kanun Keseksaan
Jenayah dan bab 69(4) Undang-Undang Penggal 77.

[17]Didapati sebelum pindaan dalam perbicaraan kali ketiga (daripada satu kepada tiga tuduhan pada 26
September 2006) sempat dikemukakan kepada hakim, pendakwa terus 'meminda' lagi tuduhan pada 12
Oktober 2006 tanpa apa-apa alasan dan kebenaran mahkamah, tuduhan menjadi empat dan hakim terus
sahaja membenarkan pembantu mahkamah meneruskan membaca tuduhan. Hal ini adalah menyalahi
aturan bab 69(4) Undang-Undang Penggal 77 itu dan juga s 162 Kanun Keseksaan Jenayah:

Whenever a charge is altered or added by the court after the commencement of the trial the prosecutor and the accused shall be allowed
to recall or re-summon and examine, with reference to such alteration or addition, any witness who may also call any further evidence
which may be material.

[*108]

Terjemahannya:

Apabila suatu pertuduhan telah ditukar atau ditambah oleh mahkamah setelah bermulanya perbicaraan, pendakwa dan tertuduh
hendaklah dibenarkan untuk meminta atau memanggil balik dan memeriksa, berhubungan dengan perubahan atau tambahan itu,
sebarang saksi yang mungkin juga boleh menghendaki keterangan lanjut yang mungkin material.

[18]Kami mendapati peraturan-peraturan ini telah tidak dipenuhi. Setakat hakim bertanya kepada orang
yang dituduh untuk menyatakan pengakuan bersalah atau tidak adalah tidak mencukupi. Pendakwa mesti
memohon dan hakim mesti menyatakan kebenaran terhadap permohonan itu. Cara ini boleh mengelirukan
pihak yang tertuduh dalam masa pembelaan. Dalam hal ini pendakwa syarie telah membuat alasan
bahawa dalam masa meminda tuduhan daripada tiga kepada empat perayu telah tidak membuat bantahan.
Ini bukan satu jawapan yang betul, inilah satu helah yang sengaja diselindungkan untuk mengait atau
Page 9 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

seperti yang disifatkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, sebagai ' safety net ' yang mungkin merupakan
satu ' oblique motive ' (tujuan yang tidak sah) ( [2007] 3 MLJ 628). Tuduhan pertama daripada empat siri
tuduhan itu sepatutnya secara kronologi ialah kejadian yang berlaku dahulu didahulukan dan bukan
dikemudiankan yang mana ini menimbulkan keraguan mengapa ia telah dikemudiankan. Adalah benar
seperti hujah perayu bahawa dari rangka tuduhan itu pendakwa telah mengetahui lebih awal akan perkara
ini dan menunjukkan pendakwa telah mempunyai bukti dan maklumat sebelum membuat dakwaan, tetapi
nampaknya pendakwa telah tidak mengambil langkah pendakwaan. Nampak kepada kami seolah-olah
pendakwa mempunyai agenda tersendiri. Dalam usaha menegakkan keadilan, hal ini tidak boleh
dilakukan dan seterusnya patut ditolak oleh mahkamah, apatah lagi tuduhan itu dikaitkan dengan yang
tertuduh pertama yang telah mengaku salah dalam tuduhan lain, yang tidak kena mengena dengan tuduhan
baru itu. Jika dibenarkan yang tertuduh pertama itu akan cacat namanya kerana tidak dapat membela diri
dalam tuduhan yang ia dikaitkan.

[19]Pendakwa tentu akan berhujah dengan hujah secara tradisi bahawa orang yang sudah dituduh dan
dihukum di bawah satu tuduhan tidak boleh lagi dibicarakan dalam tuduhan bagi kedua kali sebagaimana
kehendak s 36 Akta Tafsiran dan Klausa-Klausa Am (Penggal 4). Tetapi adakah tuduhan yang baru itu
merupakan tuduhan yang sama? Kami tidak berpendapat demikian, ia nyata bukan sama atau dalam satu
siri yang berkaitan.

PERTUDUHAN

[20]Perayu pada mulanya pada 18 Februari 2006 telah dituduh bersama-sama dengan seorang perempuan
yang bernama Norsalin bt Hj Ja'afar (kad pengenalan 00–258630 — kuning). Perempuan yang tertuduh
telah mengaku salah, dan dijatuhi hukuman. Kemudian apabila perayu tidak mengaku salah kesnya telah
dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dengan tuduhan baru yang menumpukan kesalahan kepada
pihak perayu dengan menggunakan perkataan 'awak'.

[*109]

[21]Persoalan di sini ialah tuduhan asal adalah menggunakan s 69(3) Undang-Undang Penggal 77 yang
sama dengan peruntukan Kanun Keseksaan Jenayah s 171 mengenai kesalahan yang dilakukan bersama
oleh lebih daripada seorang. Peruntukan ini memberi erti jika ada pindaan pun dibuat hendaklah dengan
bentuk tuduhan perkataan (kamu) bersama tetap dikekalkan walaupun perbicaraan mungkin berlainan
yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

[22]Patutlah diingatkan di sini persetubuhan haram dan zina adalah perbuatan dua orang, ia tidak mungkin
berlaku hanya oleh seorang sahaja. la tidak boleh disamakan dengan perbuatan mencuri dan membunuh
yang boleh dilakukan oleh seorang sahaja, frasa dalam s 171 Kanun Keseksaan Jenayah:

they may be charged and tried together or separately.

bukan bererti pendakwa boleh mengubah dakwaan kepada tuduhan oleh seorang, tetapi tuduhan bersama
itu hendaklah dikekalkan dengan menggunakan 'kamu' dan bukan 'awak'. Jika dipinda kepada demikian
(awak) bererti tuduhan itu menjadi pincang seolah-olah tuduhan melakukan persetubuhan haram itu hanya
dilakukan oleh seorang diri sahaja atau dengan seseorang yang tidak dikenali atau seseorang yang tidak
wujud.

[23]Dalam hal ini pendakwa berhujah dengan menggunakan hadis riwayat Abu Daud dari Sahal bin Saad
(hujah responden di ms 9):
Page 10 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

Bahawa ada seorang lelaki telah berikrar (di hadapan Nabi SAW) dia telah berzina dengan seorang perempuan. Lalu Nabi SAW
mengutus orang bertanya kepada perempuan itu, perempuan itu tidak mengaku. Maka Rasulullah telah menghukum sebat lelaki itu.

[24]Responden menghujahkan tidak perlu atau tidak mesti pihak yang sama-sama dalam tuduhan itu
dibuktikan dan dituduh di mahkamah. Responden menghujah bahawa hukum Syarak tidak menghalang
pelepasan seorang tertuduh dalam kes-kes zina atau persetubuhan haram. Hujah ini tidak boleh diterima.
Untuk lebih jelas ada lagi hadis yang lebih terkenal yang menjadi rujukan di mahkamah iaitu hadis
riwayat Ahmad bin Hambal, Ibn Daud serta al-Daruqutni dan Al-Hakim, iaitu hadis Maiz al-Aslami:

Bahawa Maiz al-Aslami berzina dengan seorang perempuan yang tidak dinamakannya (dalam satu riwayat oleh al-Imam Ahmad
perempuan itu diberi namanya oleh Maiz). Maka Rasulullah memanggil perempuan itu dan bertanya kepadanya tentang pengakuan
Maiz itu. Perempuan itu tidak mengaku. Maka Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman sebat terhadap Maiz dan melepaskan perempuan
itu.

[25]Nampaknya pihak responden telah salah faham mengenai hadis ini. Hadis ini, seperti yang dihujahkan
oleh perayu ialah mengenai iqrar (di hadapan Rasulullah SAW) oleh orang yang telah melakukan zina
dengan seorang perempuan. Iqrar lelaki itu diterima oleh nabi dan menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Adapun perempuan yang dinamakan bersama melakukan zina itu telah dipanggil oleh Nabi SAW tetapi
perempuan itu [*110]
tidak mengaku yang dia telah melakukan zina dengan Maiz dan kemudian dilepaskan oleh Nabi SAW.

[26]Dalam kes yang dirayu ini perempuan yang dituduh telah mengaku bersalah. Dalam erti kata yang
sebenar ini bukanlah mengikut kaedah iqrar syarie. Walau bagaimanapun ia telah diterima oleh
mahkamah. Kalau mengikut kaedah ini lelaki yang disebut bersama melakukan persetubuhan haram itu
patut ditanya (bukannya dituduh). Kalau ia tidak mengaku, dan dalam hal ini lelaki itu telah tidak
mengaku, maka mahkamah patut membebaskan dia sebagaimana kes Hj Abd Kadir bin Muhyadin dan Sri
Sukaisih bt Darto Sewtono bukannya dituduh melakukan persetubuhan haram dengan perempuan yang
telah mengaku salah itu. Dalam kes ini pendakwa telah salah menggunakan hadis ini kepada yang dituduh
yang tidak mengaku salah. Mahkamah ini bertanya bagaimanakah perempuan yang dituduh yang
mengaku salah akan dipanggil memberi keterangan terhadap lelaki yang dituduh kemudian akan mengaku
melakukan persetubuhan haram dalam empat kejadian, salah satu daripadanya tidak ada di dalam
pengakuan asal yang dibuatnya? Oleh itu anggapan pendakwa dalam hujahnya bahawa tuduhan dalam
satu kesalahan zina atau persetubuhan haram terhadap seorang tanpa pertuduhan terhadap rakan
sejenayahnya adalah diterima oleh hukum syara' itu, adalah ditolak. Nabi SAW telah memanggil orang
yang dilibatkan dalam iqrar penjenayah zina itu. Ini dapat dianggap sebagai rakan yang dilibatkan itu
mesti dihadirkan dalam mahkamah dan menjadi pihak dalam pertuduhan.

[27]Peruntukan s 178(4) Undang-Undang Penggal 77 juga patut diambil perhatian oleh pendakwa iaitu:

Kecuali dalam kes-kes yang disebut dalam ceraian (1), (2) dan (3) barang siapa yang bersalah melakukan persetubuhan luar nikah, sama
ada atau tidak pihak yang lain kepada persetubuhan luar nikah demikian menganut agama Islam, adalah melakukan kesalahan.

[28]Ada dua perkara yang patut diperhatikan di sini:


(a) Makna syarie 'persetubuhan haram' tidak sama dengan 'persetubuhan luar nikah'. Bab 2 Undang-
Undang Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) ada menerangkan
seperti berikut:
Page 11 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

Persetubuhan luar nikah bermakna persetubuhan yang tidak dijumlah kepada rogol diantara mana-mana lelaki dan mana-
mana perempuan yang bukan isterinya atau yang ditegah oleh hukum syarak untuk dikahwininya.

[29]Ada kalanya persetubuhan di antara suami isteri menjadi haram umpamanya jikalau suami
mengadakan persetubuhan dengan isteri semasa haid atau semasa siang hari di bulan puasa Ramadhan
atau semasa melakukan rukun fardhu haji. Dalam keempat-empat tuduhan yang dihadapkan kehadapan
mahkamah semuanya menggunakan 'persetubuhan haram' dan bukan persetubuhan luar nikah, bab 178(4)
menggunakan istilah persetubuhan luar nikah. Nampaknya pendakwa telah menggunakan istilah lama
yang sudah tidak dipakai dalam Undang-Undang Penggal 77.

[*111]
(b) Frasa 'sama ada atau tidak pihak yang lain kepada persetubuhan luar nikah demikian', membawa
erti mestilah ada kedua-dua pihak itu di hadapkan kepada mahkamah. Perbezaannya ialah jika
salah seorang daripada yang dituduh itu didapati bukan Islam ia boleh didakwa di bawah
peruntukan s 196 Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah- Mahkamah Kadi, atas tuduhan
bersubahat dan bukan di bawah s 178(4). Nampaknya mahkamah dan pendakwa tidak mengambil
perhatian terhadap kedua-dua perkara ini.
KUASA PENDAKWA

[30]Responden dengan panjang lebar telah menerangkan kuasa-kuasa pendakwa dan ini memanglah
benar, perayu sendiri tidak mempertikaikan hal itu. Walau bagaimanapun haruslah diingat kuasa itu tidak
boleh digunakan sewenang-wenangnya. Undang-undang membatasi kuasa itu dengan kaedah-kaedah yang
menjamin keadilan kepada semua pihak. Hakim dalam penghakimannya juga menyebut hal ini dengan
panjang lebar juga. Kami tidak ingin menyentuh pendapat-pendapat mereka mengenai kuasa itu.

[31]Tetapi kami ingin mengulas pemakaian ss 164 dan 171 Kanun Keseksaan Jenayah dan
membandingkannya dengan bab 69(2) Akta Penggal 77. Dalam kes ini yang patut dipakai pada
permulaannya ialah bab 69(3) kerana lebih daripada seorang telah dituduh. Ini bersesuaian dengan
kehendak s 171 Kanun Keseksaan Jenayah. Tetapi apabila pendakwa telah meminda, tuduhan, kedua-dua
seksyen itu tidak lagi dipakainya. Yang dipakainya ialah bab 69(2) yang bersamaan dengan peruntukan s
165(1) Kanun Keseksaan Jenayah yang menggunakan 'a person'. Walaupun secara terang bab 69(2) tidak
menyentuh darihal 'a person' itu. Tetapi apabila pelaku kesalahan dituduh dengan kesalahan bab 178(4)
maka ia menjadi bertentangan. Sebab kesalahan di bawah bab 178(4) adalah kesalahan yang dilakukan
oleh dua pihak sedangkan kaedah yang dipakai adalah dalam bab 69(2) yang hanya menyebut banyak
kesalahan yang dimaksudkan hanya dilakukan secara seorang. Walau bagaimanapun juga s 165(1) Kanun
Keseksaan Jenayah adalah berlawanan dengan hukum Syarak kerana seksyen itu menyekat lebih dari tiga
tuduhan jikalau berlaku dalam masa 12 bulan. Hukum Syarak tidak membataskan kesalahan seperti itu.
Adalah benar persetubuhan luar nikah yang dikatakan dilakukan sebanyak empat kali itu adalah satu jenis,
tetapi ia dilakukan sebanyak empat kali dengan itu ertinya kesalahan adalah empat juga seperti kehendak
bab 69(2) Undang-Undang Penggal 77. Jikalau mengikut s 164 Kanun Keseksaan Jenayah, tuduhan
hendaklah dibuat sebanyak empat tuduhan dalam empat perbicaraan yang berlainan dengan empat
pertuduhan dalam satu perbicaraan:

For every distinct offence of which any person is accused there shall be a separate charge, and every such charge shall be tried
separately.
Page 12 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

[*112]

Terjemahannya:

Untuk setiap kesalahan berlainan bagi mana-mana orang yang tertuduh, hendaklah ada pertuduhan yang berlainan dan setiap
pertuduhan hendaklah dibicarakan secara berasingan.

[32]Nyata responden — dan juga mahkamah — telah celaru dalam kaedah-kaedah pendakwaan. Ini
timbul disebabkan oleh percubaan responden untuk menyeret tertuduh ke mahkamah dan sedapat-
dapatnya akan dipersalahkan dalam tuduhan-tuduhan yang telah dipinda berkali-kali itu. Kalau bukan
kerana itu, mahkamah ini tidak mendapati lain-lain sebab selainnya. Pendapat responden mungkin dapat
dijadikan alasan terhadap cara pendakwaan ini.

[33]Dalam senario zaman sekarang adalah satu kemungkinan berlakunya perlakuan persetubuhan haram
di antara pasangan yang mana salah seorangnya tidak berugama Islam. Begitu juga terdapat kemungkinan
berlakunya persetubuhan haram dengan pasangan yang tidak dikenali dengan baik (seperti gejala seks
rambang). Isu yang perlu dipersoalkan di sini: Adakah tuduhan terhadap pelaku persetubuhan tersebut
dilepaskan hanya kerana pasangannya tidak boleh didakwa bersama kerana kafir atau tidak dikenal? (lihat
hujah responden di ms 26–27).

[34]Kenyataan yang berat sebelah itu tidak boleh mempengaruhi mahkamah. Ada banyak persetubuhan
yang berlaku di luar nikah dan pendakwa tidak dapat menuduh pelakunya, kecuali jika pihak perempuan
telah membuat aduan atau membuat pengakuan kerana telah melahirkan anak di luar nikah. Jika tidak,
pendakwa tidak akan dapat mengambil apa-apa tindakan di mahkamah. Mahkamah adalah pihak yang
menjalankan undang-undang dan bukannya Jabatan Kebajikan Masyarakat atau para penyelidik hal ehwal
kemasyarakatan. Pendakwa tidak boleh menjalankan pendakwaan semata-mata kerana memikirkan
banyaknya berlaku kejadian seperti ini dalam masyarakat. Ia memerlukan kaedah-kaedah yang adil dan
bukan menggunakan retorika untuk mempengaruhi mahkamah.

KEPUTUSAN
(1) Tuduhan-tuduhan pindaan yang dibuat oleh responden (pendakwa) tidak boleh diterima sebagai
pindaan.
(2) Pendakwa tidak memenuhi kehendak undang-undang dalam membuat pindaan.
(3) Mahkamah telah tersilap faham dalam menerima pindaan-pindaan itu tanpa membenarkannya
dengan secara nyata.

[35]Oleh itu semua pertuduhan 'pindaan' yang dikemukakan adalah salah dan tidak memenuhi kehendak
undang-undang yang menyebabkan perayu telah disalahfahamkan (misled) oleh pendakwa dan mahkamah
yang boleh menimbulkan ketidakadilan kepada perayu.

[*113]

[36]Jika menurut peruntukan s 163(1) Kanun Keseksaan Jenayah mahkamah ini boleh memerintahkan
perbicaraan semula. Tetapi terdapat unsur-unsur yang tidak sah telah dimasukkan dalam tuduhan pindaan
yang boleh mengelirukan dan mendatangkan ketidakadilan yang nyata terhadap perayu, ditambah lagi
dengan sebab masa yang terlalu lama diambil untuk membicarakan kes ini (dari 2006 dari mula kejadian
hingga sekarang 2009 — selama tiga tahun) maka kami berpendapat adalah tidak selamat untuk
Page 13 of 13
Pendakwa Syarie v Khairuddin bin Hj Abdul Ghafor

memutuskan sebarang perbicaraan semula atau penerusan perbicaraan.

PERINTAH

[37]Kami memutuskan rayuan perayu diterima dan perayu hendaklah dilepaskan dari sebarang tuduhan.

Appeal allowed, appellant discharged.

Reported by Ashgar Ali Ali Mohamed

End of Document

You might also like