Daerah Limbang
Limbang ليمبڠ | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Limbang |
Pusat pentadbiran | Pekan Limbang |
PBT | Majlis Daerah Limbang |
Pentadbiran | |
• Pegawai Daerah | Sulaiman Engal |
Keluasan | |
• Jumlah | 3,978.10 km2 (1,535.95 batu persegi) |
Penduduk (2020) | |
• Jumlah | 45,061 |
• Kepadatan | 11/km2 (29/batu persegi) |
Poskod | 98xxx |
Laman sesawang | www |
Daerah Limbang ialah sebuah daerah yang terletak di wilayah Sarawak, Malaysia. Daerah ini terletak di bawah pentadbiran Bahagian Limbang. Daerah ini berkeluasan kira-kira 3,978.10 kilometer persegi (1,535.95 batu persegi) dan mempunyai penduduk seramai 48,186 pada tahun 2010.[1][2] Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera Sarawak, dengan kebanyakannya berbangsa Melayu, Iban dan Bisaya.
Daerah ini memisahkan tanah besar Brunei dengan Daerah Temburong iaitu sebuah ekslaf. Pekan Limbang merupakan pusat pentadbiran dan penempatan utama di daerah ini.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Setelah keluarga Brooke mendapatkan kawasan sekitar Sungai Limbang, kawasan ini seterusnya digabungkan dengan daerah Trusan dan Lawas. Daerah ini kemudiannya diletakkan di bawah Bahagian Kelima bersama daerah Lawas.[3]
Masalah pertikaian sempadan
[sunting | sunting sumber]Sejak penubuhan Malaysia pada 1963, Brunei telah terbahagi kepada dua bahagian, dipisahkan oleh Limbang. Sejak itu dikatakan Brunei cuba menuntut daerah Limbang daripada Malaysia dan mempertikaikan sempadan antara Limbang dan Brunei.[4]
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Daerah Limbang terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Limbang yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Limbang. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Limbang. Terdapat satu daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran daerah Limnang, iaitu Nanga Medamit.
Politik
[sunting | sunting sumber]Daerah Limbang diletakkan di bawah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Kota (N79) dan Batu Danau (N80) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Limbang (P221).
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Limbang terletak di timur negeri Sarawak, di barat bahagian Limbang. Daerah Limbang bersempadan dengan daerah kecil Mulu, Marudi di barat daya, daerah kecil Bario, Miri di selatan dan daerah Lawas di tenggara. Daerah ini juga diapit oleh negara Brunei, dengan sempadannya antara daerah Belait dan Tutong di barat, daerah Brunei-Muara di utara dan daerah Temburong di timur. Sempadan antara daerah ini dengan Temburong, Brunei mengikut aliran Sungai Pandaruan.
Daerah Limbang mempunyai keluasan kira-kira 3,978 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 2,368 meter. Daerah Limbang boleh dibahagikan kepada dua bahagian dengan bentuk muka bumi berbeza, iaitu kawasan rata dan berketinggian rendah di bahagian utara daerah. Kawasan ini merupakan kawasan penempatan utama penduduk di daerah ini. Bahagian tengah dan selatan daerah pula merupakan kawasan berbukit dan tanah tinggi dengan Banjaran Tama Abu membentang di selatan daerah.
Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini ialah Sungai Limbang dan Sungai Pandaruan.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1970 | 19,739 | — |
1980 | 24,047 | +21.8% |
1991 | 33,899 | +41.0% |
2000 | 39,817 | +17.5% |
2010 | 46,980 | +18.0% |
2020 | 45,061 | −4.1% |
Sumber: [5] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Limbang ialah seramai 45,061 orang dengan kepadatan penduduk 11 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 11,069 isi rumah dengan 13,849 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Lawas merupakan Bumiputera Sarawak, dengan kebanyakan antara mereka merupakan Orang Ulu, Iban dan Melayu. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan kedua terbesar di daerah ini. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 1,205 orang.[6][7] Masyarakat Melayu dan bangsa lain kebanyakannya tertumpu di bahagian utara daerah, yang merupakan kawasan penempatan utama dan pekan. Masyarakat yang terdiri daripada Orang Ulu pula lebih tertumpu di bahagian selatan daerah yang merupakan kawasan pedalaman.
Status | Bangsa | Jumlah | |
---|---|---|---|
Warganegara | Bumiputera | Lain-lain | 14,774 |
Melayu | 11,736 | ||
Iban | 11,463 | ||
Melanau | 336 | ||
Bidayuh | 294 | ||
Cina | 5,114 | ||
India | 34 | ||
Lain-lain | 105 | ||
Bukan warganegara | - | 1,205 | |
Jumlah | 45,061 |
Agama
[sunting | sunting sumber]Di daerah Limbang, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 46 peratus diikuti agama Islam sebanyak lebih 45 peratus. Penduduk beragama Buddha membentuk kelompok ketiga terbesar di daerah ini dengan peratusan sebanyak enam peratus daripada jumlah penduduk. Penduduk beragama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama membentuk kumpulan minoriti.[6]
Agama | Jumlah |
---|---|
Kristian | 21,041 |
Islam | 20,256 |
Buddha | 3,024 |
Hindu | 21 |
Lain-lain | 374 |
Tidak beragama | 345 |
Jumlah | 45,061 |
Kemudahan
[sunting | sunting sumber]Daerah Limbang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur di sekitar daerah.
Pendidikan
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2020, terdapat 40 buah sekolah yang berada di sekitar daerah Limbang, terdiri daripada 35 sekolah rendah dan lima sekolah menengah. Terdapat seramai 917 orang guru berkhidmat di daerah ini, iaitu 579 orang berkhidmat di sekolah rendah dan 338 orang berkhidmat di sekolah menengah. Daerah Limbang juga mempunyai jumlah murid seramai 8,939 orang iaitu 4,861 murid yang belajar di sekolah rendah dan 4,078 murid yang belajar di sekolah menengah.[8]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Di daerah Limbang terdapat sebuah hospital kerajaan, iaitu Hospital Limbang yang dilengkapi dengan 100 katil pesakit. Daerah ini juga mempunyai enam klinik kesihatan di sekitar daerah.[8]
Keselamatan
[sunting | sunting sumber]Di daerah Limbang terdapat satu ibu pejabat polis yang bertempat di Pekan Limbang, tiga balai polis dan sebuah pondok polis. Daerah ini juga mempunyai satu balai bomba yang juga terletak di Pekan Limbang.[8]
Tempat menarik
[sunting | sunting sumber]- Muzium Wilayah Limbang terletak di sebuah kubu lama yang dibina oleh Charles Brooke pada 1897. Muzium yang telah dibuka pada 1994 ini mempamerkan sejarah dan kebudayaan rakyat di wilayah ini seperti alat buluh, cara pembuatan garam, seni manik, pakaian daripada kulit kayu, barangan logam, bakul dan sebagainya.
Bukit Mas terletak berhampiran dengan Muzium Wilayah Limbang tempat ini merupakan tempat menarik untuk dikunjungi. Bukit Mas adalah tempat yang sesuai untuk beriadah bersama keluarga, rakan taulan mahupun bersendirian. Tempat ini mempunyai pemandangan sejuk mata memandang. Terdapat trek menaiki puncak Bukit Mas. Biasanya sempena Hari Bukit Mas pertandingan naik ke puncak Bukit Mas akan diadakan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Profil Daerah Limbang". www.limbang.sarawak.gov.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-06-05. Dicapai pada 2018-04-09. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan) - ^ "Demografi". www.sarawak.gov.my. Dicapai pada 2018-04-09. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan) - ^ "Info Daerah Limbang - Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Limbang". limbang.sarawak.gov.my. Dicapai pada 2024-11-13.
- ^ "Pemimpin Umno/BN cuai kedaulatan negara". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-05-05. Dicapai pada 2010-05-03.
- ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b c "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
- ^ a b c "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Daerah Pentadbiran Limbang". eStatistik. Jabatan Perangkaan Malaysia. 29 Mei 2022. ISBN 978-967-253-675-8. Dicapai pada 13 November 2024.