Berkuat kuasa pada 01 Februari 2022

Misi kami adalah untuk menghubungkan para profesional dunia bagi menjadikan mereka lebih produktif dan cemerlang. Perkhidmatan kami direka khusus untuk menggalakkan peluang ekonomi kepada ahli-ahli kami dengan membolehkan anda dan jutaan profesional lain bertemu, bertukar-tukar idea, belajar dan mencari peluang atau pekerja, bekerja dan membuat keputusan dalam rangkaian yang terdiri daripada perhubungan yang dipercayai.

  1. Pengenalan

    1.1 Kontrak

    Apabila anda menggunakan Perkhidmatan kami, anda bersetuju dengan semua terma ini. Penggunaan anda terhadap Perkhidmatan kami juga tertakluk pada Dasar Kuki dan Dasar Privasi kami yang meliputi cara kami mengumpulkan, menggunakan, berkongsi dan menyimpan maklumat peribadi anda.

    Anda bersetuju bahawa dengan mengklik “Sertai Sekarang”, “Sertai LinkedIn”, “Daftar” atau mana-mana yang serupa, mendaftar, mengakses atau menggunakan perkhidmatan kami (yang diterangkan di bawah), anda bersetuju untuk mengikat kontrak ikatan perjanjian yang sah dengan LinkedIn (walaupun anda menggunakan Perkhidmatan kami bagi pihak syarikat). Jika anda tidak bersetuju dengan kontrak ini (“Kontrak” atau “Perjanjian Pengguna”),  jangan klik “Sertai Sekarang” (atau yang serupa) dan jangan akses atau gunakan sebarang Perkhidmatan kami. Jika anda ingin menamatkan kontrak ini, anda boleh berbuat demikian pada bila-bila masa dengan menutup akaun anda dan tidak lagi mengakses atau menggunakan Perkhidmatan kami.

    Perkhidmatan

    Kontrak ini terpakai kepada LinkedIn.com, aplikasi berjenama LinkedIn, LinkedIn Learning serta laman, aplikasi, komunikasi dan perkhidmatan berkaitan LinkedIn yang dinyatakan bahawa ditawarkan di bawah Kontrak ini (“Perkhidmatan”), termasuk pengumpulan data Perkhidmatan tersebut, seperti iklan kami dan plugin “Mohon dengan LinkedIn” dan “Kongsi dengan LinkedIn”. Pengguna Perkhidmatan kami yang berdaftar dirujuk sebagai “Ahli” dan pengguna yang tidak berdaftar dirujuk sebagai “Pelawat”.

    LinkedIn

    Anda memasuki Kontrak ini dengan LinkedIn (juga dirujuk sebagai “kami”).

    Kami menggunakan istilah “Negara Yang Ditetapkan” untuk merujuk kepada negara di Kesatuan Eropah (EU), Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) dan Switzerland.

    Jika anda menetap di “Negara Yang Ditetapkan”, anda memasuki Kontrak ini dengan LinkedIn Ireland Unlimited Company (“LinkedIn Ireland”) dan LinkedIn Ireland akan menjadi pengawal data peribadi yang diberikan kepada, atau dikumpulkan oleh atau untuk, atau diproses berkenaan Perkhidmatan kami.

    Jika anda tinggal di luar “Negara yang Ditetapkan”, anda memasuki Kontrak ini dengan LinkedIn Corporation (“LinkedIn Corp.”) dan LinkedIn Corp. akan menjadi pengawal bagi data peribadi yang diberikan kepada, atau dikumpulkan oleh atau untuk, atau diproses berkenaan Perkhidmatan kami.

    Kontrak ini dikenakan pada Ahli dan Pelawat.

    Sebagai Pelawat atau Ahli Perkhidmatan kami, pengumpulan, penggunaan dan perkongsian data peribadi anda tertakluk pada Dasar Privasi ini (yang merangkumi Dasar Kuki dan dokumen-dokumen lain yang dirujuk dalam Dasar Privasi ini) dan kemas kini.

    1.2 Ahli dan Pelawat

    Apabila anda mendaftar dan menyertai Perkhidmatan LinkedIn, anda akan menjadi Ahli. Jika anda memilih untuk tidak mendaftar untuk Perkhidmatan kami, anda boleh mengakses ciri-ciri tertentu sebagai seorang “Pelawat”.

    1.3 Perubahan

    Kami mungkin membuat perubahan pada Kontrak.

    Kami boleh mengubah suai Kontrak ini, Dasar Privasi kami dan Dasar Kuki kami dari semasa ke semasa. Jika kami membuat perubahan penting pada Kontrak, kami akan memberikan notis melalui Perkhidmatan kami atau melalui cara lain agar anda diberi peluang untuk menyemak perubahan tersebut sebelum penguatkuasaan dibuat. Kami bersetuju bahawa perubahan tidak boleh diundurkan tarikh. Jika anda membantah mana-mana perubahan, anda boleh menutup akaun anda. Jika anda meneruskan penggunaan Perkhidmatan kami setelah kami menyiarkan atau menghantar notis tentang perubahan kami terhadap terma ini, maksudnya anda bersetuju dengan terma yang dikemas kini setakat tarikh berkuat kuasanya.

  2. 2. Tanggungjawab

    2.1. Kelayakan Perkhidmatan

    Berikut ialah beberapa perjanjian anda kepada kami dalam Kontrak ini:

    Anda layak untuk memasuki Kontrak ini dan anda sekurang-kurangnya mencapai “Umur Minimum.”

    Perkhidmatan ini tidak boleh digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang daripada 16 tahun.

    Untuk menggunakan Perkhidmatan, anda bersetuju bahawa: (1) anda mestilah mencapai “Umur Minimum” (dinyatakan di bawah) atau lebih tua; (2) anda hanya akan mempunyai satu akaun LinkedIn yang mesti menggunakan nama sebenar anda; dan (3) anda tidak disekat oleh LinkedIn daripada menggunakan Perkhidmatan tersebut. Pembuatan akaun dengan maklumat palsu akan melanggar terma kami, termasuklah akaun yang didaftarkan bagi pihak orang lain atau individu di bawah umur 16 tahun.

    “Umur Minimum” bermakna 16 tahun. Walau bagaimanapun, jika undang-undang mensyaratkan bahawa anda mestilah berumur melebihi 16 tahun untuk LinkedIn menyediakan Perkhidmatan yang sah kepada anda tanpa kebenaran ibu bapa (termasuk penggunaan maklumat anda), maka Umur Minimum tersebut adalah umur yang melebihi 16 tahun itu.

    2.2 Akaun Anda

    Anda akan merahsiakan kata laluan anda

    Anda tidak akan berkongsi akaun dengan orang lain dan anda akan mematuhi peraturan kami dan undang-undang.

    Ahli ialah pemegang akaun. Anda bersetuju untuk: (1) menggunakan kata laluan yang kukuh dan merahsiakan kata laluan anda; (2) tidak memindahkan mana-mana bahagian akaun anda (cth. kenalan) dan (3) mematuhi undang-undang dan senarai Perkara Yang Dibenarkan dan Dilarang serta Dasar Komuniti Profesional kami. Anda bertanggungjawab ke atas apa-apa yang berlaku menerusi akaun anda melainkan jika anda menutupnya atau melaporkan penyalahgunaan.

    Antara anda dan orang lain (termasuk majikan anda), akaun anda ialah hak milik anda. Walau bagaimanapun, jika Perkhidmatan dibeli oleh pihak lain untuk kegunaan anda (cth. lesen Recruiter dibeli oleh majikan anda), pihak yang membayar Perkhidmatan berkenaan berhak untuk mengawal akses dan mendapatkan laporan tentang kegunaan anda bagi Perkhidmatan berbayar berkenaan; tetapi mereka tidak berhak untuk mengakses akaun peribadi anda

    2.3 Bayaran

    Anda akan memikul tanggungjawab untuk membuat bayaran dan anda bersetuju dengan tindakan kami untuk menyimpan maklumat berkaitan pembayaran anda. Anda memahami bahawa mungkin terdapat yuran atau cukai yang ditambahkan pada harga kami.

    Pengembalian wang tertakluk pada dasar kami.

    Jika anda membeli mana-mana Perkhidmatan berbayar kami (“Perkhidmatan Premium”), anda bersetuju untuk membayar kami yuran dan cukai berkenaan serta menurut terma tambahan yang khusus kepada Perkhidmatan berbayar. Kegagalan untuk membayar yuran ini akan menyebabkan penamatan Perkhidmatan berbayar anda. Anda juga bersetuju bahawa:

    • Pembelian anda mungkin tertakluk pada yuran pertukaran mata wang asing atau perbezaan dari segi harga berdasarkan lokasi (cth: kadar pertukaran wang).
    • Kami boleh menyimpan dan terus mengebilkan kaedah pembayaran anda (cth. kad kredit) walaupun setelah ia tamat tempoh untuk mengelakkan gangguan dalam Perkhidmatan anda dan digunakan untuk membayar Perkhidmatan lain yang anda beli.
    • Jika anda membeli langganan, kaedah pembayaran anda akan dikenakan caj secara automatik pada permulaan setiap tempoh langganan untuk yuran dan cukai berkenaan bagi tempoh tersebut. Untuk mengelakkan caj akan datang, buat pembatalan sebelum tarikh pembaharuan. Ketahui cara untuk membatalkan atau menggantung Perkhidmatan Premium anda.
    • Semua pembelian Perkhidmatan anda tertakluk pada dasar pengembalian wang LinkedIn.
    • Kami boleh mengira cukai yang perlu anda bayar berdasarkan maklumat bil yang anda berikan kepada kami pada masa pembelian.

    Anda boleh mendapatkan salinan invois anda menerusi tetapan akaun LinkedIn anda di bawah “Sejarah Pembelian”.

    2.4 Notis dan Mesej

    Anda membenarkan kami memberikan notis dan mesej kepada anda melalui laman web, aplikasi kami dan maklumat hubungan anda. Jika maklumat hubungan anda tidak dikemas kini, anda mungkin tidak menerima notis penting.

    Anda bersetuju bahawa kami akan memberi anda notis dan mesej melalui cara-cara berikut: (1) dalam Perkhidmatan, atau (2) dihantar kepada maklumat hubungan yang anda beri kami (cth. e-mel, nombor telefon, alamat surat-menyurat). Anda bersetuju untuk mengemas kini maklumat hubungan anda.

    Sila semak tetapan anda untuk mengawal dan mengehadkan mesej yang anda terima daripada kami.

    2.5 Perkongsian

    Apabila anda berkongsi maklumat pada Perkhidmatan kami, orang lain akan dapat melihat, menyalin dan menggunakan maklumat berkenaan.

    Perkhidmatan kami membenarkan pemesejan dan perkongsian maklumat dengan pelbagai cara, seperti di profil, artikel, paparan kumpulan, pautan ke artikel berita, paparan pekerjaan, mesej dan InMail. Maklumat dan kandungan yang anda kongsi atau paparkan mungkin dilihat oleh Ahli, Pelawat atau orang lain (termasuk di luar Perkhidmatan). Berdasarkan tetapan yang kami sediakan, kami akan menghormati pilihan yang anda buat berkenaan orang yang boleh melihat kandungan atau maklumat (cth. kandungan mesej kepada penerima anda, berkongsi kandungan kepada kenalan LinkedIn sahaja, menyembunyikan profil anda daripada enjin carian atau memilih keluar untuk tidak memaklumkan orang lain tentang kemas kini profil anda). Untuk aktiviti carian pekerjaan, kami tidak akan memaklumkan rangkaian kenalan anda atau khalayak umum. Oleh itu, jika anda memohon pekerjaan menerusi Perkhidmatan kami atau memilih untuk menyatakan bahawa anda meminati sesuatu pekerjaan, kami hanya akan berkongsi maklumat ini dengan pemapar pekerjaan.

    Kami tidak terikat untuk menerbitkan apa-apa maklumat atau kandungan pada Perkhidmatan kami dan boleh memadamkannya dengan atau tanpa notis.

  3. 3. Hak dan Had

    3.1. Lesen Anda kepada LinkedIn.

    Anda memiliki semua kandungan, maklum balas dan maklumat peribadi yang anda berikan kepada kami tetapi anda juga memberi kami lesen bukan eksklusif kepadanya.

    Kami akan menghormati pilihan yang anda buat berkenaan orang yang dapat melihat maklumat dan kandungan anda, termasuklah cara maklumat tersebut boleh digunakan untuk iklan.

    Antara anda dengan LinkedIn, anda memiliki kandungan dan maklumat yang anda hantar atau paparkan pada Perkhidmatan dan anda hanya memberi LinkedIn dan sekutu kami lesen bukan eksklusif berikut:

    Hak yang meliputi seluruh dunia, boleh dipindah milik dan boleh diberikan sublesen untuk menggunakan, menyalin, mengubah suai, mengedar, menerbitkan dan memproses maklumat dan kandungan yang anda berikan menerusi Perkhidmatan kami dan perkhidmatan orang lain, tanpa sebarang kebenaran tambahan, notis dan/atau pampasan lanjut kepada anda atau orang lain. Hak-hak ini terhad dalam cara yang berikut:

    1. Anda boleh menamatkan lesen ini bagi kandungan tertentu dengan cara memadamkan kandungan itu daripada Perkhidmatan atau biasanya dengan menutup akaun anda, melainkan (a) jika anda berkongsi kandungan itu dengan orang lain sebagai sebahagian daripada Perkhidmatan dan mereka menyalin, berkongsi semula atau menyimpannya dan (b) untuk tempoh masa wajar yang diperlukan untuk menyingkirkannya daripada sistem sandaran dan sistem lain.
    2. Kami tidak akan menyertakan kandungan anda dalam iklan untuk produk dan perkhidmatan pihak ketiga kepada orang lain tanpa kebenaran anda secara berasingan (termasuk kandungan tajaan). Walau bagaimanapun, kami berhak menyajikan iklan di sekitar kandungan dan maklumat anda tanpa memberikan bayaran kepada anda atau orang lain, dan tindakan sosial anda mungkin dipaparkan dan disertakan dengan iklan, seperti yang dinyatakan dalam Dasar Privasi. Jika anda menggunakan ciri Perkhidmatan, kami mungkin menyebutnya dengan nama atau foto anda untuk mempromosikan ciri tersebut dalam Perkhidmatan kami, tertakluk pada tetapan anda.
    3. Kami akan mendapatkan kebenaran anda sekiranya kami mahu memberikan hak kepada orang lain untuk menerbitkan kandungan anda di luar Perkhidmatan. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk berkongsi paparan anda secara “awam, semua orang atau serupa”, kami akan mendayakan ciri yang membenarkan Ahli lain untuk membenamkan paparan awam tersebut pada perkhidmatan pihak ketiga dan kami mendayakan enjin carian untuk membuatkan kandungan awam tersebut dapat dicari melalui perkhidmatan mereka. Ketahui Lebih Lanjut
    4. Walaupun kami boleh mengedit dan membuat perubahan format kepada kandungan anda (seperti menterjemahkan atau mentranskripsikannya, mengubah saiz, susun atur atau jenis fail atau mengeluarkan meta data), kami tidak akan mengubah makna ungkapan anda.
    5. Oleh sebab anda pemilik kandungan dan maklumat anda dan kami hanya mempunyai hak bukan eksklusif terhadapnya, anda boleh memilih untuk memaparkannya kepada orang lain, termasuk menurut terma lesen Creative Commons.

    Anda dan LinkedIn bersetuju bahawa jika kandungan merangkumi data peribadi, maka kandungan berkenaan akan tertakluk pada Dasar Privasi kami.

    Anda dan LinkedIn bersetuju bahawa kami boleh mengakses, menyimpan, memproses dan menggunakan sebarang maklumat dan data peribadi yang anda berikan mengikut terma dalam  Dasar Privasi dan pilihan anda (termasuk tetapan).

    Dengan mengemukakan cadangan atau maklum balas lain berkaitan Perkhidmatan kami kepada LinkedIn, anda bersetuju bahawa LinkedIn boleh menggunakan dan berkongsi (tetapi tidak semestinya perlu) maklum balas tersebut bagi apa sahaja tujuan tanpa memberikan apa-apa pampasan kepada anda.

    Anda berjanji untuk hanya memberikan maklumat dan kandungan yang anda berhak untuk berkongsi dan anda berjanji bahawa profil LinkedIn anda adalah benar.

    Anda bersetuju untuk hanya memberikan kandungan atau maklumat yang tidak melanggar peraturan atau hak orang lain (termasuk hak milik intelektual). Anda juga bersetuju bahawa maklumat profil anda adalah benar. LinkedIn mungkin dikehendaki oleh undang-undang untuk mengeluarkan maklumat atau kandungan tertentu di negara-negara tertentu.

    3.2 Ketersediaan Perkhidmatan

    Kami mungkin mengubah atau menamatkan mana-mana Perkhidmatan atau mengubah suai harga kami secara prospektif.

    Kami boleh menukar, menggantung atau menamatkan mana-mana Perkhidmatan kami. Kami juga mungkin mengubah suai harga kami yang berkuat kuasa secara prospektif selepas notis yang munasabah setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.

    Kami tidak berjanji untuk menyimpan atau meneruskan penyiaran sebarang maklumat dan kandungan yang telah anda paparkan. LinkedIn bukan perkhidmatan penyimpanan. Anda bersetuju bahawa kami tidak bertanggungjawab untuk menyimpan, menyelenggarakan atau memberi anda salinan bagi mana-mana kandungan atau maklumat yang anda berikan atau diberikan oleh orang lain, melainkan setakat yang diperlukan oleh undang-undang yang berkenaan dan seperti yang dinyatakan dalam Dasar Privasi kami.

    3.3 Kandungan, Laman dan Aplikasi Lain

    Penggunaan anda terhadap kandungan dan maklumat orang lain yang disiarkan di Perkhidmatan kami adalah atas risiko anda.

    Orang lain boleh menawarkan produk dan perkhidmatan milik mereka menerusi Perkhidmatan kami dan kami tidak bertanggungjawab terhadap aktiviti pihak ketiga tersebut.

    Dengan menggunakan Perkhidmatan ini, anda mungkin akan menemui kandungan atau maklumat yang mungkin tidak tepat, tidak lengkap, lambat, mengelirukan, menyalahi undang-undang, menyinggung atau berbahaya. LinkedIn secara amnya tidak menyemak kandungan yang diberikan oleh Ahli kami atau orang lain. Anda bersetuju bahawa kami tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau maklumat orang lain (termasuk Ahli lain). Kami tidak selalunya dapat mencegah penyalahgunaan Perkhidmatan kami dan anda bersetuju bahawa kami tidak bertanggungjawab atas sebarang penyalahgunaan tersebut. Anda juga mengetahui risiko bahawa anda dan organisasi anda mungkin dikaitkan dengan kandungan tentang orang lain secara tersilap apabila kami memaklumkan kenalan dan pengikut bahawa anda atau organisasi anda telah disebut dalam berita. Ahli mempunyai pilihan tentang ciri ini.

    LinkedIn mungkin membantu dalam menghubungkan Ahli yang menawarkan perkhidmatan mereka (bimbingan kerjaya, perakaunan dan sebagainya) dengan Ahli yang mencari perkhidmatan. LinkedIn tidak melakukan atau mengupah individu untuk melakukan perkhidmatan ini. Anda perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk menawarkan, melaksanakan atau mendapatkan perkhidmatan ini. Anda memperakui bahawa LinkedIn tidak menyelia, mengarahkan, mengawal atau memantau Ahli dalam pelaksanaan perkhidmatan ini dan bersetuju bahawa (1) LinkedIn tidak bertanggungjawab terhadap penawaran, pelaksanaan atau pemerolehan perkhidmatan ini, (2) LinkedIn tidak menyokong mana-mana Ahli khusus yang menawarkan perkhidmatan dan (3) tiada apa-apa yang akan mewujudkan pekerjaan, agensi atau usaha sama antara LinkedIn dengan mana-mana Ahli yang menawarkan perkhidmatan. Jika anda Ahli yang menawarkan Perkhidmatan, anda mewakili dan menjamin bahawa anda memiliki semua lesen yang diperlukan dan akan memberikan perkhidmatan yang selaras dengan Dasar Komuniti Profesional kami.

    Begitu juga, LinkedIn mungkin membantu anda mendaftar dan/atau menghadiri acara yang dianjurkan oleh Ahli dan berhubung dengan Ahli lain yang menghadiri acara sedemikian. Anda bersetuju bahawa (1) LinkedIn tidak bertanggungjawab terhadap kelakuan mana-mana Ahli atau hadirin lain di acara sedemikian, (2) LinkedIn tidak menyokong mana-mana acara khusus yang disenaraikan pada Perkhidmatan kami, (3) LinkedIn tidak menyemak dan/atau memeriksa mana-mana acara ini dan (4) anda akan mematuhi terma dan syarat ini yang berkaitan dengan acara sedemikian.

    3.4 Had

    Kami berhak mengehadkan cara anda berhubung dan berinteraksi dalam Perkhidmatan kami.

    LinkedIn berhak untuk mengehadkan penggunaan anda bagi Perkhidmatan ini, termasuk bilangan kenalan anda dan keupayaan anda untuk menghubungi Ahli lain. LinkedIn berhak untuk menyekat, menggantung atau menamatkan akaun anda jika anda melanggar Kontrak ini atau undang-undang atau menyalahgunakan Perkhidmatan (cth. melanggar mana-mana Perkara Yang Dibenarkan dan Dilarang atau Dasar Komuniti Profesional).

    3.5 Hak Milik Intelektual

    Kami memberi anda notis tentang hak milik intelektual kami.

    LinkedIn memiliki semua hak milik intelektual dalam Perkhidmatan ini. Tanda dagangan dan logo digunakan yang berkaitan dengan Perkhidmatan ini ialah tanda dagangan pemilik masing-masing. LinkedIn dan logo “in” serta tanda dagangan LinkedIn, tanda perkhidmatan, grafik dan logo yang digunakan untuk Perkhidmatan kami ialah tanda dagangan atau tanda dagangan berdaftar bagi LinkedIn.

    3.6 Pemprosesan Automatik

    Kami menggunakan data dan maklumat tentang anda untuk membuat cadangan yang relevan kepada anda dan orang lain.

    Kami menggunakan maklumat dan data yang anda berikan dan maklumat tentang Ahli yang kami miliki untuk memberikan cadangan kenalan, kandungan dan ciri yang mungkin berguna kepada anda. Contohnya, kami menggunakan data dan maklumat tentang anda untuk mencadangkan pekerjaan kepada anda dan mencadangkan anda kepada perekrut. Profil anda yang tepat dan terkini akan membantu kami membuat cadangan yang lebih tepat dan relevan. Ketahui Lebih Lanjut

  4. 4. Penafian dan Had Liabiliti

    4.1 Tiada Jaminan

    Penafian ini ialah penafian kami bagi liabiliti undang-undang untuk kualiti, keselamatan atau kebolehpercayaan Perkhidmatan kami.

    LINKEDIN DAN SEKUTUNYA TIDAK MEMBUAT PERNYATAAN ATAU WARANTI TENTANG PERKHIDMATAN INI, TERMASUK PERNYATAAN BAHAWA PERKHIDMATAN ADALAH TANPA GANGGUAN ATAU TIADA RALAT DAN MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN (TERMASUK KANDUNGAN DAN MAKLUMAT) MENURUT DASAR “SEADANYA” DAN “SEPERTI YANG TERSEDIA”. SETAKAT YANG DIBENARKAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG BERKAITAN, LINKEDIN DAN SEKUTUNYA MENAFIKAN SEBARANG JAMINAN TERSIRAT ATAU BERKANUN, TERMASUK SEBARANG JAMINAN TERSIRAT BAGI HAK MILIK, KETEPATAN DATA, BUKAN PELANGGARAN, KEBOLEHDAGANGAN ATAU KESESUAIAN BAGI SATU TUJUAN TERTENTU.

    4.2 Pengecualian Liabiliti

    Ini ialah had liabiliti undang-undang yang mungkin kami kenakan terhadap anda.

    SETAKAT MAKSIMUM YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG (DAN MELAINKAN LINKEDIN MEMASUKI PERJANJIAN BERTULIS BERASINGAN YANG MENGGANTIKAN KONTRAK INI), LINKEDIN, TERMASUK SEKUTUNYA, TIDAK AKAN BERKEWAJIPAN BERHUBUNG DENGAN KONTRAK INI ATAS KEHILANGAN KEUNTUNGAN ATAU KEHILANGAN PELUANG PERNIAGAAN, REPUTASI (CTH. PERNYATAAN YANG MENYINGGUNG PERASAAN ATAU FITNAH), KEHILANGAN DATA (CTH. MASA ROSAK ATAU KERUGIAN, PENGGUNAAN ATAU PERUBAHAN PADA MAKLUMAT ATAU KANDUNGAN ANDA) ATAU MANA-MANA KERUGIAN TIDAK LANGSUNG, SAMPINGAN, BERTURUTAN, KHAS ATAU PUNITIF.

    LINKEDIN DAN SEKUTUNYA TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB KEPADA ANDA BERHUBUNG DENGAN KONTRAK INI UNTUK APA-APA JUMLAH YANG MELEBIHI (A) JUMLAH YURAN YANG ANDA BAYAR ATAU PERLU ANDA BAYAR KEPADA LINKEDIN BAGI PERKHIDMATAN BERKENAAN DALAM TEMPOH KONTRAK INI, JIKA ADA, ATAU (B) USD $1000.

    4.3 Asas Tawar-menawar; Pengecualian

    Had liabiliti dalam Seksyen 4 ini ialah sebahagian daripada asas tawar-menawar antara anda dengan LinkedIn dan terpakai kepada semua tuntutan liabiliti (misalnya, jaminan, tort, kecuaian, kontrak dan undang-undang) walaupun LinkedIn dan sekutunya telah dimaklumkan kemungkinan berlakunya kerosakan sedemikian dan walaupun remedi ini gagal memenuhi tujuan asasnya.

    Had liabiliti ini tidak terpakai pada liabiliti untuk kematian atau kecederaan peribadi atau untuk penipuan, kecuaian melampau, salah laku yang sengaja, atau bagi kecuaian yang kewajipan kebendaannya telah dilanggar, kewajipan kebendaan yang dimaksudkan ialah kewajipan yang membentuk prasyarat kepada penyampaian perkhidmatan daripada kami dan mungkin anda bergantung secara munasabah, tetapi hanya setakat bahawa kerugian tersebut disebabkan oleh pelanggaran secara langsung dan dapat dijangka mengikut kesimpulan Kontrak ini dan setakat kelaziman dalam konteks Kontrak ini.

  5. 5. Penamatan

    Kedua-dua pihak boleh menamatkan Kontrak tetapi sesetengah hak dan kewajipan akan dikekalkan.

    Anda dan LinkedIn boleh menamatkan Kontrak ini pada bila-bila masa dengan pemberian notis kepada pihak yang lain. Di atas penamatan, anda kehilangan hak untuk mengakses atau menggunakan Perkhidmatan ini. Perkara yang berikut kekal bertahan selepas penamatan:

    • Hak kami untuk menggunakan dan mendedahkan maklum balas anda;
    • Hak Ahli dan/atau Pelawat untuk berkongsi semula dengan selanjutnya kandungan dan maklumat yang anda kongsi melalui Perkhidmatan;
    • Bahagian 4, 6, 7 dan 8.2 dalam Kontrak ini;
    • Sebarang jumlah yang terhutang oleh salah satu pihak sebelum penamatan adalah kekal terhutang selepas penamatan.

    Anda boleh melawati Pusat Bantuan kami untuk menutup akaun anda.

  6. 6. Undang-undang Yang Mengawal dan Penyelesaian Pertikaian

    Sekiranya tidak berkemungkinan kita berakhir dalam pertikaian undang-undang, bergantung pada tempat tinggal anda, anda dan LinkedIn bersetuju untuk menyelesaikannya di mahkamah California menggunakan undang-undang California, Dublin, mahkamah Ireland menggunakan undang-undang Ireland, atau di mahkamah tempatan anda menggunakan undang-undang tempatan.

    Jika anda tinggal di Negara Yang Ditetapkan, undang-undang Ireland mengawal semua tuntutan yang berkaitan dengan penyediaan Perkhidmatan LinkedIn, tetapi ini tidak akan menghalang anda daripada perlindungan pengguna mandatori di bawah undang-undang negara tempat kami mengarahkan Perkhidmatan anda di mana anda mempunyai kediaman biasa. Berkenaan dengan bidang kuasa, anda dan LinkedIn bersetuju untuk memilih mahkamah negara tempat kami mengarahkan Perkhidmatan anda di mana anda mempunyai kediaman biasa untuk semua pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan Perjanjian Pengguna ini, atau sebagai alternatif, anda boleh memilih mahkamah yang bertanggungjawab di Ireland.

    Jika anda seorang pengguna perniagaan dalam skop Perkara 6(12) Akta Pasaran Digital EU (“DMA”) dan mempunyai pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan Perkara 6(12) DMA, anda juga boleh menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif yang tersedia di Pusat Bantuan.

    Untuk orang lain di luar Negara Yang Ditetapkan, termasuk mereka yang menetap di luar Amerika Syarikat: Anda dan LinkedIn bersetuju bahawa undang-undang Negeri California, A.S., tidak termasuk konflik undang-undang, akan mentadbir sebarang pertikaian berkenaan Kontrak ini dan/atau Perkhidmatan ini secara eksklusif. Anda dan LinkedIn bersetuju bahawa semua tuntutan dan pertikaian hanya boleh dibuat litigasi di mahkamah persekutuan atau negeri di Santa Clara County, California, USA, dan anda dan LinkedIn kedua-dua bersetuju dengan bidang kuasa peribadi mahkamah tersebut

  7. 7. Syarat Umum

    Berikut adalah beberapa butiran penting tentang Kontrak ini.

    Sekiranya mahkamah dengan kuasa ke atas Kontrak ini mendapati mana-mana bahagiannya tidak boleh dikuatkuasakan, anda dan kami bersetuju bahawa mahkamah perlu mengubah suai terma untuk menjadikan bahagian itu boleh dikuatkuasakan sementara masih mencapai hasratnya. Jika mahkamah tidak boleh berbuat demikian, anda dan kami bersetuju untuk meminta mahkamah menghapuskan bahagian yang tidak boleh dikuatkuasakan dan masih menguatkuasakan semua bahagian yang lain dalam Kontrak ini.

    Kontrak ini (termasuk syarat tambahan yang akan kami berikan apabila anda terlibat dengan sesuatu ciri Perkhidmatan) adalah satu-satunya perjanjian antara kita berkenaan Perkhidmatan dan ia menggantikan kesemua perjanjian terdahulu untuk Perkhidmatan tersebut.

    Jika kami tidak bertindak untuk menguatkuasakan pelanggaran kepada Kontrak ini, itu tidak bermakna LinkedIn telah mengetepikan hak untuk menguatkuasakan Kontrak ini. Anda tidak boleh menyerahkan atau memindahkan Kontrak ini (atau keahlian anda atau penggunaan Perkhidmatan) kepada sesiapa sahaja tanpa kebenaran kami. Walau bagaimanapun, anda bersetuju bahawa LinkedIn boleh memperuntukkan Kontrak ini kepada sekutunya atau pihak yang membelinya tanpa kebenaran anda. Tiada benefisiari pihak ketiga bagi Kontrak ini.

    Anda bersetuju bahawa satu-satunya cara untuk memberikan kami notis undang-undang adalah di alamat yang diberikan dalam Bahagian 10.

  8. 8. Perkara yang “Dibenarkan” dan “Dilarang” dalam LinkedIn

    LinkedIn merupakan sebuah komuniti profesional. Senarai “Dibenarkan dan Dilarang” ini serta Dasar Komuniti Profesional kami mengehadkan tindakan yang anda boleh dan tidak boleh buat pada Perkhidmatan kami.

    8.1. Dibenarkan

    Anda bersetuju bahawa anda akan:

    1. Mematuhi semua undang-undang berkaitan, termasuk, tanpa had, undang-undang privasi, undang-undang hak milik intelektual, undang-undang anti-spam, undang-undang kawalan eksport, undang-undang cukai, dan syarat-syarat pengawal selia;
    2. Memberikan maklumat yang tepat kepada kami dan memastikan yang ia dikemas kini;
    3. Menggunakan nama sebenar anda pada profil anda; dan
    4. Menggunakan Perkhidmatan ini secara profesional.

    8.2. Dilarang

    Anda bersetuju bahawa anda tidakakan:

    1. Membuat identiti palsu di LinkedIn, memberikan kenyataan salah berkenaan identiti anda, membuat profil Ahli untuk sesiapa sahaja selain diri anda (orang yang sebenar) atau menggunakan atau mencuba untuk menggunakan akaun orang lain;
    2. Membangunkan, menyokong atau menggunakan perisian, peranti, skrip, robot atau mana-mana kaedah atau proses lain (termasuk perangkak, pemalam pelayar dan tambahan atau mana-mana teknologi lain) untuk mengikis Perkhidmatan atau sebaliknya menyalin profil dan data lain daripada Perkhidmatan ini;
    3. Menggantikan mana-mana ciri keselamatan atau memintas sebarang kawalan akses atau had penggunaan Perkhidmatan (seperti had pada carian kata kunci atau lawatan profil);
    4. Menyalin, menggunakan, mendedahkan atau mengedarkan mana-mana maklumat yang diperoleh daripada Perkhidmatan ini, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga (seperti enjin carian), tanpa persetujuan LinkedIn;
    5. Mendedahkan maklumat yang anda tiada keizinan untuk dedahkan (seperti maklumat sulit orang lain (termasuk majikan anda));
    6. Melanggar hak milik intelektual orang lain, termasuk hak cipta, paten, tanda dagangan, rahsia perdagangan, atau hak proprietari yang lain. Contohnya, jangan salin atau edarkan (melainkan melalui kefungsian perkongsian yang sedia ada) paparan atau kandungan lain milik orang lain tanpa keizinan mereka, yang mungkin diberi oleh mereka dengan memaparkan di bawah lesen Creative Commons;
    7. Melanggar hak milik intelektual atau hak LinkedIn yang lain, termasuk, tanpa had, (i) menyalin atau mengedarkan video pembelajaran kami atau bahan lain atau (ii) menyalin atau mengedarkan teknologi kami, melainkan ia dikeluarkan di bawah lesen sumber terbuka; (iii) menggunakan perkataan “LinkedIn” atau logo kami dalam mana-mana nama perniagaan, e-mel atau URL melainkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Jenama;
    8. Memaparkan apa-apa sahaja yang mengandungi virus perisian, cecacing atau apa sahaja kod perisian berbahaya yang lain;
    9. Melakukan kejuruteraan berbalik, menyusun semula, menyahpasang, mentafsirkan atau sebaliknya cuba untuk mendapatkan kod sumber bagi Perkhidmatan atau mana-mana teknologi yang bukan merupakan sumber terbuka;
    10. Membayangkan atau menyatakan bahawa anda bergabung dengan atau disahkan oleh LinkedIn tanpa persetujuan nyata daripada kami (cth. memperkenalkan diri anda sebagai jurulatih LinkedIn yang bertauliah);
    11. Menyewa, memajak, menukar, menjual/menjual semula atau menerima keuntungan wang daripada Perkhidmatan atau data atau akses berkaitan, tanpa persetujuan daripada LinkedIn;
    12. Membuat pautan benam ke Perkhidmatan kami bagi sebarang tujuan selain untuk mempromosikan profil anda atau Kumpulan di Perkhidmatan kami, tanpa persetujuan LinkedIn;
    13. Menggunakan bot atau kaedah automatik lain untuk mengakses Perkhidmatan, menambah atau memuat turun kenalan, menghantar atau menukar haluan mesej;
    14. Memantau ketersediaan, prestasi atau fungsi Perkhidmatan bagi tujuan bersaing;
    15. Terlibat dalam “pembingkaian”, “pencerminan” ataupun meniru penampilan atau fungsi Perkhidmatan;
    16. Menindih atau mengubah suai Perkhidmatan atau penampilan Perkhidmatan (seperti memasukkan elemen ke dalam Perkhidmatan atau menyingkirkan, menutup atau menghalang iklan yang disertakan pada Perkhidmatan);
    17. Mengganggu pengendalian atau meletakkan beban yang tidak munasabah ke atas Perkhidmatan (cth. spam, serangan penafian perkhidmatan, virus, algoritma perjudian); dan/atau
    18. Melanggar Dasar Komuniti Profesional atau mana-mana terma tambahan berkenaan dengan Perkhidmatan khusus yang disediakan apabila anda mendaftar atau mula menggunakan Perkhidmatan seperti ini dan terma Peta Bing jika berkenaan.
  9. 9. Aduan Berkenaan Kandungan

    Maklumat hubungan untuk aduan tentang kandungan yang disediakan oleh Ahli kami.

    Kami menghormati hak milik intelektual orang lain. Kami mensyaratkan bahawa maklumat yang dipaparkan oleh Ahli kami adalah tepat dan tidak melanggar hak milik intelektual atau hak lain bagi pihak ketiga. Kami menyediakan satu dasar dan proses bagi aduan berkaitan kandungan yang dipaparkan oleh Ahli kami.

  10. 10. Cara Menghubungi Kami

    Maklumat Hubungan kami. Pusat Bantuan kami juga memberikan maklumat tentang Perkhidmatan kami.

    Untuk pertanyaan umum, anda boleh menghubungi kami dalam talian. Untuk notis perundangan atau perkhidmatan proses, anda boleh menghantar surat kepada kami ke alamat ini.